Featuring the latest Malaysia scandals, gossip, and entertainment news.

Popular Selepas Kahwin

March 29, 2009 Bintang Pop | Comments (0) admin @ 6:45 pm



Oleh Hardi Effendi Yaacob

Dua finalis ABPBH 2008 tidak pernah menganggap status perkahwinan menjadi penghalang dalam mengejar kerjaya malah kehadiran insan tersayang mendorong ke arah kecemerlangan karier dalam bidang seni

BAGI segelintir artis terkenal, ikatan perkahwinan itu ada ketikanya dianggap sebagai halangan untuk mengekalkan populariti, malah tidak kurang pula yang beranggapan kononnya ’saham’ mereka akan merudum selepas berkahwin dan berkeluarga.

Justeru, tidak hairanlah mengapa ada di antara mereka mengaku bujang apabila ditanya media mahupun peminat mengenai status perkahwinan masing-masing hinggakan sanggup menyembunyikan suami, isteri dan anak-anak mereka. Bagaimanapun, bukan semua artis bersikap demikian, termasuklah aktor kacak, Aaron Aziz, yang begitu terbuka apabila diminta berbicara mengena rumah tangganya yang dibina bersama Diyana Halik sembilan tahun lalu hingga kini dikurniakan dua cahaya mata comel.

Bagi Aaron, tiada apa yang perlu dirahsiakan mengenai status perkahwinannya, malah sering ditemani isteri dan anak-anaknya ketika di lokasi penggambaran, selain menghadiri pelbagai majlis hiburan jika mereka mempunyai kelapangan. “Kehadiran isteri dan anak-anak tidak pernah saya anggap sebagai penghalang kerjaya, malah merekalah yang banyak memberikan dorongan selama ini. Alhamdulillah, rezeki saya melimpah ruah… ini berkat doa isteri dan anak-anak,” katanya dalam temubual bersama B*Pop, baru-baru ini.

Bakal bersaing dalam final kategori Pelakon TV Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di Genting Highlands, 12 April ini, beliau menegaskan isu berhubung status perkahwinan itu tidak sepatutnya timbul kerana niatnya menceburi bidang lakonan bukan mahu mengejar glamor.

“Jauh saya berkelana bersama isteri dan anak-anak untuk mencuba nasib sebagai pelakon di Malaysia. Bila sudah berjaya, apakah saya patut mengetepikan mereka (keluarga) yang memberikan sokongan selama ini.

Lagipun, saya cukup bahagia dikurniakan seorang isteri yang memahami dan menyayangi saya, selain anak-anak yang cukup menceriakan kehidupan kami. Sebab itulah, saya cukup berbangga apabila diminta memperkatakan mengenai keluarga saya,” katanya yang berasal dari Tampines, Singapura Aaron yang baru kembali ke Kuala Lumpur selepas menjalani penggambaran iklan L’oreal Men di Bangkok baru-baru ini, yakin dengan kedudukannya ketika ini walaupun sudah berkahwin dan berkeluarga kerana tahu peminat lebih menilai bakat dan mutu lakonannya.

“Alhamdulillah, walaupun orang luar, saya diterima dengan baik oleh penonton di sini. Bagi saya, pencapaian itu sudah cukup baik. Sebab itulah, saya lebih mementingkan kepuasan penonton daripada populariti saya. Saya yakin boleh kekal popular melalui lakonan yang bagus,” katanya.

Wajah Eksklusif Astro Megadrama ini turut menjadi pelakon berpengalaman, Rosyam Nor sebagai contoh kerana mampu mengekalkan popularitinya walaupun sudah lama menceburi bidang seni, selain berkahwin dan berkeluarga.

“Saya cukup mengagumi kemampuan beliau itu, malah berharap saya berjaya menjejaki langkahnya. Itulah yang selalu saya katakan, saya tidak kisah kalau tewas kepadanya dalam kategori ini (Pelakon TV Lelaki Popular) kerana beliau satu nama besar dalam industri. Lain ceritalah kalau saya tewas pada calon yang tiada nama… itu masalah besar! Sebenarnya, menang atau kalah bukan persoalannya, yang penting berpeluang menjadi finalis sudah cukup baik kerana sekurangkurangnya ada juga peminat yang mengundi saya. Kalau menang, itu kira bonuslah,” katanya.

Bakal muncul dengan filem terbarunya, Bohsia, April ini, Aaron yang menyedari karier lakonan ada musim pasang surutnya turut melancarkan koleksi pakaiannya menggunakan label D Cube dan A2 berkonsepkan street wear serta semi-casual.

“Sebenarnya, bisnes ini dikendalikan isteri saya kerana beliau memang meminati fesyen. Saya cuma menjadikan impiannya satu kenyataan, juga sebagai hadiah untuknya. Lagipun, beliau berpengetahuan luas dalam bidang fesyen, malah selama ini pun beliaulah yang menjaga imej dan pakaian saya.

“Bisnes ini dikendalikan secara online melalui laman web www.aaronaziz.com. Namun, jika ada rezeki nanti, memang kami berhasrat membuka butik di Kuala Lumpur. Lebih banyak koleksi boleh ditempatkan di situ nanti,” katanya sambil berharap koleksi pakaiannya itu dapat dipasarkan ke peringkat global.

Bagi Sari Yanti Mohd Nazari, 25, pula yang terpilih sebagai finalis Artis Baru Popular, pemilihan itu memang di luar jangkaannya, malah beliau sendiri tidak menyangka boleh ke peringkat akhir, namun tidak meletak harapan tinggi untuk memenanginya.

Katanya, persaingan yang dihadapinya cukup sengit dalam kategori itu, lebihlebih lagi dengan kehadiran Juara Akademi Fantasi Musim Keenam (AF6), Stacy, yang begitu ramai peminatnya, malah turut mempunyai kelab peminat sendiri.

“Bagaimanapun, saya cukup gembira dengan perkembangan ini, malah menganggapnya sebagai kejayaan terbesar dalam karier seni saya. Sebenarnya, saya tidak menyangka ada juga peminat yang mengundi saya. Terima kasih kepada sokongan mereka,” katanya.

Seperti Aaron, Sari yang baru dua bulan bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Eddy Casmady Sheikh Hussin, tidak pernah menganggap perkahwinannya sebagai halangan untuk mengecapi populariti, selain membina karier lakonan yang cemerlang.

INFO: Aaron
Nama Penuh: Aaron Mustapha Aziz
Umur: 33 tahun
Tarikh Lahir: 23 Februari 1976
Asal: Tampines, Singapura
Kerjaya: Model, Pengacara, Pelakon, Produser dan Ahli Perniagaan
Status Perkahwinan: Berkahwin
Isteri: Diyana Halik
Anak: Danish Anaqi (5 tahun) dan Dwi Ariana (3 tahun)
Iklan: Lebih 10 (antaranya L’oreal Men dan Celcom)
Drama Bersiri/Telefilem: Lebih 20 (antaranya Cinta Gila, Rahsia Hati, Hana Hunny Strawberry dan Oh! Ibu
Filem: Evolusi KL Drift I & II, Bohsia, Pisau Cukur, Dia Datang, Suaka dan Ransan
Program TV: Pesona Nona TV3
Syarikat: Aaron Aziz Production Pte Ltd
Laman Web: www.aaronaziz.com

INFO: Sari Yanti
Nama Penuh: Sari Yanti Mohd Nazari
Umur: 25 tahun
Tarikh Lahir: 9 November 1984
Asal: Kuala Pilah, Negeri Sembilan
Akademik: Diploma Pengajian Perniagaan (Universiti Tenaga Nasional)
Kerjaya: Model, Pengacara dan Pelakon
Status Perkahwinan: Berkahwin
Suami: Eddy Casmady Sheikh Hussin
Iklan: Lebih 20 (Palmolive, Hotlink, Tesco dan Sunsilk)
Drama/Telefilem: Lebih 10 (Lima, Kisah Kaisara I & II, Seandainya Aku Siti, Juanna dan Sofea Zahra
Filem: Impak Maksima – The Movies dan Hooperzs
Program TV: Chop!, Gen-X dan Gua.com (Malaysia Hari Ini), Teratak Impian dan TM Cage Futsal

Bintang Pop

Qal Pengubat Duka Nora

March 22, 2009 Bintang Pop | Comments (0) admin @ 6:55 pm

Oleh Zaidi Mohamad


Belum bersedia mencari pengganti, hidup Nora Danish kini lengkap dengan kehadiran anaknya, Putera Rayqal.

‘Hot mama’ yang baru saja menyambut hari lahir ke-27 pada 7 Mac lalu hanya ingin terus melalui fasa kehidupan seterusnya mengejar cita-cita untuk menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya

APAPUN yang sudah terjadi kehidupan harus diteruskan. Apapun jua dugaan mendatang, mahu atau tidak, ia harus ditempuh selagi masih bernafas. Jika suratan bergelar ibu tunggal muda terpaksa ditempuhi, ketika berusia 26 tahun, ia juga harus diterima dengan penuh keredaan.

‘Hot mama’ yang baru saja menyambut hari lahir ke-27 pada 7 Mac lalu hanya ingin terus melalui fasa kehidupan seterusnya mengejar cita-cita untuk menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya. Bohonglah jika dikatakan Nora Danish tidak memendam rasa dan makan hati ketika bergelut dengan kemelut keretakan rumah tangga dengan bekas suaminya, Rizal Ashram Ramli tahun lalu. Hati menangis siapa yang tahu, malah pelakon comel bernama penuh Nora Mohd Danish Haniff tidak mahu terlalu mengikut perasaan dengan terus berduka mengenang kisah lalu.

“Apa yang Nora sedang dan bakal lalui ke depan nanti, ia banyak mengajar kita untuk menjadi lebih tabah. Ia membuatkan Nora lebih berhati-hati dan kuat meniti kehidupan. Nora tak boleh terus menghukum perkara yang terjadi, malah kita sendiri tidak tahu nasib yang bakal menerjah,” katanya pada awal perbualan dengan B*Pop sambil mengakui dirinya meletakkan pertimbangan ada hikmah di sebalik yang dihadapinya ketika ini.

Lembaran baru ingin diterokainya. Jika perceraian sudah tertulis itu adalah yang terbaik kepada pelakon sitkom Puteri ini, dia akur. Saat ini, Nora belum tergerak hati langsung memikirkan soal pengganti atau merujuk semula dengan bekas suaminya, apatah lagi kehadiran Putera Rayqal yang bakal mencecah usia tiga bulan sudah cukup memadai melengkapi ruang hidupnya yang menghadapi duka nestapa ketika sarat mengandung dulu.

“Sedikit sebanyak kehadiran Putera Rayqal mampu mengubati hati Nora di kala duka dan kesunyian mencengkam jiwa,” celahnya yang dijangka kembali ke persada seni dirinduinya bulan depan.

Paparan gambar comel anaknya ini sudah lama dinanti-nantikan peminat Nora di luar sana. Ia sekali gus menamatkan penantian orang selama ini yang begitu teruja untuk menatap wajah Qal, panggilan manja yang diberi Nora dan keluarganya. Malah, ibu Nora sempat memberitahu wajah Qal mempunyai iras sama seperti bapanya sewaktu kecil.

Sesi fotografi hari itu menambahkan lagi seri wajah Nora yang comel menerusi padanan anting-anting, rantai tangan, rantai leher dan cincin tajaan Rafflesia The Pearl Centre. Rafflesia menjadi satu antara penaja untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008.

Kata Nora penuh makna, Qal umpama udara untuknya terus bernafas dan jantung yang berdegup. Celah Nora lagi yang membahasakan dirinya sebagai ‘mummy’ untuk Qal, anaknya itu ada mewarisi darah kacukan Myanmar daripada dirinya dan ibu. Fotografi ini berlangsung di kediaman Nora di tengah kota Kuala Lumpur dan riuh rendah jadinya apabila Qal menjadi perhatian untuk didukung serta diusik.

“Kalau keluar rumah sekali pun, Nora pasti tidak sabar untuk kembali ke rumah untuk menemuinya. Dalam apa juga yang dilakukan, Nora sudah mula ingat ada anak untuk dijaga. Seronok dapat melihat dia membesar di depan mata. Ada masa terluang, Nora bawa dia berjalan-jalan ke pusat beli belah Pavilion dan ibu Nora juga banyak membantu dalam selok belok menjaganya.


Nora bakal melaram baju rekaan butik PU3 rekaan bekas adik iparnya, Puteri Yasmin dan Puteri Azalea (gambar kecil).

Mulai berani mandikan anak

“Sekarang Nora sudah mula berani untuk memandikannya. Qal selalu terjaga waktu malam dan paling mengusik hati Nora apabila dalam tidur pun, tiba-tiba dia tersenyum manja. Kami juga berkongsi angka hari lahir yang sama iaitu 7, cuma Nora pada Mac dan Qal, Januari,” katanya yang menetap di kediaman itu bersama ibu dan kakak sulungnya, Rozzy.

Semalam diadakan majlis cukur jambul Qal di kediaman keluarga bekas suami Nora dan akuinya, turut dijemput beberapa orang rakan media sebagai tanda kasih dan sayang. Biarpun sudah berpisah, Nora tidak berkira soal penjagaan anak bahkan hubungannya dengan keluarga bekas suami pun masih baik seolah-olah tiada apa yang berlaku.

“Nora mahu Qal sentiasa dicurah dengan kasih sayang dan Nora faham ramai yang sayangkan dia termasuk keluarga bekas suami. Jika bapanya berada di Malaysia, dia tak lokek menghabiskan masa bersama Qal di rumah keluarganya. Dia (bekas suami) pun tak lupa menjalankan tanggung jawabnya sebagai bapa. Selalunya, Nora akan menghantar Qal ke rumah keluarga bekas suami. Tidak pun, mereka yang akan datang ke rumah Nora,” katanya yang pernah menjadi Pemenang Pakaian Artis Wanita Paling Glamor ABPBH 2007 menerusi rekaan Azura Mazarudin.

Jadi penyampai trofi ABPBH 2008

Mengintai kerjaya seni Nora, dia mengakui cukup merindui kerjaya yang ditinggalkannya selama setahun lebih terutama bersama rakan pelakon sitkom Puteri yang cukup meledakkan namanya. Nora juga sah menjadi penyampai trofi ABPBH 2008 pada 12 April ini di Arena Of Stars, Genting Highlands.

Pada malam kemuncak itu, Nora akan melaram rekaan bekas adik iparnya yang dilahirkan kembar iaitu Putri Azalea dan Putri Yasmin menerusi label mereka, PU3 yang beroperasi di The Curve, Damansara. Kembar ini anak kesayangan bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib.

“Saya dia tidak ada masalah bekerjasama dengan mereka malahan kembar ini juga antara teman berlepak pada waktu lapang. Sudah dua tahun kami mengenali antara satu sama lain. Rekaan kembar ini sangat cantik, mengikuti peredaran zaman dan mereka antara perintis gaya di Malaysia,” kata Nora yang mesra disapa ‘Yong’ oleh Azalea mengikut gaya panggilan lazim orang Perak.

Putri Azalea atau mesra disapa Cho yang turut hadir ketika fotografi ini berlangsung berkata, dia dan kembarnya, Yasmin akan menggunakan pelbagai fabrik untuk Nora. Katanya lagi, gaya yang bakal dipadankan nanti bertentangan dengan kebiasaan Nora. Yasmin tidak dapat hadir ketika fotografi ini dijalankan kerana berada di Indonesia menghadiri majlis perkahwinan temannya.

“Gaya rekaan itu nanti lebih cenderung ke arah Bohemia dengan jalinan fabrik sifon, sutera Satin dan beberapa lagi jenis fabrik. Korset mungkin menggunakan kain songket. Nora akan nampak lebih elegan dan matang,” katanya yang seronok mendapat anak buah baru, Qal dan mengakui hubungannya dengan Nora sentiasa rapat.

Profil Nora
Nama sebenar: Nora Mohd Danish Haniff
Tarikh Lahir: 7 Mac 1982
Asal: Kajang, Selangor
Kerjaya: Model dan Pelakon
Komersial: Sunsilk, Esso, Intimate, Walls Cornetto, Hotlink
Sitkom: Puteri
Drama TV: Pendekar 5, Cinta KlCC, Gadis Cuci dan Celak Pak Andam
Filem: Gila Gila Pengantin Popular dan Senario – Pemburu Emas Yamashita.

Info PU3

Tiada kaitan dengan nama sitkom Puteri dan sebenarnya nama itu diambil daripada nama penuh mereka yang bermula dengan Puteri. Nama penuh mereka ialah Putri Azalea Ashram Ramli dan Putri Yasmin Ashram Ramli, berusia 27 tahun.

Azalea adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa dari American Intercontinental University (AIU), manakala Yasmin graduan Rekaan Fesyen dari Middlesex University of London.

Beroperasi sejak dua tahun lalu, namun kembar ini mula mendekatkan diri dengan atmosfera fesyen tempatan baru setahun di samping menaja pakaian kepada selebriti.

Rekaan mereka mengikut arus zaman dan bergantung kepada cita rasa dan personaliti mereka yang dirasakan bersesuaian. Mengetengahkan koleksi pakaian siap tanpa berpegang kepada tema atau peralihan musim tertentu. Konsep dipilih adalah moden dan kasual, malah kebanyakan rekaan dihasilkan lebih cenderung kepada aliran fesyen yang menjadi ikutan mereka berdua.

Bonda tersayang, Puan Sri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah adalah pendorong kejayaan mereka.

Jika tahun lalu, mereka berasakan glam rock cukup menonjol tahun manakala tahun ini, gayanya lebih matang, masih glam tetapi sedikit ‘edgy’.

Mensasarkan koleksi pakaian mereka termasuk aksesori bersesuaian daripada umur 16 hingga 50 tahun.

Selain Nora yang gemar menggayakan jenama PU3, Sazzy Falak dan Yasmin Hani antara yang setia berkunjung ke butik mereka jika ada koleksi terbaru.

Telefon: 03-77263306 dan e-mel: azalea@ pu3designs.com atau kunjungi butik PU3 di The Curve, Mutiara Damansara.

Koleksi Rafflesia The Pearl Centre
Busana: PU3

Bintang Pop

Makin Intim Di Luar Lokasi

March 15, 2009 Bintang Pop | Comments (0) admin @ 7:05 pm

Oleh Zubir Mohd Yunus


Farid Kamil dan Lisa Surihani.

Farid, Lisa terima takdir jika bertemu jodoh

BANYAK persamaan antara dua bintang yang terus mencuri perhatian ramai ini – Farid Kamil dan Lisa Surihani. Mereka bukan saja sering digandingkan bersama menerusi lakonan dalam filem dan drama, tetapi kerjaya seni turut diuruskan syarikat sama, Metrowealth Movies Productions (MMP), bahkan kedua-duanya diangkat sebagai Wajah Eksklusif Astro Megadrama, baru-baru ini.

Selain itu, Farid dan Lisa juga semakin gah di hati peminat apabila kedua-duanya dinobatkan sebagai finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 sehingga Farid kembali tersenarai menerusi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular apabila namanya pernah ‘tergelincir’ pada ABPBH musim lalu, manakala Lisa yang baru setahun jagung bergelar artis, selesa dalam kelompok Top 5 kategori Artis Baru Wanita Popular.

Justeru, pasangan ‘merpati dua sejoli’ ini tidak dapat lari daripada kenyataan apabila sering menjadi usikan peminat dan media massa yang melabelkan mereka sebagai pasangan sedang hangat bercinta, gara-gara sering kelihatan bersama ketika waktu kerja mahupun di luar lokasi. Bukan sekadar ungkapan klise – cinta lokasi, namun apabila diperhatikan kemesraan Farid dan Lisa, seolah-olah ada satu perasan yang tersembunyi!

Apabila beraksi di layar lebar mahupun di kaca TV, mereka kelihatan secocok, bahkan ketika menjayakan sesi fotografi bersama B*Pop Isnin lalu, sedikitpun tidak kelihatan kekok apabila kedua-duanya diminta supaya beraksi manja dan romantik sekalipun ibu Lisa setia menemani anak gadisnya itu sepanjang fotografi berkenaan, seolah-olah memberi petanda awal ‘merestui’ hubungan rapat yang terjalin antara Lisa dan Farid.

Lazimnya, pasangan artis akan memberikan pose plastik semata-mata untuk meraih publisiti media massa dalam usaha menaikkan rating filem mahupun drama lakonan kedua-duanya, namun apa yang dipamerkan Lisa dan Farid, tidak keterlaluan jika mentafsir kemesraan mereka ikhlas, bukannya dibuat-buat, sekali gus aksi dirakamkan jurugambar menceritakan segala-galanya, mungkin ada ‘sesuatu’ di antara mereka.

Pun begitu, atas dasar profesionalisme atau berprasangka peminat meluat sekiranya artis kesayangan mereka memadu kasih, perasaan cinta yang mungkin terpancar di sanubari masing-masing terpaksa dipendamkan begitu saja, namun mungkin mereka juga tidak pernah jemu menanti ketika dan saat sesuai merungkai ‘sesuatu’ yang dimaksudkan tadi.

Selepas putus cinta dengan pelakon dan model cantik, Irma Hasmie suatu ketika dulu, Farid mengakui sehingga hari ini dia belum memiliki hati seorang wanita yang layak digelar kekasih. Namun, Farid dengan pantas menolak untuk memberikan sebarang komen apabila bekas kekasihnya itu dikatakan menemui cinta baru bersama juara Raja Lawak musim kedua, Nabil.

Melihat pada keintiman Farid bersama Lisa yang semakin hari terus menemui keserasian, tidak mustahil suatu hari nanti mereka bakal menjadi pasangan kekasih. Adakah pernah terdetik di hati Farid memilih Lisa sebagai cinta barunya?

“Sebagai lelaki, saya akui pakej yang dimiliki Lisa adalah sesuatu yang menarik perhatian. Semakin lama saya bekerja dengan Lisa, kami jadi semakin rapat, semakin mengenali hati budinya dan terus selesa untuk berkawan dengannya. Lazimnya, sebelum sesuatu hubungan yang serius itu terjalin, peringkat pertama, pasangan berkenaan berkawan baik.

“Namun, jika ditakdirkan suatu hari nanti hubungan rapat antara saya dan Lisa tiba-tiba ‘terbabas’ (membabitkan perasaan), perkara itu adalah di luar jangkaan. Sebarang perasaan yang bakal wujud tidak boleh dipaksa atau dibendung, ia datang sendiri. Tapi, buat masa ini, antara saya dan Lisa, kami selesa sebagai kawan baik. Sekiranya jatuh hati dengannya suatu hari nanti, semua itu kerja Tuhan.

“Tapi, terus-terang, fokus saya ketika ini kepada kerjaya, bukan cinta semata-mata. Biarlah saya sukses dan mencapai cita-cita, kemudian jika ada jodoh, saya terima seadanya. Bukan saya maksudkan Lisa adalah jodoh saya, tapi dengan sesiapa saja, insya-Allah,” kata Farid yang memberi petanda tidak mahu berpura-pura apabila berbicara soal perasaannya terhadap Lisa.

Selesa bekerja dengan Metrowealth

BERCAKAP mengenai soal kerja, Farid baru selesai membintangi filem terbarunya, Evolusi KL Drift 2 dan bermula 12 Mac lalu, dia kembali sibuk di lokasi menjayakan drama bersiri, 3 Janda sebanyak 26 episod, sekali gus bergandingan dengan Lisa. Dia juga memiliki syarikat sendiri, Untitled Art Works Sdn Bhd yang bertanggungjawab dalam urusan penghasilan skrip termasuk skrip Remp-It V3 yang pertama kali menyaksikan Farid bergelar sutradara.

Kini, Farid kembali bernaung di bawah pengurusan MMP selama tiga tahun sehingga 2010. Namun, sebelum itu, sebaik tamat kontrak dengan MMP, sekitar 2007, Farid cuba bergerak sendiri. Farid akui, perjalanan seninya ketika itu sedikit kabur apabila kariernya tidak diurus dengan sempurna, sekali gus dia ‘tergelincir’ dalam senarai Top 5 ABPBH 2007.

“Apabila saya kembali ke pangkuan MMP, penerbitnya, David Teo terus memberi saya peluang sebagai pengarah Remp-It V3. Bagi saya, kita sewajarnya menghormati keputusan majikan kerana mereka tahu apa yang terbaik untuk kita. Sekiranya wujud sebarang masalah, sebaik-baiknya berbincanglah dari hati ke hati bersama majikan, jangan terus menghukum mereka. Sebagai bukti, saya dapat rasai perubahan dalam karier,” kata Farid lagi.

Lisa nafi jatuh hati pada Farid

BAGI Lisa pula, sebaik putus cinta dengan anak pak menteri suatu ketika dulu, dia turut mengakui belum lagi bertemu cinta baru. Tapi, bagaimana pula perasaannya terhadap Farid, kemesraan mereka semakin terserlah sejak akhir-akhir ini?

“Saya ni selesa berkawan dengan semua orang. Apabila saya pandang Farid, saya menghormatinya sebagai artis senior, dia banyak memberi tunjuk ajar. Kami memang berkawan, tapi sekadar sesama teman artis, tidak terbit sebarang perasaan pun,” kata Lisa yang masih berlapik apabila berbicara soal hatinya.

Sekiranya perasan sebagai seorang kawan tiba-tiba beralih kepada kasih, sayang dan cinta terhadap Farid, adakah Lisa tetap menolaknya?

“Suatu hari jika wujud perasan sayang ke, kasih mahupun cinta terhadapnya (Farid), itu ketentuan Tuhan, saya reda. Yang penting nawaitu, sekarang fokus saya terhadap kerja dan keluarga, manakala cinta bukan keutamaan. Cinta akan datang apabila tiba masanya,” kata Lisa merungkai ‘sesuatu’ yang terjalin antara dia dan Farid sekalipun masih ada tanda tanya.

Duta Lip Ice ini semakin melonjak popularitinya sehingga Astro mengambilnya sebagai ‘jenama’ sekalipun dia masih terlalu hijau dalam industri hiburan. Lazimnya populariti yang naik mendadak, akan cepat merudum, apa komen Lisa?

Cuba elak ditimpa kontroversi

“IA satu kemungkinan yang boleh berlaku, kita tak boleh nak jangka, bergantung kepada rezeki masing-masing. Pandangan saya secara peribadi, bertahan lama atau cepat merudum populariti seseorang itu, bergantung kepada artis itu sendiri. Sekiranya banyak terdedah kepada kontroversi, lebih membuka ruang, dirinya tidak bertahan lama. Harap-harap perkara seumpamanya tidak berlaku ke atas diri saya,” katanya.

Mengenai pencalonannya dalam ABPBH 2008, Lisa sangat bersyukur dengan sokongan peminat. Dia tidak mahu lalai dengan pencapaiannya hari ini.

“Untuk tahun mendatang, saya harap akan terus mendapat sokongan peminat. Kejayaan hari ini, saya akan jadikan ‘booster’ untuk terus memberikan yang terbaik kepada peminat, saya tidak mahu menghancurkan kepercayaan dan sokongan mereka,” kata Lisa yang terus menyimpan cita-cita bergelar peguam bertauliah suatu hari nanti, sekali gus mewarisi firma guaman milik arwah ayahnya.

ABPBH edisi ke-22 akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 12 April depan secara langsung di TV3 dan HotFM bermula jam 9 malam. Anugerah ini terus mengekalkan tradisi prestij, meriah, glamor dan bergaya di samping penajaan daripada pelbagai sektor korporat antaranya Edaran Tan Chong Motors untuk kereta jenama Nissan, Rafflesia – The Pearl Centre, Pos Malaysia Berhad dan Empire Classic Furniture.

INFO: Farid Kamil NAMA PENUH: Farid Kamil Zahari TARIKH LAHIR: 5 Mei 1981 ASAL: Alor Star, Kedah KELUARGA: Anak sulung daripada lima beradik DARAH CAMPURAN: Ayah (Melayu), ibu (Siam dan Arab) PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Seni Layar (Kepujian) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor FILEM: 7 Perhentian, Remp-It, Anak Halal, Evolusi KL Drift 2, Estet dan Papadom FILEM ARAHAN: Remp-It V3 DRAMA: Enigma, Begitulah Cinta, Fakulti, Takdir Yang Terindah dan 3 Janda PENCAPAIAN: Anugerah Bakat Muda Seni Filem (Pelakon) pada Anugerah Seni Negara Ke-8 dan Wajah Eksklusif Astro Megadrama

INFO: Lisa Surihani NAMA PENUH: Lisa Surihani Mohamed TARIKH LAHIR: 23 Mac 1986 ASAL: Kuala Lumpur KELUARGA: Anak keempat daripada lima beradik (perempuan tunggal) DARAH CAMPURAN: Ayah (Melayu dan Bugis), ibu (Melayu dan Bugis) PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari University of Aberystwyth, Wales, United Kingdom (UK) FILEM: Good Bye Boys, I’m Not Single, Cyber X Ancaman Penggodam, Jangan Pandang Belakang Congkak, Remp-It V3 dan Kapoww DRAMA: Obsesi, 3 Janda, Anak Merdeka, Mataku Nampak Hantu dan Ponti Anak Remaja TEATER: www.puterigunungledang.com.my PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) dan Wajah Eksklusif Astro Megadrama

Bintang Pop

Hayati Tahajud Cinta

March 8, 2009 Bintang Pop | Comments (0) admin @ 7:15 pm

Bintang Pop

Satu Matlamat

March 1, 2009 Bintang Pop | Comments (0) admin @ 7:25 pm

Oleh Zubir Mohd Yunus

Enggan berbicara lanjut soal cinta tetapi sama-sama simpan impian untuk berjaya dalam dunia lakonan

SUATU ketika dulu, pernah terdetik siapa Remy Ishak apabila tiba-tiba saja muncul dalam filem Anak Halal. Namun, hari ini suatu perubahan berlaku dalam hidupnya.

Daripada seorang budak kampung yang mengambil upah membuat rumah, pernah bergelar despatch, kemudian mengubah nasibnya sebagai pekerja hotel dan kini dia seorang pelakon yang sedang meniti populariti. Bahkan dia dilabel hero pelapis untuk filem dan drama!

Siapa tahu, sedikit masa lagi Remy berpeluang berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan hero hebat masa kini seperti Rosyam Nor, Rusdi Ramli, Farid Kamil mahupun Fahrin Ahmad.

“Memang sejak kecil lagi, saya ada simpan matlamat nak jadi pelakon. Idola saya ketika itu ialah Eman Manan dan Rosyam Nor. Saya juga pernah melalui detik sukar sebelum mencapai impian hari ini. Saya akhirnya bertemu dengan Osman Ali.

“Dia yang membawa saya mengenali dunia lakonan. Selepas percubaan menerusi Anak Halal, alhamdulillah karier lakonan saya terus berkembang.

“Cita-cita menjadi pelakon sudah tercapai. Tapi masih banyak yang harus diperbaiki untuk benar-benar layak digelar pelakon. Saya berasakan masih awal sangat hendak dianggap sebagai hero masa depan,” katanya.

Namun begitu, kata anak muda bertubuh sasa ini, dia mahu menjadikan gelaran hero pelapis sebagai satu tanggungjawab besar untuk dirinya dengan membuktikan tanggapan itu bukan sia-sia.

Baginya, ketika ini apa yang penting ialah bersyukur kerana pembabitannya dalam dunia lakonan seolah-olah mendapat ‘restu’ daripada wartawan.

“Syukur, kehadiran saya juga seolah-olah diberi ‘restu’ pihak wartawan, peranan mereka meninggalkan impak begitu besar,” kata Remy.

Lumrah bergelar orang dikenali, Remy pasti tidak dapat lari daripada soal cinta dan gosip.

Gerak-gerinya juga mula menjadi perhatian. Keakraban Remy dengan dengan bintang baru seangkatannya, Ummi Nazeera menjadi bualan hangat. Detik perkenalan mereka bermula apabila kedua-duanya membintangi drama popular, Awan Dania di Astro Ria.

“Saya tidak dapat lari apabila dihambat dengan pelbagai andaian dan pertanyaan. Saya pergi makan dengan Ummi, itu pun sudah jadi buah mulut orang. Saya tak nafikan, memang berkawan rapat dengan Ummi. Namun, usia perkenalan kami masih baru.

“Tapi saya tidak menolak kemungkinan, persahabatan kami akan jadi lebih serius suatu hari nanti.

“Buat masa ini saya tidak sedia nak lafazkan ayat-ayat cinta. Lagipun usia Ummi masih muda. Kerjaya lakonan pun baru nak bermula. Berilah peluang kepada kami membuktikan kejayaan masing-masing,” kata Remy berterus-terang.

Istimewanya Ummi di mata Remy: “Dia pandai ambil hati, ambil berat dan senang bergaul, tak sombong.”

Ummi hadir daripada sebuah keluarga berada, anak gadis VIP berstatus Datuk. Tidakkah Remy khuatir cinta terhalang kerana wujudnya antara dua darjat?

“Kami tak bercinta. Jadi tak pernah terfikir soal itu. Persahabatan kami disenangi semua pihak. Itu yang penting. Saya terima Ummi sebagai kawan seadanya tanpa memikirkan soal status atau darjat keluarga yang berbeza. Berkawan dengan Ummi sama seperti saya berkawan dengan orang lain, cuma Ummi agak istimewa…,” kata Remy tanpa berselindung.

Bukan sayang tapi kasih

Sementara itu, Remy sebenarnya tidak bertepuk sebelah tangan apabila Ummi turut melafazkan perasaan yang hampir sama dengan Remy apabila mengakui keakraban yang terjalin selepas membintangi Awan Dania, kini mereka sedang mengenali isi hati masing-masing, sekali gus tidak mahu berselindung, dia dan Remy berkawan rapat dalam usia perkenalan yang kini menjangkau kira-kira tiga bulan.

“Apabila berkawan, Remy jujur dan ikhlas. Kalau nak kata Remy kawan istimewa saya, yes! Tapi bercinta, oh tidak! Cinta satu istilah yang sungguh mendalam maknanya. Terus-terang, saya belum bersedia ke peringkat percintaan, masanya belum tiba. Saya tak sedia untuk bercakap pasal cinta lagi,” kata Ummi yang seolah-olah berlapik berbicara soal hati.

Cinta tidak boleh dipisahkan dengan perasaan cemburu. Bagaimana pula dengan Ummi?

“Saya tidak cemburu, tapi ambil berat mengenai Remy,” katanya lagi.

Ummi terus diasak dengan soalan perangkap, adakah dia menyayangi Remy?

“Bukan sayang, tapi kasih, sebab saya ambil berat pasal dia,” kata Ummi yang akhirnya melerai suatu andaian mengenai hubungannya bersama Remy.

Gadis berusia 19 tahun ini dibesarkan dalam serba kemewahan, jadi kenapa perlu berlakon? Lebih baik dia melanjutkan pelajarannya.

“Satu perkataan – minat! Saya cuba nak jadi semua orang apabila bergelar pelakon. Apabila membintangi sesebuah drama atau filem, saya diberi pelbagai watak. Jadi saya cuba merealisasikan setiap watak dan perwatakan itu. Itulah maksud saya nak jadi semua orang.

“Namun, saya tidak lupa kepada kepentingan pelajaran. Saya akan ambil kursus jangka pendek supaya dapat beri tumpuan kepada dua bidang dalam satu-satu masa,” kata Ummi.

Status anak orang berada, Ummi sering dilabel sombong dan sukar bergaul apabila berada di lokasi penggambaran. Dalam erti kata lain, dia kurang bercampur dengan pelakon dan krew lain.

Ummi menjelaskan dia memang mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan orang yang belum dikenalinya dan itu menyebabkan timbul anggapan dirinya sebagai kurang mesra.

“Pertama kali jumpa orang yang tak kenal, saya tak cakap banyak. Jadi orang kata saya sombong. Tapi selepas beberapa lama berkawan atau bekerja dengan orang itu, saya boleh jadi rapat.

“Memang dalam masa menyesuaikan diri itu, saya akui, orang kata saya ‘kekwat’. Naluri orang, kita susah nak ubah. Saya minta maaf kepada sesiapa yang pernah terasa hati,” kata Ummi.

Sebagai remaja, Ummi juga tidak terlepas dengan dakwaan sebagai gadis mentah yang gemar bersosial, melepak, kaki botol, ambil dadah dan lebih panas, dia kononnya mudah ditiduri.

“Jangan doakan saya jadi seperti itu,” kata Ummi ringkas menjawab segala tuduhan yang dilemparkan.

INFO: Remy Ishak

NAMA PENUH: Mohammad Zalimei Ishak

TARIKH LAHIR: 11 April 1982

ASAL: Masjid Tanah, Melaka

KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik

PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sekolah Menengah Ghaffar Baba, Masjid Tanah

FILEM: Anak Halal, Duhai Si Pari-Pari, Hooperz, Akuarium Cinta dan Evolusi KL Drift 2

DRAMA: Sindarela, Awan Dania, Obsesi, Jalan Pintas Ke Neraka dan Iktikaf

KOMERSIAL: Kopi Radix, 5M – Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pelancongan Kuala Lumpur

INFO: Ummi Nazeera

NAMA PENUH: Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abadin

TARIKH LAHIR: 20 Ogos 1990

ASAL: Kuala Lumpur

KELUARGA: Bongsu daripada dua beradik

PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), calon persendirian

FILEM: Lu Pikirlah Sendiri The Movie

DRAMA: Pesona Bintang, Takdir Yang Terindah, Dinasti Bilut, Ali Din, Awan Dania, Klon Teja dan Kejar

PERNIAGAAN MILIK KELUARGA: Restoran Sri Chiangrai, Danau Kota, Kuala Lumpur.

Solekan: Riezza Amour (013 434 3615)
Dandanan: Zul Bastari (012 381 2671)
Pakaian: Koleksi peribadi Remy & Ummi.

Bintang Pop