Maya Karin Ijab Kabul Di Itali
Oleh Zubir Mohd Yunus | Foto Yahaya Hashim
14 Ogos, majlis resepsi 29 Ogos di Kuala Lumpur. Bakal suami seorang guru matematik, memeluk Islam empat tahun lalu dan nama Islamnya, Muhammad Ali
TEKA-TEKI bila detik aktres popular yang terkenal dengan jolokan pontianak cantik dan duyung jelita, Maya Karin akan menamatkan zaman solo bersama buah hatinya, seorang pemuda Inggeris, kini sudah terjawab. Tengah hari Khamis lalu, penulis menerima kiriman SMS iaitu jemputan menghadiri sidang media laman web rasmi Maya Karin, disusuli pengumuman khas pada keesokan hari.
Pengumuman khas? Tidak ada perkara lain terlintas di fikiran penulis kecuali Maya akan mengumumkan tarikh pernikahannya yang menjadi tanda tanya sejak pertengahan Mei lalu. Justeru, selang beberapa jam, penulis menghubungi Maya untuk mendapatkan kepastian.
“Saya baru terima cincin merisik daripada dia (bakal suami), malam Selasa lalu (1 Julai). Macam tak percaya!,” begitulah cerianya Maya apabila diajak berbicara mengenai hari bahagianya yang bakal menjelma kira-kira sebulan lebih saja lagi.
Maya mengakui, dia akan bernikah dengan Steven David atau lebih mesra dengan panggilan Steve seorang warga negara England pada 14 Ogos ini di Tasik Como, Itali berkonsepkan garden wedding. Pada majlis itu nanti Maya akan mengenakan persalinan rekaan Saiful Baharin. Iman Abdullah, seorang warga Itali akan menikahkan Maya bersama Steve yang sudah pun memeluk Islam kira-kira empat tahun lalu dan nama Islamnya ialah Muhammad Ali.
Terdahulu, Maya dan Steve akan mendaftarkan perkahwinan mereka (civil ceremony) di sebuah dewan di Bellagio, Itali pada 9 Ogos depan.
Kenapa memilih Itali, bukan di Kuala Lumpur saja?
“Bakal ibu mentua saya, Josephine Shorthose, 71, sudah uzur dan ‘fobia’ kepada penerbangan yang mengambil masa panjang. Justeru, saya mencadangkan supaya majlis pernikahan kami dibuat di England saja, namun Steve menyarankan lebih baik majlis itu di buat di Itali kerana pemandangan Tasik Como sungguh cantik dan penerbangan dari England ke Itali hanya mengambil masa kira-kira tiga jam saja,” kata Maya.
Selain seluruh anggota keluarga Steve dapat hadir ke majlis berkenaan, bapa Maya, Roelcke Gottfried; ibunya, Che Zan Hassan; adik lelaki, Armin Elias, 27, dan adik perempuan Maya, Irina Melati, 25 turut mengesahkan kehadiran mereka. Manakala rakan artis yang sudah mengesahkan kehadiran mereka ke majlis pernikahan Maya ialah Shuhaimi Baba, Kavita Sidhu, Jeslina Hashim dan Yasmin Yusoff. Maya menganggarkan kira-kira 70 jemputan saja ke majlis pernikahannya nanti.
Bakal suami guru matematik
Steve, 38, adalah anak kedua daripada tiga beradik. Ayah Steve sudah meninggal dunia ketika usianya 14 tahun. Kata Maya, Steve pernah bertugas sebagai guru matematik di Liverpool dan London sebelum memilih Malaysia untuk meneruskan kerjaya perguruannya. Steve sudah 12 tahun menetap di Malaysia dan pernah mengajar di Garden International School, Sri Hartamas, Kuala Lumpur dan kini di Alice Smith International School, Seri Kembangan, Selangor.
“Steve adalah guru matematik kepada adik-adik saya, Armin dan Irina ketika mereka menuntut di Garden International School. Ketika hari perjumpaan bersama ibu bapa, ayah dan ibu saya tidak dapat hadir. Jadi, saya yang pergi ke sekolah untuk melihat perkembangan pembelajaran adik. Dari situlah titik pertemuan pertama saya dengan Steve. Ketika itu, tidak ada sebarang perasaan yang wujud antara kami.
“Sebenarnya, saya berpindah ke Malaysia dari Bandung, Indonesia akhir 1996. Saya masuk kolej dan sekitar 1997, baru saya bertemu Steve. Selama empat tahun saya tidak berminat dengan pelawaan Steve untuk keluar bersamanya. Pertama kali saya keluar dating dengan Steve pada 2001 dan mulai saat itu hubungan kami semakin hari terus serius dan sehinggalah ke hari ini.
“Sekalipun diri saya pernah dikaitkan dengan beberapa artis termasuk VIP, saya bersyukur cinta saya dan Steve masih setia walaupun pernah beberapa kali dilambung ombak. Bagi saya, itu perkara lazim untuk pasangan yang sedang bercinta. Steve juga seorang yang begitu memahami kerjaya saya sebagai seorang artis,” jelas Maya merungkai persoalan.
Bakal undang 800 tetamu
Tambah Maya, majlis resepsi akan diadakan di Kuala Lumpur pada 29 Ogos depan khas buat rakan artis dan media. Lokasi sebenar, masih di peringkat perbincangan. Jemputan dianggarkan kira-kira 800 orang. Sekali lagi Maya memilih konsep garden wedding. Pada majlis persandingan itu nanti, Maya memilih pakaian pengantin rekaan Radzuan Radzwill.
Perancangan bulan madu, anak dan kerjaya selepas kahwin bagaimana?
“Saya dan Steve tidak terfikir lagi mengenai perancangan berbulan madu. Mengenai anak pula, selepas kahwin, dua tahun saya nak relex dulu, jadi bolehlah serius berlakon. Hanya selepas dua tahun, baru saya memikirkan soal anak. Selepas berkahwin, saya akan terus berlakon, menyanyi dan mengacara selagi ada tawaran. Ikutkan hati, saya nak aktif dalam bidang seni sehingga umur 60 tahun!,” katanya lagi.
Tambah Maya, selepas kahwin nanti, dia dan Steve akan menetap di Damansara Perdana.
Sementara itu, bercakap mengenai kerjaya lakonannya, mulai 15 Julai ini Maya akan turun padang menjayakan pembikinan filem terbarunya, Pisau Cukur (working title) arahan Bernard Chauly terbitan Red Communications. Maya akan bergandingan dengan Nur Fazura Sharifuddin, Eizlan Yusof, Aaron Aziz, Datuk Rahim Razali, Umie Aida dan Khatijah Tan.
Menerusi produksi Maya Karin Creative, dia bersama Astro akan muncul bersama program TV terbaru, Alam Maya (working title) menerusi Astro Ria sebanyak 13 episod. Rancangan berkonsepkan dokumentari dan realiti TV yang berkisar alam sekitar dan kepentingan pemuliharaan, kini di peringkat ‘pilot project’. Maya bertindak sebagai penerbit bersama dan pengacara.
Profil
NAMA PENUH: Maya Karin Roelcke
TARIKH LAHIR: 29 Oktober 1979
TEMPAT LAHIR: Bayreuth, Jerman
KACUKAN: Melayu-Jerman
KELUARGA: Anak sulung daripada tiga beradik
PENDIDIKAN: Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing dalam bidang media dan pemasaran
ALBUM: Erti Cinta dan Bukan Qalamaya
PENGACARA: Wavelength (TV3), Ratu Sehari (Astro Ria), Channel [V] dan Beauty Secret From The East (TV3)
FILEM: Duyung, Anak Halal, Waris Jari Hantu, 1957 – Hati Malaya, Pontianak Harum Sundal Malam 2, Pontianak Harum Sundal Malam, Seri Dewi Malam, No Problem.
PENCAPAIAN: Artis Baru Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2001; Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH2005; Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka, Jepun dan Pelakon Terbaik di Festival Filem Seram & Fantasi Estepona 2005 di Sepanyol
DUTA: L’oreal Paris, Tag Heuer, Celcom, Tahun Terumbu Karang 2008 (Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar) dan jurucakap MYEG, projek memperbaharui lesen secara online (Kementerian Pengangkutan)
Lokasi: Pusat Akuatik Darul Ehsan (PADE), Shah Alam, Selangor
Terima kasih: Elite Divers
Jurulatih: Kapten Ahmad Kadir Nizarudin Ahmad Zahidin (emel: info.elitedivers@gmail.com)
Bintang Pop