Sazzy & Aishah Idam Cahaya Mata

Kedua-dua selebriti popular ini dilihat serasi kerana banyak persamaan dikongsi bersama
“BAGI semua pasangan berkahwin, tentunya mereka menginginkan cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga yang dibina tetapi mungkin belum rezeki kami lagi agaknya,” demikian luahan dua sahabat baik, Sazzy Falak dan Aishah Sinclair dalam pertemuan bersama B*Pop baru-baru ini.
Diakui, kedua-dua selebriti popular ini mempunyai banyak persamaan. Mereka bukan saja berkahwin pada usia muda, malah belum menimang cahaya mata hingga kini walaupun usia perkahwinan mereka ada yang sudah mencecah tiga tahun.
“Kami berserah pada Allah.
Sebagai hamba-Nya, kita hanya mampu merancang, Dia yang menentukan segala-galanya.
Lagipun, baik saya atau Aishah, kami tidak begitu terdesak untuk menimang anak. Kami tidak pernah merancang tetapi apa boleh buat… Dia belum mahu bagi,” katanya.
Pandangan Sazzy turut dipersetujui oleh Aishah yang berterima kasih kepada suaminya, begitu juga keluarga mentua yang memahami keadaan, selain memberikan sokongan moral kepadanya dalam mengendalikan isu itu.
“Saya dan suami bersikap terbuka berhubung isu anak ini, masing-masing tidak pernah merasa tertekan walaupun sudah lama berkahwin. Kami bahagia dan tetap meneruskan kehidupan seperti biasa. Apa yang boleh saya katakan… no pressure at all.
“Justeru, saya bersyukur kerana memiliki suami dan keluarga yang memahami. Lagipun, soal anak, rezeki, jodoh dan maut, semuanya tuhan yang tentukan.
Begitu hebat macam mana sekalipun kita berusaha, kalau Dia kata belum tiba masanya, masih tetap tidak menjadi juga,” katanya.
Sazzy dan Aishah tidak bersetuju dengan pandangan sesetengah pihak kononnya bergelar isteri pada usia muda, termasuk bakal bergelar ibu suatu hari nanti, sebagai penghalang kepada wanita membina kerjaya cemerlang, lebih-lebih lagi dalam industri hiburan.
“Kita seharusnya bersikap terbuka jika mahu terus maju ke depan, bukannya berfikiran skeptikal.
Rasionalnya, ramai wanita sama ada di dalam atau luar negara berjaya dalam lapangan diceburi mereka walaupun sudah bergelar isteri dan ibu.
“Dalam industri hiburan kita pun, ramai artis dan selebriti masih lagi popular dan menerima pelbagai tawaran walaupun sudah berkahwin dan berkeluarga.
Justeru, tidak benarlah tanggapan kononnya gelaran isteri dan ibu sebagai halangan untuk membina kerjaya yang cemerlang,” katanya.
Bagaimanapun, mereka sependapat bahawa bukan mudah untuk melaksanakan tiga tugas iaitu sebagai isteri, ibu dan wanita berkerjaya pada satu masa, sebaliknya ia memerlukan kebijaksanaan dalam membahagikan masa dan komitmen.
“Ini bukan tugas mudah dan memang banyak cabarannya.
Dalam konteks ini, aspek pengurusan yang paling penting, khusus dalam membahagikan masa dan komitmen. Pada masa yang sama, persefahaman antara pasangan masing-masing juga penting,” katanya.
Mengakui komunikasi antara elemen yang penting dalam menguruskan sebuah rumah tangga yang baik terutama bagi pasangan yang sibuk seperti mereka, Sazzy dan Aishah juga memberitahu sentiasa mengambil peluang mengeratkan hubungan dengan pasangan masing-masing.
“Biasanya, kami akan keluar bersama, termasuk suami masing-masing menikmati makan malam. Sebenarnya, bukan kami saja berkawan rapat, malah suami pun sama. Sambil makan, kami akan berkongsi kisah suka duka, berbincang dan sebagainya.
“Justeru, bergantung kepada suami isteri untuk menceriakan kehidupan rumah tangga masing-masing. Tidak bermakna kalau tiada cahaya mata, rumah tangga kita tidak bahagia,” katanya.
Bergabung tubuh syarikat sendiri Bernaung di bawah syarikat pengurusan yang sama, Beyond Events Sdn Bhd, hubungan antara kedua-dua selebriti ini memang rapat, malah mereka dilihat bukan sekadar rakan karib, sebaliknya bagaikan adik-beradik.
Hubungan rapat yang terjalin itu jugalah yang mendorong mereka berkongsi modal membuka syarikat sendiri, SinclairFalak Sdn Bhd, yang dinamakan sedemikian sebagai penghormatan kepada bapa masing-masing.
Selain mereka, pemegang saham lain dalam syarikat yang aktif menganjurkan bengkel dan seminar motivasi itu termasuk abang sulung Aishah, Asraff yang kini bermastautin di Jakarta selepas berkahwin dengan penyanyi terkenal Indonesia, Bunga Cinta Lestari baru-baru ini.
Sazzy berkata, perniagaan mereka ketika ini lebih bertumpu kepada penganjuran bengkel dan seminar untuk membina keyakinan diri melalui bidang lakonan yang dinamakan Acting Saved My Life! Success Series Workshop.
“Itulah perniagaan teras kami dan program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan di kalangan orang ramai sejak dilancarkan.
Kami merancang untuk mempelbagaikan perniagaan syarikat ini pada masa depan, terutama dalam pengurusan kewangan, pemasaran dan perhubungan awam,” katanya.
Aishah pula menjelaskan pembabitan mereka dalam bidang perniagaan turut mendapat sokongan suami kerana masing-masing turut mence buribidang perniagaan.
“Sebenarnya, kami banyak mempelajari selok-belok perniagaan daripada suami masing-masing. Sebenarnya, kami membuka syarikat ini pun sebagai persediaan masa depan, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.
“Malah, industri hiburan kita turut terkena tempiasnya, dengan tawaran diterima semakin berkurangan berikutan langkah berjimat cermat yang diambil pengusaha stesen tv, begitu juga syarikat produksi, agensi pengiklanan dan sebagainya untuk menempuh situasi sukar ini,” katanya.
Justeru, apabila mempunyai syarikat sendiri, katanya, mereka masih mempunyai sumber pendapatan lain untuk meneruskan kehidupan.
“Walaupun sudah berkahwin… mempunyai suami yang berkemampuan untuk menyara kami berdua, kami lebih suka bekerja dan mencari pendapatan sendiri. Baik saya, begitu juga Sazzy, kami adalah wanita yang mahu berdikari, yang tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada suami,” katanya.
Azam buka cawangan serantau Selain mempelbagaikan jenis perniagaan, Sazzy dan Aishah berharap syarikat milik mereka itu dapat meluaskan empayarnya ke peringkat serantau, malah pelbagai perancangan sedang disusun bagi memastikan impian itu menjadi satu kenyataan.
“Di peringkat awal ini, tumpuan kami lebih kepada pembukaan cawangan di Jakarta, Indonesia. Kebetulan Ashraff berada di sana dan peluang itu perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk membuka cawangan di negara itu.
“Difahamkan, beliau sudah membuat persiapan sepatutnya untuk tujuan itu. Sebenarnya, kami memang tidak sabar-sabar melihat pembukaan pejabat SinclairFalak Sdn Bhd di sana,” katanya.
Mereka juga bersikap optimis, malah yakin pembukaan cawangan syarikat itu di Indonesia bakal menjanjikan pulangan lumayan berikutan pasaran yang meluas, selain permintaan tinggi ke atas penganjuran seminar atau bengkel membina keyakinan diri di sana.
“Kami percaya pada prinsip peluang ada di mana-mana cuma kita hanya perlu berusaha untuk mencarinya.
Memang banyak perancangan yang dilakukan untuk mengembangkan syarikat termasuk mahu menjadikannya sebagai syarikat penerbitan drama dan filem.
“Memang menjadi inspirasi kami untuk menjadikan SinclairFalak sebagai syarikat hiburan nombor satu di Asia Tenggara sekali gus menaikkan standard industri hiburan tempatan,” katanya.
Walaupun menyedari bukan mudah mengendalikan syarikat dan dalam masa yang sama sibuk dengan dunia seni, namun kedua-duanya tidak akan mudah mengalah.
“Beban kerja memanglah bertambah sikit tetapi kami percaya, ia akan membuatkan kami menjadi lebih matang dan lebih kuat dalam mengendalikan diri,” kata mereka.
Bintang Pop