Faezah & Diana Tak Kejar Glamor
Bintang Pop
Oleh Zubir Mohd Yunus

Tampan, jelita pakej bonus bagi dua pelakon baru untuk meniti dunia lakonan, selebriti
DUA bintang remaja, Fizo Omar dan Tunku Tiara atau Quiara masih mentah di pentas hiburan, namun hari demi hari mereka semakin rancak menempa nama dan populariti sehinggalah mendapat perhatian peminat dan media massa. Bersama pakej bonus yang dimiliki kedua-duanya – tampan dan jelita, disertai bakat yang digilap tanpa rasa jemu, merendah diri, membuatkan mereka mudah didekati sesiapa saja.
Fizo dan Quiara dilahirkan daripada latar keluarga berbeza, si teruna anak orang kebanyakan, si dara pula kerabat diraja Johor, namun sebaik saja menjejakkan kaki di laman seni, tiada jurang yang mampu memisahkan mereka. Pertama kali mereka digandingkan sebagai pasangan kekasih menerusi telemovie Keliru.
Terbaru, pasangan ‘merpati dua sejoli’ ini menjadi perhatian penerbit, Sahid Juri membintangi drama bersiri 20 episod, Cinta Sempurna terbitan sulung Cerna Media Sdn Bhd. Drama arahan Saipul Bahri Othman ini akan disiarkan pada Ramadan akan datang menerusi Astro Oasis. Namun, mereka bukan lagi sebagai pasangan kekasih, sebaliknya adik beradik. Pun begitu, keserasian memang wujud antara mereka.

Tunku Tiara
Buktinya, mereka beraksi di depan lensa kamera umpama pasangan bercinta apabila pertama kali diberi peluang menghiasi muka depan B*Pop. Tidak dinafikan, 15 minit pertama kedua-duanya kelihatan agak malu-malu ditambah dengan ‘pemantauan’ daripada ibu Quiara yang sentiasa berada di belakang tabir, namun memasuki minit yang seterusnya, Fizo dan Quiara sudah memperoleh ‘rentak’ dan hasilnya, lihatlah sendiri!
Yang pasti, andai kedua-duanya sudah berpunya, barangkali kalau silap jangkaan, mahu saja hubungan mereka dengan pasangan masing-masing berantakan gara-gara cemburu jika alasan yang diberikan tidak diterima akal! Namun, atas dasar kerja dan profesional, selain tuntutan fotografi yang ingin melihat kemesraan kedua-duanya, Fizo dan Quiara ‘rela manja’ membiarkan apa saja perasaan yang tersimpul di dalam hati berlalu pergi.
Fizo sendiri sebenarnya sudah lali dengan gosip cinta apabila dia sering menjadi ‘mangsa’. Pernah dikaitkan dengan beberapa artis wanita, tapi tiada kesudahan dan akhirnya senyap begitu saja. Bagi Fizo, mereka sekadar kenalan biasa, namun gosip tercetus gara-gara tafsiran yang kurang tepat. Kini, Fizo tetap berkawan dengan mereka meskipun tidak membabitkan sebarang perasaan.
Terbaru, khabarnya Fizo putus cinta dengan gadis biasa berusia 21 tahun yang berasal dari utara tanah air, benarkah begitu?
“Kami tak sempat bercinta pun. Baru nak kenal-kenal, tak boleh serius. Akhirnya kami lebih selesa sebagai kawan biasa saja,” kata Fizo sebaik memulakan bicaranya.
Secara jujur, status Fizo ketika ini?

Fizo Omar
“Sebetulnya saya tidak ada komitmen dengan sesiapa pun, solo! Saya tak mahu terburu-buru mencari teman hidup. Namanya pun teman hidup, pastinya saya mahukan yang terbaik kerana kalau diizinkan, kita nak hidup selama-lamanya dengan dia. Lagipun kesibukan membina kerjaya juga antara halangan saya mencari yang benar-benar terbaik.
“Namun, sekiranya dalam kesibukan itu cinta tiba-tiba datang, saya tak mampu menolaknya. Sebagai makhluk ciptaan Tuhan, saya juga memerlukan cinta,” katanya yang sudah membintangi lebih 10 drama, tapi mengakui dirinya tidak pernah terjerat dengan cinta lokasi sesama rakan artis.
Fizo puji kecantikan Quaira
Bagaimana dengan Quiara, kali pertama berlakon dengannya sebagai pasangan kekasih, kini membawa watak adik beradik dan hari ini pula anda berdua dipertemukan kali pertama untuk sesi fotografi, tidakkah wujud sebarang perasaan terhadapnya?
“Quiara? Tipulah kalau seorang lelaki seperti saya memandangnya, tak suka! Dia memang cantik, penampilannya ada daya tarikan tersendiri. Pun begitu, cantik, comel, faktor itu sebenarnya sesuatu yang subjektif. Namun, saya senang berada di sisinya kerana dia seorang yang low profile, tak pernah sekalipun berlagak sombong walaupun kita semua sedia maklum, Quiara berstatus kerabat!
“Dia juga banyak membantu di lokasi terutama dalam Cinta Sempurna. Quiara begitu fasih berbahasa Inggeris. Menerusi drama ini, kami adik beradik baru pulang ke Malaysia selepas 12 tahun menetap di United Kingdom (UK), justeru kelebihannya menguasai bahasa berkenaan, menghidupkan lagi karektor kami. Dia juga mudah mesra, itu yang membuatkan kami ada keserasian di lokasi,” kata Fizo sambil diusik Quiara untuk menghilangkan rasa gemuruh sebaik tangannya disentuh gadis cantik itu!
Melambung pujian Fizo ke atas Quiara memperlihatkan dia benar-benar menyenangi sikap anak saudara kepada penyanyi terkenal, Syafinaz Selamat itu, justeru adakah sudah berbisik sesuatu di hatinya, mungkin berminat mendekati Quiara secara lebih peribadi, sekali gus kalian bercinta suatu hari nanti!
“Aduh, tolonglah saya tak pernah terfikir sampai ke tahap itu! Namun, saya tak berani cakap takbur. Andai jodoh menemukan kami, saya tak mampu melawan kehendak qada dan qadar. Tapi, rasanya tak mungkin terjadi pada diri kami!,” kata Fizo dengan wajah kemerahan melawan malu!
Pernah bercinta ketika usia 17 tahun
Sementara itu, Quiara lebih bersikap terbuka berbicara soal teman lelaki dan cinta sekalipun ibu sentiasa menemaninya sepanjang temu bual. Di awal perbualan kami, terdetik di hati penulis, kerabat seperti Quiara pastinya akan memilih teman lelaki atau calon suami di kalangan kerabat juga, namun ternyata sangkaan itu meleset sama sekali!
“Ramai lelaki yang ingin mendekati atau berkawan dengan saya mempunyai perasaan ‘takut’ semata-mata saya seorang kerabat. Bagi saya, dalam persahabatan tidak ada beza sama ada orang kebanyakan mahupun kerabat. Kalau ada yang berminat dengan saya, paling penting dia kena pandai menambat hati keluarga saya dulu. Lagi saya suka lelaki itu sekiranya dia pandai mengambil hati keluarga kedua-dua belah pihak,” katanya yang tidak lokek dengan senyuman.
Agak mengejutkan apabila Quiara mengakui, dalam meniti usia 22 tahun, dia masih belum punya teman istimewa atau sekadar berselindung perkara sebenar?
“Saya baru nak kenal-kenal lelaki ketika usia mencecah 17 tahun. Bagi saya, bercinta pada usia terlalu muda, sekadar membuang masa saja. Apabila mendengar cerita teman sebaya yang bercinta pada usia awal remaja, leceh betul apabila perlu luangkan masa untuk keluar dating! Terus-terang, saya tak pernah kenal cinta pertama, hanya kawan-kawan macam tu saja. Sekarang saya solo, tidak mencari cinta, kalau cinta datang, temui keluarga saya dulu!,” katanya berterus terang.
‘Ibu tak pernah kongkong’
Mengenai kerjaya seni, sejak zaman persekolahan lagi Quiara sememangnya meminati dunia nyanyian dan tidak hairanlah dia berjaya menempatkan diri sebagai Top 10, One In A Million musim kedua (OIAM2). Pun begitu, ketika dalam perancangan menghasilkan album, cita-citanya bergelar penyanyi sering tergendala kerana tawaran berlakon tidak pernah putus.
“Tak mengapalah, saya pun tak terburu-buru untuk album ini. Namun, keputusan untuk serius berlakon, berbaloi kerana hari demi hari saya semakin teruja, produser dan pengarah terus memberi kepercayaan, namun bidang nyanyian, tak mungkin saya melupakannya begitu saja,” kata Quiara yang sentiasa ditemani ibu ke mana saja sehingga timbul dakwaan dia ‘kehilangan’ kehidupan sosial zaman remaja.
Namun, Quiara tidak pernah menganggap ibu mengongkong kehidupan peribadinya.
“Mama cool, dia tak pernah nak control. Saya juga seperti remaja lain, ada ketikanya saya bersosial bersama teman-teman, namun mama sering mengingatkan saya batasannya. Tapi, apabila tiba waktu kerja, mama mesti ada di sisi saya kerana dia tahu yang terbaik untuk anaknya!,” katanya lagi. Selain Fizo dan Quiara, turut membintangi Cinta Sempurna ialah Ashraf Muslim, Siti Fazurina, Mahmud Ali Basha, Maria Farida, Akhbar Azmi, Khairil Anuar dan penyanyi wanita indie yang sedang menempa nama, Yuna, sekali gus menjadikan single terbaru artis muda ini sebagai lagu tema dan judul drama yang boleh dilawati menerusi laman sesawang, www.oasis-cintasempurna.blogspot.com.
Info Fizo Omar
NAMA SEBENAR: Wan Hafizol Wan Omar
TARIKH LAHIR: 19 Julai 1985
ASAL: Kota Bharu, Kelantan
DARAH CAMPURAN: Ayah (Melayu) dan ibu (Siam, Arab)
KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Diploma Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis
PENCAPAIAN: Tempat kedua, Hero Remaja 2007/2008 dan Top 5, Artis Baru Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008
DRAMA: Puteri Salju, Gadis Merah Jambu, Dendam, Keliru, Bisikan Subuh, Bio-Nik, La Dolce Amira, Matahari dan Cinta Sempurna
PENGACARAAN: Gen-X (RTM1)
KOMERSIAL: Celcom, Brylcream, Giant dan Myeg
Info Tunku Tiara
NAMA PENUH: YM Tunku Tiara Yasmin Sofia Tunku Hassan
NAMA GLAMOUR: Quiara
TARIKH LAHIR: 28 Disember 1987
ASAL: Johor Bahru, Johor
DARAH CAMPURAN: Ayah (Melayu, British) dan ibu (Bugis, Jawa)
KELUARGA: Anak ketiga daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Perempuan Sultan Ibrahim, Johor Bahru
PENCAPAIAN: Top 10, Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene dan Top 10, One In A Million musim kedua (OIAM2)
DRAMA: Nur 2 (drama pertama), Raya Sedondon, Kerana Karina 2 & 3, Lolaq, Sadis, Keliru, Ranjau Berduri, Gadis Cuci The Series dan Cinta Sempurna
SYARIKAT: Quiara One Production yang diurus oleh ibunya, Zuraida Selamat (kakak penyanyi popular, Syafinaz Selamat)
Solekan Fizo: Awie BB (012 354 2055)
Pakaian Fizo: Lord’s Tailor
Pakaian Tiara: Koleksi peribadi
Bintang Pop
Oleh Zubir Mohd Yunus
Nasha akui cerita sensasi lumrah kehidupan
Fouziah rimas dengki tahap ekstrim
KALI terakhir model dan aktres terkenal, Nasha Aziz berpeluang beraksi sebagai gadis penghias muka depan B*Pop adalah pada 7 Ogos 2005. Sejak itu, kelibatnya amat jarang muncul di media massa, kecuali jika ada pelancaran mahupun promosi drama atau filem terbarunya, barulah dia sedia menerima pelawaan fotografi serta wawancara, itupun bercakap soal kerjayanya semata-mata.
Pada masa sama, Nasha dilanda pelbagai musibah dan kontroversi dalam mengharungi kehidupan peribadinya termasuklah masalah keluarga, aksi ‘skodeng’ hingga menjadi kes mahkamah ditambah lagi dengan cerita putus tunang, membuatkan Nasha seakan ‘malas’ berbicara isu berkenaan secara terbuka kerana mungkin ia bakal mengundang pelbagai perspektif serta spekulasi negatif orang ramai.
Justeru, usaha mendapatkan Nasha untuk fotografi sering menemui kegagalan, sehinggalah selepas lebih tiga tahun menunggu, dia menyatakan persetujuannya bertemu penulis di lokasi penggambaran drama bersiri terbarunya, Kasih Tercipta arahan pengarah yang sinonim dengan dirinya, Rashid Sibir di sebuah banglo mewah kawasan pedalaman Kuang, Selangor, baru-baru ini.
Hasad dengki ekstrim harus dielak dalam industri hiburan.
Pada awal pertemuan lagi, Nasha sudah meletakkan syarat, dia tidak mahu bercakap soal peribadi di tempat kerja (lokasi penggambaran) dan segala pertanyaan berhubung kehidupan personal, penulis harus menemuinya secara peribadi pada waktu lain. Memang terkejut dengan permintaan Nasha, namun memandangkan dia sudi bekerjasama secara profesional mempromosi Kasih Tercipta, itu sudah cukup baik.
Pun begitu, populariti Nasha tidak pernah tergugat kerana sejak dulu hingga hari ini, permintaan untuk dia beraksi di layar lebar mahupun kaca TV, tidak pernah pudar sekalipun semakin ramai bakat baru menjadi pilihan produser mahupun pengarah memberi saingan kepadanya, namun Nasha tetap bertakhta di kelasnya yang tersendiri. Apa sebenarnya kekuatan yang ada pada diri Nasha sebagai anak wayang?
“Saya rasa kekuatan itu bukan datang daripada diri sendiri, tapi segala perancangan atau strategi yang terhasil dari semua pihak. Apabila kita berada dalam sesebuah perniagaan, apa saja yang kita nak buat, tujuan kita hanya satu, kepuasan bekerja, buat orang rasa gembira. Saya memilih cabang seni ini pun kerana kecantikan seni itu sendiri. Seni itu indah. Seni lakonan, muzik, membuatkan orang rasa gembira dan belajar mengenai hidup.
“Dalam kehidupan di dunia yang sementara ini, apa lagi yang kita cari selain benda yang baik dan cantik. Menerusi drama atau filem yang pernah saya jayakan, ia adalah sebahagian strategi untuk membina kekuatan. Apa yang kita beri baik pada orang, akan datang baik pada diri kita, begitulah sebaliknya,” katanya lagi yang akan menjayakan Kasih Tercipta sebanyak 26 episod sebagai Tona, seorang jurufoto.
Bagaimana dengan cerita sensasi atau kontroversi yang kadang kala membantu menaikkan populariti seseorang artis itu kerana Nasha sebelum ini sering dihambat dengan cerita seumpama itu?
“Itu adalah lumrah kepada semua manusia dan sebahagian daripada kehidupan kita. Setiap daripada kita akan berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan dalam mengharungi kehidupan. Kalau tidak, kita bukanlah hamba Allah. Apabila bergelar artis, kontroversi menjadi ‘makanan’ untuk dijadikan bahan berita untuk orang jual. Bagi saya, kontroversi tidak membantu populariti artis. Kontroversi sekadar sebahagian dari kehidupan.
Gandingan bakat baru dan lama cetus keserasian dalam Kasih Tercipta.
“Tipu kalau saya katakan dalam kehidupan, tidak ada kesukaran atau dianiaya,” kata Nasha mensyukuri kehidupannya sebagai anak seni.
Bercakap pula mengenai persaingan daripada muka baru, tidakkah Nasha rasa ruang semakin sempit untuk berkarya dengan kemunculan wajah komersial ini?
“Niat kita apabila berada di satu tempat itu, apa yang kita nak? Kalau kita menceburi bidang itu atas niat untuk bersaing, bersainglah jadinya. Tapi, niat saya tak pernah untuk bersaing. Apa yang ada dalam kehidupan yang sementara ini, buatlah yang terbaik. Hargailah seni. Bagi saya, sesiapa saja bersama saya dalam industri ini, kami sama-sama mencantikkan lagi seni itu. Serlahkan bakat yang ada. Bakat ini dikurniakan Tuhan kepada semua!,” akuinya berterus terang.
Beralih saja kepada kisah cintanya bersama pemuda dikenali sebagai Nur Iman Tang dan hala tuju pengakhiran perhubungan mereka apabila baru-baru ini Nasha mengakui sudah menerima cincin tanda daripada saudara baru itu, terus saja Nasha melemparkan senyuman dengan berkata: “No comment”.
Tak sia-sia tinggal kerjaya pramugari
Sementara itu, aktres yang kini sedang rancak menempa nama, Fouziah Gous pertama kali berlakon di sisi Nasha. Dalam Kasih Tercipta, Fouziah sebagai Nina adik kepada Tona (Nasha). Komen Fouziah mengenai Nasha?
“Nasha sentiasa berusaha menghidupkan karektornya. Dia bukan semata-mata berlakon, tapi penampilan, fizikal, semuanya diambil kira. Ramai yang boleh berlakon, namun tak ramai boleh membawakan karektor yang diminta pengarah dalam diri mereka. Saya selesa berlakon di sisi Nasha, kami ada keserasian. Nasha juga rajin berlatih sebelum masuk ke set, itu yang menjadikan lakonannya kelihatan sempurna,” akui Fouziah atau Poja.
Transformasi dalam kerjaya Fouziah, dari seorang bekas pramugari Penerbangan Malaysia (MAS), kini aktres yang tak putus-putus dengan tawaran lakonan, adakah dia setuju dengan dakwaan itu?
“Saya akui transformasi yang dimaksudkan, tapi segala-galanya tidak akan tercapai tanpa usaha keras, tak boleh malas-malas apabila menceburi bidang ini. Dulu memang saya tak pandai berlakon, tapi hari demi hari saya belajar dan kini saya dapat rasakan peningkatan itu. Pengorbanan berhenti dari MAS, kini pulangan yang saya peroleh, boleh dikatakan berbaloi, alhamdulillah,” kata Fouziah yang mengakui semakin selesa bersama pasukan kerja Kasih Tercipta terbitan Opera Klasik Sdn Bhd.
Apabila nama semakin dikenali ramai, dengki khianat orang terutama mereka yang sama-sama terbabit dalam industri yang sama, memang tidak dapat dinafikan.
“Saya akui, semakin ramai orang mengenali kita, sebenarnya kita tidak sedar, musuh dalam selimut juga semakin bertambah. Kita boleh berfikir secara matang, terpulanglah kepada individu berkenaan, itu hak mereka. Dalam industri ini, kita sama-sama cari makan. Yang penting, jauhkan diri daripada dengki khianat orang.
“Kalau mendengki sekiranya nak jadi yang lebih baik, itu sesuatu yang sihat, tapi kalau mendengki dengan niat nak menjatuhkan nama dan karier seseorang individu itu, itu yang paling saya takuti. Kadang-kala perasaan hasad dengki ini mencecah hingga ke tahap ekstreme. Kita tak buat salah apa-apa, tak kacau orang pun, tetap tak puas hati, dengki. Tapi, itulah lumrah kehidupan manusia, tak boleh tengok orang lain lebih sikit.
“Kini, alhamdulillah, hari demi hari, saya semakin selesa dan bersemangat untuk bekerja,” kata Fouziah berterus-terang.
INFO: Nasha Aziz
NAMA SEBENAR: Noraishah Abdul Aziz
ASAL: Kampung Pandan, Kuala Lumpur
TARIKH LAHIR: 14 Mei 1971
FILEM: Kad Cinta (filem pertama), Gerak Khas The Movie (GKTM), Laila Isabella, Buli, Cinta Luar Biasa, Tak Ori Tapi OK, Kemarau Cinta, Buli Balik, Puaka Tebing Biru dan Sepi.
DRAMA: Duit Free (drama pertama), Inikah Cinta, Inspirion, Hanya Dikau dan Kasih Tercipta
PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-14 (FFM14) menerusi Bara, Pelakon Wanita Terbaik pada FFM17 (Trauma) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Anugerah Skrin (ASK) 2008 (Sepi).
INFO: Fouziah Gous
NAMA SEBENAR: Nor Fouziah Mohd Gous
ASAL: Kuala Lumpur
TARIKH LAHIR: 11 Disember 1982
FILEM: Malaikat Maut, Skrip 7707, Rasukan Ablasa, Sifu & Tonggak, Dua Hati Satu Jiwa dan Rasuk
DRAMA: Kasihmu Di Bulan Ramadan, Kepulangan, Sutera Maya, Spa Q 2, Ibu Ampunkan Aku, Kala Rindu, Terlebih Sudah dan Kasih Tercipta
DUTA: Adidas (M) Sdn Bhd.
Pakaian Fouziah: Mimpi Kita, Dataran Sunway, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor (03 6157 6303)
Subang Fouziah: Tous, Mid-Valley, Kuala Lumpur.
Gelang tangan Fouziah: Le Ann Maxima, Jaya One, Petaling Jaya.
Solekan Fouziah: Ferry Karisma (017 6998 961).
Bintang Pop
Oleh Zubir Mohd Yunus
zubir@bharian.com.my

Anak Wayang bakal memaparkan sandiwara 25 peserta yang akan bertanding demi merebut gelaran bintang lakonan Anak Wayang Astro menerusi pencarian dalam drama bersiri Kecuali Cintamu, manakala Pilih Kasih yang disiarkan menerusi TV2 akan menampilkan 20 peserta diserap ke akademi lakonan
PROGRAM realiti nyanyian sebelum ini sudah banyak melahirkan bintang baru yang kini bergelar penyanyi, pelakon, pengacara TV dan penyampai radio. Justeru, menyemarakkan lagi industri hiburan tempatan yang ketandusan bintang pelapis, maka wujudlah dua program realiti yang kini berteraskan bakat lakonan semata-mata iaitu Anak Wayang terbitan Astro dan Pilih Kasih yang diilhamkan aktor terkenal, Rosyam Nor.
Anak Wayang bakal memaparkan sandiwara 25 peserta yang akan bertanding demi merebut gelaran bintang lakonan Anak Wayang Astro menerusi pencarian dalam drama bersiri Kecuali Cintamu, manakala Pilih Kasih yang disiarkan menerusi TV2 akan menampilkan 20 peserta diserap masuk ke akademi lakonan untuk melatih bakat baru menjadi pelakon versatil membintangi filem Kekasih dan dua drama bersiri sebagai tugasan mingguan.
Namun, tidak lengkap sebuah program realiti tanpa pengacara yang bijak mengendalikan perjalanannya. Memandangkan Anak Wayang dan Pilih Kasih menampilkan konsep hampir sama iaitu SMS – ‘jari menjadi juri’, maka aktres jelita, Nur Fazura diberi tanggung jawab sebagai hos Anak Wayang, sementara bakat baru dunia hiburan, Pasha diberi kepercayaan mengendalikan Pilih Kasih, sekali gus digandingkan dalam fotografi ini.
Fazura, 26, akan mengendalikan segmen Sesi Anak Wayang setiap Isnin hingga Rabu jam 9.30 malam di Astro Ria dan pasangannya aktor terkenal, Rusdi Ramli dalam Pentas Anak Wayang. Manakala bakat Pasha, 21, boleh dinilai apabila melihatnya muncul dalam Kisah Pilih Kasih, setiap Isnin hingga Khamis, jam 4.30 petang menerusi TV2. Siaran langsung Pilih Kasih pula akan dikendali Raja Azura dan Reza Era FM.
Penulis mula mengenali Fazura ketika dia masih berusia 19 tahun dan hari ini, industri lakonan menyaksikan kemunculan ramai bakat baru. Nama Fazura dikatakan semakin kelam ditenggelami glamor dan populariti artis wajah baru yang menjadi pilihan pengarah serta produser.
“Saya sememangnya sudah lama menjangkakan hal ini, semakin hari, semakin ramai muka baru muncul di pentas lakonan. Ini satu perkembangan yang sihat. Saya buat Anak Wayang pun sebab nak tengok muka baru sebagai pelakon. Aktor mahupun aktres datang dan pergi setiap masa. Ia keadaan yang pasti berlaku dalam dunia lakonan.
“Kita kena terima hakikat dan harus sedar sendiri, industri memerlukan wajah segar. Apabila orang dah tak nak tengok kita di kaca TV mahupun layar lebar, saya sebagai pelakon harus bersedia menghadapinya. Buatlah persediaan sewajarnya menjelang hari mendatang, saat populariti kita semakin dilupai. Kini, saya masih mencari peluang perniagaan sebagai persediaan masa depan,” kata Fazura yang semakin cantik dan ramping.
Suatu ketika dulu, gosip mendakwa Fazura sudah menemui cinta baru. Pemuda yang dikatakan berjaya bertakhta di hati Fazura bukan
insan biasa, sebaliknya kerabat diraja Pahang. Fazura pernah mengaku berkawan dengan Tengku Bakar atau lebih mesra dengan panggilan Tengku Burn atau Tengku B, 24. Difahamkan, Tengku B masih menuntut di Melbourne, Australia. Namun, hari ini tiada lagi cinta antara mereka.
Putus cinta dengan Tengku B
“Selepas dua tahun kami berkawan rapat, hari ini semua itu menjadi kenangan terindah. Saya dah tak ada apa-apa hubungan dengannya (Tengku B). Dia masih belajar, saya pula sudah bekerja. Justeru, saya berasakan hubungan kami seolah-olah tak ada masa depan. Dalam usia hari ini, sewajarnya saya mencari teman hidup yang sudah bekerja,” katanya berterus-terang.
Pada masa sama, Fazura dikatakan berkawan baik dengan seseorang yang sentiasa berada di sisinya selama tiga tahun kebelakangan ini, namun dia tidak menyedari keadaan itu. Fazura juga tidak menyedari pemuda berkenaan menyukainya. Tambah Fazura, pemuda itu menyayanginya kerana dia sebagai Nur Fazura, bukan aktres yang dikenali ramai.
“Memang dia rapat dengan saya, tapi nak kata dia kekasih, biarlah masa menentukannya, saya juga belum bersedia mendedahkan identitinya. Sekiranya kami bercinta, mahupun baru nak bertunang, saya tak nak heboh-heboh. Orang tak berminat nak tahu pun perkara yang belum pasti. Lagipun kalau tak jadi, buat malu saja! Bagi saya, ‘esok’ nak kahwin, baru saya pukul canang berita di media massa,” kata Fazura lagi.
Terdengar desas-desas Fazura pernah ‘perang dingin’ dengan seorang selebriti popular awal tahun ini gara-gara ‘mulut jahat’ orang sekeliling. Sejauh mana kesahihannya?
“Saya sudah melupakan perkara itu kerana selepas diselidiki, dia bukanlah orang yang membawa mulut memburuk-burukkan nama saya. Akhirnya saya dapat tahu ada orang sekeliling yang cuba melaga-lagakan kami, semuanya gara-gara mulut jahat. Saya mengharapkan hubungan dengan selebriti popular itu akan segera pulih.
“Paling penting, saya tak mahu ambil peduli apa orang nak cakap, saya tak nak dengar cakap-cakap orang lain yang bertujuan negatif. Sewajarnya saya fikir yang positif saja, hati pun tak sakit,” kata Fazura mengakhiri bicara.
Pasha sudah berpunya
Sementara itu, kemunculan Pasha dalam industri hiburan segala-galanya baru baginya. Dia tidak pernah terbabit dalam sebarang aktiviti seni sebelum ini, namun Rosyam memberinya peluang. Sesi fotografi bersama Fazura adalah kali pertama baginya untuk beraksi bagi gambar muka depan ruangan hiburan. Pasha tidak pernah bermimpi digandingkan bersama Fazura yang sebelum ini hanya dilihatnya di kaca TV dan filem saja.
“Pilih Kasih adalah jambatan penghubung saya kepada dunia seni. Kepercayaan yang diberikan Rosyam tidak akan dipersiakan. Saya seronok dapat bercakap depan kamera, mengawal mood penonton dan memperoleh banyak ilmu. Selepas habis belajar, barulah saya tahu, pengacaraan adalah jiwa saya dan akan membuktikannya, kerjaya ini boleh memberi jaminan,” katanya yang mengagumi bakat pengacara seperti Datuk Mahathir Lokman.
Bergelar selebriti yang bakal dikenali ramai, Pasha akan berdepan ‘makanan’ anak seni, gosip dan kontroversi. Ia tidak semudah disangka, bukan hanya glamor dan populariti mengejar mereka, tapi jika tersilap langkah, terlanjur kata-kata, tiada siapa menduga, mungkin ia akan dicemuh dan dipulaukan peminat dan pihak dalam industri!
“Harap-harap ia tidak berlaku pada diri saya. Bagi saya, yang penting buat saja kerja kita, jangan kacau orang. Sentiasa jadi diri sendiri dan jangan plastik (berpura-pura),” kata Pasha yang mengakui dirinya sudah berpunya dan hanya mahu memperkenalkan temannya itu sebagai I saja.
Info Fazura
NAMA PENUH: Nur Fazura Sharifuddin
TARIKH LAHIR: 27 September 1983
ASAL: Pekan, Pahang
KELUARGA: Anak ketiga daripada empat beradik
IKLAN: Pantene dan Kalsio Sweets
DUTA: Olay
PROGRAM TV: Teensworld (TV2), MTV Jus, MTV Pop Inc dan Anak Wayang (Astro)
FILEM: Bicara Hati, Qaisy & Laila, Senario XX, Gol & Gincu, Kayangan, Selamat Pagi Cinta!, Kantoi, Pisau Cukur dan Lagenda Budak Setan
DRAMA: Inspirion, Dalam Hati Ada Cinta, Kasih Suci, Datin Diaries, Gol & Gincu The Series, Rendang Untuk Mentua dan Ezora
PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-17 (FFM17)
Info Pasha
NAMA PENUH: Pasha Abdul Rahim
TARIKH LAHIR: 1 Disember 1987
ASAL: Lahir di Kuala Lumpur, namun dibesarkan di Klang, Selangor
KELUARGA: Bongsu daripada dua beradik
PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Selangor
KERJAYA ASAL: Eksekutif Pemasaran di sebuah syarikat perunding pemasaran
PROFESION: Pengacara
PROGRAM TV: Pilih Kasih (TV2)
Pakaian, kasut & aksesori: Butik Calvin Thoo, Level 4, Lot 10, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur
Terima kasih: Calvin Thoo (019 3199 578)
Solekan Fazura: Rieza Amour (013 434 3615)
Dandanan Fazura: Ackles Irvien Latif (013 9051 033)
Solekan & dandanan Pasha: Ackles Irvien Latif
Lokasi: Butik Calvin Thoo
Bintang Pop