Featuring the latest Malaysia scandals, gossip, and entertainment news.

‘Saya Amat Cintai Fahrin’

May 31, 2009 Bintang Pop | Comments (0) admin @ 5:15 pm



Oleh Zubir Mohd Yunus

SELAIN dikenali kerana memiliki suara yang unik – ‘besar’ dan kasar, Scha sering dikaitkan meniti kemasyhuran serta popularitinya di bidang seni menerusi cerita peribadi apabila dia menjalin hubungan mesra dengan Fahrin Ahmad selepas pengacara dan aktor kacak itu melalui saat duka, putus cinta dengan personaliti terkenal, Linda Onn suatu ketika dulu.

Scha dituduh menumpang populariti Fahrin untuk diterima dalam dunia hiburan.

Scha, 26, yang juga anak saudara Sharifah Sheril Aida dan Syed Sobri ini juga dikatakan tidak boleh berdiri sendiri membina namanya jika tidak kerana kontroversinya bersama Fahrin. Justeru, Scha pernah melahirkan rasa kecewanya apabila media massa dan peminat lebih memberi perhatian kepada kisah ‘teman tapi mesra’ bersama Fahrin, berbanding soal kerjaya lakonannya yang hanya dipandang sebelah mata!

Namun, semua itu cerita kira-kira enam bulan lalu, kini tanpa Fahrin, Scha mampu membina kerjayanya yang semakin melonjak apabila dia menjadi perhatian ramai produser dan pengarah yang ingin menyuntingnya membintangi filem atau drama produksi mereka. Jika dulu namanya perlu disebut sebagai Scha Fahrin, kini cukup sekadar Scha atau sekurang-kurangnya Scha Awan Dania, peminat sudah mula mengenali siapa gadis jelita ini.

Lantaran permintaan tinggi di lokasi, sudah ada ‘suara dari produksi’ yang berbisik, Scha sekarang semakin sukar dihubungi, panggilan telefon tidak berjawab, malah SMS pun kadang-kadang tiada balasan, sekali gus melabelnya mula berlagak diva!

“Saya akui, apabila tiba waktu puncak di lokasi penggambaran, saya tidak berpeluang menjawab panggilan telefon atau membalas SMS. Rata-rata yang cuba menghubungi saya adalah pihak produksi yang inginkan jawapan segera sama ada saya berminat atau tidak dengan tawaran mereka. Pada masa sama, saya perlu memikirkan komitmen atau tawaran yang datang lebih awal. Saya perlu tunggu kata putus dari produksi berkenaan.

“Apabila menerima sebarang tawaran lakonan atau pengacaraan, saya nak elakkan jadual penggambaran bertembung, saya paling tak suka berdepan masalah jadual. Saya tak akan melakukan dua kerja dalam satu masa. Namun, apabila saya sudah menandatangani kontrak, saya akan memberikan sepenuh komitmen. Janganlah melabel saya mula berlagak diva gara-gara lambat memberikan jawapan untuk komitmen itu,” kata Scha.

Agak mengejutkan apabila tiba-tiba Scha memberitahu, dia tidak merancang untuk kekal lama dalam dunia hiburan, walaupun ketika ini namanya sedang bergerak laju menuju puncak. Katanya lagi, selepas berlaku suatu insiden kepada seorang teman baiknya, dia baru sedar, dunia artis penuh cabaran, malah pembalasan yang diterima apabila berbuat perkara mungkar, sangat drastik.

“Secara jujur, saya tak akan kekal lama dalam industri ini. Saya akan berlakon seadanya saja, maksudnya tidak mahu terkejar-kejar peluang depan mata sehingga lupa tanggungjawab kepada keluarga dan orang tersayang. Seperkara lagi, apabila saya ditakdirkan berkahwin dalam masa terdekat, aktiviti seni pasti bergerak perlahan, namun sekiranya tak ada apa-apa (kahwin), saya buat kerja macam biasa,” kata Scha lagi.

Serius dengan Fahrin

TIBA-TIBA Scha mengalih tajuk perbualan kepada soal kahwin, terus saja fokus diberikan kepada perhubungannya bersama Fahrin. Tanpa berselindung, Scha mengakui dia mula menjalin hubungan serius dengan Fahrin kira-kira lapan atau sembilan bulan lalu dan kini mereka masih meneruskan ‘fasa suai kenal’, sekali gus mengakui, buah hatinya itu memiliki kualiti seorang suami yang bagus, selain mempunyai ciri-ciri kepimpinan.

Pun begitu, sedang hangat pasangan berkenaan ‘terlanjur cinta’, terdengar desas-desus perhubungan mereka sebenarnya sedang dilanda masalah. Fahrin dikatakan gagal ‘mengawal’ Scha apabila perhubungan mereka diperkotak-katikkan sukar menuju ke penghujungnya atau lebih tepat lagi impian membina gerbang perkahwinan umpama mencari cahaya di hujung terowong.

“Saya dan Fahrin lahir daripada dua latar masa yang berbeza. Justeru, antara kami wujud perbezaan dalam banyak perkara, cari berfikir pun tak sama. Saya akui, mungkin dulu hubungan kami ada sedikit masalah, misalnya perbezaan idea dan mengawal situasi. Selain itu, saya juga tak boleh melakukan perubahan secara drastik, memerlukan masa dan keikhlasan. Tak boleh disebabkan orang lain, saya berubah, yang penting diri sendiri.

Tak suka dikongkong

“JUJURNYA, saya tak suka dikongkong atau dipaksa melakukan sesuatu kerja itu. Bagi saya, setiap apa yang kita lakukan, mesti ikhlas. Kami sentiasa berusaha membaik pulih perhubungan apabila berasakan ada sesuatu yang tak kena. Alhamdulillah, semakin hari perhubungan kami terus matang. Namun, cerita lama kadang kala menghantui perhubungan kami, itu yang cuba kami atasi.

“Bagi saya, Fahrin seorang yang begitu penyabar kerana dia boleh terima diri saya sekalipun memerlukan masa. Kalau dia tak sabar, dah lama dia tinggalkan saya. Moral cerita ini, memang hubungan kami pernah berdepan masalah dan kami sentiasa mencari penyelesaian. Sebenarnya setiap kali berdepan masalah, masalah itulah yang merapatkan lagi perhubungan kami!,” kata Scha jujur.

Pernah suatu ketika timbul desas-desus, kononnya Fahrin akan bertunang dengan Scha awal tahun ini, tapi perancangan itu tidak menjadi kenyataan. Fahrin sekadar mengakui hubungannya dengan Scha memang serius dan tidak pernah berniat mempermainkan perasaannya. Perhubungan mereka ada tujuan. Justeru, sekiranya Fahrin menyatakan hasratnya untuk bertunang, adakah kali ini Scha sudah bersedia?

“Kita hanya mampu merancang, Tuhan menentukannya. Saya hanya berserah pada jodoh. Sekiranya benar jodoh saya bersama Fahrin, saya reda. Tapi, jika ditakdirkan saya bertemu jodoh dengan orang lain, saya pasrah dengan ketentuan itu. Saya dan Fahrin sentiasa bersedia berdepan kenyataan hidup. Namun, jika ditanya tahap hubungan kami ketika ini, we are really in love…” kata Scha akhirnya berterus terang.

INFO: NAMA SEBENAR: Sharifah Norazean Syed Mahadzir TARIKH LAHIR: 30 Mei 1983 ASAL: Sungai Petani, Kedah DARAH CAMPURAN: Ayah (Arab) dan ibu (Cina) KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik PENDIDIKAN: Diploma Teknologi Maklumat dari Kolej Pusat Teknologi dan Pendidikan Lanjutan (PTPL), Shah Alam PENCAPAIAN: Dewi Remaja 2006/2007 FILEM: Antoo Fighter: Amukan Drakulat, Histeria, Papadom, Evolusi KL Drift 2, Dimensi Cinta, Libas dan Adik Manja Returns DRAMA: Bella, Honeyz, Awan Dania, Naik Hantu dan Awan Dania 2 10. PENGACARAAN: Sehati Sejiwa dan Astro On Demand 11. KOMERSIAL: Rexona, Hotlink, Watson, Oral-B, Nokia, elcom dan My EG

12. DUTA: Bio Essence

Bintang Pop

Tidak Sia-Siakan Peluang

May 24, 2009 Bintang Pop | Comments (0) admin @ 5:25 pm

Oleh Zubir Mohd Yunus

Adam, Raja Farah rebut setiap kesempatan yang terbuka di depan mata selagi usia masih muda

MINGGU lalu industri hiburan menyambut kehadiran seorang lagi juara Akademi Fantasia bagi musim ketujuhnya (AF7), Mohd Hafiz Mohd Suip, 19, sekali gus semakin bertambah bilangan bintang kelahiran program realiti TV.

Persaingan juga semakin sengit apabila peminat dunia seni mempunyai lebih ramai pilihan siapakah bintang yang benar-benar layak digelar penyanyi dan penghibur.

Seperti kelazimannya, setiap kali muncul bintang baru AF, bintang lama semakin dilupakan atau nama mereka terus melalui zaman suram kecuali hanya beberapa nama saja yang masih bertahan hingga hari ini. Itupun bersama kegigihan dan usaha keras berterusan memahat nama di hati peminat supaya tidak terpinggir dan dilupakan begitu saja.

Selain Asmawi Ani atau Mawi yang masih ‘bertaring’ hingga hari ini sekalipun tidak setajam dua atau tiga tahun lalu, Mohd Aizam Mat Saman atau Adam, 25, dari AF2 pula terus berusaha mempertahankan namanya agar tidak tenggelam dibawa arus populariti bintang baru yang tumbuh bak cendawan selepas hujan. Supaya peminat tidak bosan dengan dirinya, Adam mencari pembaharuan dan menyuntik pen-jenamaan baru pada karier seninya.

Begitupun, Adam masih bernasib baik apabila produk nyanyiannya mendapat sentuhan daripada KRU Studios. Kini dia harus semakin laju memacu kerjaya seninya, selain membuktikan kepada peminat, walaupun Maestro Talent & Management (Maestro) yang sudah tinggal nama dan sejarah manis, namun bagi Adam, dia tidak semestinya turut terkubur dan memberi laluan mudah kepada bintang sedia ada membenam bakatnya!

Adam yang sinonim dengan bakat nyanyian, tarian lincah dan berjinak sebagai pelakon, kini dia melangkah setapak lagi apabila bergelar pengarah drama.

“Akhirnya saya buat keputusan untuk bergerak sendiri supaya cita-cita tercapai. Menyanyi dan berlakon saya sudah buat, akhirnya saya beranikan diri untuk mengarah drama pula. Dalam hidup ini kita harus berani mencuba, barulah kita tahu sejauh mana kemampuan diri. Bersama tunjuk ajar daripada mereka yang lebih senior, Wira Malam: Bisikan Naga akan menemui penonton di Astro Ria, berkemungkinan Jun ini,” kata Adam.

Telefilem bergenre aksi dan menampilkan super hero itu adalah terbitan Curio Communications. Selain Adam sebagai tunjang utama, pelakon lain ialah Mimie (finalis MyStarz LG2), Faizal Hussain dan Aaron Aziz. Menerusi telefilem ini juga, Adam memaparkan kebolehannya bermain senjata yang dinamakan ‘chako’.

Kini, telefilem Wira Malam: Bisikan Naga sedang melalui proses suntingan dan memasukkan kesan khas serta muzik.

Adam juga mempunyai produksi sendiri, Aico Entertainment. Buat masa ini dua artis bernaung di bawah syarikatnya, Bad Boys dan Mimie. Adam mengakui, cita-citanya di penghujung karier, dia mahu menjadi seperti KRU yang mampu menerbitkan album, filem dan drama sendiri.

Sudah memiliki kekasih hati

Tidak lengkap kehidupan Adam sebagai artis jika tidak terpalit kontroversi cinta. Selepas putus kasih dengan model dan pelakon, Juliana Evans, Adam dikatakan menjalin hubungan serius dengan model dan pelajar dari negeri kelahirannya, Sabah. Pun begitu, bukan mudah membuka mulut Adam bercerita mengenai teman barunya itu kerana baginya ia terlalu peribadi dan malu jika hubungan itu tidak menjadi berkekalan.

Namun, Adam terus dipujuk untuk menceritakan siapakah gerangan empunya diri, Joanna Sue Henly, 20, gadis berdarah campuran Dusun-Amerika yang berasal dari Kota Kinabalu itu. Joanna atau lebih mesra disapa Anna itu adalah Ratu Keamatan Sabah 2006/2007 dan kini menyertai pertandingan Bintang RTM 2009, selain melanjutkan pelajaran dalam jurusan undang-undang di sebuah kolej swasta terkemuka di Kuala Lumpur.

“Anna adalah kenalan lama saya. Selepas keluar AF2, saya bertemu Anna ketika menjayakan persembahan di Dewan KDCA, Sabah. Kami berkawan rapat hinggalah hari ini, lebih-lebih lagi kami berkongsi minat yang sama, suka menyanyi. Kini, apabila dia menyertai Bintang RTM 2009, saya sentiasa memberinya sokongan,” kata Adam lagi.

Ada perancangan untuk melamar Joanna sebagai kekasih seterusnya teman hidup?

“Orang secantik Anna, tipulah kalau saya tak ada perasaan suka kepadanya. Tapi, saya tak mahu terburu-buru. Segala-galanya saya serahkan pada jodoh.

“Lagipun kami masih muda, perjalanan hidup masih jauh. Karier pun masih belum tercapai sepenuhnya. Yang penting, buat masa ini kami selesa sebagai kawan baik, kami tidak pernah bercinta,” kata Adam yang masih berteka-teki mengenai hubungannya bersama Joanna.

Raja Farah tidak mengalah

Sementara itu, Raja Farah, 21 tidak mahu mengalah dengan kemunculan ramai muka baru di bidang lakonan apabila dia terus bekerja keras supaya peluang kerja sentiasa mengintainya. Biarpun sudah enam tahun melayari dunia seni sebagai pelakon dan pengacara, belum ada sebarang anugerah yang dimenanginya sebagai kebanggaan dan sekadar berpuas hati sebagai finalis Pelakon Wanita Harapan pada Festi-val Filem Malaysia ke-19.

“Saya akui, rentak kerjaya seni agak perlahan, nama saya tidak melonjak seperti artis lain, orang kata apabila buka saja TV, semua saluran ada muka kita. Bagi saya, terpulang pada rezeki masing-masing.

“Ada juga pelakon tambahan, berlakon satu, dua drama, namanya terus naik. Ada juga yang dah berlakon lebih 10 tahun, orang masih tak kenal,” kata Farah.

Apa komen Farah apabila ada segelintir aktres mendaki ke puncak dengan cara kotor, umpamanya sedia menerima pelawaan penerbit mahupun pengarah filem dan drama untuk ditiduri?

“Tidak dinafikan, perkara seperti itu pernah berlaku. Artis tidur dengan pengarah?! Saya malu apabila ada orang bercerita pada saya! Saya kecewa apabila perkara jijik itu berlaku di tempat kita cari makan. Bagi saya, terpulanglah pada individu masing-masing, mungkin mereka rela melakukannya kerana terdesak atas kesempitan hidup atau nak cepat kaya.

“Tapi, saya bernasib baik kerana belum ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas diri saya. Mungkin ibu sentiasa menemani saya, mereka tidak ada ruang untuk berbuat sesuatu yang kotor. Janganlah salah guna kuasa yang ada pada kita untuk menindas orang lain semata-mata untuk kepentingan peribadi,” kata Farah yang kini mempunyai pembantu peribadi (PA) apabila ibunya hanya memantau pergera-kannya dari jauh.

Namun begitu, ketika menjayakan karnival Jom Heboh TV3 di Lumut, Perak, beberapa minggu lalu, ada insiden yang memperlihatkan gelagat kebudak- budakan Farah sehingga menimbulkan ketidakselesaan terhadap rakan artis dan sekumpulan peminat yang mengharapkan dia bersikap lebih matang.

“Saya akui, saya masih bersikap kebudak-budakan. Saya bertindak mengikut perasaan tanpa berfikir. Ketika di Lumut tu, ada sesuatu yang buat saya tak puas hati, saya terus melepaskan kemarahan tanpa ber-fikir panjang.

“Saya minta maaf kepada mereka yang berkecil hati dengan sikap saya itu. Saya akan berusaha memperbaiki kelemahan diri kerana setiap daripada kita, tak terlepas daripada melakukan kesilapan,” kata Farah dengan jujur.

INFO: Raja Farah
NAMA PENUH: Raja Farah Raja Aziz
TARIKH LAHIR: 5 Julai 1988
ASAL: Kuala Lumpur
KELUARGA: nak ketiga daripada empat beradik
PENCAPAIAN: Anugerah Pantene Shine, Anugerah Skrin ke-8 (ASK8) dan finalis Pelakon Wanita Harapan, Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19)
FILEM: Salon, Anak Halal, Apa Kata Hati, Maut, Eee… Hantu, HAQ, Romance dan Merempuh Karma
DRAMA: Intan Asmara, Mentua vs Menantu, Misi XX Ray, Gadis Dari Bintang, Duranni dan Segalanya Ku Terima
PENGACARAAN: Anugerah Bintang RTM, Riuh @ Satu dan Filem @ 9.

INFO: Adam AF2
NAMA SEBENAR:Mohd Aizam Mat Saman
TARIKH LAHIR: 19 September 1983
ASAL: Inanam Laut, Sabah
KELUARGA: Sulung daripada empat beradik
PENCAPAIAN: Tempat ketiga, Akademi Fantasia 2 (AF2) (2004); Lagu Paling Popular Hits 1, Joget Lambak (2007); Pelakon Lelaki Popular, Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19) (SMS) dan Vokal Duo Terbaik bersama KRU, Terhangat Di Pasaran, Anugerah Era 2004/2005.
ALBUM: Adam, Adam 2 dan Adam 3 (kesemuanya terbitan KRU Studios)
FILEM: Cinta Fotokopi, Main-Main Cinta, Diva dan Dimensi Cinta
TELEFILEM ARAHAN PERTAMA: Wira Malam: Bisikan Naga.

Bintang Pop

Tak Harap Lelaki Kaya

May 17, 2009 Bintang Pop | Comments (0) admin @ 5:35 pm

Oleh Hardi Effendi Yaacob

Tawaran berlakon tak putus-putus cukup untuk Ayu Raudhah nikmati hidup senang

BERBEKALKAN wajah cantik dan susuk tubuh menawan, dia muncul sebagai antara pelakon wanita agak laris ketika ini apabila banyak tawaran diterimanya walaupun pembabitannya dalam bidang lakonan boleh dianggap masih baru.

Namun, tidak sesekali pun Raudhah Che Wan atau lebih dikenali sebagai Ayu Raudhah, 25, menjadikan kelebihannya itu sebagai tempat untuk memancing orang kenamaan (VIP) sebagai cara untuk hidup mewah dengan cara mudah. Tegasnya, bukan itu yang dicarinya apabila menceburi bidang ini.

Bagaimanapun, sehebat mana pun mengelak, masih ada lelaki yang cuba mendekati, termasuklah mereka yang diakui memang dari kalangan VIP dengan ada di antaranya menawarkan pelbagai habuan mewah hanya mahu mendampinginya.

“Tipu kalau saya kata tiada yang cuba ‘jual minyak’ hingga saya sendiri pun naik rimas.

Namun, saya menganggapnya sebahagian daripada cabaran yang harus ditempuh apabila terbabit dalam bidang seni.

“Apa pun pandangan masyarakat, semuanya harus ditelan kerana itulah harga yang harus dibayar apabila keputusan dibuat untuk menceburi bidang ini. Yang penting, kita harus bijak membawa diri dan yakin pada diri sendiri,” katanya.

Ayu berkata, tidak sesekali pun beliau menyesal menolak pelbagai tawaran mewah oleh mereka yang ingin mendampinginya kerana percaya ada banyak cara lain untuk mendapatkan kesenangan hidup.

“Jangan ingat pendapatan sebagai pelakon tidak boleh memberi kemewahan.

Yang penting, kita mesti gigih berusaha dan menyimpan. Alhamdulillah, setakat ini rezeki saya murah. Cukup untuk menanggung kehidupan sendiri dan keluarga.

“Lebih baik hidup mewah atas usaha sendiri daripada bergantung kepada pemberian orang. Sekurang-kurangnya saya tidak terhutang budi atau tidak perlu membalas budi sesiapa,” katanya sambil menganggap bidang seni tidak sekotor seperti yang disangkakan oleh kebanyakan pihak.

Sama ada ia dilihat kotor atau bersih, segala-galanya terserah kepada cara seseorang itu membawa diri dalam bidang hiburan ini.

Ayu mengaku berasa simpati dengan nasib yang menimpa kakaknya, Rozita Che Wan kerana sering dikaitkan dengan lelaki kaya. Bukan sedikit gosip yang ditimbulkan konon kakaknya itu bertuah kerana boleh hidup mewah kerana mendampingi golongan berada.

Sebagai adik, katanya, beliau tumpang sedih apabila kakaknya dilanda gosip hebat sebelum ini, termasuk dakwaan kononnya sudah berkahwin secara rahsia dengan ahli perniagaan bertaraf jutawan yang juga suami kepada seorang penyanyi terkenal.

“Cukup-cukuplah cerita mengenai kakak saya itu. Kasihan saya melihat keadaannya. Bagi saya, itulah gosip paling hebat

pernah melanda dirinya sepanjang bergelar pelakon. Namun, di sebalik sesuatu kejadian itu, pasti ada hikmah.

“Ia memberikan kekuatan kepadanya, begitu juga ahli keluarga lain untuk terus menghadapi dugaan mendatang. Malah, kejadian itu juga turut dijadikan iktibar buat diri saya sendiri untuk lebih bersedia menghadapi keadaan serupa jika berlaku selepas ini,” katanya.

Pernah dikaitkan seorang pelakon drama, Ayu berkata, dia tiada masa untuk membalas pelawaan atau cinta sesiapa, malah cukup senang dengan kehidupannya ketika ini.

“Saya mempunyai ramai kawan lelaki kerana mereka bersikap terbuka, senang berbicara dan mereka tidak mudah sensitif. Tapi kalau ada yang salah faham mengenai hubungan saya dengan kawan lelaki, saya hendak buat macam mana?

“Asal saja saya tahu jalan hidup saya, itu sudah cukup memadai. Susah hendak bagi orang faham siapa kita,” katanya yang cukup bijak menyembunyikan kisah kehidupan peribadinya dan lebih senang cerita mengenai karier seninya dipaparkan.

Teringin berlakon filem

Di sebalik bintangnya yang bersinar sebagai dramatis, dengan puluhan drama dan telefilem pernah dilakonkannya walaupun masih baru dalam bidang lakonan, timbul pula minat untuk mencuba nasib di layar perak.

Ayu berkata, minat itu mula wujud selepas melihat kejayaannya kakaknya di pentas filem, malah sedia menimbang sebarang tawaran yang bakal diberikan kepadanya selepas ini.

“Sebenarnya, bukanlah saya pernah menerima tawaran filem cuma tidak kena masa. Tawaran itu muncul ketika saya terikat dengan penggambaran drama. Peluang itu terpaksa dilepaskan sebab takut tidak mampu membahagikan masa dan komitmen.

“Ketika itu juga, saya merasakan diri ini masih belum bersedia berlakon filem. Bagi saya, komitmen sebagai pelakon filem lebih sukar kerana penggambarannya lebih lama berbanding drama atau telefilem. Namun, selepas melihat kejayaan kakak, teringin juga saya mencubanya,” katanya.

Meminati filem aksi dan pengembaraan, Ayu mengakui tawaran diterima melimpahruah sejak kebelakangan ini, namun ia tidak sesekali pun menjadikan beliau tamak dan membolot segala tawaran berkenaan kerana percaya sikap negatif itu boleh menghancurkan kerjaya lakonannya.

“Tawaran memang banyak tetapi tidak semuanya saya ambil. Biasanya sesuatu tawaran saya terima mengikut kemampuan dan kesesuaian masa. Kita tidak perlu tamak kerana sikap itu akhirnya akan menyusahkan diri sendiri.

“Sebenarnya, saya tidak bimbang pun fasal soal tawaran sebab yakin peluang sentiasa ada. Dalam melaksanakan sesuatu kerja, saya sentiasa mementingkan soal fokus bagi memastikan mutu lakonan saya berada pada tahap membanggakan,” katanya.

Minat jadi Lara Croft

Dalam kebanyakan drama dan telefilem lakonannya sebelum ini, Ayu lebih cenderung membawakan watak gadis baik atau gadis pingitan, seolah-olah sinonim dengan karektor dirinya yang lemah lembut, bersopan santun dan kaya dengan adat ketimuran.

Berikutan itu, beliau secara jujur mengakui ada ketikanya bosan membawakan watak sebegitu, namun tetap melakonkannya dengan baik hingga meninggalkan kesan mendalam kepada penonton atas alasan memenuhi tuntutan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan.

“Disebabkan sudah selalu sangat diberikan watak sebegitu, saya tidak lagi menganggapnya sebagai watak mencabar. Justeru, saya berharap ada produser atau pengarah yang sudi menawarkan watak yang lebih menarik kepada saya selepas ini.

“Saya menginginkan watak yang boleh mencabar kemahiran lakonan saya seperti orang gila… pesakit mental yang mengalami tekanan perasaan. Ia nampak mudah tetapi watak itulah yang sebenarnya paling sukar untuk dilakukan,” katanya.

Atas sebab itu, Ayu begitu mengagumi manamana pelakon yang berjaya melakonkan watak orang gila dengan baik kerana ia memang sukar dilakonkan, dengan perlu banyak rujukan dilakukan.

“Selain orang gila, teringin juga saya melakonkan watak pemburu harta, Lara Croft dalam filem blockbuster Hollywood, Tomb Raider. Bagi saya, watak itu cukup sukar dilakonkan kerana menampilkan banyak aksi ketangkasan. Yang pasti, bukan mudah untuk menjadi Lara Croft.

“Kejayaan Angelina Jolie menghidupkan watak itu cukup dikagumi. Dulu saya tidaklah meminati Jolie tetapi selepas melihat aksinya dalam filem itu, saya pun teringin menjadi sepertinya,” katanya.

INFO: Ayu Raudhah
Nama Sebenar: Raudhah Che Wan
Panggilan Komersial: Ayu Raudhah
Tarikh Lahir: 7 Disember 1984
Usia: 25 tahun
Asal: Alor Star, Kedah
Keluarga: Anak Keenam (Dari Tujuh Beradik)
Taraf Perkahwinan: Bujang
Kerjaya: Model dan Pelakon
Drama/Telefilem: KL Menjerit The Series, Arus Ke Kuala, Manjalara, Dari Mata Arissa, Timur Mencinta Barat Merindu, Cinta Terhalang dan Hidayah 2

Mekap/Rambut: Amy Janz (012-276 3600)
Busana: Koleksi Peribadi Ayu Raudhah dan Calvin Thoo
Lokasi: Teratak Rahmah, Lot 459-B, Kampung Kerdas 3, Batu 6 Gombak, Kuala Lumpur dan Butik Calvin Thoo, Lot 10
Penghargaan: Normi Khamis

Bintang Pop

Misha, Adam Tak Dapat Dipisahkan

May 10, 2009 Bintang Pop | Comments (0) admin @ 5:45 pm

Oleh Hardi Effendi Yaacob

BIARPUN sudah seminggu berlalu, masih ramai peminat memperkatakan mengenai Anugerah Industri Muzik Malaysia Ke-16 (AIM16) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur yang berlangsung dalam suasana meriah, dengan banyak keputusan di luar jangkaan.

Ia termasuk kemenangan besar Misha Omar pada malam kemuncak itu apabila menguasai empat kategori utama yang dipertandingkan iaitu Lagu Terbaik Sepanjang Tahun, Lagu Pop Etnik Terbaik, Lagu Pop Terbaik dan Album Pop Terbaik.

Malah, kemenangan itu turut dianggap sebagai kebangkitan semula penyanyi berkenaan dalam industri muzik tanah air selepas menghasilkan album terakhirnya, Aksara, empat tahun lalu dan hanya cenderung mengeluarkan single sebelum ini.

Misha dalam pertemuan bersama B*Pop baru-baru ini, menyifatkan kemenangan itu sebagai detik bersejarah dalam perjalanan karier nyanyiannya yang bermula sebagai finalis Bintang RTM 2001.

“Inilah kejayaan terbesar sepanjang bergelar anak seni. Tidak pernah termimpi pun untuk mencatatkan kemenangan terbesar, lebih-lebih lagi membabitkan empat kategori utama dalam sebuah anugerah berprestij, khusus dalam mengiktiraf karya muzik tempatan,” katanya.

Katanya, AIM sama sekali berbeza dengan majlis pengiktirafan lain yang dianjurkan dalam industri hiburan tanah air kerana ia lebih cenderung kepada aspek kualiti karya muzik dihasilkan, bukannya bersandarkan kepada populariti, malah penentuan pemenang dibuat oleh juri profesional.

“Sebab itulah, kebanyakan penggiat muzik kita, termasuklah penyanyi cukup berbangga apabila memenangi AIM. Malah, saya sendiri menunggu lama untuk mencatatkan kemenangan ini. Apa yang boleh saya katakan, penantian saya selama ini sudah terbayar.

“Malah, tidak sia-sia masa yang begitu lama diperuntukkan, begitu juga belanja besar yang terpaksa dikeluarkan untuk menyiapkan album ini… semua berbaloi. Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kejayaan ini dan memberikan saya semangat untuk menghasilkan karya lebih berkualiti pada masa depan,” katanya.

Walaupun mencatatkan kejayaan besar itu, ada sedikit rasa terkilan dalam diri penyanyi kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini kerana tidak berpeluang memenangi Album Terbaik.

“Laluan memang sudah dekat, cuma tidak berpeluang. Mungkin belum rezeki saya agaknya. Bagaimanapun, nasib menyebelahi saya apabila Nafas Cinta diangkat sebagai Lagu Terbaik. Itu pun sudah cukup baik,” katanya.

Misha mengakui kemenangannya pada malam itu memang di luar jangkaannya, malah tidak meletakkan harapan tinggi apabila dicalonkan bagi setiap kategori berkenaan.

“Maklumlah, Misha 2008 mengambil masa agak lama untuk disiapkan sehingga peminat pun keliru sama ada ia album baru saya atau album kompilasi. Ini disebabkan kecenderungan saya menghasilkan single kemudian disusuli album baru,” katanya.

Melalui Misha 2008 juga, impian penyanyi jelita ini menjadi kenyataan apabila berpeluang bekerjasama dengan pengarah muzik terkenal, Ramli MS, yang dikaguminya sejak sekian lama walaupun bayaran dikenakan agak tinggi berbanding penerbit lain.

“Sebenarnya, sudah banyak kali kami bekerjasama tetapi untuk persembahan saja… kalau album, ini yang pertama. Memang ada dengar cerita Abang Ramli mahal (bayarannya) tetapi saya tidak percaya sehinggalah dia ‘membuka mulut’. Terlopong juga saya dibuatnya.

“Namun, saya tidak kisah kerana bayaran diminta setimpal dengan hasil kerjanya. Yang pasti, tidak rugi jika anda membeli album ini. Bila anda sudah mendengarnya, barulah anda tahu mengapa bayarannya mahal seperti yang dikhabarkan,” katanya.

Kelewatan Misha 2008 disiapkan juga disebabkan mahu menunggu masa terluang Ramli untuk menerbitkan album itu memandangkan jadual hariannya yang dipenuhi pelbagai aktiviti seni di dalam dan luar negara.

“Kebetulan kami terbabit dalam satu persembahan. Saya memberanikan diri sama ada dia berminat menerbitkan album saya namun jawapan yang diberikan agak mengecewakan. Abang Ramli beritahu jadi penerbit album kerja yang buang masa, lebih-lebih lagi beliau sangat sibuk.

“Namun, saya tidak patah semangat dan terus menunggu sehinggalah beliau memberikan persetujuan. Itu yang ambil masa lama, selain mahu mengumpul material. Daripada pengamatan saya, Abang Ramli seorang yang mementingkan kesempurnaan dan ketelitian. Itulah yang ‘mahal’ sebenarnya,” katanya.

Beliau turut mengakui tidak kisah menunggu lama dan terpaksa berbelanja besar untuk Misha 2008 kerana ia memuaskan hatinya, malah menganggap album ketiganya itu sebagai album terbaik pernah dihasilkannya sepanjang sedekad menceburi bidang nyanyian.

“Yang penting, saya tidak akan menyesal kalau tidak lagi berpeluang atau mengambil masa lebih lama untuk menghasilkan album selepas ini. Misha 2008 bukan sekadar memuatkan lagu, sebaliknya karya hebat yang sentiasa relevan dengan perkembangan semasa.

“Ia juga bukan sekadar album, malah satu lambang transformasi selama 10 tahun bergelar penyanyi, bidang ini, terutama kematangan vokal saya, selain kemampuan menyanyikan pelbagai genre lagu. Tidaklah orang kata saya hanya penyanyi ‘lagu sendu’ atau balada saja,” katanya.

Menyimpan impian untuk berduet dengan Anuar Zain, Amy Search dan Ramli Sarip, Misha secara jujur mengakui sudah mempunyai teman istimewa yang mula dikenalinya dua tahun lalu selepas diperkenalkan oleh beberapa teman rapatnya.

“Kami memang banyak perbezaan… dia pegawai kerajaan, manakala saya seorang artis tetapi berkongsi minat yang sama. Mungkin inilah yang menyebabkan kami serasi. Alhamdulillah, hubungan kami berjalan dengan baik dan direstui keluarga masing-masing.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu membuka isu perkahwinan kerana sebagai wanita, saya tidak mahu mendesak. Bagi saya, perkahwinan masih terlalu jauh walaupun itu yang saya harapkan. Saya seorang wanita, mana mungkin saya mahu melamarnya… takkanlah perigi mencari timba,” katanya.

Misha memberitahu B*Pop, teman istimewanya turut serasi dengan Muhammad Adam Emir, malah memenuhi ‘piawaian’ untuk menjadi ‘papa’ kepada anak kesayangannya itu.

“Apa yang saya nampak, mereka serasi. Memang nampak dia mudah mesra dengan budak-budak. Dari sudut kewangan, kita boleh sama-sama ‘work out’. Jika dilihat dari kemampuannya menjadi seorang ayah, memang nampak dia bertanggungjawab.

“Memang dia mempunyai ciri-ciri yang saya cari. Memanglah saya mengharapkan perhubungan ini berakhir dengan satu ikatan sah tetapi biarlah masa yang menentukan. Tidak perlu terburu-buru… jika ada jodoh takkan ke mana-mana,” katanya.

INFO Misha

Nama Penuh: Samiha @ Aisah Omar

Panggilan Komersial: Misha Omar

Usia: 27 tahun

Tarikh Lahir: 6 Januari 1982

Asal: Kota Bharu, Kelantan

Kerjaya: Penyanyi dan Pelakon

Status Perkahwinan: Bujang

Anak Angkat: Muhammad Adam Emie (3 tahun)

Mula Aktif: 2001 (Melalui Bintang RTM – Finalis)

Album: Misha (2002), Aksara (2004) dan Misha 2008 (2008)

Lagu Popular: Bunga Bunga Cinta, Pulangkan, Ku Seru, Sembunyi (duet bersama Andy Flop Poppy), Cinta Adam & Hawa dan Nafas Cahaya

Filem: Gerak Khas The Movie (2005) dan Main Main Cinta (2006).

Drama/Telefilem: Jom Balik Raya I & II (2006) dan Jula Juli (2009)

Pencapaian Terbaik:
- Festival Muzik Asia Shanghai 2003 – Anugerah Emas
- Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003 – Artis Baru Wanita Popular.
- Anugerah Juara Lagu 2003 – Lagu Balada Terbaik (Bunga Bunga Cinta)/Persembahan Vokal Terbaik.
- Anugerah Industri Muzik 2009
- Lagu Terbaik Tahunan & Lagu Pop Etnik Terbaik (Nafas Cinta).
- Lagu Pop Terbaik (Cinta Adam & Hawa) dan Album Pop Terbaik.

Mekap/Rambut: Chomel (012-684 1591)/Busana: Puri Pesona (Jul: 017-676 8288)

Bintang Pop

Sarimah Akui Suami Pemalu

May 3, 2009 Bintang Pop | Comments (0) admin @ 5:55 pm

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

‘Saya tak sorok suami!’: Sarimah akui Amir Andrew tidak suka kehidupan glamor dan sering mengelak gambar dirakam jurufoto

TIADA apa yang kurangnya dalam bahtera rumah tangga Sarimah Ibrahim. Dia dan suaminya, Amir Andrew Browning kelihatan seperti pasangan bercinta, sentiasa ceria dan sering tergelak ketawa biarpun memiliki perwatakan yang berbeza.

Bagaimanapun, gara-gara jarang kelihatan bersama dalam acara rasmi sejak tiga tahun mendirikan rumah tangga, ia menimbulkan pelbagai spekulasi hingga ada yang menganggap pasangan sama cantik, sama padan itu sedang berdepan dengan krisis rumah tangga.

Apabila diajukan pertanyaan itu, Sarimah hanya tersenyum sambil membuka dompet yang tersimpan rapi gambar si jantung hatinya itu. Ia sekali gus membuktikan rumah tangga pengacara Diari Akademi Fantasia 7 (AF7) itu tidak pernah bergoncang atau tergugat biarpun jarang kelihatan bersama.

Sarimah menafikan dia sengaja menyorok suaminya daripada dirakam oleh pihak media. Dia juga tidak pernah mengelak jurugambar merakamkan foto suaminya itu kerana sememangnya dia jarang dengan Amir dalam majlis hiburan atau di khalayak peminat. Namun, apabila dirinya sering berseorangan dalam majlis tertentu, ia bermakna suaminya memang tidak berminat untuk datang bersama kerana tidak suka didedahkan dalam media massa.

Dalam nada perlahan, Sarimah akui: