Featuring the latest Malaysia scandals, gossip, and entertainment news.

Pesta Cahaya Temukan Mereka

October 26, 2008 Bintang Pop | Comments (0) admin @ 10:26 pm



Oleh Suzan Ahmad

Jaclyn Victor, M Subash semakin menyerlah dalam dunia seni tanah air

SENGAJA B*Pop menemukan dua entiti yang semakin menyerlah dalam bidang seni masing-masing Selasa lalu – Jaclyn Victor, 30, (Jac) jagoan dalam bidang nyanyian manakala M Subash, 38, (Subash) di gelanggang seni lakon.

Kedua-dua penggiat seni ini menyerlah dalam sebuah industri yang bukan saja unik dari segi kesejagatan masyarakatnya yang berbilang kaum tetapi juga satu industri yang hakikatnya dimonopoli orang Melayu.

Bersandarkan hakikat itu, Studio B*Pop jadi saksi pertemuan sulung penuh bermakna juara Malaysian Idol musim pertama, Jac atau pemilik nama sebenar Jaclyn a/p Joshua Thanaraj Victor yang mula selesa bergelar pelakon dan pengarah filem eksperimentasi berani berjudul Pensil, arahan dan lakonan Subash atau nama sebenar Subash a/l Manokaran sendiri.

Mengakui kagum dengan keazaman dan semangat tegar dimiliki Subash menongkah arus sambil meranduk industri perfileman tanah air yang rata-rata di monopoli orang Melayu, pengalamannya sendiri membintangi filem Talentime arahan Yasmin Ahmad ternyata membuka mata mengenai hakikat sukarnya bergelar anak wayang.

“Laluannya bukan mudah, lebih-lebih lagi apabila timbul kekeliruan dan salah tanggapan apabila saya tidak dapat membintangi filem Estet arahan Mamat Khalid akibat jadual kerja yang tidak mengizinkan. Memang mengganggu fikiran tapi lama kelamaan ia lenyap bersama angin lalu.” jelasnya yang melihat hal itu sebagai asam garam dalam kehidupan bergelar anak seni.

Bercerita pengalaman bekerja dengan pengarah Sepet, Gubra dan Mukhsin itu, tiga bulan saja sudah dihabiskan khusus untuk menjalani latihan intensif, demikian teliti dan beratnya penekanan pengarah Yasmin terhadap penjiwaan watak dan perwatakan. Padahal babak yang dilakonkan Jac sebagai Bhavani dalam filem yang masih berlatar sosial hanya berlangsung pada 23 Ogos hingga 28 Ogos lalu.

Juara Kategori Persembahan Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu 2008 menerusi lagu Ceritera Cinta (duet bersama Lah VE), tidak pernah melupakan bidang nyanyian, gelanggang di mana semuanya bermula. Pengembaraan dan pengalaman yang ditempuh ketika penggambaran Talentime membuat dia melihat bidang nyanyian pada perspektif yang lebih berbeza.

“Nyanyian adalah nafas dan kehidupan bagi saya, mana mungkin ia dipinggirkan. Cuma apa yang saya dapati, selepas melangkah ke bidang lakonan keupayaan untuk memahami dan mengingati bait lirik sesebuah lagu jadi lebih mudah dan pantas,” ujarnya yang cukup manis mengenakan sari berwarna ungu.

Lakonan mengajar kita memberi nyawa kepada setiap dialog yang akan dizahirkan mengikut keperluan babak, begitu juga dengan lirik lagu, tatkala kita memahami pengisiannya maka penzahirannya bukan saja lebih sempurna malah memberi impak berbeza.

Tambahnya yang masih sempat diusik manja Subash ketika sesi fotografi, dalam masa tiga minggu mendatang ini dia akan mula sibuk mengumpul material untuk dimuatkan ke dalam album terbaru dalam bahasa Melayu.

Bawa Pensil ke Chennai

SEGAK mengenakan pakaian tradisi yang biasa digayakan si jejaka sewaktu perayaan, sutradara kelahiran Terengganu ini setuju untuk masuk ke dalam industri filem bukan kerana wang sebaliknya lebih kepada tarikan integrasi nasional dan semangat nasionalisme yang menebal dalam diri.

“Saya suka dan menghargai nilai budaya Melayu biarpun dilahirkan sebagai pemuda berdarah India. Mungkin kerana latar belakang di mana saya dilahir dan dibesarkan, dari darjah satu hingga enam menuntut di sekolah Cina dan diteruskan pula di sekolah Melayu menjadikan pandangan saya terbahagi kepada tiga perspektif berbeza,” jelasnya yang cukup tertarik dengan kesopanan dan kesantunan budaya Melayu termasuk amalan ajaran Islam yang menyeluruh dan mementingkan kesederhanaan sebagai cara hidup.

Terpilih antara lima calon Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-21, Ogos lalu nyata memberi impak berbekas walaupun tidak memenangi kategori utama. Filem yang hanya berbekal bajet RM400,000 ini bukan saja akan menyertai Festival Filem Antarabangsa India ke-39 di Goa dari 22 hingga 27 November malah terdahulu pada 6 November akan berlangsung Tayangan Perdana Pensil di Chennai, India.

Peluang kunjungi keluarga, sahabat

BERCAKAP mengenai sambutan Pesta Cahaya esok, biarpun Jac tidak menyambutnya namun dia tidak pernah lupa mengunjungi rakan karib yang menyambut Deepavali setiap tahun.

“Memandangkan show pun tidak banyak, jadi bolehlah saya luangkan masa berkunjung ke rumah sahabat handai yang sudah awal-awal lagi menghantar kad jemputan mengajak saya beraya bersama mereka,” katanya yang turut ditemani ibu, Maggie Victor. Sementara itu, Deepavali buat Subash tahun ini cukup sederhana.

“Ibu sudah tiada, jadi saya akan ke rumah kakak di Rawang, Selangor dan berkemungkinan mengunjungi keluarga abang di Johor, sebelum kembali sibuk dengan pemilihan barisan pelakon yang bakal membintangi filem terbaru Jom La C.I.U.M yang akan memulakan penggambarannya sekitar November ini,” katanya.

Menyentuh soal jodoh, kedua-duanya nyata berat mulut untuk berkongsi kisah peribadi kerana memikirkan kerjaya seharusnya diberikan keutamaan. Namun hakikatnya, hati masing-masing sudah dimiliki.

Jika Jac yang sudah pun mengikat pertunangan dengan jejaka berbangsa Inggeris belum lagi menetapkan tarikh menuju gerbang bahagia memandangkan jadual kerja yang padat, Subash yang juga tenaga pengajar sambilan untuk mata pelajaran biologi, fizik, kimia dan matematik tambahan di Genius Parade Tuition Centre pula memiliki hati seorang gadis Melayu.

“Jujurnya saya jatuh cinta dengan Islam sejak lama dulu. Mungkin ia sedikit sebanyak menjawab banyak persoalan mengapa saya sering menerapkan nilai positif dan amalan Islam yang suci dalam setiap naskhah nukilan saya,” kata Subash yang akan memeluk Islam pabila tiba detik dan waktunya nanti.

INFO M SUBASH:

Pada FFM21, filem Pensil dicalonkan dalam kategori Cerita Asal Terbaik, Pengarah Harapan, Pelakon Lelaki Harapan, Poster Terbaik dan Lagu Tema Asal Terbaik.

Pensil menerima Anugerah Khas Juri kerana ia mengetengahkan nilai kemanusiaan dan kesedaran terhadap orang kurang upaya (OKU), manakala Mak Mah (Ruminah) dinobatkan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Filem yang hanya berbekal bajet RM400,000 ini bukan saja akan menyertai Festival Filem Antarabangsa India ke-39 di Goa dari 22 hingga 27 November malah terdahulu pada 6 November akan berlangsung Tayangan Perdana Pensil di Chennai, India.

Subash mengharapkan pihak penerbitan sanggup melaburkan kos yang lebih dalam filem Jom La C.I.U.M bagi menghasilkan produksi dengan nilai artistik yang tinggi.

Ramai pemerhati filem percaya Pensil filem pertama Subash adalah filem yang berjaya walaupun kejayaan itu dikecap dalam waktu yang agak lambat.

Subash mahu mengikis persepsi dan pandangan masyarakat dengan mentaliti jumud dan beranggapan, filem yang berjaya hanyalah filem yang meletup di pawagam.

INFO JACLYN VICTOR:

Anak sulung daripada empat beradik ini pernah memenangi vokal terbaik menerusi lagu Cerita Cinta duetnya bersama Lah VE pada Anugerah Juara Lagu ke-22.

Pernah mewakili Malaysia dalam pertandingan Asian Idol pada tahun 2007, bagaimanapun penyanyi dari Singapura, Hady Mirza yang ditabalkan sebagai juara.

Menjadi juara Ikon Malaysia yang pertama bagi kategori solo.

Pernah berduet dengan Vince menerusi lagu runut bunyi High School Musical 2, You Are The Music yang turut dirakamkan ke dalam bahasa Malaysia dan diberi judul Kau Muzik Di Hatiku.

Sebelum menyertai pertandingan nyanyian Malaysian Idol (MI), Jac pernah menjadi penyanyi di kelab dan hotel seluruh Malaysia selama lapan tahun.

Memenangi anugerah emas ketika menyertai Shanghai Music Festival pada 2005 dan mengungguli Anugerah Juara Lagu ke-20 (A JL20) serta kategori Balada, kedua-duanya menerusi lagu Gemilang. Juga Penyanyi Wanita Terbaik pada Anugerah Planet Muzik 2006.

Menerusi AIM13, Jac menang empat kategori sekali gus termasuk Artis Baru Terbaik, Album Pop Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu, kesemuanya menerusi lagu dan album Gemilang serta Persembahan Vokal Wanita Terbaik AIM14.

Pakaian: M Subash tajaan Sneha Collection Resources

Solekan Jaclyn Victor: Deq Sha

Bintang Pop

Marsha Tak Mahu Goda ‘Lelaki Kaya’

October 19, 2008 Bintang Pop | Comments (0) admin @ 10:36 pm

Oleh Zubir Mohd Yunus

JELITAWAN suku kaum Kadazan-Dusun ini masih mampu bertahan hingga hari ini sekalipun musim baru Akademi Fantasia Ke-7 (AF7) bakal menjengah awal tahun depan. Dia juga baru dua bulan mendapat tawaran menyambung kontraknya bersama Maestro Talent & Management selama setahun lagi. Namun, bukan semua bintang kelahiran AF bernasib baik seperti Marsha.

Berbekalkan kecantikan, penampilan seksi dan aura manjanya, Marsha terus diterima peminat sekalipun ada suara sumbang mendakwa bakat nyanyian dan lakonannya tidaklah seberapa dan sukar dibanggakan. Justeru, tidakkah Marsha berasa terhina apabila dilabel ‘beauty without talent’ sekalipun nama terus meniti di bibir peminat?

“Bukan terhina, tetapi amat bersyukur! Cantik adalah universal dan bonus. Tapi, bakat pun penting. Manakala nasib dan rezeki adalah pemberian Tuhan. Justeru, saya harus bekerja keras memelihara kesemuanya. Pun begitu, saya tak nafikan, bidang nyanyian saya tak ke mana, orang tak nampak saya as a singer kerana sehingga hari ini saya belum ada sebarang album penuh. Tapi, syukur masih ada tawaran berlakon drama dan filem,” kata Marsha yang tetap kekal dengan lenggok manjanya.

Apabila Marsha bersetuju menyambung kontraknya bersama Maestro, ada dakwaan membisikkan ke telinga penulis, dia sebenarnya menjerat diri sendiri. Benarkah begitu?

“Jika nak dibandingkan artis AF lain, saya boleh dianggap bernasib baik kerana Maestro terus ‘menjual’ saya untuk endorsement, lakonan dan show sekali sekala walaupun tidak semewah Mawi. Tapi, kadang-kadang pun saya berasa malu apabila orang asyik bertanya, bila saya nak keluar dengan album penuh?

“Saya memujuk diri, beri peluang kepada Maestro membuktikan semua janjinya. Tapi, agak mengecewakan kerana sehingga hari ini single pun belum dihasilkan. Rakaman yang saya jayakan sebelum ini sekadar petikan daripada lagu filem. Nak kata 100 peratus daripada Maestro untuk album penuh, tak nampak lagi, cuma buat rakaman beberapa lagu, tapi sehingga hari ini semuanya belum diterbitkan lagi, mungkin ada masalah teknikal.

Harap Maestro kotakan janji

“Sekarang kita sudah ada juara AF6, saya pula sudah tiga tahun lebih dalam industri ini, masih tak ada album sendiri, memanglah sedih… Pernah juga saya terfikir, saya nak terus berlakon saja, tapi tujuan saya terjun ke industri ini untuk menjadi penyanyi. Namun, apa yang saya idamkan, mempunyai album sendiri, masih belum tercapai, justeru saya harus bekerja keras merealisasikan impian.

“Memang saya berharap, Maestro mengotakan janji mereka, menghasilkan produk yang baik, sekurang-kurangnya a single can do. Saya tak kisah, janji ada lagu baru,” katanya menguntum senyuman yang boleh mencairkan hati lelaki.

Pun begitu, berbekalkan kecantikan dan personaliti yang menarik, Marsha boleh mengambil jalan mudah dengan mendekati kenamaan untuk merealisasikan impiannya dengan sekelip mata, jadi tidakkah dia berhasrat mengikut jejak segelintir artis cantik seusianya yang sudah pun hidup senang lenang dengan mendampingi golongan VIP?

“Menggoda lelaki kaya untuk keselesaan hidup, bukan saya! Hanya artis bertaraf pelacur yang tergamak buat ‘kerja’ seperti itu untuk kepentingan peribadi. Saya lebih rela miskin, tak ada job daripada menjual diri untuk jadi artis kaya raya! Sekali terjebak, bermakna saya hilang maruah diri. Saya tak sanggup digelar artis pelacur kelas atasan gara-gara nak hidup mewah,” tegas Marsha mempertahankan pendiriannya.

Bagaimana pula hubungannya dengan Kefli apabila mereka dilabel sebagai pasangan kekasih?

“Bukan kekasih, tapi saya dan Kefli sekadar berkawan rapat. Kalau nak kata hubungan kami ‘teman tapi mesra’, bolehlah… Tapi, nak lebih daripada itu, saya serahkan kepada takdir. Berapa lama kami akan ‘berteman tapi mesra’, saya tak tahu sampai bila, tak ada jawapan. Yang pasti, saya selesa dan berasa selamat berada di samping Kefli,” ujar Marsha berterus-terang.

INFO: Marsha

NAMA PENUH: Marsha Milan Londoh @ Millon Samingau

TARIKH LAHIR: 6 Disember 1985

KELUARGA: Anak ketiga daripada empat beradik

ASAL: Tamparuli, Sabah, namun dilahirkan di Amerika Syarikat

PENCAPAIAN: Pemenang tempat keempat, Akademi Fantasia 3 (AF3) pada 2005

DRAMA ON-LINE: Kerana Karina, Kerana Karina 2 dan Kerana Karina 3 menerusi www.gua.com.my

DRAMA TV: Mega Sekeping Hati (RTM)

FILEM: Saus Kacang terbitan Sinemart, Indonesia dan berlakon bersama Bunga Citra Lestari serta Ashraf Sinclair

LAGU RUNUT BUNYI: Sayang (duet bersama Ajai) dan Bila Aku Cinta (solo) menerusi filem Sayang You Can Dance

DUTA: Spritzer Tinge, Snips dan Nivea.

Lokasi: Tropicana Golf & Country Resort, Jalan Kelab Tropicana, Petaling Jaya, Selangor (03 7804 8888)

Terima kasih: Pengurus Besar, Tropicana Golf & Country Resort, Herman Tan

Pakaian: Noor Arfa Batek Sdn Bhd

Terima kasih: Shabri Saad (019 299 3809)

Solekan & dandanan: Midah Khan (012 653 9559)

Bintang Pop

Jee Bangkit Semula

October 12, 2008 Bintang Pop | Comments (0) admin @ 10:46 pm

Oleh Suzan Ahmad


Fauziah Latiff

Sudah dua tahun Suhan Movies merisik penyanyi wanita yang cukup popular pada era 1990-an ini untuk terbabit dalam projek drama dan telemovie

FAUZIAH Latiff atau cukup dikenali di kalangan orang industri hiburan dan peminatnya dengan panggilan Jee, punya alasan tersendiri mengapa dia lebih selesa mendiamkan diri. Katalah apapun, dia lebih rela diam dan mengunci mulut daripada bercerita hal peribadi. Itulah memang sifat semulajadinya.

Kesediaannya untuk muncul sebagai artis penghias muka depan sisipan Bintang Popular (B*Pop) minggu ini ada alasan yang tersendiri dan cukup penting. Ternyata, ia lebih kepada menghebahkan kepada masyarakat dan peminat mengenai kegiatan dan pergerakan kerjaya seninya yang terkini selepas sekian lama berehat dari pentas nyanyian arus perdana.

“Masa dan ketikanya cukup sesuai untuk Jee mencuba sesuatu yang lebih baru lebih-lebih lagi ia ada kena mengena dengan usaha mengembangkan kerjaya seni yang selama ini lebih tertumpu kepada nyanyian,” jelasnya yang kini mula berjinak dalam lakonan.

Dia akui, sudah dua tahun, syarikat Suhan Movies merisik penyanyi wanita yang cukup popular pada era 1990-an ini untuk terbabit dalam projek drama dan telemovie terbitan mereka.

“Ketika saya didekati abang Rosyam Nor (penerbit Suhan Movies), dia lebih kepada memberikan rasional dan juga penjelasan mengenai keperluan pembabitan saya di samping menjanjikan tunjuk ajar dan pendedahan secukupnya dalam bidang lakonan. Saya terima berlandaskan kepada hakikat bahawa saya tahu saya berada dalam kelompok insan seni yang betul,” katanya yang begitu menghargai setiap detik berada di lokasi penggambaran dua telemovie terbitan Suhan Movies – Kudrat Iman dan Gelora Di Hati Sarah.

“Acting is a lot of hardwork, memang bukan kerja yang mudah untuk dilunaskan. Saya begitu menghormati ketekunan, kesabaran dan ketelitian sutradara Bade Azmi dan warga kerjanya sewaktu penggambaran. Fokus paling utama kerana tanpa tumpuan, memang sukar untuk mencari mood dan penghayatan watak dan perwatakan,” tambah Jee yang bersyukur selain mendapat tunjuk ajar serta menimba pengalaman cukup berharga sepanjang berada di lokasi penggambaran, dia menjadi cukup akrab dengan barisan pelakon dan krew produksi.

Kudrat Iman yang turut dibintangi Rosyam, Wan Maimunah, Afida Es dan Ismail Yaacob disiarkan semalam (11 Oktober) menerusi RTM1, jam 8.30 malam. Dalam drama itu dia membawa watak utama sebagai gadis bernama Mahani yang menjadi tunangan kepada pemuda, Zainal tetapi mereka gagal untuk menaiki jenjang pelamin. Babak paling sukar baginya tentulah kerana banyak bermain emosi terutama adegan dia memarahi Mak Esah yang merampas tunangnya.

Selepas Kudrat Iman, penyanyi jelita yang cukup popular dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu dan Enggan ini akan muncul pula menerusi telefilem berjudul Gelora Di Hati Sarah. Kali ini, Jee membawa watak seorang peguam bernama Sarah yang terpaksa berkahwin senyap-senyap di luar negara. Dia akui tugas sebagai pelakon untuk watak berkenaan begitu berat kerana terpaksa bermain emosi dalaman dan kena bijak bermain dengan permainan air muka untyuk sesuaikan dengan keadaan yang tidak menentu.

“Memang kerja berlakon penat tetapi adalah tidak adil untuk saya merungut. Saya memang minat lagi untuk terus berlakon pada drama lain tetapi bergantung pada masa dan keadaan,” kata Jee.

Selain berkongsi pengalaman sebagai orang baru dalam dunia lakonan, pemilihan Federal Hotel Internationals (FHI) sebagai lokasi sesi fotografi bersama Jee sebenarnya mengundang nostalgia indah kepada penyanyi yang berstatus ibu tunggal ini.

“Inilah hotel ayah selalu bawa Jee jalan-jalan makan angin masa kanak-kanak dulu. Rasanya ketika itu usia Jee baru empat atau lima tahun,” ceritanya yang masih terkenang arwah bapanya yang sering menjadikan FHI sebagai tempat bertemu rakan-rakan lama dan membawa keluarga beristirehat.

FHI bagi Jee bukan sembarangan hotel. Premis yang sudah tersergam sejak sebelum merdeka itu menjadi saksi dan tempat berhimpun pejuang dan pemimpin tanah air sebelum menanti detik bersejarah 31 Ogos 1957, Tanah Melayu di isytiharkan negara merdeka dari sebarang penjajahan. Mungkin kerana itu jugalah hubungan Jee dengan FHI tidak pernah putus malah sering diundang untuk mengadakan persembahan istimewa seperti sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan ke-50, tahun lalu selain meraikan Minggu Setiausaha.

Masih dalam suasana sambutan Aidilfitri, Jee akui dia meraikan hari lebaran itu bersama dua anaknya secara sederhana di kampungnya di Johor.

Jee dan bekas suaminya yang juga ahli perniagaan, Johan Indot mendirikan rumah tangga pada 1997 dan bernikah di London. Mereka kini sudah bercerai dan hasil perkahwinan lalu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Jeffri Joaquim, 10, dan Jeremy Jay, 8.

“Syukur, anak-anak dapat beraya bersama Jee tahun ini, kami pulang ke kampung Jee di Johor dan sempat menziarahi sanak-saudara terdekat lain,” jelasnya yang lebih selesa berhari raya dalam suasana serba sederhana.

Nyata, biarpun kini hidup sendiri, Jee yang masih mahu merehatkan dulu kerjaya nyanyiannya buat sementara waktu tidak pernah melihat kegagalan rumah tangga sebagai penghalang untuknya terus bangkit dan meraih kejayaan dalam kehidupan. Mengenai jodoh, dia enggan lagi bercakap soal rumah tangga buat masa ini dan fokusnya hanya bertumpu pada karier dan mencari wang.

“Saya sedar dalam keadaan apapun, kita kena teruskan hidup,” katanya yang berkali-kali menolak untuk bercakap lebih lanjut mengenai hal peribadi termasuk soal cinta.

Fakta Menarik Jee

Penghibur Terbaik dalam Pesta Kingsway anjuran RTM pada 1989.

Biarpun pada zahirnya kelihatan lembut dan ayu, Jee cukup meminati sukan lasak seperti menyelam skuba, berkuda dan jet ski.

Perkahwinan pertama Jee dengan Syed Budriz pada 1992 berakhir dengan perceraian tiga tahun berikutnya.

Jee mendirikan rumah tangga kedua bersama ahli perniagaan, Johan Indot pada 19 Jun 1997 di London dan bercerai pada Mac 2007.

Hasil perkahwinan Jee dengan Johan, dikurniakan dua cahaya mata, Jeffri Joaquim, 10, dan Jeremy Jay, 8.

INFO: Jee

NAMA: Fauziah Latiff USIA: 38 Tahun TARIKH LAHIR: 5 Disember 1970 ASAL: Air Tawar, Perak ALBUM: Album sulungnya, Digamit Memori muncul pada 1988 dan hingga kini, memiliki 17 album rakaman. PENCAPAIAN: Penghibur Terbaik dalam Pesta Kingsway di RTM pada 1989. DRAMA: Sitkom Lontong TELEMOVIE: Kudrat Iman dan Gelora Di Hati Sarah TEATER: Muzikal Rubiah

Bintang Pop

Syamsul & Diana – Pernah Rasa Cemburu

October 5, 2008 Bintang Pop | Comments (0) admin @ 10:56 pm

Oleh Zubir Mohd Yunus
zubir@bharian.com.my

Meskipun dianggap peminat sedang bercinta, Syamsul dan Diana lebih selesa sebagai teman rapat

TIADA kata secantik bahasa. Tiada cinta secantik kasih dan sayang. Begitu sukar membuka mulut pasangan dua sejoli, Diana mahupun Syamsul membuat pengakuan, mereka kini sedang dilamun cinta. Tiada cinta, tapi kasih dan sayang antara kedua-duanya sedang disemai dan dibaja supaya tumbuh segar di laman asmara. Bunyinya pelik, tapi itulah yang terjadi dalam hubungan rapat antara aktres Pan-Asian, Diana dengan anak teruna Datuk Yusof Haslam, Syamsul.

“Dalam meniti usia 17 tahun, istilah bercinta saya takut nak cakap. Tapi, saya tidak mampu menyembunyikan hubungan rapat dengan Syamsul. Justeru, terpulanglah kepada masyarakat di luar sana membuat tafsiran sama ada kami bercinta atau sekadar teman rapat. Yang penting, ketika ini tumpuan saya hanyalah kepada peperiksaan SPM yang bakal tiba tidak lama lagi,” kata Diana yang tidak lagi berahsia seperti dulu.

Pada masa sama, Diana turut dikaitkan mempunyai hubungan mesra dengan beberapa aktor popular seperti Iqram Dinzly, Dafi Akademi Fantasia 5 (AF5) dan Nabil Raja Lawak Astro apabila mereka sering menjayakan sesi fotografi bersama, selain berlakon. Itu belum dikira gosip cintanya dengan Sunu dari kumpulan Matta sedikit masa lalu. Terdengar desas-desus hubungan Diana dan Syamsul sering berantakan dengan gosip berkenaan.

“Syamsul susah nak merajuk, lagipun dia perlu faham kita sama-sama berada dalam industri yang sama. Tapi, lumrah apabila kita berkawan rapat, kadang-kadang timbul perasaan cemburu, kalau tak kena gaya, kita boleh berasakan diri kita dikongkong. Namun, semuanya hanya sementara saja. Bagi saya, Syamsul terlalu mengambil berat mengenai diri saya, dia tidak mahu saya melakukan sebarang kesilapan.

“Justeru, ada kalanya Syamsul risau mengenai perjalanan seni saya. Namun, dia perlu memahami saya masih muda. Saya berkawan dengan ramai orang termasuk artis lelaki. Saya dapat rasakan, mula-mula mungkin Syamsul berasakan kedudukannya sebagai teman baik agak tergugat, tapi selepas beberapa lama, dia boleh menerima diri saya seadanya,” katanya lagi.

Apa komen Diana apabila ada situasi di mana artis popular pernah dilihat cuba mendekati diri Syamsul sekalipun dia tahu bahawa Diana dan Syamsul memang berkawan rapat?

“Memang pernah berlaku situasi berkenaan, tapi itu cerita lama. Tapi, saya tak mampu berbuat apa-apa, terpulanglah kepada kejujuran Syamsul. Sepanjang mengenali Syamsul, dia bijak membuat pertimbangan. Apa yang berlaku sebelum ini sekadar dugaan dalam persahabatan. Saya pun sudah melupakan perkara itu,” kata Diana yang akhirnya setuju memberi sedikit ulasannya.

Beraya di Taiping, Perak

Bagaimana pula dengan gosip yang tersiar di B*Pop terbitan 14 September lalu yang mendakwa Diana mengamuk di lokasi penggambaran Farah Syakirah selepas menjadi mangsa curi apabila barang kemasnya dicuri oleh seorang pelakon baru, adakah pelakon berkenaan sudah memulangkan semula barang milik Diana?

“Hati siapa yang tak sakit apabila barang kita kena curi? Pun begitu, saya kecewa kerana sehingga hari ini tidak ada seorang pun yang mengaku bertanggung jawab di atas kehilangan barang kemas itu. Kita pun masih berada di bulan baik hari baik, jadi saya halalkan saja barang kemas yang ‘diambilnya’ itu,” kata Diana tidak menafikan kebenaran gosip berkenaan.

Mengenai Aidilfitri pula, Diana bersama ibunya pulang berhari raya di Taiping, Perak untuk beberapa hari saja. Pun begitu, dia tidak berselindung apabila memberitahu sebaik pulang dari kampung dia akan berhari raya di rumah Datuk Yusof, sekali gus mengakui: “Itu tak boleh miss, perkara wajib!”

Bercakap mengenai projek terbarunya selepas SPM dan menjelang 2009, Diana mengakui ada tiga filem menantinya, tapi masih di peringkat perbincangan, selain beberapa komersial TV dan duta produk.

Syamsul tak pernah kongkong Diana

Sementara itu, Syamsul juga seolah-olah sudah berpakat dengan Diana apabila berbicara mengenai status perhubungan mereka apabila sekadar memberitahu agak keterlaluan jika melabel hubungannya bersama Diana sudah memasuki fasa percintaan.

“Diana terlalu muda, lagipun dia masih belajar. Takkan saya nak mengaku saya bercinta dengan budak sekolah, tak manis bunyinya. Yang penting, kami serasi, rapat dan boleh berkongsi apa saja masalah, tiada rahsia antara kami,” jelas Syamsul yang sekurang-kurangnya melerai status perhubungannya bersama Diana.

Ura-ura Syamsul terlalu mengongkong Diana, apa yang boleh anda jelaskan: “Saya tidak pernah mengongkong Diana sepanjang perkenalan kami. Tapi, tidak dinafikan, saya terlalu mengambil berat mengenai dirinya. Berselisih faham, bergaduh sikit-sikit dan ada-kalanya kami merajuk, itu perkara biasa. Sebenarnya apabila berlaku dugaan seperti itu, ia lebih merapatkan lagi perhubungan kami, lebih kenal hati budi masing-masing.”

Mengenai persiapan raya, Syamsul berkata dia menyambut lebaran di Kuala Lumpur saja, namun mengakui, jika ada masa terluang, dia pasti menjenguk Diana dan keluarganya di Taiping.

Selepas Aidilfitri pula, Syamsul sibuk dengan proses terakhir Bohsia dan perancangan pra-produksi penghasilan Evolusi KL Drift 2. Difahamkan mengenai sekuel filem aksi berkenaan, Syamsul akan mengekalkan beberapa pelakon utamanya dan dalam masa sama, ada seorang dua pasti digugurkan.

“Saya akan melakukan sedikit perubahan pada barisan utama Evolusi KL Drift 2. Apabila ada pelakon yang digugurkan, saya sebenarnya memberi peluang kepada muka baru. Jadi, kepada mereka yang tidak tersenarai, janganlah berkecil hati,” katanya mengakhiri bicara.

Info Diana Danielle

NAMA PENUH: Diana Danielle Danny Beeson

TARIKH LAHIR: 22 November 1991

ASAL: Dilahirkan di Houston, Amerika Syarikat, namun dibesarkan di Kuala Lumpur sejak berumur dua tahun

DARAH CAMPURAN: Amerika (ayah) dan Melayu (ibu)

KELUARGA: Anak tunggal

PENDIDIKAN: Bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 11 hingga 27 November depan

KOMERSIAL: Lampin Merries (ketika berusia sembilan bulan), Milo, Telekom Malaysia (TM), Hazeline Snow dan Fair & Lovely

DRAMA: Air Mata Maria, Janji Diana, Gol & Gincu The Series dan Farah Syakirah (setiap Ahad, jam 9 malam di RTM2)

FILEM: Idola (ketika berusia sembilan tahun), Evolusi KL Drift, Malaikat Maut (belum tayang), Bohsia (belum tayang) dan Setem (belum tayang)

Info Syamsul Yusof

NAMA PENUH: Mohd Shamsul Yusof Haslam

TARIKH LAHIR: 21 Mei 1984

ASAL: Kuala Lumpur

KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik

PENDIDIKAN: Diploma Penyiaran dari Akademi TV3

DRAMA ARAHAN: Sembilu Kasih, Gerak Khas dan Air Mata Maria

DRAMA LAKONAN: Farah Syakirah

FILEM: Evolusi KL Drift dan Bohsia (belum tayang)

PENCAPAIAN: Anugerah Khas Juri untuk filem keberkesanan aksi lasak menerusi Evolusi KL Drift pada Festivel Filem Malaysia ke-21 (FFM21)

Lokasi: Palace of the Golden Horses (POTGH), Mines Resort City, Seri Kembangan, Selangor (03 8943 2333)

Terima kasih: Pengurus Komunikasi & Perhubungan Awam POTGH, Farah Halim

Solekan & dandanan Diana, Syamsul: Sasha Kimpy (017 345 7904)

Pakaian Diana: Michael Shu

Pakaian Syamsul: Koleksi peribadi

Bintang Pop