Featuring the latest Malaysia scandals, gossip, and entertainment news.

Pernah Digoda Suami Orang

January 25, 2009 Bintang Pop | Comments (0) admin @ 8:16 pm



Oleh Zubir Mohd Yunus

Jualiana semakin dikenali selepas membintangi drama bersiri Kami The Series dan terus menjadi sebutan apabila berpeluang mengacarakan program Remaja di TV3

CANTIK dan fotogenik! Itulah Juliana Evans apabila diminta beraksi di depan kamera, di kaca TV mahupun di layar lebar, hasilnya tidak pernah mengecewakan. Juliana, seorang bintang pan-Asian yang diberi jolokan Julia Rais ketika era kegemilangannya, mampu dijulang sebagai pelapis industri hiburan asal saja dia rajin berusaha mengasah bakat, memperoleh naskhah yang bagus dan sentiasa merendah diri, selain nasib baik yang menyebelahinya sebagai geran kejayaan.

Namanya semakin dikenali selepas membintangi drama bersiri, Kami The Series dan terus menjadi sebutan apabila berpeluang mengacarakan program Remaja di TV3 mulai 2005 hingga tahun lalu bergandingan dengan bintang One In A Million (OIAM), Alif Satar. Namun, ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari apabila menjelang 2009, khidmat Juliana bersama Alif sebagai hos Remaja, tiba-tiba ditamatkan.

Selepas digugurkan tanpa diberitahu dengan notis awal, tempat kedua-duanya digantikan dengan wartawan penyiaran yang bertugas dalam produksi berkenaan. Pihak penerbitan menghubungi Juliana dan Alif, memberitahu khidmat mereka tidak diperlukan lagi. Lebih mengecewakan Juliana, kontraknya bersama Remaja hanya akan tamat April depan.

“Memang saya rasa terkilan sangat. Rasa macam tidak dihargai. Namun, saya pujuk diri, apabila berlakunya situasi seperti ini, anggap saja rezeki bersama Remaja setakat ini saja. Pun begitu, jasa TV3 kepada saya tidak pernah dilupakan. Kini, alhamdulillah, selepas meninggalkan Remaja, tawaran sebagai pengacara TV tetap ada, itulah dinamakan sebagai rezeki asal saja kita terus berusaha,” kata Juliana yang semakin gah menempa nama di bidang lakonan.

Drama bersiri terbaru lakonannya, Kasut Tumit Tinggi sebanyak 13 episod mula menemui penonton menerusi Astro Prima sejak 22 Januari lalu, manakala dia juga sedang menanti tayangan filem Hooperz yang dijadual menjengah pawagam sekitar pertengahan tahun ini.

Tidak sah atau tidak lengkap kehidupan seorang selebriti hiburan jika tidak dikaitkan dengan kisah cinta, begitu juga dengan Juliana. Dia pernah menjalin hubungan cinta dengan bintang kacak Akademi Fantasia 2 (AF2), Adam, tiga tahun lalu. Kini, segala-galanya hanya kenangan terindah, tidak perlu diungkit kembali cerita lama apabila ketika ini masing-masing sudah membawa haluan sendiri.

Adam sudah menemui cinta baru, gadis jelita yang masih bergelar pelajar dikenali sebagai Joanna dan berasal dari Sabah, Juliana bagaimana?

“Selepas putus kasih dengan Adam dulu, kira-kira sebulan menyendiri, saya akhirnya bertemu teman baru. Bukan golongan artis, sebaliknya pemuda biasa yang terbabit dengan dunia perniagaan,” katanya berterus-terang.

Juliana mengakui, pemuda berkenaan berusia 23 tahun dan baru saja menamatkan pengajiannya, kini bergelar ahli perniagaan.

“Terus teranglah, saya tidak selesa berkasih atau bercinta dengan artis mahupun selebriti. Pengalaman dengan Adam dulu, kami hilang privacy, masing-masing artis, bercinta pun orang tak tahu. Kini, apabila saya bertemu dengan pemuda kebanyakan, saya kurang tekanan, apabila orang bertanya, Juliana bercinta ke, saya tidak teragak-agak untuk mengakui perkara itu, yes I’m in love!

“Kami tidak mahu berahsia. Tidak ada apa yang perlu dimalukan apabila putus kasih. Sekiranya ditakdirkan kami tak ada jodoh, putus cinta, itu lumrah kehidupan, perkara biasa! Setiap orang akan melalui proses itu. Tapi, secara jujurnya, saya mengharapkan episod cinta yang baru saja bermula kira-kira dua tahun ini akan berkekalan. Habiskan belajar dulu, memajukan karier masing-masing dan jika kuat jodoh antara kami, kahwin!,” katanya lagi.

Pengalaman digoda suami orang?

“Tak kiralah suami orang ke, tunang orang ke, mahupun teman lelaki orang lain, saya akui pernah melalui situasi didekati mereka yang sudah berpunya! Dalam usaha mendekati diri saya, macam-macam pujian diberikan. Kata-kata manis sentiasa bermain di bibir mereka. Namun, saya seorang perempuan, saya tidak sanggup melukai hati perempuan lain, termasuklah perasaan kekasih sendiri. Curang, itu bukan diri saya!

“Tepuk sebelah tangan takkan berbunyi, jadi jangan layan! Kalau diberi muka, mulalah! Namun, dalam usia begini, saya tidak mahu memikirkan soal cinta terlalu serius, tambahan pula status saya sebagai seorang pelajar. Tapi, naluri seorang remaja, pasti tidak dapat lari daripada cinta. Seronok rasanya apabila diri dicintai dan menyintai orang yang kita sayang. Yang penting, lelaki itu bukan hak orang lain. Saya tidak mahu dilabel perampas!,” akui Juliana yang memiliki aset secantik hidungnya.

Sejauh mana Juliana percaya dengan gosip dan kontroversi yang ada kalanya membantu melonjakkan nama seseorang artis itu?

“Ia membantu, saya percaya. Tapi, selagi boleh saya cuba elakkan terkena gosip dan terbabit dengan cerita negatif. Saya mahu dikenali dengan kerja dan usaha yang dilakukan, itu lebih diberkati dan berkekalan. Namun, saya juga seperti remaja kota lain, bergembira dengan kawan-kawan, karaoke, ada teman lelaki dan bersosial, namun segala-galanya perlu ada batasan. Sebagai pelajar, artis dan remaja, saya ada tanggung jawab, selain memelihara nama baik keluarga,” katanya yang kini sedang menyiapkan penggambaran musim kedua, drama bersiri Ghost.

INFO: Juliana Evans

NAMA PENUH: Juliana Sophie Johari Evans

TARIKH LAHIR: 5 Julai 1989

DARAH CAMPURAN: Inggeris (bapa) dan Melayu (ibu)

KELUARGA: Bongsu daripada tiga beradik

ASAL: Petaling Jaya, Selangor

PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Sunway University College, Bandar Sunway, Petaling Jaya

KOMERSIAL: Tracia Eternal, Fair & Lovely, Nokia 2600 dan Clean & Clear

PROGRAM TV: E-Zone (Astro Ria), Majalah Moral (TVIQ), Bintang Kecil Raya (TV9) dan Remaja (TV3)

DRAMA: Kami The Series (8TV), Ghost (8TV) dan Kasut Tumit Tinggi (Astro Prima)

FILEM: Kami The Movie dan Hooperz.

Solekan: Riezza Amour (013) 434 3615
Dandanan: Zul Bastari (012) 381 2671
Pakaian: Koleksi peribadi Juliana.

Bintang Pop

Bukan Mudah Pertahan Populariti

January 18, 2009 Bintang Pop | Comments (0) admin @ 8:26 pm

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

Saiful Apek, Nabil dan Fouziah antara wajah pelaris untuk pastikan filem dapat sambutan baik

BIARPUN mereka umpama ‘lubuk emas’ bagi pengarah dan produser drama serta filem tempatan, namun Saiful Apek, Nabil dan Fouziah Gous masih berpijak di bumi nyata, tidak sesekali lupa asal usul. Dan, rasa rendah diri masih menebal dalam diri biarpun disanjung, dipuji dan menjadi buruan penerbit dan pengarah tempatan yang menganggap mereka memberi pulangan lumayan. Sebab itu mereka kini adalah antara wajah pelaris untuk memastikan filem mendapat sambutan baik.

Namun, nama silih berganti mendaki takhta populariti yang tidak pernah bernoktah saban tahun. Laluan mendaki tangga populariti bukannya semudah angka abc, apatah lagi mengekalkannya.

Saiful Apek yang pernah merangkul gelaran Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003 akur hidup bagaikan putaran roda, sekejap di atas dan sekejap di bawah. Untuk mengekalkannya bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi dengan kehadiran generasi baru yang berbakat.

“Walaupun sudah mencipta nama namun populariti tetap utama. Buat masa sekarang, apa yang perlu difikirkan adalah masa depan kerjaya seni dan cara mengekalkannya. Cabarannya tentu berat tapi semua artis yang pernah menduduki tangga popular perlu melaluinya jika mahu terus berada dalam dunia seni.

“Prinsip saya, jangan mudah lupa diri dan sentiasa memperbaiki kelemahan. Saya masih seperti dulu, masih ingat asal usul saya. Bukan mudah saya mencapai tahap seperti hari ini, sesuatu yang tak pernah saya jangka. Cuma saya bernasib baik, peminat tak pernah jemu-jemu menyokong saya.

“Siapa sangka dari seorang krew belakang tabir, saya bergelar pelakon dan pelawak popular. Pejam celik sudah 15 tahun saya berada dalam dunia seni dan hingga kini, saya sudah membintangi 45 filem. Cuma tahun ini, saya membataskan aktiviti lakonan bagi memberi tumpuan pada kerja pengarahan dan pembikinan album yang terbengkalai lebih dua tahun,” katanya yang bakal muncul menerusi album solo pertama tidak lama lagi.

Saiful juga akui, kemunculan pelawak baru yang dianggap generasi baru tidak pernah mengancam kariernya, malah mereka adalah penyambung warisan perjuangannya yang kini mula beralih arah ke dunia pengarahan dan ia nyata lebih mencabar.

“Bukan soal sudah tidak laku… sebaliknya saya mahu menumpukan perhatian pada kerja yang terbengkalai. Selepas filem Shh… Dia Datang, saya akan mengarahkan satu filem lagi terbitan Noradz Production. Saya juga terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon filem bagi menumpukan perhatian pada kerja pengarahan dan pembikinan album.

“Selepas menerajui 45 filem, tibalah masanya saya memberi ruang pada kerja di sebalik tabir yang diminati selama ini. Dulu saya bermula dengan kerja balik tabir dan pernah menimba pengalaman bekerja dengan Aznil Nawawi, bagaimanapun saya dipecat kerana menolak dua tawaran berlakon. Saya sebenarnya lebih meminati kerja belakang tabir berbanding berlakon, tetapi rezeki lakonan lebih menyebelahi saya selepas saya menyertai kumpulan Senario,” kata bapa kepada dua cahaya mata itu.

Terbaru, Saiful bersama Nabil dan Fouziah buat pertama kalinya digandingkan dalam filem Sifu Dan Tonga arahan Profesor Madya Razak Mohaideen. Filem terbitan Lineclear Motion Pictures dengan kerjasama Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) itu akan menjengah pawagam bermula 29 Januari ini.

Nabil sifatkan Saiful sebagai mentor

Sebagai pendatang baru, Nabil mengangkat Saiful sebagai mentornya. Digandingkan bersama Saiful umpama bulan jatuh ke riba. Sambil menjeling pada Saiful, Nabil akui: “Inilah pertama kali dalam hidup saya berlakon filem dan digandingkan pula dengan mentor saya, Saiful Apek dalam filem Sifu Dan Tonga. Sukar nak gambarkan perasaan saya ketika itu, apatah lagi saya masih terlalu hijau dengan dunia lakonan.

“Saya masih ingat ketika itu, saya mendapat ‘sindrom confius’, maklumlah baru keluar gelanggang Raja Lawak. Saiful banyak memberi tunjuk ajar dalam membentuk lakonan saya dalam filem pertama ini. Buat saya paling selesa, Saiful melayan saya seperti sudah kenal lama, sedangkan itulah kali pertama kami digandingkan. Saya perhatikan Saiful tak seperti kebanyakan artis popular lain, dia sentiasa merendah diri dan melayan orang sekeliling seolah-olah dirinya orang biasa. Saya percaya itulah formulanya buat peminat terus menyayangi dan sentiasa menantikan kemunculannya di layar perak.”

Nabil juga akui, beliau bernasib baik dipertemukan Saiful yang tidak lokek ilmu dan sering berkongsi pengalaman suka duka bersamanya.

“Sebagai pelawak saya seharusnya tidak bermasalah bergandingan dengan sesiapa tetapi Saiful agak berbeza. Bukan saya mahu menumpang popularitinya, sebaliknya apa saja yang kami buat sering menjadi… tiada pertindihan sesama kami. Itulah dinamakan ‘chemistry.

Hampir setiap babak yang dilakonkan bersamanya membuatkan saya sakit perut menahan ketawa. Saiful banyak memberi tips untuk berdepan dengan kamera, postur yang patut diberikan apabila berada di depan kamera dan cara melontarkan dialog dengan baik,” katanya yang kini dikaitkan hangat bercinta dengan pelakon, Irma Hasmie.

Tonga alami kejutan budaya

Menyentuh filem Sifu Dan Tonga, Nabil akui gementar dengan reaksi penonton terhadap filem pertama lakonannya. Apatah lagi bergandingan dengan nama besar seperti Saiful, Erra Fazira, Fouziah Gous selain penampilan khas, Datuk Jalaluddin Hassan, Piee, Zainal Alam Kadir, Rozita Che Wan, Along Raja Lawak, Din Beramboi, Shamsul Ghau Ghau, Ruminah Sidek dan Mak Jah.

“Saya percaya masih banyak kelemahan saya dalam filem pertama ini, tetapi saya bersyukur mendapat tunjuk ajar daripada pengarah selain pelakon senior lain. Cuma, filem komedi ini lain daripada lain kerana ia memaparkan gelagat dua manusia zaman purba. Pakaian kami juga pelik seperti kaum dayak tetapi tidaklah menjolok mata.

“Saya melakonkan watak Tonga dan Sifu (Saiful) yang hidup pada zaman purba akhirnya keluar dari kepompong mereka dan terkejut dengan arus pembangunan. Mereka tinggal di hutan dan gua batu selama ini tersesat di kota besar dalam usaha mencari Mila (Fouziah) yang diculik orang kota.

“Gara-gara terlalu lama tinggal di gua, Sifu dan Tonga berdepan masalah dunia luar termasuk peralatan canggih seperti kereta, motosikal, tandas yang membawa kepada elemen kelucuan dalam filem ini,” katanya.

Fouziah akui sukar jadi gadis naif

Fouziah berkata, dia terlalu mengagumi dengan bakat magis yang dianugerahkan kepada Saiful dan Nabil. Bagaimanapun, berlakon dalam filem Sifu Dan Tonga memberi pengalaman pahit dan manis buatnya.

Sambil tersenyum, Fouziah akui: “Pengalaman manis apabila dapat bergandingan dengan nama besar seperti Saiful, Nabil dan Erra Fazira. Sesuatu yang saya impikan selama ini.

“Bagaimanapun, pahitnya apabila saya membawa watak Mila, seorang gadis hutan yang primitif dengan arus pembangunan kota. Apabila diculik Mama Tammy (Erra Fazira), saya hanya menjadi seorang bisu kerana tidak faham dengan percakapan orang kota. Saya lebih banyak bermain dengan pergerakan mata dan ekspresi bahasa tubuh.

“Agak lucu kerana saya, Saiful dan Nabil yang dianggap kaum Watson (kaum yang wujud sejak zaman perang Jepun) mempunyai bahasa sendiri. Bahasa komunikasi kami direka sendiri oleh Saiful dan Nabil yang pastinya akan menggeletek perasaan.

“Bukan mudah untuk menghayati watak gadis naif ini kerana sebelum masuk set penggambaran saya perlu mengosongkan fikiran, anggap saya tak tahu apa-apa. Paling mencabar, apabila saya terpaksa berlari dalam hutan dan dikejar oleh helikopter. Kaki saya luka akibat terpijak duri dan ranting pokok,” katanya yang pernah bergelar Pelakon Harapan Wanita Popular pada Anugerah Skrin 2007, selain menjadi finalis kategori Artis baru Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007.

Info Nabil

Nama: Ahmad Nabil Ahmad

Umur: 26 tahun

Asal: Mambau, Negeri Sembilan

Idola: Jerry Seinfeld dan Afdlin Shauki

Filem: Sifu & Tonga, Lu Pikirlah Sendiri De Movie, Kecoh Betul, Momok, Man Tera, Pisau Cukur

Program: Lu Fikirlah Sendiri Nabil, Hua… Hua… Hua…, Pondok-Pondok, Studio Nabil

Telefilem: Sonata Labu Labi

Pencapaian: Juara Raja Lawak

Info Saiful Apek

Nama: Mohd Saiful Azam Mohamed Yusoff

Usia: 40 Tahun

Tarikh Lahir: 12 Mei 1969

Tempat Lahir: Selangor

Filem: 45 filem termasuklah Senario The Movie, Senario Lagi, Lagi-Lagi Senario, Lang Buana, KL Menjerit, Laila Isabella, Jutawan Fakir, MX3, Berlari Ke Langit, Bintang Hati, Gila Bola, Kuliah Cinta, Cinta Luar Biasa, Gila-Gila Pengantin Remaja, Gangster, Biar Betul, Lady Boss, Bujang Senang, Anak Mami Kembali, Nana Tanjung, Otai, Duyung, Cicak-Man, Cicak-Man 2, Shh… Dia Datang dan Sifu & Tonga

VCD: Champion, Siapa Tak Sayang Bini, Siapa tak Sayang Bini II, Pelakon Popular, Manisnya Hempedu Pahitnya Madu, Jadi Tak Jadi, Apa Nak Di Kato, Neon, O.K

Pencapaian: Pelakon Komedi Lelaki Popular 2002 & Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003.

Info Fouziah Gous

Nama: Nor Fouziah Mohd Gous

Usia: 27 Tahun

Tarikh Lahir: 11 Disember 1982

Tempat Lahir: Hospital Kuala Lumpur (HKL)

Keluarga: Bongsu daripada lima beradik

Pendidikan: Diploma Kesetiausahaan (BSC), Kolej Systematic

Drama: Demi, Sangga Saadah, Qa’naah, Cinta Medik, Impak Maksima The Series, Otai The Series, Pencak Akhir, Anak Mami, Enigma, Kain Ketat Isabella dan Sutera Maya.

Filem: Bujang Senang, Malaikat Maut, Otai dan Sifu & Tonga

Pencapaian: Pelakon Harapan Wanita Popular (Anugerah Shine Pantene) di ASK2007

Solekan & Dandanan: Zul Fazli (019-610 6969)

Bintang Pop

Saya Minta Maaf

January 11, 2009 Bintang Pop | Comments (0) admin @ 8:36 pm

Oleh Zubir Mohd Yunus


Memey

Nama Memey meledak panas menghiasi dunia hiburan tempatan selepas insiden tangkap khalwat pada awal pagi 30 Oktober

LEBIH dua bulan menjadi ‘pelarian cinta’ dan buruan media massa, akhirnya pelakon baru, Suhaiza Suhaimi, 20, atau Memey muncul buat pertama kalinya secara eksklusif bersama B*Pop hari ini menerusi satu sesi fotografi khas di Hotel Boulevard Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

Nama Memey meledak panas menghiasi dunia hiburan tempatan selepas insiden tangkap khalwat pada awal pagi 30 Oktober lalu bersama aktor popular, Norman Hakim atau Mohamed Nurhakim Zaidon, 32, oleh sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di pejabat pelakon lelaki itu di Ukay Perdana, Selangor.

Justeru, industri hiburan terus bergegar gara-gara kontroversi panas itu sehinggalah membawa kepada perceraian Norman dengan isterinya, Abby Abadi, 31, pada 18 Disember lalu apabila pasangan pelakon Gerak Khas itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor.

Memey pula terus ‘menghilangkan’ diri apabila tidak mahu keluar dari ‘gua’ persembunyiannya sehinggalah dia didakwa takut untuk membuat sebarang kenyataan media. Memey juga menjadi bahan kritikan media, selain ‘dihentam’ dengan pelbagai tohmahan, kononnya dialah perosak rumah tangga Norman dan Abby, manakala Norman dan Memey pula dikatakan akan bernikah dalam masa terdekat ini.

Namun, selepas dipujuk beberapa kali, selain mendapat bantuan daripada rakan karibnya, Wan Cromok yang juga seorang penerbit drama, Memey akhirnya mendapat kekuatan bertentang mata dengan penulis, sekali gus dia muncul pada sesi fotografi dengan wajah berseri-seri, ditambah busana cantik rekaan pereka fesyen terkenal, Michael Shu, menyerlahkan lagi kejelitaannya.

“Pertama sekali, saya nak minta maaf kepada pihak media massa kerana gagal memberikan kerjasama sejak berlakunya insiden berkenaan. Saya sedar, sebagai seorang public figure, saya tidak boleh berbuat begitu, namun setiap apa yang kita buat, pasti ada sebab, tujuan dan alasan. Saya memerlukan ketenangan dan kekuatan, apatah lagi saya masih terlalu mentah dalam bidang seni ini.

“Saya perlu mencari input dan kekuatan untuk berdepan dengan situasi ini. Justeru, saya mengambil langkah untuk berdiam diri. Pada masa sama, saya mencari ketenangan dan bermuhasabah diri. Menjelang tahun baru, saya rasa sudah bersedia untuk berdepan dengan situasi ini. Lagipun, saya tidak akan meninggalkan bidang lakonan, maka saya harus bersedia bertemu media, peminat dan masyarakat.

“Apabila berlakunya insiden itu, suasana memang hangat dan tegang. Saya bimbang, sebarang kenyataan yang saya buat akan mengeruhkan lagi keadaan. Kini, apabila saya muncul semula selepas sekian lama menghilang, saya harap rakan wartawan, penggiat industri seni, teman artis, peminat dan masyarakat sedia memaafkan saya,” kata Memey yang ternyata sudah mendapat kekuatan berdepan dugaan hidup.

Iktibar daripada kejadian hitam itu?

“Setiap yang berlaku itu, pasti ada hikmahnya. Bagi saya, apa yang saya lalui itu adalah hari pembelajaran. Apabila melalui sesi pembelajaran itu, saya sebenarnya berdepan pengalaman sama ada manis mahupun pahit. Pengalaman itulah yang mengajar saya menjadi lebih matang pada masa depan. Setiap kritikan yang positif saya jadikan input, manakala tohmahan pula, saya jadikan sebagai pengajaran atau iktibar bagi diri sendiri,” katanya penuh keyakinan.

Sebelum ini pada 28 dan 29 Oktober lalu, Norman bersama Memey bermati-matian membuat penafian menerusi media massa bahawa mereka mempunyai hubungan istimewa sehingga menggugat keharmonian rumah tangga Norman dan bekas isterinya, Abby, namun sehari selepas itu, Norman dan Memey ditangkap khalwat. Keadaan itu memperlihatkan baik Norman mahupun Memey sebenarnya menipu peminat dan orang ramai.

Nafi tidur di pejabat Norman

“Saya akui, mungkin kenyataan saya yang berdolak-dalik sebelum ini mengguris hati media dan orang ramai. Tapi, seperti saya katakan tadi, setiap apa yang kita buat, pasti ada sebab, tujuan dan alasan. Kini, baru saya sedar hukum karma. Itu juga satu pengajaran bagi saya. Setiap apa yang kita cuba selindung, suatu hari nanti kebenarannya akan terbukti. Sekali lagi saya minta maaf kepada semua,” kata Memey yang kelihatan sedikit sebak.

Desas-desus sebelum ini mendakwa, sebelum kejadian tangkap khalwat itu, Memey sebenarnya sudah beberapa bulan tinggal di pejabat Norman di Ukay Perdana itu apabila kereta Memey sering dilihat berada di bawah premis berkenaan. Sejauh mana kebenaran khabar angin itu?

“Itu satu tohmahan, saya tak pernah tidur di pejabat Norman! Tapi, saya tak nafikan, saya sering ke situ atas urusan kerja. Saya akui, apabila kami sering bekerjasama, secara tak langsung persahabatan itu menjadi lebih akrab. Keluarga saya tahu, saya ke pejabat Norman atas urusan kerja. Tapi, kita tak sedar, apa yang kita buat kadang-kadang menimbulkan perspektif negatif di mata orang ramai.

“Yang penting, keluarga saya tahu. Justeru, apabila terjadi insiden berkenaan, keluarga tidak terus menyalahkan saya,” jelasnya lagi.

Memey menambah, perbicaraan kes khalwat dirinya dan Norman akan berlangsung dalam masa terdekat ini.

Belum bernikah dengan Norman

Sebelum itu, muncul pelbagai spekulasi kononnya Norman dan Memey sudah bernikah secara sembunyi di sempadan Thailand. Selain itu, angin bertiup kencang, khabarnya Norman akan memperisterikan Memey dalam masa terdekat ini, tambahan pula status dirinya yang kini bergelar duda.

“Terus-terang untuk pengetahuan semua, saya dan Norman belum bernikah! Apa yang dijaja selama ini hanyalah spekulasi,” tegas Memey.

Norman dalam kenyataannya sebelum ini memberitahu, dia akan bertanggungjawab ke atas diri Memey. Justeru, adakah Norman dan Memey ada perancangan untuk berkahwin sedikit masa lagi?

“Perkara ini terlalu peribadi untuk diceritakan secara terbuka. Sebarang kenyataan saya bakal mengguris hati banyak pihak. Saya tak mahu isu kahwin ini jadi spekulasi lagi kerana antara kami, tidak pernah ada sebarang perancangan ke arah itu (berkahwin). Apabila Norman pernah memberitahu dia akan bertanggungjawab, itu kenyataannya bukan saya.

Bagaimana pula dengan dakwaan kononnya Norman pernah dilihat berkunjung ke rumah keluarga Memey di Kota Tinggi sehingga ada gambar anda berdua sebagai bukti kunjungan berkenaan? Memey pula khabarnya membalas kunjungan itu apabila anda dilihat berada di rumah keluarga Norman di Kuantan, Pahang, baru-baru ini. Desas-desus mendakwa, kedua-dua kunjungan berkenaan membincangkan soal perkahwinan. Apa komen Memey?

“Memang benar mengenai kedua-dua kunjungan itu. Tapi, semua pertemuan itu tidak pernah membincangkan soal perkahwinan kami, sebaliknya ia lebih kepada mempereratkan perhubungan silaturahim antara keluarga, memohon maaf di atas apa yang berlaku. Bukan menjadi satu kesalahan, lagipun hubungan saya dan ibu Norman, baik. Kebetulan ibunya tak sihat, jadi saya ke Kuantan menziarahinya. Langsung tak bincang soal kahwin,” katanya berterus-terang.

Mohon maaf pada Abby

Bagi Memey, keluarganya di kampung memainkan peranan penting kerana mereka bertanggungjawab memberinya kekuatan berdepan dugaan dan ujian dalam meniti kehidupan, selain berdepan kritikan dan cemuhan orang ramai yang maha hebat, keluarga sentiasa berada di belakangnya memberi sokongan supaya dia tidak mudah patah semangat.

Memey dikatakan punca keretakan dan orang ketiga dalam kehancuran rumah tangga Norman-Abby, adakah Memey bersedia berdepan kenyataan itu?

“Adalah tidak adil untuk mengatakan saya adalah ‘pesalah’ atau punca utama keretakan rumah tangga mereka. Namun, terpulanglah kepada orang ramai membuat penilaian terhadap diri saya. Saya tak kisah apa mereka nak cakap. Mungkin insiden 30 Oktober lalu sedikit sebanyak menjadi faktor sampingan kepada keretakan rumah tangga mereka, itu saya tak nafikan. Tapi, jangan terus menyalahkan saya, saya juga ada kelemahan.

“Apa yang Tuhan tunjukkan kepada saya, itu satu pengajaran. Walaupun pahit, saya perlu reda dengan apa yang berlaku. Maafkan saya,” kata Memey yang sekali lagi kelihatan agak sebak.

Kata-kata Memey kepada Abby atau mungkin anda sudah bersedia untuk bersemuka dengannya?

“Saya mohon maaf secara terbuka, daripada hujung rambut sampai hujung kaki. Sebagai seorang wanita, pasti dia (Abby) ada perasaan marah terhadap diri saya berdasarkan kenyataannya sebelum ini, sekali lagi saya minta maaf. Namun, saya belum bersedia bertemu dengannya, insya-Allah suatu hari nanti, kami pasti akan bertemu,” kata Memey.

Norman pernah mengakui, dia menyayangi Memey, adakah Memey juga berperasaan yang sama?

“Dia hanya cakap kepada media, bukan di depan saya. Jadi, saya tidak mahu mengiyakan atau menafikannya, biarlah masa sebagai penentu,” akui Memey penuh makna.

Selepas kejadian tangkap khalwat itu juga, Memey mengakui dia terpaksa menolak semua tawaran lakonan kerana dia tidak mahu ‘gangguan’. Namun, Skop Productions terus membuka peluang kepada dirinya apabila dia bakal membintangi sambungan drama bersiri, Roda-Roda Kuala Lumpur yang dijadualkan memulakan penggambaran awal Februari ini.

Info Memey

NAMA SEBENAR: Suhaiza Suhaimi

TARIKH LAHIR: 25 Mac 1988

ASAL: Kota Tinggi, Johor

KELUARGA: Anak ketiga daripada enam beradik

PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Tenggaroh A, Kota Tinggi

DRAMA: Graduan, Elit, Pasrah, Dunia Baru 3, Roda-Roda Kuala Lumpur, Tragedi Oktober, Lara Rindu Mahsuri dan Farah Syakirah

PENGACARAAN: Diari Anak Seni (RTM)

PROGRAM TERBARU: Tetamu segmen Gelora, Wanita Hari Ini (WHI) TV3, jam 12 tengah hari, 13 Januari 2009

Lokasi: Hotel Boulevard, Mid Valley City, Lingkaran Syed Putra, Kuala Lumpur (03 2295 8000)

Terima kasih: Pengurus Komunikasi, Huang Chia Ming

Pakaian: Michael Shu (012-9853618)

Solekan & dandanan: Rose Suci (012-9021217) menggunakan Elysyle, kosmetik Elken

Bintang Pop

Zizie Dilamun Cinta Dengan Ahli Politik

January 4, 2009 Bintang Pop | Comments (0) admin @ 8:46 pm

Bintang Pop