Featuring the latest Malaysia scandals, gossip, and entertainment news.

Rangkaian Radio Media Prima Terus Bantu Projek NGO

February 8, 2010 Berita Harian | Comments (0) admin @ 8:00 pm





SEELAN bersama wakil NGO selepas menandatangani MoU, baru-baru ini.

RADIO adalah sebuah medium yang mampu mencapai sasaran pendengar hampir 92 peratus yang mana bukan saja bertindak sebagai media hiburan, malah turut menyalurkan maklumat yang berguna kepada pendengar. Ini menjadikan radio sebagai satu cara yang berkesan dalam meningkatkan kesedaran pendengar.

Sedar mengenai peranan itu, Rangkaian Radio Media Prima (MPRN) mengambil tanggungjawab melalui stesen radio di bawah naungannya seperti Hot FM, Fly Fm dan One FM menjadi perantara antara pendengar dan badan pertubuhan kebajikan untuk menyampaikan mesej kesedaran.

Ketua Pegawai Operasi MPRN, Seelan Paul berkata, bermula awal tahun lalu, MPRN mengambil bahagian dalam menyokong badan bukan kerajaan (NGO).

“Pada 28 Mac tahun lalu, MPRN mengambil bahagian dalam menyokong badan NGO seperti WWF, SLE, WAO dan Unicef untuk meningkatkan kesedaran sivik dari segi isu dunia mahupun sosial. Ketiga-tiga stesen radio kami turut mengambil bahagian dalam Earth Hour dengan menutup siaran langsung selama satu jam.

“Bermula tahun ini juga kami sudah membuat perjanjian untuk meneruskan kempen kesedaran sivik kepada pendengar dengan bekerjasama dengan empat badan NGO yang lain seperti National Diabetes Hospital (Nadi), Paws Animal Welfare Society (Paws) serta Badan Warisan dan All Women’s Action Society (Awam),” katanya yang ditemui pada majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) MPRN bersama empat badan NGO itu baru-baru ini.

Dalam perjanjian MoU itu, MPRN akan terus mendukung usaha murni mereka melalui Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) serta mengambil bahagian secara ‘on ground’ mengikut acara yang bersesuaian.

“Kita akan sentiasa menyokong pembabitan badan NGO ini di dalam aktiviti kempen yang mereka lakukan. Setiap badan NGO ini, kami akan menyiarkan kempen PSA secara percuma kepada mereka selama setahun.

“Bermakna setiap badan NGO akan mendapat PSA secara percuma sebanyak empat kali setahun selama 30 saat bagi satu PSA melalui tiga stesen radio kami. Kami juga akan cuba menyokong mereka dengan segala aktiviti yang akan mereka lakukan,” katanya yang mengharapkan usaha ini mendapat sokongan masyarakat yang boleh menghulurkan tangan untuk membantu mereka.

Berita Harian

Undi Jangan Tak Undi!

Berita Harian | Comments (0) admin @ 7:50 pm

INFO FARAH FAUZANA

DILAHIRKAN pada 7 Februari 1980 di Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor. Wanita yang baru saja genap 30 tahun ini mempunyai tiga adik-beradik.

DIKENALI sebagai Fara Fauzana atau Fafau di kalangan peminat, penyampai Hot FM ini turut berkecimpung dalam bidang lakonan dan pengacaraan televisyen serta majlis. Melodi ialah rancangan paling popular kendaliannya.

TAHUN lalu, filem Jin Notti lakonan Fara bersama bintang Akademi Fantasia, Mawi, menemui penonton. Dia juga berlakon siri Fara dan Gadis Cuci.

PEMEGANG Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Perhubungan Awam dari Universiti Teknologi Mara Shah Alam ini sukakan aktiviti memandu kereta, fotografi, bersukan serta beriadah.

WANITA ini pernah menggenggam trofi Pengacara TV Wanita Popular sebanyak empat kali, sejak ABPBH 2005. Dia juga menaiki pentas menerima trofi Penyampai Radio Wanita Popular sebanyak dua kali, pada ABPBH 2007 dan ABPBH 2008.


INFO AKIM

DILAHIRKAN di pada 18 Januari 1991 dengan nama penuh Afiq Hakim Ahmad.

TANPA latihan formal dalam nyanyian, anak ketiga daripada empat adik-beradik ini mula memberanikan diri menyanyi di depan orang ramai pada usia 7 tahun.

BIARPUN tidak menjuarai pertandingan realiti Akademi Fantasia musim ketujuh, Akim dilihat begitu menyerlah berbanding peserta akhir lain, sehingga dicalonkan dalam dua kategori Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 dalam da kategori – Artis Baru Lelaki dan Penyanyi Lelaki Popular.

SELEPAS meletup dengan lagu yang dinyanyikannya pada konsert final Af7, Bengang, Akim kini memperkenalkan pula single seterusnya, Inilah Cinta, judul yang dipilih sebagai lagu tema kempen terbaru aiskrim Cornetto Wall’s.

TURUT berlakon dalam siri Kau & Aku bersama Mila dan Aril, artis muda lepasan SPM dari Johor Bahru ini meminati penyanyi I’m Yours, Jason Mraz, dan juara American Idol musim ketujuh, David Cook.

Berita Harian

Dengarnya…: Amy Mastura Dekati Dunia Ilmu Hitam

Berita Harian | Comments (0) admin @ 7:40 pm

Oleh Normah Becok

AKHIRNYA baru Cik Normah dapat mengagak siapa pelakon wanita yang dimaksudkan Ahmad Idham yang bakal ditampilkan dalam filem terbarunya, Damping Malam. Sebelum ini, dalam fikiran Cik Normah berlegar-legar ramai nama pelakon wanita. Tapi tak sangka yang dimaksudkan Ahmad Idham itu ialah Amy Mastura.

Satu majlis pelancaran dan doa selamat filem terbabit akan diadakan malam ini di pejabat Metrowealth. Ahmad Idham pun turut berlakon. Jadi, Cik Normah rasa filem inilah yang dimaksudkannya sebelum ini apabila dia menyatakan keinginan untuk membuat come back dalam dunia lakonan.

Mulanya Cik Normah ingatkan filem ini mengenai dunia pelacuran tapi selepas dirisik-risik ia berkaitan dunia ilmu hitam yang diamalkan sesetengah manusia yang jumud dalam berfikir untuk mencapai kebahagiaan dalam cara pintas. Kita tunggu sajalah hasilnya nanti.

Berbalik kepada cerita Amy Mastura, tak silap Cik Normah, kali terakhir Amy berlakon filem ialah menerusi filem Bintang Hati di samping Anuar Zain. Selepas sekian lama tak tengok Amy di layar perak, bererti Damping Malam bakal membuka lembaran baru buat Amy pada tahun ini.

Cik Normah yakin mesti ramai yang rindukan kelibat Amy di dalam filem. Cik Normah pun minat juga dengan lakonan selamba ibu kepada dua orang anak ini. Semoga Amy terus sukses lagi pada tahun ini. Setahu Cik Normah, ada dua filem lagi lakonan Amy yang boleh ditayangkan iaitu Hoppers dan Aku Tak Bodoh.

Berita Harian

Dengarnya…: Gelaran ‘Datuk’ Berganda Buat Chef Wan

Berita Harian | Comments (0) admin @ 7:30 pm

Oleh Normah Becok


Serina dan Salahudin

TANGGAL 1 Februari lalu, Chef Wan baru saja menerima gelaran Datuk selepas dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) bersempena dengan Hari Wilayah Persekutuan. Cik Normah dapat tahu, tak lama lagi, Chef bakal dapat pangkat Datuk lagi. Tapi pangkat Datuk ini kira lebih istimewa sedikit.

Kiranya, Chef Wan dapat pangkat Datuk secara bergandalah. Okeylah, Cik Normah tak nak berteka-teki lagi, pangkat Datuk yang dimaksudkan satu lagi ini berkaitan dengan anaknya, Serina Redzuawan. Serina yang baru saja berkahwin dengan Salahuddin Ghaffar (Gavin Edward O’Luanaigh) sudah pun disahkan mengandung.

Ini bererti Chef Wan akan jadi datuk kepada cucu sulungnya nanti. Cik Normah diberitahu teman sepejabat, Serina yang memberitahu khabar gembira ini kepada Chef Wan. Kiranya, Serina bunting pelamin selepas disahkan doktor dia sudah mengandung.

Cik Normah pasti gembira Chef Wan bukan kepalang lagi sekarang ini. Malah, Chef Wan cukup teruja untuk membeli pakaian bayi untuk bakal cucu sulungnya itu. Dalam pada itu, teman sepejabat Cik Normah beritahu Chef Wan sempat berpesan kepada Serina untuk menjaga dietnya sepanjang kehamilan.

Malahan, Serina pun tak boleh bekerja keras lagi selepas ini demi menjaga kandungan dalam perutnya. Apa apa pun, Cik Normah nak ucapkan tahniah kepada Chef Wan dan keluarganya atas berita gembira ini. Sebelum terlupa, Cik Normah ada satu perkara nak beritahu.

Majlis di Felda Sungai Koyan yang dirancang Chef Wan dibatalkan kerana Serina sudah mengandung. Insya-Allah, majlis yang tak jadi ini akan digantikan dengan majlis cukur jambul. Jadi kepada mereka yang tak berpeluang menghadiri majlis perkahwinan Serina dan Salahuddin kena tunggu selepas Serina bersalin.

Pada masa yang sama, Chef Wan pun sudah tidak sabar nak memeriahkan kemuncak malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009. Biarpun tak dapat masuk Top, Chef Wan sudah menempah baju untuk digayakan pada malam itu sebagai menyatakan sokongannya terhadap majlis itu. Kelas, Chef Wan. Cik Normah pun belum sempat nak pergi tempah baju lagi.

Berita Harian

Percaya Tarikan Nabil Sebagai Hero Komedi

Berita Harian | Comments (0) admin @ 7:20 pm

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my


SEBAHAGIAN pelakon yang menjayakan Lu Pikirlah Sendiri de Movie yang hadir pada majlis tayangan filem itu, baru-baru ini.

Aminah Rhapor akui semakin berdebar tunggu reaksi peminat mengenai Lu Pikirlah Sendiri de Movie

KETIKA Nabil sendiri seperti mencemuh filemnya sendiri kerana tidak puas hati dengan sentuhan pengarahnya, Aminah Rhapor pula berpendapat juara Raja Lawak itu adalah pelakon paling tepat untuk diketengahkan dalam filem komedi kerana tiada pelakon lawak lain yang begitu dikenali peminat ketika ini.

Justeru, walaupun kini dia dan syarikat penerbitan SDAF Pictures agak risau apabila populariti pelawak itu agak menurun berbanding ahun lalu, namun mereka masih percaya Nabil masih pilihan yang terbaik kerana dia berupaya membuatkan penonton ketawa dan menangis, di sebalik karakter selambanya itu.

“Memanglah kami risau apabila popularitinya dikatakan agak menurun, tetapi siapa lagi hero komedi yang kita ada hari ini? Kami juga berharap, setidak-tidaknya filem ini mampu menaikkan kembali nama Nabil, terutama apabila dia dicalonkan sama pada peringkat akhir Anugerah Bintang Popular berita Harian kali ini,” kata Aminah ketika ditemui selepas majlis tayangan filem Lu Pikirlah Sendiri De Movie (PSdM) di Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Bagi mengelakkan cerita mengenai filem dan lakonannya tidak dipinggirkan sepanjang promosi filem terbabit dijalankan, Aminah turut mendedahkan pihaknya meminta Nabil tidak membawa Irma Hasmie ke majlis berkaitan filem itu.

Sambil memuji lakonan Nabil, pengarah itu berkata, sebagai sutradara filem yang baru, dia berpuas hati dengan produk sulung terbitan SDAF Pictures terbabit.

Begitupun, dia tidak menafikan adanya debaran yang cukup kuat di dada apabila mengenangkan tindak balas yang bakal diterima. Ketika yang sama Aminah berasakan, dia sudah pun mencurahkan segala keringat ketika menyiapkan filem berkenaan.

“Paling tidak, rasanya sasaran menjadikan filem ini sebuah produk yang sesuai untuk tontonan remaja dan keluarga sudah pun tercapai. Filem ini mempunyai isu yang berat, mengenai remaja yang berusaha keras untuk memperbaiki taraf kehidupan. Berikutan bintang utamanya ialah seorang pelawak, maka gaya penceritaan juga digarap sedemikian rupa untuk menghasilkan kesesuaian,” katanya yang turut memuji lakonan juara Akademi Fantasi musim kelima, Mila.

Ditanya mengenai kemunculan ramai pelakon undangan seperti Faizal Tahir, Amy Search, Aziz M Osman dan Fahrin Ahmad dalam filemnya, pengarah itu mengesahkan kehadiran mereka diharap menjadi faktor untuk menarik lebih ramai penonton ke pawagam. Baginya, penampilan pelakon undangan terbabit menjadi kekuatan tambahan kepada filem itu.

“Bagaimanapun, kumpulan Meet Uncle Hussain bukanlah pelakon undangan. Mereka mempunyai watak dalam filem ini. Mereka ialah pencerita kepada sesuatu situasi,” katanya mengenai kemunculan kumpulan itu pada kebanyakan babak membabitkan Nabil.

Selain berlakon, kumpulan terbabit turut menyediakan muzik dan lagu latar bagi LPSdM.

“Sejak awal lagi, filem ini memang dirancang sebagai sebuah komedi muzikal. Kita juga menayangkannya kepada sekumpulan pelajar dan mereka nyata mahukan muzik untuk filem ini. Bagi saya, muzik yang dimuatkan boleh menjadi senjata untuk menarik golongan muda menontonnya,” kata Aminah.

Salahkan kru kerja sambil lewa

BERHUBUNG masalah kesinambungan atau konti yang jelas kelihatan pada filem terbabit, wanita ini menjelaskan, dia hanya merakamkan babak yang dikehendakinya. Lalu, apabila masalah kesinambungan disedari kemudian, dia tidak mempunyai rakaman tambahan yang boleh membantu menyelesaikan masalah terbabit.

Katanya lagi, LPSdM hanya menggunakan 108 gulung filem ketika kerja rakaman filem ini dilangsungkan.

“Sewaktu penggambaran dijalankan, ada sebahagian kru yang mengambil sikap sambil lewa ketika menjalankan tugas. Inilah penyakit yang masih ada di kalangan kru perfileman kita. Sebahagiannya melihat saya sebagai pengarah baru, jadi mereka bekerja ala kadar saja. Masalahnya, mereka menuntut gaji yang mahal pula. Sebahagian lagi suka membuat dua kerja pada satu masa,” jelasnya.

Dia turut menjelaskan mengapa filem terbabit dilihat agak terputus-putus perjalanan ceritanya. Kata Aminah, LPSdM hanya memakan masa 90 minit, justeru mereka menggunakan pendekatan perjalanan cerita yang pantas untuk mengelakkan filem itu daripada meleret. Lalu, peminat harus memahami sendiri sesetengah adegan yang ada kala dilihat berlaku tanpa penjelasan.

Contohnya, babak Nabil yang sebelum itu sering bergaduh dengan Natasya (Sarah) tiba-tiba boleh terpacul di rumah gadis berkenaan. Jelas Aminah, sebelum itu dia sudah menunjukkan babak di mana Zizan menjadi rakan penghubung kepada kedua-dua watak yang asyik bertekak itu. Dengan sendiri penonton boleh mengerti dari mana Nabil mendapat alamatnya.

Apa saja pandangan orang lain terhadap LPSdM, bagi Aminah, ia tetap sebuah karya yang cukup istimewa. Apatah lagi apabila beberapa kejadian dalam filem itu seolah-olah benar-benar terjadi kemudiannya.

Umpamanya, pada satu adegan, Natasya baru saja meluahkan rasa tidak puas hati mengenai penyiaran berita gosip mengenainya di akhbar. Antara kata-katanya dalam filem itu, mengapa pula orang hendak kecoh-kecoh sedangkan dia bukan berbogel pun. Sebaik saja penggambaran adegan itu selesai, gambar Sarah bersama kekasih, Ammar Alfian Aziz, tersebar di Internet.

Begitu juga adegan menyaksikan Nabil mencium pipi Natasya selepas memenangi pertandingan realiti, yang diikuti kejadian sebenar Nabil terpeluk Irma Hasmie pada acara kemuncak ABPBH ‘08. Meet Uncle Hussain pula ada menyanyikan rangkap mengenai benci dan rindu, yang kemudian menyaksikan perpisahan penyanyi utamanya, Lan, daripada kumpulan itu.

Berita Harian

Tuah Bawa Muzik ‘Rock Kapak’

Berita Harian | Comments (0) admin @ 7:10 pm

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


AVIDITY mahu memastikan hayat seni mereka bertahan lama dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam.

NAMA kumpulan Avidity masih terlalu asing kepada peminat muzik. Mereka bukan band indie tetapi kini mula melakar nama selepas menjadi juara pertandingan Twisties Bingit terbitan 8TV.

Kumpulan yang terdiri empat anak muda ini akan mengikut jejak Modread yang menjadi juara untuk pertandingan Twisties Bingit edisi pertama pada tahun lalu. Mereka ialah Yusof Ahmad sebagai vokalis utama, Fazreen Rezza Romli menjadi pemain gitar; Mohd Zul Azri Ismail (bass) dan Valentine Arthur Dangin (dram)

Dalam pertandingan akhir pada 12 Disember lalu, Avidity bersaing dengan tiga lagi kumpulan iaitu Rocket Planet, The Musicians dan Floor 88.

Pada peringkat itu, Avidity menyanyikan tiga lagu iaitu Mentari Merah Di Ufuk Timur yang dipopularkan oleh kumpulan Search, Hukum Karma (Wings) dan Kasihnya Laila (Jinbara).

Ketiga-tiga lagu memberi tuah apabila Avidity diumumkan sebagai juara untuk memenangi hadiah dengan nilai keseluruhannya RM80,000. Ia meliputi kontrak bersama syarikat rakaman Monkeybone bernilai RM60,000 dan wang tunai, RM20,000.

Kontrak rakaman itu bersamaan sebuah album dan kini mereka sudah merakamkan single ciptaan Edrie Hashim berjudul Girang Si Kongkang.

“Duit RM20,000 itu sudah diagihkan. Kami kini juga dalam proses menyiapkan album solo. Besar kemungkinan kami memuatkan lagu ciptaan sendiri berjudul Impian. Selain Edrie, album ini akan membabitkan Sham Kamikaze,” kata Yusof atau Uchop.

Avidity seperti kumpulan lain yang bertanding, cepat serasi selepas berminggu-minggu bersama meneruskan perjuangan. Hakikatnya, semua anggota kumpulan Avidity mempunyai band sendiri.

Apabila ditanya di mana keutamaan mereka, masing-masing pantas memberi jawapan semuanya dibahagi sama rata. Uchop mempunyai band bernama AVDT, Zul (Black Star), Fazreen (Istana Band) dan Valentine (Jaija).

“Ahmad Dhani pun ada dua band. kami tak mahu seperti kacang lupakan kulit. Jadi untuk menjadi lebih telus, kami sepakat membahagi komitmen di antara Avidity dan kumpulan masing-masing,” kata Uchop lagi.

Avidity antara bakat baru yang mahu menjadi penerus legasi ‘rock kapak’. Dibesarkan dengan pengaruh lagu kumpulan Wings, Search dan banyak lagi band rock zaman 80-an, mereka yakin pilihan jalur muzik tahun itu masih diminati ramai. Kata Uchop, irama rock tidak berkubur begitu saja.

“Kalau boleh kami tak mahu jadi klon kepada band rock yang ada dan mahu berdiri dengan sendirinya. Kami masih teringat nasihat abang Jay Jay meminta kami supaya sentiasa merendah diri dan berlatih untuk memantapkan kedudukan yang baru dicapai ini,” katanya.

Menurut Uchop, dia meminati dunia nyanyian sejak kecil lagi dan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berhijrah ke Kuala Lumpur, nekadnya hanya satu mahu menjadi penyanyi.

“Saya pernah bekerja menjadi kru dengan mengangkat wayar saja untuk penyelenggaraan persembahan dan studio. Ketika itu, saya bertuah dapat bekerja di bawah kumpulan Wings dan Kristal, pernah menjadi deejay dan menjaga sistem bunyi dengan Isma Halil. Saya bersyukur pengalaman berharga itu banyak mengajar saya menjadi lebih peka kepada muzik dan persekitaran,” kata Uchop.

Sementara itu, Produser Monkeybone Records, Edris Adrian menjelaskan kehadiran Avidity di persada seni mampu menjadi penyambung kepada kehebatan era muzik rock 80-an.

“Saya yakin muzik rock 80-an masih ada peminat dan pasarannya lagi di era ini. Monkeybone Records dan 8TV hanya menyediakan jalan untuk mereka berkongsi bakat,” katanya.

Berita Harian

Melodi Cinta Rossa

Berita Harian | Comments (0) admin @ 7:00 pm

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


FARID mewakili Media Prima Berhad, manakala Rossa menandatangani MoU bagi pihak limaduabelasmusik.

Penyanyi popular dari seberang buat persembahan di Stadium Putra Bukit Jalil pada 29 Mei

KETIKA cinta sedang berbunga di hati, lagunya menjadi peneman setia. Saat diri dikhianati cinta, nyanyiannya jugalah yang menjadi penawar kesedihan. Sudah sekian lama lagu dendangannya menjadi penghibur peminatnya di sini. Bagaikan seorang dewi cinta, kehadiran Rossa umpama penyembuh segala kedukaan hanya menerusi lantunan suaranya.

Bermula dengan lagu Tegar yang memperkenalkan namanya di negara ini, pemilik nama penuh Sri Rossa Roslaina Handiyani ini secara perlahan-lahan berjaya menakluk hati peminat menerusi melodi cintanya. Kemerduan suara serta aksi lincahnya di pentas membuatkan wanita bertubuh kecil molek ini terus diminati.

Pudar, Ayat-Ayat Cinta, Takdir Cinta, Terlanjur Cinta adalah antara lagunya yang berjaya meneruskan jangka hayatnya untuk terus bertahan di negara ini. Pun begitu, bukan saja nyanyiannya membuatkan peminat jatuh hati padanya, tetapi personalitinya yang sentiasa mudah didekati, ramah dan tidak berlagak diva membuatkan Rossa antara penyanyi dari Indonesia yang disenangi penggemar muzik di sini.

Andai sebelum ini kunjungan Rossa hanyalah sekadar memenuhi tuntutan mengadakan mini showcase, persembahan makan malam, majlis pelancaran album, kini kedatangannya membawa hajat besar yang sudah sekian lama diidamkan. Jika tiada aral melintang, penyanyi bervokal gemersik ini akan mengadakan konsert berskala mega pada 29 Mei depan di Stadium Putra Bukit Jalil.

“Memang sudah lama saya impikan mahu mengadakan konsert di Malaysia iaitu kira-kira dua tahun lalu. Masa itu saya baru saja selesai mengadakan siri konsert Persembahan Cinta di sekitar Jakarta, Surabaya. Ketika itulah hati saya terdetik, alangkah bagusnya kalau saya dapat bawa konsert ini di Malaysia.



Rossa

“Mungkin sudah menjadi rezeki apabila kami bertemu dengan penganjur bersama iaitu Marctensia. Selepas berbincang dan kata persetujuan di capai, lalu terhasillah Konsert Melodi Cinta ini,” kata Rossa ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman di antara syarikat rakaman dan pengurusannya iaitu limaduabelas musik dan Media Prima Berhad (MPB). MPB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan. Manakala limaduabelasmusik diwakili Rossa sendiri. Menerusi perjanjian itu, MPB akan menjadi rakan media untuk konsert berkenaan.

Memandangkan ini adalah konsert perdana untuk Rossa di negara ini, tidak dinafikan ia memberi sedikit tekanan kepadanya.

“Bukan mudah untuk saya merealisasikan impian ini. Banyak yang perlu saya lalui sebelum ia menjadi kenyataan. Dari segi kosnya saja sudah tinggi kerana saya perlu menghasilkan yang terbaik buat peminat saya di sini.

“Dari segi lokasi saja sudah memberi tekanan kepada saya kerana saya difahamkan, stadium itu amat besar sekali. Mampukah saya menarik sebegitu ramai penonton memenuhi stadium itu. Sewaktu saya membuat persembahan di Ruums, Life Centre tahun lalu, saya juga risau apabila melihat tempat itu besar sekali sehingga saya sendiri menelefon teman supaya datang menonton persembahan saya.


ROSSA pilih Aizat untuk membuat persembahan pada konsertnya kerana dia yakin dengan kredibiliti penyanyi muda itu.

“Apapun, saya yakin dengan bantuan semua pihak termasuk rakan media, MPB konsert ini akan sukses dan mencapai sasarannya iaitu menarik 10 ribu penonton,” ujarnya dalam nada teruja.

Bukan cuba untuk melaga-lagakan, tetapi figura ini nyata cukup bertuah kerana berjaya mengadakan konsert solonya sendiri berbanding penyanyi lain seperti Krisdayanti, walaupun dari segi populariti, Kris terlebih dulu mencipta nama di negara ini.

“Saya anggap ini semua ini rezeki. Mungkin gilirannya akan tiba suatu hari nanti. Sebagai penyanyi yang datang dari negara yang sama, antara kami sebenarnya saling menyokong kerjaya masing-masing. Malah saya juga menjemput dia (Krisdayanti), Yuni Shara dan teman lain supaya dapat hadir ke Malaysia untuk menyaksikan persembahan saya nanti,” ujar Rossa yang jelas tidak mahu perkara itu dijadikan isu.

Undang Aizat untuk jayakan konsert

DIUSIK pertanyaan apakah dia mampu melantunkan irama cinta sedangkan dalam hatinya perasaan cinta itu sudah lama layu, Rossa membalas pertanyaan itu dengan tawa yang panjang. Memahami makna pertanyaan itu, Rossa berkata sebagai penyanyi adalah menjadi tugasnya untuk menghiburkan walaupun dalam situasi apapun.

“Saya kan memang suka menyanyi. Jadi walaupun saya sedang sedih, gembira, sunyi saya harus menghiburkan peminat saya,” katanya yang mengaku masih belum bertemu pengganti lagi.

Bakal berlangsung selama dua jam, Rossa berkata dia mahukan konsertnya itu nanti bakal membawa makna yang cukup besar buat peminatnya di sini.

“Pastinya saya mahu persembahan itu nanti berbeza dengan apa yang saya sudah persembahkan di Indonesia. Kalau boleh saya mahukan sesuatu yang ekstravaganza yang boleh membuatkan saya dan penonton terkejut dan teruja melihat hasilnya. Semuanya itu akan saya serahkan kepada Pengarah Persembahan, Jay Soebiyakto untuk mengendalikannya.

“Dari segi pemilihan lagu pula, saya akan berbincang dengan Pengarah Muzik, Yovie Widianto. Namun jangan risau, saya tetap akan menyanyikan lagu popular saya di sini,” kata Rossa yang teringin untuk membuat persembahan di Istana Budaya.

Untuk konsert Melodi Cinta itu nanti, Rossa tidak berseorangan kerana dia akan ditemani ramai jejaka. Mereka yang bertuah itu adalah Aizat, Pasha dari kumpulan Ungu serta kumpulan ST12.

“Apabila saya memberitahu mereka iaitu Pasha dan kumpulan ST12 yang saya akan mengadakan konsert di Malaysia, mereka dengan pantas menawarkan diri untuk turut serta. Sokongan mereka cukup bagus sekali.

“Manakala Aizat saya lihat memang berpotensi. Saya sudah menyaksikan persembahannya banyak kali sebelum ini dan saya gembira kerana dapat berkolaborasi dengannya,” tutur Rossa.

Sementara itu, sebagai rakan media Farid berkata pihaknya yakin konsert ini bakal mendapat sambutan berdasarkan kredibiliti Rossa sendiri.

“Kami berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Rossa dan pasukannya. Dia mempunyai ramai peminat di negara ini. Sebagai sebuah syarikat media terbesar di Asia Tenggara, kami akan sedaya upaya membantunya,” katanya.

Ditanya apakah Media Prima Berhad akan mengadakan siaran langsung untuk konsert itu, Farid berkata tidak hasrat untuk berbuat demikian sebaliknya besar kemungkinan konsert itu akan dirakam dan akan ditayangkan pada hari tertentu.

“Buat masa ini kami sedang berbincang ke arah itu. Jika semuanya berjalan lancar, mungkin kami akan menayangkannya pada hari tertentu. Apapun, segala maklumat mengenai perkara ini akan dimaklumkan dalam sidang media akan datang,” katanya.

INFO:

Tiket Konsert Melodi Cinta akan mula dijual pada 14 Februari ini. Harga yang dikenakan adalah RM58, RM98, RM148, RM248, RM348. Bagi mereka yang ingin menempah bolehlah melayari laman web www.axcess.com.my atau hubungi talian 03-77115000.

Berita Harian

Bukan Serik, Elak Spekulasi Nakal

Berita Harian | Comments (0) admin @ 6:50 pm

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


Mas Idayu

Mas Idayu yang sekali lagi diamanahkan untuk menjadi mentor akui risau dengan harapan tinggi peminat hiburan

BUKAN mudah untuk meyakinkan Mas Idayu untuk kembali menjadi mentor dalam program pencarian bakat terbitan TV3 yang masuk musim keempat ini. Jenuh dipujuk pihak produksi yang diketuai Muhamad Sufian Isa, tetapi pelbagai alasan diberi.

Penerbit Eksekutif/Penerbit program itu sebelum ini menjawab pertanyaan media yang mempersoalkan sama ada kita ketandusan artis yang sesuai untuk menjadi mentor sehingga terpaksa memanggil semula penyanyi dangdut itu yang sudah beraksi musim lalu

“Bukan masalah ketandusan artis tetapi Mas Idayu dipanggil semula untuk menjadi mentor musim ini kerana hasil kerjanya yang memuaskan hati produksi. Sepanjang bekerja dengannya, walaupun tak dinafikan kontroversi mengenainya sedikit sebanyak menaikkan rating program, tapi apa yang penting adalah komitmen yang ditunjukkannya sepanjang berlangsungnya program ini.

“Begitupun, saya tak nafikan memang sukar untuk memujuk dia menyertai program ini kembali. Setiap kali diajak, setiap kali itulah juga dia menolak dengan memberikan pelbagai alasan. Tapi mungkin disebabkan rezeki saya, akhirnya dia mengalah dan bersetuju untuk terbabit dalam Mentor 4 ini,” ujar Sufian pada majlis sidang media memperkenalkan mentor musim keempat, di Penthouse, Sri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini. Hadir sama Pengurus Besar Kumpulan Jenama TV3, Sherina Mohd Nordin.

Sementara itu, mengulas pembabitannya dalam Mentor musim ini, Mas Idayu berkata memang pada awalnya dia sudah tidak mahu lagi terbabit dengan program ini. Bukan kerana serik tetapi dia tidak mahu kehadirannya nanti memberikan spekulasi kurang enak mengenai dirinya dan juga produksi program ini.



BARISAN artis yang terpilih menjadi Mentor musim keempat , dari kiri; Joe Flizzow, Ziana Zain, Dayang nurfaizah, Mas idayu, Mus dan Azmeer.

“Bagaimanapun, selepas berbincang dengan pihak produksi, saya pun bersetuju untuk berkolaborasi sekali lagi dengan mereka untuk musim ini. Memang risau juga kerana tentunya ramai yang menaruh harapan tinggi apakah saya mampu mengulangi kejayaan yang serupa. Tapi seperti yang sering saya tegaskan sebelum ini, saya hanya berusaha untuk membimbing, selebihnya terpulang pada peserta itu sendiri.

“Seperti musim terdahulu, saya tak kisah sama ada protege saya itu lelaki atau perempuan. Tapi yang penting, dia mestilah boleh menyampaikan pelbagai rentak lagu terutama genre dangdut dan juga asli,” katanya.

Untuk musim ini juga, buat pertama kalinya Azmeer, yang sebelum ini menjalankan tanggungjawab sebagai penasihat Mentor ditawarkan sebagai mentor. Dengan perlantikannya itu, tentu ramai yang tak sabar-sabar hendak melihat apakah Azmeer mampu membimbing peserta berkenaan ataupun bersikap cakap tak serupa bikin semata-mata.

“Pada mulanya saya memang tidak mahu terbabit langsung dalam program Mentor untuk musim ini kerana saya sibuk dengan kuliah. Tapi selepas mendapat tahu yang jadual mentor tidak bertembung dengan waktu kuliah dan berlangsung pada musim cuti semester, saya akhirnya bersetuju.

“Pada saya apabila menerima tawaran ini, ia bererti saya perlu menghadapi cabaran. Mungkin sebelum ini orang ingat saya hanya pandai beri komen saja. Saya tak kisah kalau ada yang nak komen saya selepas ini. Saya terima kritikan itu,” katanya.

Pertarungan genre muzik?

MELIHAT kepada senarai artis yang bakal menjadi mentor untuk musim keempat ini, bolehlah dibuat andaian bahawa pertandingan pencarian bakat baru dalam bidang nyanyian ini bakal menyaksikan pertarungan di antara genre muzik.

Seramai enam mentor yang dipilih, masing-masing mewakili genre muzik yang dibawa mereka. Artis yang terpilih untuk musim ini adalah Joe Flizzow (hip hop), Mus vokalis kumpulan May (rock), Mas Idayu (dangdut), Dayang Nurfaizah (R&B), Ziana Zain (pop) dan Azmeer (pop).

Jika benarlah itu yang menjadi matlamat mereka, pastinya nanti kita akan melihat lebih ramai pelapis dalam pelbagai genre muzik dapat dihasilkan dalam pertandingan itu. Berdasarkan kepada kredibiliti kesemua mentor itu, tidak dinafikan mereka mampu membentuk lebih ramai pelapis terutama yang berminat dengan genre muzik yang mereka nyanyikan itu terutama muzik dangdut yang kelihatan semakin pupus sebelum ini.

Bukan cuba menafikan keputusan sebelum ini atau mempertikaikan pilihan penonton, namun kalau dilihat pola pengundian penonton, kebanyakan mereka lebih banyak memilih mereka yang muncul dengan konsep dan imej rock. Dari pemenang musim pertama iaitu Pija, diikuti dengan Fiq dan terbaru, Black kesemua mereka lebih dikenali dengan imej seorang rocker.

Jadi mungkin dengan meletakkan lima konsep genre yang berbeza, pastinya bukan lagi genre muzik rock yang akan mengungguli pertandingan itu. Bagaimanapun ketika diminta mengulas perkara itu, Sufian berkata apabila mereka memperkenalkan mentor dari pelbagai genre muzik, itu bukanlah bermakna mereka mencari pelapis dari genre yang sama.

“Walaupun ada yang memperjuangkan muzik rock, pop, dangdut, hip hop dan R&B tetapi itu bukanlah bermakna mereka kena mencari protege yang sama dengan genre muzik mereka. Kita tidak menetapkan genre muzik mana dan penyanyi sendiri bebas membuat pilihan masing-masing. Tujuan kami supaya pemilihan akan menjadi lebih sistematik kerana peserta boleh menjalani uji bakat berdasarkan penyanyi kegemaran masing-masing,” katanya.

Tambah Sufian lagi, mereka juga memberikan kebebasan kepada mentor untuk memilih protege tanpa sebarang sekatan.

“Kalau kita lihat kriteria yang dimahukan setiap artis, masing-masing ada syarat yang tersendiri. Cuma Mus saja yang mengutamakan peserta yang minat dengan muzik rock serta Joe yang mahu mencari penyanyi yang boleh membawakan lagu R&B. Manakala yang lain mahu mencari peserta yang boleh membawakan pelbagai rentak lagu,” katanya.

Mengenai dakwaan peserta yang menampilkan imej rock lebih berpeluang untuk menang, Sufian menafikan perkara itu.

“Memanglah kalau kita lihat secara sekali imbas ketiga-tiga pemenang adalah mereka yang memperjuangkan lagu rock. Tetapi pemenang musim pertama, Pija sebenarnya sedari awal dia menyertai pertandingan ini, dia ada juga menyanyikan lagu pelbagai rentak. Dia bukan penyanyi rock,” tegas Sufian.

Jika sebelum ini kebanyakan mentor adalah mereka yang pertama kali menyertai program ini, namun untuk musim ini, bekas juara musim lalu Mas Idayu sekali lagi diundang untuk menaburkan khidmatnya. Dan dengan kemunculan penyanyi dangdut itu untuk kali kedua adakah ia bermakna mentor sudah ketandusan artis untuk membimbing pelapis baru?

INFO:

Program Mentor akan ditayangkan bermula 11 April depan, setiap Ahad jam 9 malam. Ia akan menampilkan Ally Iskandar sebagai pengacara. Konsert mingguan pula akan bermula seminggu selepas itu.

Sesi uji bakat:

21 Februari – Sabah (Promenade Hotel, Kota Kinabalu)

28 Februari – Sarawak (Merdeka Palace)

6 Mac – Mentor Ziana Zain (TV3 Sri Pentas)

7 Mac – Mentor Mas Idayu – (TV3 Sri Pentas)

13 Mac – Mentor Mus (May) – (TV3 Sri Pentas)

14 Mac – Mentor Azmeer – (TV3 Sri Pentas)

20 Mac – Joe Flizzow (TV3 Sri Pentas)

21 Mac – Dayang Nurfaizah (TV3 Sri Pentas)

Berita Harian

Prism Desak Hak Pelaku Dipinda

Berita Harian | Comments (0) admin @ 6:40 pm

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my


ONG (tiga dari kiri) ketika mempengerusikan Persidangan WIPO, Badan Induk Kutipan Hak Cipta dan Hak Sampingan Perkembangan Teknologi Digital di Beijing, China.

Akta sedia ada tidak memihak kepada artis dan pemuzik rakaman

PINDAAN Akta Hak Cipta 1987 pada tahun 2000 di bawah artikel 16B, memberikan hak baru yang dikenali sebagai Hak Pelaku untuk membenarkan pemuzik dan artis rakaman mengutip ‘equitable remuneration’ atau saraan saksama.

Jika rakaman persembahan mereka digunakan bagi maksud komersial yang dipersembahkan di tempat awam atau penyiaran, pengguna harus membayar royalti kepada pemuzik atau artis oleh pengguna rakaman itu.

Dalam masa sama, Malaysia juga perlu menyertai Konvensyen Rome (1961) dan Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) bagi Perjanjian Persembahan dan Phonogram (WPPT) pada 1996, kerana ia akan memberikan perlindungan khas kepada pemuzik dan artis rakaman.

Perkara ini sedang diperjuangkan oleh penggiat industri muzik menerusi penggubalan Akta Hak Cipta 1987.

Mengikut akta itu, dalam artikel 16A (1) menyebut Kuasa Hak Pelaku bermaksud hak eksklusif yang boleh dituntut untuk mengawal segala aktiviti persembahan di negara ini. Ia berbentuk persembahan atau penyampaian kepada orang awam secara langsung .

Ia juga dituntut untuk penetapan bagi persembahan yang belum ditetapkan atau dirakam (fixation of unfixed performances) dan pengeluaran semula rakaman persembahan langsung (the reproduction of the fixed performances) bagi maksud yang berbeza daripada apa yang dipersetujui.

Apabila rakaman pertama persembahan langsung di tempat awam dibenarkan atau menjadikan tersedia disalin bertujuan diniagakan, pelaku iaitu artis dan pemuzik rakaman sudah tidak ada hak mendapatkan royalti. Pelaku hanya mendapat bayaran ketika membuat persembahan saja, tidak terkecuali penyewaan kepada orang awam.

Artikel 16A (2) pula menyatakan, pelaku kehilangan segala hak eksklusifnya di bawah subseksyen (1) apabila pelaku memberi persetujuan bagi penetapan atau rakaman. Jadi, pelaku tidak ada hak lagi untuk menuntut hak mereka menerusi rakaman mereka atas hak di 16A (1).

Dalam erti kata lain, artis dan pemuzik rakaman tidak mendapat apa-apa hak eksklusif iaitu royalti terhadap hasil kerja mereka yang dipersembahkan di tempat awam sebaliknya hak itu hanya diberikan kepada syarikat rakaman.

Oleh itu, apabila Artikel 16B Akta Hak Cipta 2000 dipinda, ‘ganjaran yang berpatutan’ atau ‘saraan saksama’ digubal kembali untuk membenarkan pemuzik rakaman berhak untuk kegunaan hasil rakaman mereka.

Istilah ganjaran yang berpatutan juga tidak jelas ditakrifkan dalam Undang-Undang Hak Cipta dan menjadi masalah bagi mahkamah untuk menilai apakah nilai seharusnya royalti yang berpatutan dan dengan tanpa kos tinggi untuk membuat kajian secara komprehensif.

Sehingga hari ini, industri muzik tanah air tiada rujukan untuk menentukan nilai royalti pelaku seperti kadar skim pelesenan yang digunakan oleh Public Performance Malaysia (PPM) dan Badan Hak Cipta Karya Muzik Malaysia (MACP). Perkara itulah yang sedang dituntut oleh Performers & Artistes Rights (M) Sdn Bhd (Prism) daripada Tribunal Hak Cipta.

Pengurus Besar Prism, Ong Peng Chu, berkata, pihaknya sudah beberapa kali mencadangkan dan mendesak kepada Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya Malaysia menjadi ahli kepada Konvensyen Rome (1961) dan WPPT (1996).

“Konvensyen Rome adalah perjanjian antarabangsa yang khas untuk perlindungan hak pelaku. Manakala WPPT menawarkan hak lanjutan perlindungan eksklusif untuk pelaku termasuk konteks teknologi digital seperti internet dan telekomunikasi dan yang paling penting, hak pelaku akan terpelihara ketika rakaman mereka disebarkan melalui teknologi baru,” katanya.

Menurut Ong, WPPT juga memberi hak ekonomi baru bagi pelaku dalam rakaman suara seperti hak yang diberi kepada penerbit rakaman suara dan pencipta muzik.

“WPPT juga memperkenalkan hak moral pelaku berkaitan dengan persembahan langsung dan rakaman penampilan mereka. Hak moral yang dicadangkan untuk paparan akan menjadi hak timbang tara; hak terhadap timbang tara palsu dan hak untuk menolak siaran dan rakaman persembahan mereka yang akan merugikan serta hak perlindungan ekonomi selama 50 tahun.

“WPPT bukan saja memberikan skim lebih lebar untuk hak pelaku, dari segi sokongan antarabangsa, tetapi juga menyediakan rangka kerja yang lebih sesuai untuk pelaksanaan dasar Kerajaan untuk undang-undang hak pelaku,” katanya.

Langkah sekat lanun digital

“DENGAN bantuan Badan Persatuan Induk Antarabangsa yang Mengendalikan Hak Pelaku (SCAPR), Prism juga berbincang dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), supaya perkara yang menjadi kekeliruan dalam akta pelaku dapat diperbaiki.

“Kami mencadangkan perkataan ‘live’ dikeluarkan bagi kesemua hak eksklusif yang diberi kepada pelaku di Malaysia dalam artikel 16A (1).

“Artikel 16A(2) pula menyatakan pelaku kehilangan hak apabila memberi persetujuan bagi penetapan (rakaman). Kita cadangkan artikel ini dimansuhkan kerana ia tidak memberi erti kepada hak kutipan royalti pelaku jika penetapan (rakaman) itu diguna, dijual, disewa atau dikeluarkan semula,” katanya.

Sementara itu, Ong juga menjelaskan Prism dan Majlis Muzik Malaysia (MMM) turut mengemukakan cadangan kepada kerajaan agar menguatkuasa sistem ‘levi ke atas pita kosong’ atau ‘blank tape levy’ bagi menangani isu cetak rompak.

“Oleh kerana kini pasaran muat turun (download) haram berada dalam peringkat bahaya dan boleh melumpuhkan industri muzik, sesuatu tindakan harus dilakukan dengan cepat.

“Lanun digital ini memang di luar kawalan dan tidak ada cara yang dapat mengatasinya pada masa kini. Kami cadangkan supaya kerajaan mengenakan sistem blank tape levy sebagai alat yang boleh merakam kandungan audio visual seperti DVD, CDR, MP3, MP4, Hard Disk dan banyak lagi daripada pengeluar (kilang).

“Ia adalah satu bentuk levi atau cukai yang dikutip untuk membantu pemilik hak atas kerugian mereka disebabkan muat turun digital menerusi internet dan sebagainya. Sistem ini terbukti berkesan di Eropah. Hasil kutipan kemudian akan diagihkan kepada wakil badan yang mewakili pencipta, penerbit dan pelaku dalam rakaman audio dan visual.

“Ini sekurang kurangnya dapat menampung sebahagian daripada kerugian yang hilang disebabkan isu cetak rompak. Untuk tahun ini, Prism akan menyelenggarakan tugas dengan lebih sempurna dan pengawasan yang berterusan untuk pembangunan hak dalam dan luar negara dengan kerjasama erat bersama Majlis Muzik Malaysia (MMM) dan Persatuan Hak Artis dan Pemuzik Antarabangsa” katanya.

ESOK: Apa kata Pengerusi Kerjasama dan Kumpulan Pembangunan Kerja Badan Persatuan Induk Antarabangsa Mengendalikan Hak Pelaku (SCAPR), Xavier Blanc mengenai usaha Prism?

Berita Harian

Ruang Peribadi Kak Cham: Perihal Mawi, Isteri Dan…

Berita Harian | Comments (0) admin @ 6:30 pm

Oleh Hanizam Abdullah
hanizam@bharian.com.my


MAWI sempat bersalaman dengan peminatnya ketika di Singapura.

MERIAH benar bunyinya apabila sekumpulan pembaca Berita Harian dan tiga finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009) bersantai di Kota Singa hujung minggu lalu. Rasa cemburu pun ada apabila melihat gambar menarik yang dirakamkan jurugambar Surianie Haniff. Memang terkilan kerana mengikut perancangan, teman memang hendak sangat pergi. Tetapi tuntutan kerja terutama persiapan untuk majlis ABPBH pada 4 April buat teman macam tak cukup masa. Nak pergi Gold Coast, Australia bagi memenuhi jemputan 8TV pun teman tak dapat hendak penuhi.

Teman sebenarnya suka kalau dapat bersantai sama dengan pembaca dan peminat dunia hiburan serta rakan artis atau selebriti. Masa inilah teman dapat bertukar-tukar fikiran dengan mereka. Banyak perkara yang mereka gemar kongsi bersama, ada yang boleh tulis tetapi banyak jugalah yang tak boleh tulisnya. Tak menjadi kudis pun kerana teman hormati pandangan masing-masing.

Itu sebabnya teman tak pernah ketinggalan mengikuti rombongan road tour ABPBH. Kalau boleh setiap lokasi teman nak pergi. Selalunya apabila begini kita dah rasa macam satu keluarga – makan, naik bas, di tapak konsert, sesi lepak dan sebagainya. Jumpa pula dengan pembaca, memang macam-macamlah cerita mereka dan pandangan mereka mengenai seseorang artis atau isu hiburan tanah air.

Maklumlah orang kata, rambut sama hitam, hati memanglah lain-lain. Ada kalanya, penawar bagi seseorang mungkin jadi racun bagi orang lain pula. Biasalah tu… Jadi teman tak hairan pun apabila ada yang melahirkan rasa kurang senang apabila ada yang berasa panas hati melihat Bintang Paling Popular selama tiga tahun berturut- turut, Mawi macam tak boleh berenggang dengan isterinya, Ekin.

Kata Mawi, “Bawa salah, tak bawa pun salah.” Akhirnya, Mawi dan Ekin yang rasa serba salah. Ekoran pandangan dan gosip tayang isteri itu, teman diberitahu Mawi macam merajuk dan tak mahu membawa Ekin mengikuti rombongan ABPBH ke Singapura sedangkan bagi teman, percutian itulah yang sewajarnya mereka kelihatan bersama. Teman difahamkan Ekin menangis apabila dikatakan suka sangat mengekor suaminya ke mana saja. Tetapi seperti kata anak bujang teman, Nazrin, “Dah isteri dia Ma… biarlah! Kenapa orang lain nak sibuk-sibuk. Along hairan la… kalau artis dengan boyfriend atau girlfriend tak pula orang bising.”

Betullah tu… isteri dia, suka hati dialah. Sudah jadi isteri, sewajarnya mereka elok kelihatan bersama. Kalau jarang bersama barangkali boleh timbul fitnah. Apatah lagi orang muda, darah pun muda dan rasa curiga pun mudah melanda jiwa. Kalau sudah ada depan mata, ha… hati pun senang. Itu kata Ekin dan Mawilah kerana kata kalangan yang ‘sakit mata’, mereka perlu bijak bila hendak kelihatan bersama dan bila pula mewujudkan ruang peribadi masing-masing.

Bagi teman, tak ada cacat cela pun kalau Mawi nak bawa Ekin atau Ekin nak ikut Mawi. Lagi pun orang sedang hangat bercinta memang macam itulah. Kalau sibuk pun, pandai curi waktu untuk memastikan mereka dapat bersama. Kata kalangan yang ‘sakit mata’ ni, dulu Mawi sanggup mengabaikan tunangnya, Ina Naim yang berjanggut menunggu SMS dan panggilannya. Masa itu Ina dah jadi macam pungguk rindukan bulan. Ala cerita lama… yang penting Ina pun dah bahagia. Mawi pun bahagia juga. Banyak yang kedua-duanya pelajari dengan peristiwa yang berlaku. Orang kata pengalaman itu memang mematangkan seseorang.

Macam Mawi, sekarang ini sudah tak berat mulut lagi dengan teman. Sudah pandai berSMS teman dan ada kalanya berbual dengan teman. Tapi masing-masing tidak pernah melanggar ruang peribadi. Teman pun tak pernah sesuka hati nak telefon artis, tanya itu dan ini, melainkan kalau teman terpaksa campur tangan. Sebaliknya teman lebih suka kalau anak buah yang ‘deal’ sendiri.

Kalau dulu, jumpa teman pun Mawi tak pernah nak tegur. Teman ingat lagi masa dia baru nak kenal dunia glamor, teman lalu depan mata pun dia tak berapa nak nampak. Barangkali terlalu mendengar nasihat daripada ‘jurucakap tak bertauliah’ supaya jangan baik dengan wartawan. Macamlah wartawan ini tak ada kerja lain dan nak cari salah orang saja. Sama-sama cari makan, jadi bijaklah hormati tugas dan kerjaya masing-masing. Ala… cerita lama dan teman pun tak ambil hati.

Gara-gara dakwaan tayang bini itu juga, Ekin bagaikan fobia apabila melihat jurugambar. Kalau boleh dia tak mahu bergambar lagi dengan Mawi untuk sebarang sesi fotografi. Sehinggakan ketika Mawi di Singapura, teman difahamkan Ekin sebenarnya ada turut serta. Tetapi sorok-soroklah dan tidak mahu tunjuk muka walaupun wartawan yang mengikuti rombongan tahu mengenai kehadirannya. Malam saja Ekin datang menemani Mawi. Teman geleng kepala. Kasihan juga budak-budak ni….

Hakikatnya, dunia hiburan begitulah. Buat salah, tak buat salah, semuanya serba salah. Tetapi tidak kurang pentingnya adalah bagaimana untuk tidak nipis telinga. Tebal sangat pun tak boleh juga kerana nanti dia buat tak tahu pula segala teguran yang dilemparkan. Nanti terkeluar pula kenyataan macam Gayah Gebu selalu cakap, “Ada Gayah kisah?” Sekali-sekala tak kisah tak apa, orang kata tak makan saman. Tetapi kalau acap kali ditegur, tetapi masih buat-buat tak kisah memanglah parah kerana lebih sanggup hidup dalam sumpah seranah. Jumpa lagi!

Berita Harian