Featuring the latest Malaysia scandals, gossip, and entertainment news.

Bintang Baru Mula Cecah Awan

April 26, 2009 Bintang Pop | Comments (0) admin @ 6:05 pm



Oleh Zubir Mohd Yunus

QUE Haidar, Stacy dan Noorkhiriah melakar sejarah tersendiri apabila pertama kali menggenggam trofi berprestij Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008

PEMINAT sudah pun menobatkan Que Haidar, 30, sebagai bintang filem dan drama terbaik, namun selepas bergelar anak wayang kira-kira lima tahun lalu, baru kini dia berjaya bertakhta di hati peminat untuk melabelnya sebagai yang paling popular, akhirnya!

“Rasanya kemenangan ini berdasarkan filem Maut dan rezeki perkahwinan saya dengan Linda (Jasmine), 14 Februari lalu. Namun, kemenangan ini paling manis dalam hidup saya kerana ia adalah kemenangan pertama saya dalam sejarah penganjuran ABPBH!

“Tambahan pula saya berdepan dengan pesaing nama besar dalam industri lakonan, kini saya semakin yakin baru sekarang peminat nampak hasil kerja keras selama ini,” kata Que.

Tambahnya lagi, peminat sekarang semakin bijak memilih artis kegemaran mereka, sekali gus membelakangkan status atau personaliti berkenaan. Rata-rata yang membawa pulang trofi ABPBH2008 adalah mereka yang sudah berumah tangga dan mampu mengekalkan kemenangan mereka untuk beberapa lama, contohnya Datuk Siti Nurhaliza yang terus dinobatkan sebagai Penyanyi Wanita Popular selama 12 tahun berturut-turut!

“Untuk menambat hati peminat, personaliti diri kena jaga. Selain itu, segala kerja kita, contohnya lakonan seharusnya berterusan, tidak ada istilah berehat bagi saya kerana jika sekejap berlakon, sekejap kita hilang, peminat akan bosan.

“Begitu juga dengan kontroversi, saya akui ia tetap membantu melonjakkan populariti seseorang artis, namun kontroversi melampau boleh mengundang dua perspektif berbeza, buat orang suka atau benci dengan kita. Sikap plastik (kepura-puraan) yang keterlaluan juga boleh buat peminat membenci kita. Bagi saya, jangan sesekali buat peminat benci dengan personaliti kita kerana nak mengembalikan kepercayaan peminat, terlalu sukar.

“Seperkara lagi, biar apapun pekerjaan kita sebagai pelakon, penyanyi mahupun pengacara, itu adalah kerja tetap, tapi selagi pekerjaan kita mendapat sokongan daripada peminat, kita tidak harus membelakangkan media umpamanya fotografi, bagi saya ia juga satu kerja. Begitu juga dengan rakaman TV, radio, majlis amal, kemunculan istimewa atau road tour, semua itu adalah kerja kita kerana ia diberi penilaian oleh peminat,” kata Que lagi.

Itu cerita Que yang terpaksa menunggu selama lima tahun sebelum berpeluang menggenggam trofi Pelakon Filem Lelaki Popular, tapi bagi Stacy yang dicungkil bakatnya menerusi Akademi Fantasia 6 (AF6) kira-kira setahun yang lalu, dia sudah mampu meraih undian peminat untuk memilihnya sebagai yang paling popular daripada puluhan atau ratusan artis baru yang muncul dalam industri bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Namun, di sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Ketika nama Stacy berada di puncak, syarikat yang dipertanggungjawabkan menaikkan namanya, tiba-tiba tutup kedai apabila 1 April lalu, Maestro Talent & Management (Maestro) terpaksa memberhentikan operasinya gara-gara kegawatan ekonomi.

“Memang saya sedih kerana Maestro banyak membantu karier saya selama ini. Tapi, hidup perlu diteruskan, jangan pandang belakang lagi kerana hari mendatang masih banyak cabaran dan rintangannya. Saya sedar, kerjaya saya ditunjangi sokongan padu daripada peminat, bermula dari kemenangan di AF6 dulu sehinggalah dinobatkan pula sebagai Artis Baru Wanita Popular pada ABPBH2008, semuanya gara-gara undian peminat.

“Orang sering bercakap, bintang AF tidak mampu kekal lama, tapi saya akan membuktikan, kata-kata itu tidak benar! Saya yakin dengan kerja keras dan memelihara kualiti kerja, peminat sentiasa bersama kita. Seperkara lagi, jangan mudah lupa diri apabila nama berada di puncak. Saya selalu ingat, dari mana asal usul saya, saya lahir daripada keluarga yang miskin dan segala kejayaan hari ini adalah untuk membantu keluarga,” katanya.

Menurut Stacy lagi, kontroversi yang berlebihan boleh membunuh kerjaya seseorang artis itu dan dia sendiri pernah dikritik kerana berpakaian seksi apabila tidak peka dengan sensitiviti peminat Melayu membuatkan kali ini berusaha mengurangkan imej itu.

“Sebagai artis, kita jangan ‘bakar’ platfrom atau jambatan yang membawa kita ke seberang dengan kesilapan diri sendiri.

“Saya tak nak jadi seperti sesetengah artis, populariti naik mendadak, tapi kerana keangkuhan, tak jaga mulut, populariti mereka jatuh menjunam,” katanya yang mengakui masih berkawan rapat dengan rakan seperjuangannya, Nubhan sekalipun mereka kini jarang berhubungan kerana kesibukan masing-masing.

Bagi Nookhiriah pula, dia sekali lagi meminta maaf di atas kegagalannya hadir di pentas ABPBH2008, 12 April lalu untuk menerima trofi kemenangannya.

“Apabila saya dapat tahu nama masuk Top 5, saya sudah membuat persiapan awal untuk ke Genting Highlands termasuk sudah menempah pereka fesyen dan jurusolek. Tapi, sebaik saja pulang dari mengerjakan umrah awal April lalu, kandungan saya mengalami sedikit pendarahan, justeru doktor tidak membenarkan saya ke Genting takut terjadi sesuatu yang tidak baik pada kandungan apabila sudah mengalami keguguran pertama Jun 2007,” katanya.

Noorkhiriah menambah, hanya selepas 10 tahun dia mengabdikan diri dalam bidang seni, barulah kini dia berpeluang menggenggam trofi popular hasil undian peminat, selain melahirkan rasa bangga apabila disebabkan kemenangan itu juga, ini baru pertama kali dia diberi peluang muncul sebagai penghias muka depan B*Pop kerana sebelum ini dia tidak pernah diberikan ruang keemasan seperti itu!

“Kadang-kadang tu saya sedih juga kerana lambat mengecapi populariti, tapi apabila difikirkan kembali, ada rakan artis yang sudah berbelas tahun berlakon, tak pernah pun diberi perhatian oleh peminat mahupun media. Kata-kata saya kepada mereka, sabar… Saya reda, Tuhan beri rezeki kepada saya di penghujung karier kerana tak selamanya saya akan berlakon, usianya pun semakin meningkat.

“Pun begitu, pendakian saya ke puncak populariti umpama mendaki tangga, bukan seperti segelintir artis, populariti naik melonjak macam naik lif, tapi turun pun cepat macam lif! Yang penting, sebagai artis jangan sesekali riak dan mendabik dada kerana tindak tanduk kita sentiasa jadi perhatian peminat,” katanya lagi.

Info QUE
NAMA PENUH: Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar.
TARIKH LAHIR: 30 Mei 1979.
ASAL: Kulai, Johor.
KELUARGA: Anak kelima daripada 10 beradik.
DRAMA: Tuhan Pun Tahu, Terlerai Takbir Kasih, Orang Minyak Naik Minyak dan Cinta Untuk Ain (masih disiarkan di TV3).
FILEM: Castello, KL Menjerit 1, Rock, Zombi Kampung Pisang dan Maut.
FILEM AKAN TAYANG: Papadom, Setem, Duhai Si Pari-Pari, Skrip 7707, My Spy, Romance (akan menjalani penggambaran) dan Merempuh Karma (akan menjalani penggambaran).
PENCAPAIAN: Pelakon Lelaki Harapan, Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19); Pelakon Pembantu Lelaki TV Terbaik, Anugerah Skrin 2008 (AS2008) dan Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008.

Info NOORKHIRIAH

NAMA PENUH: Noorkhiriah Ahmad Shapie.
TARIKH LAHIR: 11 April 1976.
ASAL: Raub, Pahang.
KELUARGA: Anak kedua daripada lima beradik.
DRAMA: Nek Kiah, Kerana Cintaku Saerah, Papaya dan Terlerai Takbir Kasih.
FILEM: Gubra, Mukhsin, Los & Faun, Syaitan dan Papadom.
PROJEK TERBARU: Dalam pembikinan menyiapkan blok ketiga drama 44 episod, Matahari untuk slot Akasia TV3.
PENCAPAIAN: Pelakon Pembantu Wanita TV Terbaik, Anugerah Skrin 2007 (AS2007) dan Artis Komedi Wanita Popular, ABPBH2008.

Info STACY
NAMA PENUH: Stracie Angie Anam.
TARIKH LAHIR: 18 Ogos 1990.
ASAL: Penampang, Kota Kinabalu, Sabah.
KETURUNAN: Kadazan-Dusun.
KELUARGA: Anak kelima daripada enam beradik.
ALBUM: Aku Stacy mengandungi lagu seperti Aku Stacy, Gagap, Cerah, Cinta Yang Ku Duga dan Pakai Buang.
DUTA/JURUCAKAP: Power Root, Intimate, Teh Boh dan Canon.
PENCAPAIAN: Juara Akademi Fantasia 6 (AF6) dan Artis Baru Wanita Popular, ABPBH2008.

Solekan Stacy & Que: Rieza Amour (013 434 3615)
Dandanan Stacy & Que: Zul Bastari (012 381 2671)
Solekan & dandanan Noorkhiriah: Fiza Zainuddin (012 2217031)
Pakaian, aksesori & kasut Stacy, Noorkhiriah: Sya Shaharani (012 285 5048)
Pakaian Que: Koleksi peribadi.

Bintang Pop

Dulu Meluat Kini Sayang

April 19, 2009 Bintang Pop | Comments (0) admin @ 6:15 pm

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

Daripada hubungan seorang teman biasa atau rakan artis akhirnya bertukar menjadi pasangan kekasih selepas mereka saling terpesona

MULANYA benci, lama kelamaan jatuh hati. Begitulah sorotan kisah cinta Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, Ahmad Nabil Ahmad, 26, dengan buah hatinya yang juga pelakon drama, Irma Hasmie, 27.

Selepas puas ditepis, dielakkan dan cuba dirahsiakan, akhirnya pasangan merpati dua sejoli itu tak mampu menyembunyi rahsia hati mereka.

Pertemuan tidak diduga ketika sama-sama menjayakan rakaman program raya, Gegar Gitu Raya di Janda Baik, Pahang, tahun lalu menimbulkan pertemuan antara mereka. Daripada hubungan seorang teman biasa atau rakan artis akhirnya bertukar menjadi pasangan kekasih selepas mereka saling terpesona.

Sambil menjeling kekasihnya, Irma akui: “Mulanya saya meluat tengok gelagat Nabil, dia suka membuli dan menyakat saya gila-gila. Hingga suatu tahap, saya benci nak pandang wajah atau mendengar suaranya. Ketika rakaman, saya langsung tak tengok muka Nabil sebab terlalu meluat.

“Betul juga pesan orang tua-tua, kalau membenci seseorang, jangan keterlaluan. Selalunya perasaan benci akan berubah menjadi sayang. Saya tak menyangka akhirnya Nabil menjadi sebahagian daripada hidup saya. Secara jujur, kehadiran Nabil mengisi kekosongan hati dan hidup saya selama ini.

“Dulu jiwa saya kosong, hati saya pernah tertutup buat lelaki. Namun Nabil berjaya mengetuk hati dan memberi sinar dalam hidup hingga saya rasa sentiasa dihargai. Nabil memang istimewa tetapi nampak saja suka berlawak dan berjenaka, dalam hubungan, Nabil boleh tahan cemburu. Saya tak salahkan Nabil, cemburukan tanda sayang?”

Bagaimanapun, Irma berkata, dia terpikat dengan sikap ambil berat Nabil terhadap dirinya dan keluarga. Kekasihnya itu juga sentiasa buat dirinya bahagia dan tersenyum riang, walaupun ada kala usikan Nabil menyakitkan hati.

“Seperti pasangan kekasih lain, hubungan kami juga ada pasang surutnya. Kadang kala kami bertelagah, ada masanya kami berperang mulut tetapi tidaklah sampai nak berpisah. Saya melihat Nabil sebagai seorang yang matang dan mampu menempuh onak duri dalam perhubungan. Alhamdullillah, keluarga saya dan Nabil juga merestui hubungan kami.

“Kalau ikutkan mereka ingin kami cepat-cepat bersatu dalam ikatan suami isteri, tetapi rasanya biarlah kami mengenali hati budi dan mencari keserasian dulu. Insya-Allah, jika ditakdirkan jodoh sampai cepat, saya sudah bersedia melayari bahtera hidup berumahtangga, apatah dengan insan yang saya cintai,” katanya.

Walaupun terjatuh daripada motosikal Kawasaki 750 pada Rabu lalu, Nabil tetap mengotakan janji untuk sesi fotografi untuk B*Pop pada pagi Khamis lalu bersama kekasihnya. Keadaan dirinya sudah beransur pulih biarpun pinggang yang terhentak di pembahagi jalan masih terasa sakit.

Suka lihat foto Irma

Bagi Nabil, tiada apa yang menjadi rahsia lagi, semuanya sudah terjawab apabila kekasihnya itu turut berada di sisi ketika malam kemuncak ABPBH 2008 di Arena of Stars, Genting Highlands yang menyaksikannya beliau dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular 2008. Insiden tak sengaja terpeluk Irma ketika diumumkan sebagai pemenang trofi Bintang Paling Popular mengesahkan lagi hubungan cinta mereka.

Nabil akui, dulu ketika belum bergelar anak seni, Irma satu-satunya pelakon wanita yang diminati. Dia suka melihat gambar Irma di akhbar dan majalah tetapi tak kenal nama.

“Saya suka tengok gambar Irma dalam media cetak tetapi saya tak tahu namanya. Bila saya tanya kakak, dia cakap pelakon itu namanya Naima. Jadi bila pertama kali saya bertentang mata dengan Irma, saya memanggilnya Naima. Irma pelik, dia ingat saya saja main-mainkannya, tetapi sebenarnya memang saya tak tahu,” katanya.

Sambil berseloroh untuk menyakat Irma, Nabil akui: “Dulu saya hanya cuba nasib saja, tak sangka pula tersangkut akhirnya. Irma tak layan saya, dia menyampah bila saya menyakatnya cukup-cukup. Tetapi pada hari akhir rakaman program itu, saya sempat meminta nombor telefonnya. Saya tak pernah hubungi atau hantar khidmat pesanan ringkas (SMS), saya biarkan saja”.

Pasangan ada anak angkat

“Ramadan lalu menggerak hati saya untuk menghubunginya dan mengajaknya berbuka puasa bersama, itupun selepas saya tak jadi balik kampung. Sejak pertemuan itu, hanya sekali sekala kami berhubungan, tak pernah dating pun. Bagaimanapun, anak angkat kami, Nurhanie Nabila Abdullah yang merapatkan hubungan kami.

“Nak jadikan cerita, seorang teman mahu menyerahkan seorang bayi kepada saya. Manalah saya dapat memelihara bayi dengan keadaan sekarang, jadi saya minta Irma yang menjaganya. Bila saya dan Irma bergilir-gilir menjaga Nurhanie yang ketika itu berusia tak sampai seminggu, saya dapat rasakan Irma sangat istimewa. Sifat keibuan dan tanggungjawab pada bayi kecil tak dapat disangkal lagi.

“Irma tak tidur malam menjaga bayi menangis dan bangun setiap dua jam ketika tempoh dalam hari. Kami juga banyak menghabiskan waktu dan duit untuk keperluan bayi. Sehinggakan saya pernah tertidur di pangkin kaki lima ketika menunggu Irma membeli barang keperluan Nurhanie. Ibu bapa dan keluarga kami juga sangat menyayangi Nurhanie sehinggakan setiap minggu kami terpaksa bergilir-gilir bawa pulang ke rumah orang tua.

“Bagaimanapun, kami tak bernasib baik, ketika kasih sayang kami dicurahkan pada Nurhanie, ibu kandungnya tiba-tiba muncul dan mahukan semula bayi itu. Apakan daya, Nurhanie hanya datang seketika dalam hidup kami. Saya memang sedih tetapi Irma lagi sedih sebab dia menjaganya dari kecil hingga Nurhanie sudah mengenal dirinya. Irma pasti menitiskan air mata bila terpandang gambar Nurhanie.”

Tak akan lupa asal usul

Nabil akuinya cinta terhadap Irma semakin membara tetapi mereka belum merancang mendirikan rumah tangga dalam masa yang terdekat. Bukannya belum bersedia tetapi mereka mengutamakan kerjaya terlebih dulu.

“Insya-Allah jika ada jodoh tidak ke mana. Bukan bermakna saya lebih mementingkan populariti dan kemewahan sebaliknya saya sibuk dengan perjalanan kerjaya yang baru setahun sebulan ini.

“Saya terbabit dengan penggambaran filem Bangladesh dan Cicak-Man 3 tidak lama lagi. Saya baru saja menghabiskan penggambaran filem Magika dan Uncle Hussein. Itu belum lagi mempromosikan enam filem, Lu Pikirlah Sendiri De Movie, Kecoh Betul, Jin Notti, Eee… Hantu, Momok The Movie dan Pisau Cukur yang menunggu tempoh tayangan di pawagam

“Saya bersyukur dengan limpahan rezeki yang diberikan dan kemenangan Bintang Paling Popular 2008 adalah kemuncaknya sekali gus membuktikan mat despatch macam saya juga boleh mencipta kejayaan. Saya tak pernah lupa asal usul saya, keluarga tonggak kejayaan saya,” katanya yang sibuk dengan rakaman program Hartamania.

Info Nabil

Nama: Ahmad Nabil Ahmad
Tarikh Lahir: 26 September 1983
Asal: Mambau, Negeri Sembilan
Usia: 26 Tahun
Adik-beradik: Anak ketiga daripada tujuh beradik
Pencapaian: Juara Raja Lawak 2, Artis Baru Lelaki Popular, Artis Komedi Lelaki Popular & Bintang Paling Popular (ABPBH 2008)
Filem: Sifu & Tonga, Lu Pikirlah Sendiri De Movie, Kecoh Betul, Jin Notti, Eee… Hantu, Momok The Movie, Pisau Cukur, Magika, Uncle Hussein, Bangladesh & Cicak-Man 3
Program: Lu Fikirlah Sendiri Nabil, Apa Cerita Nabil, Hua … Hua .. Hua .., Pondok-Pondok, Studio Nabil, Ewah Ewah & Hartamania
Telefilem: Sonata Labu Labi.

Info Irma

Nama: Irma Hasmie Ibrahim
Tarikh Lahir: 8 Januari 1982
Usia: 27 Tahun
Asal: Kuala Lumpur
Pencapaian: Gadis Jelita 2004
Iklan Komersil: Tourism Malaysia (Cuti-Cuti Malaysia), Fair & Lovely, Yamaha & Pringle’s.
Filem: Cinta Fotokopi, Main-Main Cinta, Diva & Dua Hati Satu Jiwa
Drama: Lima, Awan Dania, Bella, Rahsia Gambar, Hantu Raya, Segalanya Ku Terima & Cinta 5 Bintang.

Bintang Pop

Peminat Tiup Semangat

April 12, 2009 Bintang Pop | Comments (0) admin @ 6:25 pm

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

Rosyam, Linda tetap jadi pilihan biarpun pelapis baru menjelma silih berganti

ANTARA Rosyam Nor dan Linda Onn, mereka masih berada dalam lingkungan populariti yang konsisten. Mereka masih belum tergugat biarpun pelapis baru tumbuh bak cendawan selepas hujan. Rosyam masih lagi hero filem yang diminati ramai, Linda tetap juga penyampai radio hebat meskipun ada ketikanya mereka sebelum ini gagal mempertahankan gelaran dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

Ironinya, siapa tidak mengimpikan untuk terus berada di persada kemasyhuran, dibaluti segala catatan indah yang sememangnya menjadi impian setiap insan. Hakikatnya, populariti turut memainkan peranan penting dalam menentukan jatuh bangun dan jangka hayat seorang insan seni sama ada terus bertahan atau akhirnya semakin dilupai masyarakat.

Rosyam sudah 26 tahun bergelar anak seni. Linda pula lebih 10 tahun mengutip sisa pengalaman dalam bidang penyiaran dan lapangan seni lakon. Biarpun dalam bidang berbeza, mereka tetap jadi pilihan peminat biarpun pelapis baru menjelma silih berganti. Mereka sedikitpun tidak tergugat malah terus di situ. Selagi nyawa dikandung badan, jiwa mereka sudah sebati dengan kerjaya sebagai anak seni.

Rosyam terus dipilih sebagai finalis kategori Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular, manakala Linda pula Penyampai Radio Wanita Popular dalam ABPBH 2008. Malam kemuncak anugerah itu akan berlangsung dari Arena of Stars, Genting Highlands malam ini, jam 9 malam di kaca TV3. Soalnya, mampukah mereka menaiki pentas kali ini untuk menggenggam trofi?

Sambil merenung jauh, Rosyam akui: “Saya bersyukur biarpun sudah lebih dua dekad mengabadikan diri sebagai anak seni, saya masih mendapat sokongan peminat. Malah, saya tak menjangka akan menerima pengiktirafan paling tinggi dalam Anugerah Seri Negara, baru-baru ini.

“Dalam ABPBH pula saya sudah menerima tujuh anugerah dalam kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, lima kali sebagai Pelakon TV Lelaki Popular dan sekali sebagai Bintang Paling Popular.

“Mungkin ada yang cakap, apa lagi saya mahukan. Mereka silap, selagi saya bernafas… perjuangan seni saya tidak akan terhenti di sini. Masih banyak perkara yang belum sempat saya lakukan. Saya mahu mencipta sejarah tersendiri, bukan hanya dalam bidang lakonan malah dalam penerbitan program TV, drama dan filem Melayu.”

Rosyam akui, kedudukannya semakin sukar dengan kehadiran pelapis baru yang mendapat limpahan publisiti. Bagaimanapun, platfomnya tiada terbatas kerana dirinya bukan terbabit dalam bidang lakonan semata-mata, malah kini bergelar penerbit program TV, drama dan filem Melayu.

“Tahun lalu saya memang kurang berlakon dan menumpukan perhatian pada kerja di belakang tabir. Saya juga berehat seketika selepas kematian dua insan yang disayang, abang dan bapa. Apabila saya muncul bersama Fauziah Latiff dalam drama bersiri Gelora Di Hati Sara, saya dapat rasakan sokongan peminat tak berbelah bagi pada saya dan Fauziah. Drama bersiri berkenaan sudah tiga kali diulang siar dalam tempoh tak sampai setahun.

‘Apakah saya masih ramai peminat?

“Begitu juga dengan Rozana, Mengejar Sinar dan Kudrat, drama berkenaan menjadi bualan hangat. Sesekali saya pernah terfikir, apakah saya masih ada peminat dan perlukah saya terus berada dalam industri, tetapi sokongan peminat menjadi peniup semangat saya,” katanya.

Terbaru, Rosyam sibuk dengan program realiti yang julung kali diadakan untuk mencari pelapis pelakon. Menyedari hakikat industri filem kekurangan pelapis baru apatah lagi yang berkualiti jarang diperoleh, malah kadang kala hanya muka sama saja yang dihidangkan kepada penonton. Maka, atas lasan itu, usahawan berusia 42 tahun ini menerusi syarikatnya, Suhan Movies & Trading, White Wizard dan Alif Utama dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerbitkan program realiti berjudul Pilih Kasih.

Rosyam berkata, Pilih Kasih diterajui bekas penerbit program realiti Akademi Fantasia musim pertama hingga empat dan Raja Lawak musim pertama, Adi Shamsul sebagai pengarah dan Muhammad Azizan Ahmad selaku ketua bahagian teknikal. Program berkenaan akan disiarkan secara langsung setiap Sabtu, jam 8.30 malam di TV2 dari Auditorium Besar RTM Tengku Puan Cik, Senawang, Negeri Sembilan bermula 6 Jun ini.

“Kini, saya sibuk dengan uji bakat Pilih Kasih. Seramai seramai 20 peserta terdiri 10 lelaki dan 10 wanita berusia antara 18 hingga 35 tahun yang terpilih akan berada dalam akademi Pilih Kasih selama empat bulan. Saya tak pernah gusar walaupun bertembung dengan program sama, Anak Wayang terbitan Astro. Saya mempunyai perancangan tersendiri, begitu juga Anak Wayang. Saya pasti, cara pengendalian mereka juga berlainan dengan Pilih Kasih.

“Sesi uji bakat akan berlangsung selama lebih sebulan dan ia bermula semalam di lokasi Taman Bukit Perling, Johor diikuti hari ini (Ahad) di ruang legar pusat beli-belah Terminal One, Seremban, Kota Bharu Mall, Kota Bharu, Kelantan (18 April), Berjaya Megamall, Kuantan (19 April), One Borneo Kota Kinabalu, Sabah (25 dan 26 April), Queensbay Mall, Pulau Pinang (2 Mei), Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor (3 Mei) dan The Spring, Kuching (9 & 10 Mei), antara jam 10 pagi hingga 8 malam,” katanya.

Linda cari keserasian di sinar FM

Linda pula berkata, jiwa dan kecintaannya pada kerjaya sebagai penyampai radio dan pengacara membuatkan dirinya sanggup mengharungi apa saja dugaan mendatang. Malah, peminat tak putus-putus memberi sokongan selepas dirinya berhijrah ke radio Sinar FM tahun lalu.

Semakin cantik dan berseri, Linda yang pernah merangkul Penyampai Radio Wanita Popular ABPBH enam tahun berturut-turut akui: “Saya masih lagi mencari chemistry bekerja di konti Sinar FM. Tidak seteruk ketika mula bertugas Disember lalu, kini saya sudah semakin selesa dengan pendengar Sinar FM, cuma saya perlu membuat banyak homework untuk lagu-lagu lama.

“Pendekatan saya sejak dulu bukan hanya memutarkan lagu, malah saya suka celoteh diselitkan dengan latar belakang seseorang penyanyi. Ada kalanya saya berdepan masalah apabila penyanyi lama yang nama pun kadang kala saya tak pernah dengar, apatah lagi mengenali wajah mereka.

“Bagaimanapun, keluarga, pendengar dan teman-teman banyak membantu menyalurkan maklumat pada saya. Mereka banyak membantu menaikkan semangat saya untuk terus bekerja dalam dunia penyiaran.

“Ada kala saya tak puas hati dengan anggapan sesetengah orang, saya seorang jutawan dan ahli perniagaan berjaya tetapi kenapa saya masih nak bekerja sebagai penyampai radio. Saya bukannya gila glamor dan ingin terus berada di puncak sebaliknya kerjaya penyampai radio sudah sebati dengan diri saya. Kerja adalah jiwa saya, bagaimana saya nak meninggalkannya?

Nafi sudah bergelar jutawan

“Dan siapa kata saya seorang jutawan? Memang saya ada perniagaan tetapi tahap saya bukanlah jutawan. Saya menjalankan perniagaan makanan sebab minat dan keluarga saya memang minat berniaga. Sejak dulu pun sebelum saya bergelar penyampai radio, saya dan keluarga sudah berniaga, saya hanya meneruskan tradisi.”

Linda akui dia juga kesal gara-gara dicop jutawan, ramai yang bimbang mahu mendekatinya malah lebih perit lagi, ada yang beranggap dirinya diva.

Dengan nada perlahan, Linda berkata: “Kadang kala saya sedih bila ada yang takut nak dekati saya. Mereka dengar cerita macam-macam mengenai saya, tetapi bagi yang mengenali saya, mereka tahu siapa Linda Onn. Mereka hanya dengar cerita mulut ke mulut, mereka tak kenal saya.

“Saya masih Linda yang dulu, tak pernah berubah pun. Pernah dulu ada seorang lelaki berminat nak berkawan dengan saya tetapi dia takut bila dengar cerita Linda begitu, Linda begini. Cerita sapa yang mereka dengar, jangan menilai buku dari kulitnya, nilai juga isi dalaman.

“Memang saya akui tak semua lelaki mahupun wanita mudah mendekati saya kerana saya juga perlu pilih kawan. Hidup dalam kota macam-macam kerenah manusia yang ditemui, saya tak mahu terjebak dalam kancah yang sosial apabila salah pilih kawan. Bukan saya tak suka berkawan tapi saya percaya semua orang akan pilih kawan,” katanya yang memilih busana rekaan Nazrin Idris untuk ABPBH 2008.

INFO: Linda

Nama: Rozlindah Onn

Tarikh Lahir: 26 November 1977.

Asal: Singapura.

Kerjaya: Penyampai radio Sinar dan ahli perniagaan (My Mom’s Chicken Rice dan Restoran Asam Pedas).

Filem: Soal Hati (2000), Soalnya Siapa (2002), Gila Bola (2003),

Biar Betul (2004).

Drama: Datin Diaries, Delima Wanita – Psycho

Rancangan: Tanya Linda di Astro Ria, Festival Filem Malaysia ke-19, Anugerah Era (2005-2006), Charity Dinner Show with Anuar Zain & Ziana Zain – Istana Hotel, KL (2006).

Iklan: Power Root.

Pencapaian: Penyampai Radio Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), enam kali berturut-turut.

INFO: Rosyam Nor

Nama: Mohamed Noor Shamsuddin

Tarikh lahir: 1 Mac 1967

Usia: 42 tahun

Kerjaya: Pelakon, Pengacara, Penerbit, Pengarah Urusan

Filem: Gila Gila Remaja, Sayang, Perawan Malam, Tak Kisahlah Beb, Kanta Serigala, Jimi Asmara, Suami, Isteri Dan …., Lenjan, Maria Mariana 2, Nafas Cinta, Bara, Gerak Khas The Movie, KL Menjerit, Laila Isabella, Janji Diana, Berlari Ke Langit, Pontianak Harum Sundal Malam, Gangster, KL Menjerit 1, Castello, Pontianak Harum Sundal Malam 2, Bilut, Syaitan, Kala Malam Bulan Mengambang, Anak Halal dan Estet.

Drama: Hanya Dikau, Sempadan Dilema, Takbir Untuk Abdah, Tedus Kabus, Antara Arca Dan Abstrak, Diari Sofea, Siapa Cairel, Athirah, Idaman, Kilau Ungu, Rumah Di Tengah Sawah, Pondok Buruk, Sekeras Kerikil, Maya Mira, Rita & Raihan, Harlina, Nur Fitri, Airmata Syawal, Pondok Buruk 2, Rindu Semakin Jauh, Istana Kristal, Beras Kunyit Di Pagi Syawal dan Masih Ada

Iklan: Nona Roguy, Julie’s Biscuit, Power Root dan Algo Lighting

Bintang Pop

Pesona Karya Cipta Populariti

April 4, 2009 Bintang Pop | Comments (0) admin @ 6:35 pm

Bintang Pop