Peminat Tiup Semangat
Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
Rosyam, Linda tetap jadi pilihan biarpun pelapis baru menjelma silih berganti
ANTARA Rosyam Nor dan Linda Onn, mereka masih berada dalam lingkungan populariti yang konsisten. Mereka masih belum tergugat biarpun pelapis baru tumbuh bak cendawan selepas hujan. Rosyam masih lagi hero filem yang diminati ramai, Linda tetap juga penyampai radio hebat meskipun ada ketikanya mereka sebelum ini gagal mempertahankan gelaran dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).
Ironinya, siapa tidak mengimpikan untuk terus berada di persada kemasyhuran, dibaluti segala catatan indah yang sememangnya menjadi impian setiap insan. Hakikatnya, populariti turut memainkan peranan penting dalam menentukan jatuh bangun dan jangka hayat seorang insan seni sama ada terus bertahan atau akhirnya semakin dilupai masyarakat.
Rosyam sudah 26 tahun bergelar anak seni. Linda pula lebih 10 tahun mengutip sisa pengalaman dalam bidang penyiaran dan lapangan seni lakon. Biarpun dalam bidang berbeza, mereka tetap jadi pilihan peminat biarpun pelapis baru menjelma silih berganti. Mereka sedikitpun tidak tergugat malah terus di situ. Selagi nyawa dikandung badan, jiwa mereka sudah sebati dengan kerjaya sebagai anak seni.
Rosyam terus dipilih sebagai finalis kategori Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular, manakala Linda pula Penyampai Radio Wanita Popular dalam ABPBH 2008. Malam kemuncak anugerah itu akan berlangsung dari Arena of Stars, Genting Highlands malam ini, jam 9 malam di kaca TV3. Soalnya, mampukah mereka menaiki pentas kali ini untuk menggenggam trofi?
Sambil merenung jauh, Rosyam akui: “Saya bersyukur biarpun sudah lebih dua dekad mengabadikan diri sebagai anak seni, saya masih mendapat sokongan peminat. Malah, saya tak menjangka akan menerima pengiktirafan paling tinggi dalam Anugerah Seri Negara, baru-baru ini.
“Dalam ABPBH pula saya sudah menerima tujuh anugerah dalam kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, lima kali sebagai Pelakon TV Lelaki Popular dan sekali sebagai Bintang Paling Popular.
“Mungkin ada yang cakap, apa lagi saya mahukan. Mereka silap, selagi saya bernafas… perjuangan seni saya tidak akan terhenti di sini. Masih banyak perkara yang belum sempat saya lakukan. Saya mahu mencipta sejarah tersendiri, bukan hanya dalam bidang lakonan malah dalam penerbitan program TV, drama dan filem Melayu.”
Rosyam akui, kedudukannya semakin sukar dengan kehadiran pelapis baru yang mendapat limpahan publisiti. Bagaimanapun, platfomnya tiada terbatas kerana dirinya bukan terbabit dalam bidang lakonan semata-mata, malah kini bergelar penerbit program TV, drama dan filem Melayu.
“Tahun lalu saya memang kurang berlakon dan menumpukan perhatian pada kerja di belakang tabir. Saya juga berehat seketika selepas kematian dua insan yang disayang, abang dan bapa. Apabila saya muncul bersama Fauziah Latiff dalam drama bersiri Gelora Di Hati Sara, saya dapat rasakan sokongan peminat tak berbelah bagi pada saya dan Fauziah. Drama bersiri berkenaan sudah tiga kali diulang siar dalam tempoh tak sampai setahun.
‘Apakah saya masih ramai peminat?
“Begitu juga dengan Rozana, Mengejar Sinar dan Kudrat, drama berkenaan menjadi bualan hangat. Sesekali saya pernah terfikir, apakah saya masih ada peminat dan perlukah saya terus berada dalam industri, tetapi sokongan peminat menjadi peniup semangat saya,” katanya.
Terbaru, Rosyam sibuk dengan program realiti yang julung kali diadakan untuk mencari pelapis pelakon. Menyedari hakikat industri filem kekurangan pelapis baru apatah lagi yang berkualiti jarang diperoleh, malah kadang kala hanya muka sama saja yang dihidangkan kepada penonton. Maka, atas lasan itu, usahawan berusia 42 tahun ini menerusi syarikatnya, Suhan Movies & Trading, White Wizard dan Alif Utama dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerbitkan program realiti berjudul Pilih Kasih.
Rosyam berkata, Pilih Kasih diterajui bekas penerbit program realiti Akademi Fantasia musim pertama hingga empat dan Raja Lawak musim pertama, Adi Shamsul sebagai pengarah dan Muhammad Azizan Ahmad selaku ketua bahagian teknikal. Program berkenaan akan disiarkan secara langsung setiap Sabtu, jam 8.30 malam di TV2 dari Auditorium Besar RTM Tengku Puan Cik, Senawang, Negeri Sembilan bermula 6 Jun ini.
“Kini, saya sibuk dengan uji bakat Pilih Kasih. Seramai seramai 20 peserta terdiri 10 lelaki dan 10 wanita berusia antara 18 hingga 35 tahun yang terpilih akan berada dalam akademi Pilih Kasih selama empat bulan. Saya tak pernah gusar walaupun bertembung dengan program sama, Anak Wayang terbitan Astro. Saya mempunyai perancangan tersendiri, begitu juga Anak Wayang. Saya pasti, cara pengendalian mereka juga berlainan dengan Pilih Kasih.
“Sesi uji bakat akan berlangsung selama lebih sebulan dan ia bermula semalam di lokasi Taman Bukit Perling, Johor diikuti hari ini (Ahad) di ruang legar pusat beli-belah Terminal One, Seremban, Kota Bharu Mall, Kota Bharu, Kelantan (18 April), Berjaya Megamall, Kuantan (19 April), One Borneo Kota Kinabalu, Sabah (25 dan 26 April), Queensbay Mall, Pulau Pinang (2 Mei), Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor (3 Mei) dan The Spring, Kuching (9 & 10 Mei), antara jam 10 pagi hingga 8 malam,” katanya.
Linda cari keserasian di sinar FM
Linda pula berkata, jiwa dan kecintaannya pada kerjaya sebagai penyampai radio dan pengacara membuatkan dirinya sanggup mengharungi apa saja dugaan mendatang. Malah, peminat tak putus-putus memberi sokongan selepas dirinya berhijrah ke radio Sinar FM tahun lalu.
Semakin cantik dan berseri, Linda yang pernah merangkul Penyampai Radio Wanita Popular ABPBH enam tahun berturut-turut akui: “Saya masih lagi mencari chemistry bekerja di konti Sinar FM. Tidak seteruk ketika mula bertugas Disember lalu, kini saya sudah semakin selesa dengan pendengar Sinar FM, cuma saya perlu membuat banyak homework untuk lagu-lagu lama.
“Pendekatan saya sejak dulu bukan hanya memutarkan lagu, malah saya suka celoteh diselitkan dengan latar belakang seseorang penyanyi. Ada kalanya saya berdepan masalah apabila penyanyi lama yang nama pun kadang kala saya tak pernah dengar, apatah lagi mengenali wajah mereka.
“Bagaimanapun, keluarga, pendengar dan teman-teman banyak membantu menyalurkan maklumat pada saya. Mereka banyak membantu menaikkan semangat saya untuk terus bekerja dalam dunia penyiaran.
“Ada kala saya tak puas hati dengan anggapan sesetengah orang, saya seorang jutawan dan ahli perniagaan berjaya tetapi kenapa saya masih nak bekerja sebagai penyampai radio. Saya bukannya gila glamor dan ingin terus berada di puncak sebaliknya kerjaya penyampai radio sudah sebati dengan diri saya. Kerja adalah jiwa saya, bagaimana saya nak meninggalkannya?
Nafi sudah bergelar jutawan
“Dan siapa kata saya seorang jutawan? Memang saya ada perniagaan tetapi tahap saya bukanlah jutawan. Saya menjalankan perniagaan makanan sebab minat dan keluarga saya memang minat berniaga. Sejak dulu pun sebelum saya bergelar penyampai radio, saya dan keluarga sudah berniaga, saya hanya meneruskan tradisi.”
Linda akui dia juga kesal gara-gara dicop jutawan, ramai yang bimbang mahu mendekatinya malah lebih perit lagi, ada yang beranggap dirinya diva.
Dengan nada perlahan, Linda berkata: “Kadang kala saya sedih bila ada yang takut nak dekati saya. Mereka dengar cerita macam-macam mengenai saya, tetapi bagi yang mengenali saya, mereka tahu siapa Linda Onn. Mereka hanya dengar cerita mulut ke mulut, mereka tak kenal saya.
“Saya masih Linda yang dulu, tak pernah berubah pun. Pernah dulu ada seorang lelaki berminat nak berkawan dengan saya tetapi dia takut bila dengar cerita Linda begitu, Linda begini. Cerita sapa yang mereka dengar, jangan menilai buku dari kulitnya, nilai juga isi dalaman.
“Memang saya akui tak semua lelaki mahupun wanita mudah mendekati saya kerana saya juga perlu pilih kawan. Hidup dalam kota macam-macam kerenah manusia yang ditemui, saya tak mahu terjebak dalam kancah yang sosial apabila salah pilih kawan. Bukan saya tak suka berkawan tapi saya percaya semua orang akan pilih kawan,” katanya yang memilih busana rekaan Nazrin Idris untuk ABPBH 2008.
INFO: Linda
Nama: Rozlindah Onn
Tarikh Lahir: 26 November 1977.
Asal: Singapura.
Kerjaya: Penyampai radio Sinar dan ahli perniagaan (My Mom’s Chicken Rice dan Restoran Asam Pedas).
Filem: Soal Hati (2000), Soalnya Siapa (2002), Gila Bola (2003),
Biar Betul (2004).
Drama: Datin Diaries, Delima Wanita – Psycho
Rancangan: Tanya Linda di Astro Ria, Festival Filem Malaysia ke-19, Anugerah Era (2005-2006), Charity Dinner Show with Anuar Zain & Ziana Zain – Istana Hotel, KL (2006).
Iklan: Power Root.
Pencapaian: Penyampai Radio Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), enam kali berturut-turut.
INFO: Rosyam Nor
Nama: Mohamed Noor Shamsuddin
Tarikh lahir: 1 Mac 1967
Usia: 42 tahun
Kerjaya: Pelakon, Pengacara, Penerbit, Pengarah Urusan
Filem: Gila Gila Remaja, Sayang, Perawan Malam, Tak Kisahlah Beb, Kanta Serigala, Jimi Asmara, Suami, Isteri Dan …., Lenjan, Maria Mariana 2, Nafas Cinta, Bara, Gerak Khas The Movie, KL Menjerit, Laila Isabella, Janji Diana, Berlari Ke Langit, Pontianak Harum Sundal Malam, Gangster, KL Menjerit 1, Castello, Pontianak Harum Sundal Malam 2, Bilut, Syaitan, Kala Malam Bulan Mengambang, Anak Halal dan Estet.
Drama: Hanya Dikau, Sempadan Dilema, Takbir Untuk Abdah, Tedus Kabus, Antara Arca Dan Abstrak, Diari Sofea, Siapa Cairel, Athirah, Idaman, Kilau Ungu, Rumah Di Tengah Sawah, Pondok Buruk, Sekeras Kerikil, Maya Mira, Rita & Raihan, Harlina, Nur Fitri, Airmata Syawal, Pondok Buruk 2, Rindu Semakin Jauh, Istana Kristal, Beras Kunyit Di Pagi Syawal dan Masih Ada
Iklan: Nona Roguy, Julie’s Biscuit, Power Root dan Algo Lighting
Bintang Pop