Featuring the latest Malaysia scandals, gossip, and entertainment news.

Mawi, Ikin Sah Nikah Disember

September 28, 2008 Bintang Pop | Comments (0) admin @ 11:06 pm



Oleh Zubir Mohd Yunus
zubir@bharian.com.my

Mawi menolak kemungkinan majlis berkenaan akan berlangsung di kediamannya di Bangi dan menganggap masih terlalu awal untuk mengulas mengenai lokasi persandingannya

PASTINYA tarikh sebenar perkahwinan Mawi bersama Ikin ketika ini menjadi bualan hangat peminat dan pihak media massa. Terdengar ura-ura Mawi, Ikin memilih tarikh 20 atau 21 Disember ini, tetapi semua itu sekadar spekulasi pihak media. Selagi Mawi belum membuka mulutnya, tarikh keramat itu terus menjadi tanda tanya.

Peluang bertemu Mawi menerusi sesi fotografi bersama Ikin awal bulan ini, penulis terus memujuk Mawi supaya dia memperkatakan serba sedikit mengenai tarikh sebenar pernikahannya, meskipun sebelum ini dia pernah memberitahu, pengumuman khas akan dibuat selepas dua atau tiga minggu sambutan Aidilfitri ini, namun semua itu sekadar perancangan.

“Kami masih di peringkat perbincangan. Kami sebenarnya belum membuat sebarang perancangan. Justeru, saya takut untuk berbicara secara terus terang mengenai tarikh sebenar pernikahan saya bersama Ikin. Ada yang kata kami kahwin Disember, saya pula takut nanti ada apa-apa perubahan! Pun begitu, memang tak dinafikan, saya dan Ikin sedang merancang bakal melangsungkan pernikahan kami pada Disember akan datang, insya-Allah.

“Issh! Susahnya saya nak bercakap mengenai perkara ini (tarikh nikah) kerana bagi saya masih terlalu awal. Memang kami merancang sekitar Disember ini, tapi buat masa ini, fikiran saya masih berserabut memikirkan banyak benda. Namun, saya sentiasa berdoa agar perancangan itu (pernikahan) akan berlangsung Disember ini, insya-Allah.

“Terus-terang saya katakan, saya takut apabila bercakap mengenai tarikh ini. Tapi, seperti saya katakan tadi, memang saya dan Ikin ada perancangan ke arah itu (perkahwinan). Yang penting, saya dan Ikin tak bertunang, tak ada apa, kami terus nikah. Saya tak mahu mengimbau kenangan silam (putus tunang dengan Ina Naim).

“Kami juga tak akan bertunang untuk beberapa jam, kemudian baru nikah seperti sesetengah pasangan itu, sebaliknya saya lebih senang terus nikah saja. Pastinya majlis pernikahan akan berlangsung di kampung keluarga pengantin perempuan, diikuti kenduri di Felda Taib Andak. Namun, majlis khusus untuk meraikan rakan artis dan media, saya sedang memilih tempat sesuai di sekitar Kuala Lumpur,” kata Mawi yang akhirnya meleraikan sedikit persoalan yang bersarang di fikiran media dan peminat selama ini.

Pun begitu, Mawi menolak kemungkinan majlis berkenaan akan berlangsung di kediamannya di Bangi, Selangor. Pada masa sama terdengar desas-desus Mawi akan mengadakan majlis perkahwinannya di Hotel Palace of the Golden Horses atau di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) apabila beberapa pembesar negeri termasuk Sultan dan Menteri Besar turut mendapat undangan daripadanya.

Mawi pula ketika ditanya mengenai perkara itu, tidak mahu memberi sebarang ulasan kerana baginya terlalu awal untuk bercakap soal berkenaan.

Tidak mustahil, persandingan Mawi-Ikin bakal melakar sejarah sebagai wedding of the year. Justeru, dua stesen TV gergasi iaitu TV3 dan Astro sedia membuat pelaburan lumayan untuk menjadi penyiar TV rasmi majlis perkahwinan mereka.

Mawi ketika ditanya tidak menolak kenyataan itu apabila mengakui dia ada menerima tawaran dari stesen TV berkenaan, namun belum memberikan sebarang persetujuan stesen pilihannya.

Hadiri kursus nikah selepas Aidilfitri

“Terus-terang saya katakan, saya tidak selesa majlis perkahwinan saya disiarkan di TV, pun begitu saya harus memikirkan kepentingan peminat yang menjadi tulang belakang kerjaya saya selama ini. Tentunya mereka ingin melihat saya bersanding dari dekat, justeru kepada mereka yang tidak berpeluang meraikan majlis perkahwinan saya, mereka boleh menontonnya di kaca TV,” kata Mawi yang tidak lagi menolak apabila diminta bergambar bersama Ikin.

Apabila ditanya mengenai kursus perkahwinan, Mawi memberitahu dia dan Ikin akan menghadirinya pada masa terdekat ini.

“Bila, saya tidak ada sebarang tarikh sebenar. Yang pasti, segala-galanya akan berlangsung selepas Aidilfitri ini, lepas raya ni Oktober, kemungkinan kami bakal menghadiri kursus kahwin Oktober kot… Kalau tak jadi Oktober, mungkin November depan,” kata Mawi yang masih berahsia.

Bercakap mengenai sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tiga hari saja lagi, Mawi memberitahu dia bersama keluarga akan meraikannya di Kuala Lumpur. Keluarga akan bertandang ke rumahnya di Bangi. Pun begitu, dua, tiga hari sebelum raya, dia akan pulang ke kampung, menziarahi pusara anggota keluarga, apabila selesai segala urusan, baru dia membawa keluarga balik ke Kuala Lumpur.

Beraya di rumah Ikin di Johor

Ditanya pada hari raya ke berapa dia akan menziarahi keluarga bakal mentuanya, ini jawapan Mawi: “Kali ini cuti raya saya agak panjang, bila-bila masa saja saya boleh berhari raya ke rumah keluarga Ikin di Johor Bahru.”

Apakah hadiah istimewa buat bakal isterinya sempena lebaran ini, Mawi keberatan untuk memberitahu, namun selepas didesak beberapa kali, dia akur.

“Saya tak terfikir langsung mengenai perkara itu (hadiah hari raya Ikin), namun apabila sudah ditanya baru saya nak fikir. Hamper raya kot! Tak tahulah hadiah apa yang sesuai. Mungkin jubah dan tudung raya… Yang penting, sempena Syawal ini, doakanlah yang baik-baik untuk kami berdua agar apa yang kami rancang mendapat keredaanNya, insya-Allah,” kata Mawi yang sentiasa ditemani Ikin sepanjang temu bual di suite mewah POTGH.

Sementara itu, terpancar kebahagiaan pada wajah Ikin apabila bakal suaminya, Mawi sedia membuat sedikit pengumuman mengenai hari langsung pernikahan mereka nanti yang dijangka Disember ini.

Ikin syukur Mawi terima dirinya

“Saya bersyukur sekiranya pernikahan itu bakal berlangsung Disember ini. Mudah-mudahan perkahwinan ini akan berlaku sekali saja seumur hidup. Sekiranya benar Mawi bersedia menerima saya dalam hidupnya, syukur sangat-sangat. Saya melalui pelbagai dugaan dan cabaran sepanjang bersama Mawi kerana percintaan kami tidak seperti pasangan lain.

“Dulu, kami nak ke mana-mana tidak bebas, cuma baru sekarang saya rasa kelonggarannya. Apa yang saya harapkan ketika ini ialah keredaanNya,” kata Ikin sambil sesekali menjeling manja ke arah Mawi.

Mengenai tohmahan masyarakat sekeliling yang memandang serong kepadanya apabila melemparkan pelbagai tuduhan negatif dalam usaha mendapatkan cinta dan kasih sayang Mawi, Ikin berkata: “Segala cacian, kata nista dan fitnah, saya tak ada kuasa nak menghalangnya. Cakaplah apa saja, siapa yang kenal diri saya, mereka tahu. Selagi saya bernyawa, hanya pada Tuhan saya minta pertolongan.”

Syawal kali ini Ikin akan meraikannya bersama keluarga di Johor Bahru. Ditanya apakah hadiah hari raya buat bakal suaminya, Ikin memberitahu: “Songkok kot sebab songkok Mawi dah lusuh…”

Info Mawi

NAMA PENUH: Asmawi Ani

TARIKH LAHIR: 25 Ogos 1981

ASAL: Felda Taib Andak, Kulai, Johor

PENCAPAIAN: Juara Akademi Fantasia 3 (AF3); Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2005; Bintang Paling Popular, ABPBH 2006; Bintang Paling Popular, ABPBH 2007

ALBUM: The Best of Mawi World, Yang Tercinta, Doa, Berzanji & Qasidah Berlagu dan album MTV Karaoke Best of Mawi World

FILEM: Jin Notti dan Aduh Saliha! (penggambarannya masih tergendala)

ANTARA IKLAN: Poweroot, Silky Man dan Mamee Slurpp

ANTARA DUTA: Wall’s, Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) dan Menara Kuala Lumpur

Info Ikin

NAMA PENUH: Nora’asikin Rahmat

TARIKH LAHIR: 5 November 1979

ASAL: Johor Bahru, Johor

ADIK KEMBAR: Nora’ain Rahmat (Ain)

KELUARGA: Anak kedua daripada lima beradik

PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Johor Bahru

DRAMA PERTAMA: Kawan

DUTA: Produk kecantikan RNZ (bersama Ain)

Lokasi: Palace of the Golden Horses (POTGH), Mines Resort City, Seri Kembangan, Selangor (03 8943 2333)

Terima kasih: Pengurus Komunikasi & Perhubungan Awam POTGH, Farah Halim

Solekan & dandanan Mawi, Ikin: Sasha Kimpy (017 345 7904)

Pakaian Mawi, Ikin: Koleksi peribadi

Bintang Pop

‘Saya Tak Pernah Mengandung!’

September 21, 2008 Bintang Pop | Comments (0) admin @ 11:16 pm

Oleh Zubir Mohd Yunus

Asakan kontroversi yang menghimpit perjalanan karier seni tidak menjejaskan peluang Rita Rudaini untuk dilantik sebagai ikon syarikat telekomunikasi gergasi, Celcom (Malaysia) Berhad

APABILA menyebut nama aktres sensasi Rita Rudaini, gosip panas dan kontroversi seakan sebati dengan dirinya. Namun, semua dugaan itu berjaya ditempuh dengan tabah. Jarang sekali kita mendengar dia melatah, mungkin itu antara faktor dirinya masih diterima peminat dan menjadi pelaris stesen TV bersama drama lakonannya.

Paling meninggalkan kesan ialah kontroversi Rita bersama Lis Dawati yang menyaksikan aksi pergaduhan mereka di dalam kolam renang di sebuah hotel di Pulau Pinang, 15 Ogos 2006 ketika menjayakan penggambaran drama Kau Yang Ku Sayang, arahan Rashid Sibir. Rita juga diheret ke muka pengadilan apabila menerima surat saman daripada Orbit Mediasari Sdn Bhd membabitkan tuntutan sebanyak RM85,000, baru-baru ini.

“Ini adalah pengalaman pertama saya berdepan kes mahkamah. Satu dugaan yang mematangkan diri. Kini, saya lebih berhati-hati apabila memilih kawan. Apa yang saya harapkan, kebenaran akan terbukti suatu hari nanti, sekali gus membersihkan nama saya dari terus dipalit cerita negatif,” kata Rita tenang.

Terbaru, gosip panas yang singgah ke telinga penulis mendakwa Rita mempunyai dua anak! Kononnya Rita pernah mengandung dan kini dia mempunyai seorang anak lelaki berusia tujuh tahun, manakala yang perempuan, enam tahun. Khabarnya kedua-dua anak itu berada di Perlis dan dipelihara ibu saudara Rita. Namun, agak mengecewakan apabila desas-desus menyebut Rita tidak mahu mengaku kewujudan kanak-kanak itu.

Ketika diajukan persoalan ini, ternyata Rita tidak mampu lagi menyembunyikan perasaan terkejutnya. Justeru, sejauh mana kesahihan khabar angin terbaru ini?

“Demi Allah, sepanjang tempoh perkahwinan bersama bekas suami, saya tak pernah mengandung! Sehinggalah mahligai yang dibina dilanda badai, kami tidak pernah dikurniakan anak. Buat apa saya bercakap bohong, lebih-lebih lagi pada Ramadan ini. Namun, sekiranya saya berdolak-dalik dan tak mengaku ada dua anak, Tuhan pasti melaknati kehidupan saya, rezeki yang diperoleh juga tak berkat!,” kata Rita berterus-terang.

Pun begitu, dalam setandan pisang, tidak semuanya busuk. Dalam kontroversi dan gosip panas, karier Rita terus mekar sehingga mendapat perhatian syarikat telekomunikasi gergasi, Celcom (Malaysia) Berhad apabila baru-baru ini dia dilantik sebagai ikon Celcom! Tiga lagi ikon Celcom sempena kempen prabayar Celcom blue yang baru saja diperkenalkan ialah Maya Karin, Fahrin Ahmad dan Aaron Aziz.

“Selepas 10 tahun saya bergelar anak seni, ini baru pertama kali saya diberi peluang bergelar ikon daripada sebuah syarikat telekomunikasi terulung seperti Celcom. Dalam meniti usia 32 tahun dan pernah gagal dalam alam rumah tangga, ternyata Celcom membelakangkan faktor berkenaan.

“Saya bersyukur kerana masih mendapat tempat di hati organisasi korporat sehebat Celcom, sekali gus berpeluang pula berganding bahu dengan nama besar sehebat Maya Karin, Fahrin Ahmad dan Aaron Aziz. Ini sebagai bukti, perjalanan seni saya terus dihargai dan mendapat tempat di hati peminat. Sekurang-kurangnya Celcom selama ini memerhati hasil kerja saya,” kata Rita yang terikat sebagai ikon Celcom selama setahun.


Empat ikon Celcom – (Dari kiri) Fahrin, Rita, Maya dan Aaron.

Diri Rita juga tidak pernah sunyi dengan kisah cinta. Episod cinta Rita bersama bintang bola sepak remaja, Aidil Zafuan Abdul Razak, 21, masih lagi bertahan sekalipun ada khabar angin mengatakan hubungan mereka mulai retak. Namun, perbezaan usia 11 tahun antara Rita dan Aidil dikatakan antara faktor percintaan mereka dipandang serong.

“Semua insan yang sedang bercinta mengimpikan sebuah ikatan yang lebih kukuh dalam perhubungan, termasuklah saya. Saya mempunyai ramai kenalan, namun tak dinafikan, Aidil (Zafuan) adalah insan yang paling dekat dan rapat di hati saya ketika ini. Jadi, terpulanglah kepada masyarakat di luar sana menilai erti persahabatan kami sebenarnya.

“Sekalipun terdapat jurang umur yang ketara antara kami, tak salah kan kami berkawan rapat. Apa yang penting dalam sesebuah perhubungan itu ialah keikhlasan diri pasangan masing-masing. Bagi saya, umur sekadar nombor,” kata Rita tanpa berselindung.

Difahamkan episod cinta dua sejoli itu mendapat bantahan hebat daripada keluarga Aidil, apa komen Rita?

“Bagi saya, dalam setiap perhubungan, restu daripada keluarga kedua-dua belah pihak sangat penting. Ajal dan maut, jodoh pertemuan ketentuan Tuhan, bukan kita hamba-Nya sebagai penentu. Justeru, saya serahkan soal jodoh di tangan Tuhan. Jika ditakdirkan Aidil adalah insan yang bakal bergelar suami, saya terima seadanya, namun jika sebaliknya, saya reda,” akui Rita lagi.

Mengenai sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba, Rita akan pulang ke Perlis pada 29 September hingga 5 Oktober untuk bersama keluarga meraikan Syawal. Sempat juga bertanya kepada Rita, adakah Aidil akan bertandang ke rumah keluarganya pada hari raya nanti?

“Pintu rumah saya sentiasa terbuka kepada semua tetamu. Kalau Aidil nak datang beraya, apa salahnya kerana dia pun dah kenal rapat dengan anggota keluarga saya sebelum ini, cuma belum berpeluang bersua muka. Semoga Syawal kali ini lebih bermakna dan membawa keberkatan,” kata Rita yang masih ligat dengan aktiviti lakonan sepanjang Ramadan ini.

Info Rita

NAMA PENUH: Rita Rudaini Mokhtar

TARIKH LAHIR: 11 April 1976

ASAL: Utan Aji, Kangar, Perlis

KELUARGA: Anak kedua daripada tiga beradik

PERKAHWINAN: Mendirikan rumah tangga dengan pengulas sukan TV3 pada 1999, namun bercerai pada 2001

DRAMA: Rahsia Hati (Astro) dan Rozana (TV3)

FILEM: Mendam Berahi, Mami Jarum, Mami Jarum Junior, Mistik, Makar dan Cinta

PENCAPAIAN: Ikon Celcom bersama Maya Karin, Fahrin Ahmad dan Aaron Aziz

Solekan dan dandanan: Val (012 913 2000)

Pakaian: Eclipse, Lot 10, Kuala Lumpur

Terima kasih: Slash (012 269 8568)

Bintang Pop

Fouziah Gous Tak Selesa Digelar ‘Hot Babe’

September 14, 2008 Bintang Pop | Comments (0) admin @ 11:26 pm

Oleh Zubir Mohd Yunus

BARU setahun, Fouziah atau lebih selesa disapa Poja bergelar aktres sepenuh masa. Sebelum ini dia hanyalah seorang pramugari Penerbangan Malaysia (MAS). Namun, populariti yang diraihnya hari ini melimpah ruah sehingga berjaya menarik perhatian ramai produser drama dan filem dalam masa singkat, selain menjadi ‘favourite’ pihak media untuk menghiasi dada akhbar serta majalah.

Apa yang dimiliki Poja dalam kariernya hari ini pasti menjadi idaman setiap pelakon baru, namun bukan semua orang bernasib baik seperti dirinya. Popular, glamor dan gosip menjadi permainan dirinya hari ini, sekali gus keadaan itu Poja layak digelar ‘hot babe’! Publisiti dan glamor berterusan dikatakan pemangkin melonjakkan lagi namanya di persada seni dan secara tidak langsung memudahkan laluannya menuju puncak kejayaan.

“Niat saya selepas meninggalkan MAS kira-kira setahun lalu ialah ingin serius berlakon. Alhamdulillah, penampilan dan percubaan saya mendalami dunia lakonan diterima masyarakat dan media walaupun ada kalanya saya dilemparkan kata-kata negatif. Namun, saya sering melatih diri untuk tidak melatah kerana sudah menjadi lumrah, setiap kejayaan yang dicapai pada waktu singkat, pelbagai andaian tidak sihat sering dilontarkan.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana diberi kekuatan menelan semua kata-kata yang pahit itu. Lebih penting, terima kasih kepada rakan wartawan yang banyak memberi saya ruang. Tak dinafikan, peranan media terlalu banyak membantu karier saya. Jasa wartawan tak mungkin terbalas. Justeru, saya tidak mahu mengecewakan mereka dengan sajian cerita negatif yang dicipta diri sendiri.

“Bagi saya, gelaran ‘hot babe’ dan glamor keterlaluan, terus-terang saya katakan, saya tak selesa. Apa yang saya peroleh hari ini adalah rezeki pemberian Tuhan dan sebagai bonus, nasib menyebelahi saya. Kita perlu sentiasa bersyukur dan beringat, tidak semestinya kita berada di atas setiap hari, langit tidak selalu cerah. Bersedialah dengan segala kemungkinan, bekerja keras dan merendah diri adalah jalan terbaik,” kata Fouziah.

Apabila sudah dikenali dan diri menjadi perhatian setiap kali muncul di khalayak ramai, hidup Poja tidak pernah sunyi dengan gosip. Hubungan rapatnya dengan Iqram Dinzly sentiasa menjadi bualan ramai apabila pasangan berkenaan sering kelihatan bersama di kebanyakan majlis dan acara. Biarpun beberapa kali mereka menafikan tidak ada cinta dalam perhubungan itu, namun peminat sukar menerimanya.

Pernah putus cinta dengan juruterbang

Terbaru, Poja dilanda gosip lebih hebat apabila dia dikatakan pernah berkahwin sebelum ini dan kini berstatus janda! Difahamkan, ketika masih bergelar krew kabin MAS, Poja mengakui dia pernah putus cinta dengan juruterbang MAS selepas menjalin percintaan selama beberapa tahun, namun mereka belum sempat bernikah dan bercerai.

“Setakat gosip saya rapat dengan Iqram, saya tak ambil pusing kerana memang saya akui, kami memang rapat. Rapat tak semestinya kami bercinta, kami selesa sekadar berkawan baik. Ini bukan kenyataan cover line. Terpulanglah kepada penerimaan mereka di luar sana sama ada hendak mempercayainya atau tidak. Saya tak mampu tutup mulut orang untuk terus berkata-kata.

“Pun begitu, dakwaan saya pernah berkahwin dan kini berstatus janda, ini adalah satu gosip keterlaluan dengan niat untuk menjatuhkan nama dan maruah diri saya. Realitinya, saya tak pernah berkahwin dengan sesiapapun. Sekadar putus cinta, adalah! Saya tak berdaya menyekat orang di luar sana dari terus melemparkan fitnah. Saya percaya, setiap kejadian baik atau buruk, pasti ada pembalasan, jadi saya hanya berserah pada Tuhan,” jelas Poja tenang.

Bergaduh dengan aktres senior?

Sementara itu, terdengar desas-desus kononnya hubungan Poja dengan seorang aktres senior, dingin sejak kebelakangan ini kerana aktres berkenaan berasakan popularitinya tercabar dengan kemunculan Poja secara mendadak. Ada juga laporan yang mendakwa pernah berlaku insiden ‘menyakitkan hati’ ketika mereka sama-sama menjayakan satu penggambaran drama sedikit masa lalu. Apa komen Poja?

“Isu ini sesuatu yang sangat sensitif untuk diperkatakan secara terbuka. Secara peribadi, saya bukan seorang yang pendendam kerana apa yang pernah berlaku, biarlah terus berlalu begitu saja. Saya tak mahu ia terus menjadi isu besar yang boleh diperbualkan pihak media. Mengenai insiden ‘menyakitkan hati’ itu, mmm… malaslah, tak penting pun!

“Kebetulan kita masih berada dalam Ramadan, bulan penuh keinsafan. Sewajarnya kita bermuhasabah diri, buang yang keruh, ambil yang jernih,” katanya yang kuat menyimpan rahsia.

INFO: Fouziah Gous

NAMA PENUH: Nor Fouziah Mohd Gous

2. TARIKH LAHIR: 11 Disember 1982

ASAL: Kuala Lumpur

DARAH CAMPURAN: Pakistan, Melayu (bapa) dan cina (emak)

KELUARGA: Bongsu daripada lima beradik (tunggal perempuan)

PENDIDIKAN: Diploma Kesetiausahaan dari Kolej Sistematik, Kuala Lumpur

KOMERSIAL TV: Adabi, Homesoy, Kentucky Fried Chicken (KFC), Fab dan Munchies

DRAMA: Kasihmu Di Bulan Ramadan (RTM), Puisi Untuk Anis (RTM), Kepulangan (RTM), Sutera Maya (TV3) dan Spa Q 2 (TV3)

FILEM: Malaikat Maut, Skrip 7707, Rasukan Ablasa dan Sifu & Tonggak

PROGRAM TV: Sampaikan Raya 2008 (TV3) dan Ketuk-Ketuk Raya (RTM)

DUTA: Adidas (M) Sdn Bhd

Bintang Pop

2 Beradik Berkongsi Perasaan

September 7, 2008 Bintang Pop | Comments (0) admin @ 11:36 pm

Oleh Zubir Mohd Yunus
zubir@bharian.com.my

Siti Nurhaliza tenang jawab gosip dan kontroversi terbaru mengenai pergolakan rumah tangga dengan Datuk K, manakala tiada jalan pintas bagi Saida gapai impian dalam bidang seni

ANTARA resipi kejayaan Datuk Siti Nurhaliza lebih 10 tahun bergelar anak seni, mampu bertahan sehingga hari ini walaupun sudah bergelar isteri ialah tidak melatah walau sentiasa berdepan gosip liar dan kontroversi panas!

Biarpun masih mengerjakan umrah di Tanah Suci bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau lebih mesra dengan panggilan Datuk K sejak 30 Ogos lalu, Siti bersedia menjawab soalan berbaur gosip ketika dihubungi B*Pop petang Rabu lalu.

Ketika itu di Makkah baru hendak masuk waktu Zohor, namun beliau tidak sedikitpun menolak apabila diminta menjawab soalan kontroversi rumah tangganya yang dikatakan bergolak.

Sejak dua tiga minggu lalu, ruangan pojok atau gosip akhbar mahupun di Internet, tersebar cerita kononnya Siti kini hidup bermadu selepas suaminya dikatakan sudah berkahwin lain dengan seorang pramugari, baru-baru ini.

Lebih menggemparkan industri hiburan, ada gosip di Internet kononnya sudah tersebar gambar Datuk K bersama pramugari yang dikatakan menjadi isterinya itu. Kisah Datuk K kahwin pramugari terus menjadi bualan media hingga kini, namun kesahihan berita itu belum dapat dipastikan.

Sebelum ini juga, ada desas-desus yang mendakwa Datuk K pernah dilihat bersama pramugari berkenaan bersiar-siar di Kota London!

Sebaik diajukan kesahihan gosip berkenaan, Siti tenang saja memberi jawapannya.

“Sebenarnya kami teringin sangat tengok gambar dimaksudkan itu jika ia benar wujud seperti yang dilaporkan dalam Internet. Mungkin pramugari berkenaan dilihat bersama suaminya yang juga menyimpan misai.

“Asal bermisai saja, orang akan ingat Datuk K! Mulalah mereka buat gosip dan cipta kontroversi baru.

“Bagi saya, gosip dan kontroversi terbaru mengenai pergolakan rumah tangga kami sekadar cubaan dan dugaan daripada Tuhan,” katanya.

Dugaan Allah, katanya, datang dalam pelbagai bentuk, namun yang pasti, gosip rumah tangganya bergolak, termasuk dakwaan suaminya sudah berkahwin lain adalah tidak tepat.

“Saya bersyukur sangat kerana cerita seumpama ini datang dalam Ramadan. Siti percaya, segala baik atau buruk sesuatu perkara itu, Allah akan tunjukkan balasan.

Sebenarnya gosip di Internet seperti cerita atas angin. Mereka yang menulis atau menyebarkan cerita itu tidak ada identiti atau nama sebenar.

“Kita tak tahu kerja siapa, ibarat baling batu sembunyi tangan. Siti dah lali, gosip ada ketikanya betul, kadang-kadang pula hanya fitnah. Jadi, orang akan ambil kesempatan apabila gosip ada kebenarannya. Justeru, mereka beranggapan, gosip Datuk bersama pramugari berkenaan benar-benar berlaku,” katanya.

Beliau berkata, walau apapun tanggapan orang di luar sana, tidak pernah terlintas di fikirannya perkara itu akan terjadi dalam rumah tangganya.

“Terus-terang Siti katakan, apabila tersebarnya gosip itu, Siti ada bertanyakan kesahihan cerita berkenaan kepada Datuk sendiri. Datuk menafikannya, Siti pula percaya kepada suami, antara kami sentiasa ada komunikasi.

“Sebenarnya apa yang berlaku ini, orang hanya nak tengok Siti melenting dan marah-marah. Setakat ini, Alhamdulillah, Siti masih mampu menanganinya. Namun, Siti hanya mampu berdoa minta dijauhkan perkara yang tidak diingini. Bagi Siti, dalam soal fitnah, perkara itu semakin menjadi-jadi.

Pemimpin kita juga tidak terlepas dengan fitnah, dunia akhir zaman,” katanya dalam nada tenang.

Pun begitu, Siti tidak mahu cakap besar atau takbur, sekali gus menafikan sekeras-kerasnya gosip berkenaan.

“Sekiranya cerita yang digembar-gemburkan itu benar-benar berlaku dalam rumah tangga Siti, nak buat macam mana, Siti reda saja.

Mungkin itu ketentuan Tuhan pada Siti. Seperti Siti katakan tadi, Siti sentiasa berdoa supaya perkara tidak elok, tidak berlaku dalam kehidupan Siti bersama suami, insya-Allah,” kata Siti yang meminta izin menamatkan perbualan untuk menunaikan solat Zohor.

Saida terkena tempias gosip adik

SELEPAS bergelar bintang Akademi Fantasia 6 (AF6), populariti kakak Siti Nurhaliza – Siti Norsaida atau lebih mesra disapa sebagai Saida saja, terus menuju puncak! Kini, dia bernaung sebagai artis Siti Nurhaliza Productions (SNP).

Single pertamanya, Sedalamnya Cinta mampu menembusi banyak corong radio popular. Pun begitu, tempias Siti yang sentiasa dihambat gosip dan kontroversi, terkena pada Saida yang baru saja bertatih dalam industri seni ini.

“Apabila saya membuat persembahan pasti orang bertanya perihal gosip Siti. Macam baru-baru ini, ketika menjayakan Marhaban Astro, ramai yang bertanya betul ke gosip adik (Siti) dimadukan? Saya hanya tersenyum… saya tidak mahu cakap apa-apa kerana percaya, Siti mampu menangani perkara itu.

“Sebagai kakak, saya pasti terkena tempiasnya. Selalunya, saya biarkan saja, lama-lama orang akan lupa,” kata Saida yang sudah bertugas di bahagian kewangan, SNP sejak 1998 hingga hari ini.

Apabila menjadi artis SNP, Saida dikatakan memperoleh jalan mudah apabila Siti menyediakannya ‘jambatan emas’ untuk dia cepat diterima dalam dunia nyanyian. Apa komen Saida?

“Sekiranya saya menggunakan jalan pintas, buat apa saya bekerja keras masuk AF6.

Lebih baik rakam album terus memandangkan kemudahan ada. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Dia (Siti) ada syarikat sendiri. Apabila ada kemampuan, tidak salah dia membantu saya. Tidak kisah apa orang mahu cakap. Yang penting, selepas AF6, Siti sekadar mengasah bakat saya, okeylah tu!,” kata Saida yang ternyata seorang peramah.

Kata Saida lagi, apa yang penting, dunia nyanyian yang baru diceburinya ini harus mendapat restu suami dan memelihara tata susila sebagai seorang isteri.

“Bila sudah masuk bidang ini, saya harus memperbaiki segala kelemahan dan bekerja bersungguh-sungguh.

Saya juga harus bijak membahagikan masa antara karier dan keluarga. Siti pula sekadar membantu.

“Ramadan ini kali pertama saya bergelar seorang artis, banyak perbezaannya, paling ketara saya terpaksa meninggalkan keluarga apabila ada persembahan yang diatur pihak Maestro,” katanya.

Info Siti Nurhaliza

NAMA PENUH: Siti Nurhaliza Tarudin

TARIKH LAHIR: 11 Januari 1979

ASAL: Kuala Lipis, Pahang

KELUARGA: Anak kelima daripada lapan beradik

LAGU POPULAR: Percayalah, Cindai, Nirmala, Purnama Merindu, Bukan Cinta Biasa dan Lagu Rindu

ANUGERAH & KEJAYAAN: Dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) daripada Sultan Pahang yang membawa gelaran Datuk, Anugerah Artis Profesional Malaysia daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan enam kali dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang PopularBerita Harian (ABPBH)

PERKAHWINAN: Siti akhirnya sah menjadi isteri kepada tokoh perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada 21 Ogos 2006

ANAK: Mohamed Anas, 21; Mohamed Adib, 18; Mohamed Asyraf, 16 dan Mohamed Aazief, 10

Info Siti Norsaida

NAMA PENUH: Siti Norsaida Tarudin

TARIKH LAHIR: 13 Disember 1976

ASAL: Kuala Lipis, Pahang

KELUARGA: Anak keempat daripada lapan beradik

KEJAYAAN: Memasuki Akademi Fantasia musim ke-6 (AF6) dan terkeluar pada k onsert minggu ke-5

SINGLE: Sedalamnya Cinta dan kini menjadi artis Siti Nurhaliza Productions (SNP)

PERKAHWINAN: Mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 1996

ANAK: Empat orang yang berusia dari dua hingga 11 tahun

Bintang Pop