Featuring the latest Malaysia scandals, gossip, and entertainment news.

Penghargaan Khas Untuk Yasmin Dalam Majalah 3

July 31, 2009 Berita Harian | Comments (0) admin @ 2:54 pm



BAGI mengenang pengarah berbakat besar, Allahyarham Yasmin Ahmad yang pergi meninggalkan kita pada 25 Julai lalu, TV3 menerusi program Majalah Tiga akan menyingkap kembali pembabitan ketika hayatnya masih ada.

Bertajuk Pewarisan Yasmin Ahmad, program selama sejam bermula 9 malam esok akan terus memahat namanya sebagai sebagai insan yang sangat kreatif dalam menghasilkan iklan televisyen yang cukup menggamit perasaan.

Tidak dilupakan kredibiliti Allahyarham dalam menghasilkan deretan filem kontemporari seperti Talentime, Sepet dan Gubra. Menariknya, kru Majalah 3 turut berjumpa ahli keluarga Yasmin dan menyelami perasaan mereka terhadap kehilangan Allahyarham yang begitu rapat dengan ibunya, Enom Yon dan kakaknya Datin Orked Ahmad.

Penggambaran juga dilakukan di pejabatnya, Leo Burnett dan mendekati beberapa rakan rapatnya di pejabat dan turut merakamkan kenangan di ruang biliknya yang dipenuhi pelbagai cenderamata dan anugerah yang diperolehnya.

Tidak ketinggalan, temu bual juga membabitkan beberapa orang teman rapat dalam industri yang diceburi seperti Fatimah Abu Bakar, Othman Hafsham, Azean Irdawaty, Ahmad Puad Onah dan Datuk Seri Farid Ridzuan.

Selain itu, Majalah Tiga berkesempatan menemuramah Datuk Seri Tony Fernandez, Pengurus Besar Kanan Bahagian Perundangan dan Korporat Petronas, Mohd Azhar Osman Khairuddin selaku wakil Petronas yang sering menggunakan khidmat Allahyarham untuk menghasilkan iklan sempena hari raya mahupun kemerdekaan.

Paparan Pewarisan Yasmin Ahmad mendekatkan penonton kepada seorang pembikin filem tanah air yang tulen kerana baginya filem atau iklan dilihat satu medium untuk berkongsi idea, cerita dan pengalaman tanpa mengira bangsa dan agama.

Kejayaan Allahyarham dalam meneruskan legasi seninya sering bertimbal balik dalam keadaan sama ada disukai atau tidak. Lumrah hidup, kita tidak mampu memuaskan hati orang. Allahyarham juga tidak lepas daripada berdepan dengan kontroversi yang menjadi badi terutama dalam penghasilan filemnya.

Pemergian Allahyarham ke rahmatullah kerana penyakit angin ahmar memberi impak tersendiri kepada industri dan juga penggemar karya seninya. Dia hadir hanya satu dalam sejuta, dipinjamkan seketika oleh Yang Maha Esa sebagai cahaya yang menerangi mereka yang dekat serta menghargai segala usaha dan perjuangannya.

Tuhan lebih menyayanginya dan Allahyarham meninggalkan kita tanpa isyarat tertentu. Lalu jangan lupa temu janji anda untuk melekat di depan kaca TV3 jam 9 malam ini untuk sama-sama berkongsi perjalanan hidup Allahyarham yang pernah membuatkan kita menangis, tersenyum dan tercuit dengan sisi karyanya selama ini.

Berita Harian

Dengarnya…: Ajai, Liza Sudah Ada Tarikh Nikah

Berita Harian | Comments (0) admin @ 2:44 pm

APA benar cerita yang Cik Normah dengar mengenai tarikh hari bahagia komposer Ajai dan pengurus di syarikat rakamannya, Wake The Baby iaitu Liza Ilias? Cik Normah dapat tahu pasangan sama padan ini akan melangsungkan pernikahan mereka pada 15 Ogos ini.

Kalau betul bagai dikata, nampaknya tahun ini, Ajai dan Liza akan berpuasa dan menyambut hari raya sebagai suami isteri. Jadi, ketika ini pastinya mereka sedang rancak membuat persiapan perkahwinan. Baguslah kalau benda yang baik buat apa nak disembunyikan.

Setidak-tidaknya, Ajai dan Liza boleh mengambil keberkatan Ramadan yang bakal menjengah tiba tak lama lagi. Cik Normah dapat tahu, masih ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan sebelum mereka bergelar pengantin baru. Ini termasuk soal dokumentasi perceraian membabitkan Ajai dan bekas isterinya, Nurul Huda.

Cik Normah dekat pejabat ini setia menanti kunjungan Ajai dan Liza untuk menyerahkan kad undangan perkahwinan. Cik Normah dapat tahu majlis perkahwinan ini akan diadakan di Pulau Pinang, negeri kelahiran Liza. Semoga apa yang dirancang, Insya-Allah akan mendapat keberkatan Tuhan dan orang yang menyayangi anda semua hendaknya.

Agaknya kalau jadi, Ajai akan gementar lagi tak naik pelamin buat kali kedua? Atau mungkin pengalaman lalu akan membuatkannya lebih bersedia. Cepat kahwin, cepatlah juga dapat anak ya! Boleh juga Ayu Nazirah, anak hasil perkahwinan pertama Ajai dan Nurul dapat adik baru selepas ini.

Hakikatnya, Cik Normah juga belum ada rezeki mendapat anak biarpun sudah bertahun-tahun berkahwin. Cik Normah dan suami pun tak pernah merungut kerana ini semua berbalik kepada rezeki. Setidak-tidaknya, kami tak pernah berhenti berusaha mendapatkan anak. Lihat saja Eja, kahwin sejak lebih 10 tahun pun, baru tahun ini ada rezeki nak menimang anak.

Berita Harian

Dengarnya…: Tak Sanggup Jadi Macam Erra Fazira?

Berita Harian | Comments (0) admin @ 2:34 pm

CIK Normah dapat tahu program Gugu Gaga Erra nampaknya memberi impak hebat kepada Astro apabila ramai pengiklan yang berminat untuk melaburkan program berbentuk sebegitu. Astro bijak menggunakan salah seorang wajah eksklusif miliknya iaitu Erra Fazira dengan mencetuskan program itu apatah lagi selepas pelakon itu melahirkan anak sulungnya, Engku Aleesya.

Cik Normah pun jarang dan tak berkesempatan nak ikut program itu daripada awal. Biasalah kerja macam Cik Normah ini tak menentu masa. Adalah sekali tu Cik Normah berkesempatan menontonnya. Sudah namanya program realiti dan drama, memang drama pun. Satu peringkat macam bosan juga Cik Normah tengok program itu terutama gelagat orang sekeliling yang berada dengan Erra.

Masing-masing ada pendapat tersendiri. Ada yang suka menonton program itu dan ada juga yang macam teman sepejabat Cik Normah cukup kurang berminat nak tengok. Oh ya… sebelum terlupa, baru-baru ini, Cik Normah ada bertanyakan beberapa rakan artis mengenai hal itu, ada yang belum mengandung dan begitulah sebaliknya.

Soalan yang diajukan, sanggupkah menerima tawaran untuk melakukan program sedemikian kalau ada pihak yang berminat untuk merakamkannya. Kebanyakan yang ditemui Cik Normah menolak bulat-bulat jika ada yang menawarkan program sebegitu. Entahlah, hati manusia lain-lain kan?

Barangkali ada artis kita yang tak tergamak membiarkan kehidupan mereka bergelar ibu dipaparkan buat tatapan umum. Mungkin soal ganjaran wang yang diberikan jika bersetuju terbabit dalam program sebegitu tidak menjadi isu di sini. Ia bergantung kepada artis itu sendiri sama ada sanggup atau tidak untuk menjadi seperti Erra.

Cik Normah tak bermaksud nak merendahkan Erra. Mungkin pada satu tahap, Erra ada sebab berbuat demikian. Dengan populariti yang dikecapi dan kelompok peminat yang Erra ada, pastinya idea mewujudkan program itu dilihat mempunyai kewajarannya. Sekurang-kurangnya peminat Erra dapat mengetahui kehidupan sebenarnya selepas melahirkan anak.

Berita Harian

Dengarnya…: Terkenang Saat Indah Bersama Yasmin

Berita Harian | Comments (0) admin @ 2:24 pm

KALAU ada yang masih ingat di dalam ruangan ini, Cik Normah ada menulis mengenai beberapa orang pelakon yang cukup teringin bekerjasama dengan Allahyarham Yasmin Ahmad. Mereka yang Cik Normah maksudkan ialah Wardina Safiyyah dan Sazzy Falak.

Tetapi sayang, belum sempat kita melihat pengarah itu terus berkarya, beliau terlebih dulu menyahut seruan Ilahi 25 Julai lalu. Tak dinafikan biar apa juga pandangan skeptikal sesetengah orang terhadap karyanya, mahu atau tidak, kita masih boleh berbangga dengan bakat kreatif yang dimilikinya.

Cik Normah faham ketika ini masih ada lagi yang meratapi kehilangannya. Sama-samalah kita mendoakan semoga Allahyarham akan mendapat keredaan. Insya-Allah…. Cik Normah seboleh-bolehnya tak mahu sentuh apa jua cerita panas yang mula melingkari Allahyarham. Siapa kita untuk menentukan itu dan ini?

Sebaliknya, Cik Normah tahu ada ramai lagi rakan artis yang cukup berminat berlakon di bawah arahannya. Maya Karin yang bertemu kawan pejabat Cik Normah baru-baru ini pun belum mempunyai kesempatan berlakon filem dengan Allahyarham.

Namun peluang berlakon iklan sempena kempen anti pemanasan global, Earth Hour Mac lalu di bawah arahan Allahyarham masih dikenang hingga sekarang. Biarpun sekejap, Cik Normah yakin selebriti lain yang terbabit selain Maya, juga akan terkenang kembali momen indah bekerjasama dengannya.

Cik Normah juga diberitahu pelakon dan penyampai radio Sinar FM, Raja Azura pun mendapat peluang berlakon sebuah filem. Cik Normah kurang pasti filem apa, barangkali filem Wasuranegasa yang sedang diusahakan semasa hayat Allahyarham. Tawaran berlakon itu datang sendiri daripada mulut Allahyarham.

Tapi apakan daya, Raja Azura yang sememangnya berdebar-debar untuk berlakon filem dengan Yasmin Ahmad nampaknya hanya mampu mendoakan dan merelakan pemergian Allahyarham ke rahmatullah. Semoga Allahyarham dan mereka yang pergi dulu meninggalkan kita akan tenang di sana. Al-fatihah…

Berita Harian

Tema Teater Muzikal Hangatkan Pentas Pilih Kasih

Berita Harian | Comments (0) admin @ 2:14 pm

Oleh Murshid Eunos
bhnews@bharian.com.my

Ahdan akur keputusan pengundi dan Rosyam Nor tinggalkan akademi lakonan

FILEM yang pernah menjadi fenomena lakonan Fauziah Ahmad Daud dan Jamal Abdillah sekitar 80-an, Azura diangkat sebagai tema teater muzikal Pentas Pilih Kasih minggu kelapan malam Sabtu lalu.

Bagaimanapun, cereka asalnya telah digarap semula oleh Erma Fatima bagi menyesuaikan dengan konsep pementasan teater serta mengimbangi keseluruhan watak kepada 12 peserta Pilih Kasih yang masih bersaing di gelanggang seni lakon itu.

Bekas kumpulan Flava, Shahdan Salleh atau nama komersialnya, Ahdan, 25, diumumkan sebagai peserta yang tersingkir pada Pentas Pilih Kasih minggu ke-8 sekali gus terpaksa meninggalkan akademi lakonan cetusan idea aktor terkenal, Rosyam Nor.

Ahdan yang sudah kali keempat berada di kelompok tiga terbawah melalui peratusan undian akhirnya akur dengan keputusan Rosyam untuk menghantarnya pulang dan memberi laluan kepada 12 peserta lain untuk meneruskan cabaran seni kreatif demi bergelar seorang pelakon.

Menerima 2.4 peratus undian, Ahdan tenang bersama dua lagi peserta yang turut mendapat undian terendah iaitu Iqbal Mazlan, 2.6 peratus dan pelakon berbakat besar, Wanina Zaki yang meraih 3.6 peratus.

“Saya akur dan reda dengan keputusan ini malah saya bersyukur kerana sudah kali keempat saya berada di tangga terbawah namun sering diselamatkan oleh Abang Rosyam sebelum ini. Jadi apabila nama saya diumumkan sebagai peserta yang tersingkir, saya sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Bagaimanapun, saya amat gembira terpilih menyertai Pilih Kasih kerana matlamat asal saya ke sini telah tercapai iaitu untuk mendapatkan seberapa banyak ilmu dalam seni lakon daripada mereka yang cukup berpengalaman.

“Malah peluang untuk belajar di bawah Erma Fatima, Amy Maziah, Along Kamaluddin, Rohani Yusof, Rosmina Tahir dan Abang Rosyam sendiri adalah satu peluang yang cukup berharga dan pastinya saya akan rindukan setiap detik berada di Pilih Kasih,” katanya.

Ahdan yang membawakan watak ayah kepada Zack lakonan Diwan Nawi dilihat menjadi selain mendapat pujian pengkritik undangan, Nasir Bilal Khan.

Bagaimanapun, pada minggu-minggu sebelum ini, lakonan Ahdan dikatakan tiada perbezaan dan kelainan sebaliknya hanya bernafas pada gerak lakon yang sama. Mungkin kerana personaliti dan karakternya yang lucu serta gemar berjenaka menjadikan lakonannya juga menerima tempias.

“Saya tak nafikan dan saya juga tidak bersetuju dengan dakwaan seumpama itu kerana saya sering menampilkan sesuatu yang berbeza setiap minggu. Mungkin watak dan karakter yang diberi kepada saya lebih menjurus kepada aksi berjenaka dan unsur lawak menyebabkan orang luar melihat saya sebagai stereotaip.

“Namun, jika dilihat pada lakonan saya menerusi drama pendek arahan Amy Maziah, karakter saya jelas berubah dan sentuhan pengarah juga membuatkan saya tidak lagi membawa karakter kelakar itu.

“Tapi saya berharap agar orang luar tidak menganggap saya hanya mampu membawa watak sebegitu saja kerana bakat serta ilmu yang saya kutip di dalam Pilih Kasih mampu diguna pakai untuk ruang yang lebih luas,” katanya yang mengagumi bakat Afdlin Shauki.

Bagi Rosyam yang menyimpan sebab utama keputusannya dengan menyingkirkan Ahdan hanya tersenyum dan berharap agar setiap anak didiknya menerima sebarang keputusan dengan tenang dan reda.

Menurut Nasir Bilal Khan yang dijemput selaku pengkritik undangan disamping pengkritik tetap, Dr Abu Hassan, persembahan kesemua peserta Pilih Kasih mampu dibanggakan malah masih banyak peluang bagi mereka untuk kembangkan bakat yang sudah sedia ada.

Malah, bintang utama filem Amuk ini cukup teruja dengan pementasan teater Azura yang dipersembahkan peserta Pilih Kasih.

“Saya lebih suka menonton persembahan mereka menerusi segmen teater muzikal berbanding filem itu sendiri kerana kesan dan impaknya lebih terasa dan dekat kepada saya selaku penonton.

“Tanggungjawab mereka untuk melunaskan tugasan teater muzikal, monolog dan drama bersiri dalam masa lima hari sangat hebat dan perlu diberi pujian kerana komitmen dan minat mendalam amat diperlukan. Mereka berjaya tampilkan sebuah persembahan yang sederhana tetapi meninggalkan impak.

“Saya sendiri amat tertarik dengan lakonan berkesan Wanina Zaki kerana beliau cukup mendalami watak serta karakternya sehingga saya sebagai penonton dapat rasakan apa yang ingin disampaikan baik menerusi monolog dan teater muzikal.

“Kalau kita lihat Fauziah Ahmad Daud sendiri, orangnya kecil tetapi bakat lakonannya sangat besar dan luas. Malah, jika ingin melihat dari perspektif yang lain, watak Azura itu sangat besar dan berat untuk pelakon baru seperti Wanina untuk menggalas tanggungjawab itu namun beliau berjaya membawa watak itu dengan baik dan berkesan.

“Jadi saya benar-benar tidak faham dengan keputusan undian yang meletakkan Wanina sebagai peserta yang mendapat undian terendah sedangkan lakonannya cukup hebat dan bersahaja,” katanya.

Berita Harian

Misi Mencari Peserta Gemuk Bermula

Berita Harian | Comments (0) admin @ 2:04 pm

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

Sarimah Ibrahim dipilih untuk menjadi pengacara program The Biggest Looser Asia

KEGEMUKAN yang melampau sering kali menjadi masalah kepada yang menghadapinya. Bukan saja sukar untuk bergaya bagi menghadiri majlis malah untuk bergerak bebas daripada kerusi pun tidak berdaya.

Berpuluh ribuan ringgit dihabiskan semata untuk membeli pelbagai produk kesihatan semata-mata untuk menurunkan berat badan tidak akan berhasil sekiranya semangat yang kental tidak ditanam di dalam diri mereka.

Semangat dan keazaman 30 peserta negara Asia yang akan terpilih untuk menyertai program The Biggest Looser Asia bakal menjadi inspirasi kepada semua penonton yang berhasrat untuk menurunkan berat badan.

Program yang diperkenalkan oleh FremantleMedia Australia Pty Limited dengan kerjasama Reveille LLC kini akan menjelajah ke negara Asia bagi mencari 30 peserta untuk menyertai program ini.

Penerbit Eksekutifnya, Riaz Mehta berkata, program itu sudah menjadi ikutan di seluruh dunia dan kini tiba masanya ia diperkenalkan untuk mencari peserta negara Asia.

“Buat masa ini kami sedang sibuk dengan proses uji bakat di beberapa negara di mana pada minggu lalu produksi kami ke Singapura untuk mengadakan sesi uji bakat.

“Penyertaannya sangat menggalakkan di mana lebih 140 peserta hadir untuk diuji bakat. Pada minggu ini kita akan mengadakan uji bakat di Kuala Lumpur dan mengharapkan penyertaan yang lebih tinggi di sini,” katanya.

Bagi merealisasikan program kesihatan ini, The Biggest Looser Asia akan kendalikan oleh NBC Universal Global Network dengan kerjasama Fitness First.

Pengarah Urusan Fitness First Asia, David Prosser berkata, pihaknya tidak hanya membantu peserta The Biggest Looser, malah akan memberi inspirasi kepada penonton yang melihat siri ini.

“Kami akan memfokuskan program penurunan berat badan mengikut tujuh prinsip Fitness First dalam memastikan peserta mencapai sasaran untuk kurus secara sihat dan optimum.

“Kami tidak hanya selaku penaja, malah kami akan menyediakan pelbagai strategi pelangsingan badan kepada peserta yang turut disaksikan oleh penonton di saluran Astro Hallmark 702 ,” katanya.

Apa yang membanggakan penonton Asia terutama penonton negara ini, program The Biggest Looser Asia akan dikendalikan pengacara, pelakon dan penyanyi popular negara, Sarimah Ibrahim.

Pengarah Program NBC Universal Global Network, Karen Johston berkata, debaran sangat dirasai apabila sesi pemilihan pengacara dari Asia dilakukan.

“Pada mulanya memang sukar untuk memilih calon yang layak mengendalikan program ini kerana ramai calon dari seluruh negara Asia hebat-hebat belaka.

“Sarimah dipilih kerana verstail dan amat berbakat serta ramai peminat setia di Malaysia. Pengalaman mengacara dan kebolehan berkomunikasi dengan jujur menjadikan Sarimah pilihan tepat.

“Lebih-lebih lagi dia berpengalaman luas selama 13 tahun sebagai hos TV, penyanyi dan pelakon dengan banyak filem hebat. Penonton kami sukakan keseronokan dan cabaran maka kami memilih kredibiliti Sarimah untuk meneraju The Biggest looser Asia,” katanya.

Tak sangka terpilih sebagai pengacara

SARIMAH pula berpendapat pemilihannya sebagai pengacara yang mengendalikan program bertaraf antarabangsa dianggap sebagai rezeki selepas reda dengan kisah perceraiannya dengan bersama bekas suaminya Amir Andrew Abdullah, 38, Disember tahun lalu.

“Saya bersyukur dengan tawaran ini. Memang saat ini sangat saya tunggu-tunggu selepas 13 tahun berada dalam industri ini.

“Namun saya seperti orang lain juga harus hadir pada sesi uji bakat untuk mengendalikan program ini yang bukan saja dihadiri pengacara dari Malaysia tetapi di seluruh negara Asia,” katanya yang jelas bangga dengan pencapaiannya.

Sarimah mengakui agak terperanjat apabila diberitahu bahawa dia berjaya dalam uji bakat itu kerana ia berlangsung sudah terlalu lama.

“Betul-betul saya tidak sangka kerana peserta dari negara Asia yang lain lebih hebat. Tetapi ia satu kejutan buat saya minggu lalu apabila dimaklumkan berjaya untuk mengendalikan sebuah program bertaraf antarabangsa yang akan disaksikan oleh berjuta peminat program ini dari seluruh dunia.

“Memang ini kali pertama saya mengendalikan program bertaraf antarabangsa yang membabitkan seluruh negara Asia. Sebelum ini juga saya sering mengikuti program ini versi Amerika dan ia masih disiarkan menerusi saluran Hallmark,” katanya.

INFO: Orang ramai yang berminat untuk menyertai sesi uji bakat yang akan diadakan esok boleh datang ke Fitness First The Curve Damansara bermula jam 10 pagi hingga 4 petang. Mereka juga boleh menghantar penyertaan melalui online dengan melayari ke www.biggestlooserasia.com.

Berita Harian

Dua H Berentap Di Final Anak Wayang

Berita Harian | Comments (0) admin @ 1:54 pm

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

PENCARIAN Anak Wayang akan berakhir malam ini apabila salah seorang daripada dua pesertanya yang berjaya menjejakkan kaki ke peringkat akhir iaitu Mohd Hairi Safwan Aznan atau Hairi, 21, dan Hafiz Halim, 21, bakal dinobatkan dengan gelaran Anak Wayang.

Antara dua jejaka ini siapakah yang bakal bergelar juara hanya akan diketahui menerusi episod akhir yang akan dipancarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Ria jam 9.30 malam.

Kuasa menentukan juara yang bakal membawa pulang sebuah kereta Honda Jazz bernilai RM109,800, tawaran berlakon di dalam 60 drama di saluran Astro, dua tiket penerbangan ke Los Angeles, seunit kamera Canon, rawatan kecantikan di Aster Spring selama setahun, wang tunai RM10,000 dan trofi sumbangan Astro itu 100 peratus ditentukan penonton menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS). Manakala naib juara pula akan menerima wang tunai RM5,000, trofi sumbangan Astro, seunit kamera Canon dan LCD TV 42 inci.

Hairi dan Hafiz yang ditemui Isnin lalu mengakui semakin berdebar menanti malam penentuan. Tidak terjangkau di fikiran perjalanan mereka dalam Anak Wayang berakhir sejauh ini, lebih-lebih lagi 23 peserta lain yang mencuba nasib dalam program yang pertama kali diperkenalkan ini juga bukan calang-calang kebolehan mereka.

Bagaimanapun di saat genting begini, rasa bangga dan berdebar terpaksa ditolak ketepi kerana mereka mahu memberikan fokus kepada latihan sebagai persiapan untuk berada di pentas akhir nanti.

Peserta berasal dari Kedah, Hairi berkata dia mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tiga tugasan akhir yang akan dipersembahkan pada malam final nanti. Bergelar pelajar Aswara, dia tidak menafikan mempunyai sedikit kelebihan berbanding rakannya yang lain tetapi hanyalah kepada cara mengkaji watak diberikan dengan mendalam.

“Kelebihan saya mungkin dari segi mengkaji watak dari sudut psikologi dengan lebih mendalam tetapi saya tidak begitu arif beraksi di depan kamera kerana lebih terdedah dengan lakonan di pentas yang mana kita boleh bergerak bebas tanpa terikat dengan kamera.

“Sebagai persediaan ke final, saya dan Hafiz akan bekerjasama mengkaji watak kami dan bertukar-tukar pendapat untuk memantapkan lagi persembahan di peringkat akhir nanti. Kami tidak mahu sekadar melakonkan watak diberikan tetapi juga mahu menghayati watak dengan baik.

“Saya tak sangka boleh berada hingga ke tahap ini kerana kuasa memilih terletak di tangan penonton sepenuhnya. Melihat undian SMS yang diperoleh Dayana sentiasa tinggi, saya sangkakan tentu dia yang akan melangkah ke final. Bagaimanapun, saya akan cuba yang terbaik untuk memberikan lakonan yang mantap sama ada di pentas mahupun untuk video,” kata jejaka yang menjadikan Eman Manan sebagai idolanya.

Pelajar Universiti Multimedia (MMU) dalam bidang perniagaan, Hafiz pula akan berusaha untuk menghayati wataknya. Kesukaran yang dihadapi adalah mendalami watak walaupun penonton sudah dapat merasai dan menjiwai lakonannya.

Justeru, Hafiz mempunyai formulanya sendiri, setiap kali bersedia untuk beraksi, dia tidak akan bercakap dengan sesiapa supaya dapat menyerapkan karakter yang dibawa ke dalam dirinya. Jika dia mula berbicara, penghayatannya akan berkurangan.

“Saya lebih suka berlakon di pentas teater berbanding TV kerana menghadapi masalah untuk menjiwai watak dalam jangka waktu yang lama. Kalau berlakon teater, tiada istilah ‘cut’ jadi saya mempunyai masa untuk betul-betul meresapkan watak ke dalam jiwa dengan sepenuhnya tetapi di depan kamera tidak. Pengarah bila-bila masa saja boleh sebut perkataan ‘cut’, bila saya baru nak menjiwai kita disuruh pula berhenti,” katanya.

Berita Harian

Chef Siti Nurhaliza

Berita Harian | Comments (0) admin @ 1:44 pm

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Program masakan 15 episod terbitan Global Station Sdn Bhd menemui penonton sepanjang Ramadan

PANAS udara petang itu langsung tidak dihiraukan. Sebaliknya satu demi satu hidangan tangkas disiapkan. Langsung tidak kekok, jelas ruang dapur sememangnya menjadi permainan penyanyi nombor satu negara ini.

Ada kala dia bergegas ke kamar menukar pakaian sebelum kembali beraksi di depan kamera untuk meneruskan rakaman.

Berada di lokasi penggambaran program masakan, Citarasa Bersama Datuk Siti Nurhaliza yang diadakan di sekitar kediaman agamnya di pinggir Kuala Lumpur cukup mengujakan.

Ketika pertemuan, Siti baru dua hari menjayakan rakaman berkenaan sebagai hos. Masih dalam proses menyesuaikan diri kerana pengalaman menjayakan program masakan adalah sesuatu yang baru buatnya.

Bagaimanapun, Siti tidak sesekali kekok dengan tanggungjawab itu sebaliknya, semua arahan dilaluinya tenang sekali gus melicinkan proses penggambaran.

Petang itu, mereka melengkapkan tiga episod penggambaran kerana keesokannya, Siti bersama suami terpaksa berlepas ke Jakarta, Indonesia untuk menjayakan Anugerah Planet Muzik (APM) 2009.

“Hari pertama penggambaran bermula agak lewat. Selain dihalang hujan, proses menyediakan bahan masakan juga mengambil masa. Mungkin kerana ini pengalaman pertama, di samping terpaksa mengejar masa membangkitkan sedikit kekalutan pada hari pertama penggambaran.

“Syukur hari ini kerja menjadi lebih pantas kerana masing-masing sudah saling memahami. Bahan juga sudah disediakan dari awal jadi apabila penggambaran bermula, Siti terus mula memasak.

“Alhamdulillah, kami mampu menyiapkan tiga episod seperti yang direncana kerana selepas itu penggambaran terpaksa ditunda untuk memberi laluan Siti menjayakan APM 2009 di Jakarta,” kata Siti mengenai program 15 episod terbitan syarikat kakak iparnya, Zaiton Mohd Jiwa menerusi Global Station Sdn Bhd.

Akur banyak program sedemikian bakal menemui penonton sepanjang Ramadan nanti, wanita berusia 30 tahun itu berkata, dia selesa memilih menu ringkas dan tidak terlalu sukar untuk disediakan.

Siti berkata, pilihan menu yang praktikal disesuaikan supaya semua kelompok penonton – bujang atau sudah berkeluarga mencuba.

Sajian istimewa yang menjadi kepakarannya, Ikan Patin Tempoyak Ku Mahu selain beberapa masakan tradisi Pahang adalah antara tarikan program siaran TV1 itu.

“Siti berkongsi resipi kegemaran yang diambil daripada saudara terdekat selain menu kesukaan seisi keluarga Siti terutama masakan tradisi Pahang untuk dicuba penonton program ini,” katanya.

Isteri kepada usahawan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini berkata, sejak bernikah tiga tahun lalu, bergelumang di dapur sudah menjadi sebahagian daripada tugasannya.

Kata Siti, biar sibuk dengan karier, kerja dapur tidak pernah diabaikan. Dia sering memasak terutama ketika menetap di penthouse mereka di tengah ibu kota kerana suaminya gemar menikmati sajian daripada air tangannya.

Bagaimanapun, sejak berpindah ke Bukit Antarabangsa dan tinggal bersama ibu mentuanya dia sudah jarang mempraktikkan kecekapannya di dapur.

“Kebetulan pembantu rumah yang sudah 10 tahun bersama keluarga mentua sudah pandai menyediakan sajian tempatan terutama masakan Utara, jadi Siti sudah mula jarang ke dapur.

“Sesekali bermanja dengan ibu mentua yang mahir menyediakan makanan kegemaran seperti kari utara dan sambal petai yang menjadi kesukaan suami. Air tangannya memang istimewa terutama sambal belacan.

“Dengan adanya program ini, dapat juga Siti mempraktikkan semula kerja di dapur. Siti pun bukan terlalu pakar dalam bidang masakan tetapi alhamdulillah, setakat ini suami tidak cerewet,” katanya.

Menerusi program yang akan menemui penonton bermula 21 Ogos ini setiap Rabu, Khamis dan Jumaat pada jam 11 pagi, Siti menunjukkan kepakarannya menyediakan hidangan istimewa antaranya Sup Cendawan Purnama Merindu, Ikan Bawal Cili Padi Kau Kekasihku dan Ayam Tiram Serai Badarsila.

Setiap episod, anak kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang itu akan menyediakan satu hidangan utama berserta pencuci mulut manakala tetamu jemputan pula berkongsi satu lagi resipi istimewa.

Antara selebriti yang menjayakan program itu ialah Vanidah Imran, Rubiah Suparman, Nabil, Salih Yaacob, Ezlynn, Umie Aida, Datuk Shah Rezza, Radzwan Razwill serta angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar.

“Nampak mudah namun sebenarnya agak remeh terutama dalam penyediaan bahan dan ketika memasak. Jika berbuat silap kami terpaksa mengulangi semula proses itu kembali dan ia agak mengambil masa.

“Bagaimanapun, Siti teruja menjayakannya kerana sudah lama tidak ke dapur. Sekurang-kurangnya ia menyegarkan kembali ingatan Siti dalam menyediakan sesuatu hidangan terutama sajian yang sudah lama Siti tidak sajikan,” katanya tertawa.

Berbicara mengenai pengisian Citarasa Bersama Datuk Siti Nurhaliza, pengarahnya, Erma Fatima berkata, mereka cuba mencari kelainan dengan memilih sajian ringkas dengan konsep penyampaian yang santai.

Konsep itu bersesuaian dengan kedudukan Siti yang dikenali peminat selama ini sebagai penyanyi tersohor dan bukan chef terlatih.

Akui Erma, jika bukan kerana Siti, dia tidak akan terbabit dalam program itu apatah lagi ini pengalaman pertama dia mengarahkan rancangan masakan.

“Seronok kerana Siti seorang yang mudah memberi kerjasama. Biarpun kedudukannya dihormati tetapi apabila di set, dia sama seperti orang lain kerana Siti yang dikenali memang seorang yang merendah diri.

“Saya pula yang risau melihat dia sibuk mengangkat kuali dan sebagainya. Mungkin kerana sudah biasa kerja bersama, jadi kami saling memahami. Itu yang memudahkan penggambaran.

“Program ini tidak terikat dengan sebarang skrip kerana saya mahu Siti bebas dan selesa di depan kamera. Dia tidak kekok malah bertungkus lumus menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai pengacara,” kata Erma yang turut mengetengahkan dua bekas peserta Pilih Kasih, Yuhaiza Rosly dan Zara Suriana Jubarsherzaman Khan sebagai pembantu Siti di dapur.

INFO: Siti Nurhaliza MERAIH dua trofi pada malam Anugerah Planet Muzik (APM) 2009 yang berlangsung di Balai Sidang, Pusat Konvensyen Jakarta, Indonesia, Sabtu lalu bagi kategori Artis Serantau Paling Popular dan Artis Malaysia Paling Popular.

AKAN kembali ke studio untuk memulakan rakaman album rohani yang dijadualkan berada di pasaran menjelang Ramadan ini. Material untuk rakaman album itu sudah ada dan dua daripada lagu yang bakal dirakamkan diambil daripada pementasan Sirah Junjungan yang dijayakannya iaitu Asma Ul Husna dan Tahajud Cinta.

JUGA dalam persiapan untuk menjayakan rakaman album duet bersama penyanyi tersohor Indonesia, Krisdayanti. Rakaman akan bermula sejurus selesai pembikinan album rohaninya. Malah mereka juga merancang untuk menjayakan konsert di dua negara apabila album itu menemui peminat kelak.

INGIN kembali mementaskan Konsert Eksklusif Satu yang pernah dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, akhir Jun lalu. Bagaimanapun kata Siti, semua itu bergantung kepada kesudian penaja. Hatinya tergerak untuk mementaskan semula atas permintaan peminat selain konsep persembahan yang menarik membuatkan Siti mahu lebih ramai peminat dapat menyaksikan konsert itu.

Berita Harian

Konsert Santapan Jiwa

Berita Harian | Comments (0) admin @ 1:34 pm

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Kutipan persembahan gabungan tiga kumpulan nasyid disalur ke tabung mahasiswa Islam

MENGIKUT perancangan awal, penganjur konsert Antara Dunia (KAD) 2009 di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor esok turut mengundang kumpulan popular Indonesia, Ungu bagi memeriahkan lagi perjalanan konsert bermula jam 8 malam.

Bagaimanapun Hip difahamkan biarpun kumpulan itu hanya dijemput sebagai tetamu undangan, permintaan bayaran yang diletak mereka terlalu tinggi jumlahnya dan dianggap melampau. Akhirnya, kumpulan nasyid Indonesia, Shoutul Harokah menjadi alternatif menggantikan kumpulan itu.

Namun yang paling penting, fokus utama yang harus diberikan perhatian lebih ialah kolaborasi tiga kumpulan nasyid tempatan yang pernah mencipta fenomena tersendiri iaitu Rabbani, Raihan dan Hijjaz. Bagi peminat muzik ketuhanan, inilah peluang untuk berhibur sambil beramal.

Jelas juga gabungan tiga kumpulan nasyid ini mengimbas kembali kenangan sewaktu tertubuhnya kumpulan Nada Murni. Asalnya sebelum wujudnya Rabbani, Raihan dan Hijjaz, ada di antara anggota tiga kumpulan nasyid terbabit bernaung sebagai anggota Nada Murni. Selama 10 tahun bersama sejak 1986, akhirnya pada 1996 masing-masing berpecah.

KAD 2009 dianjurkan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dengan kerjasama Rabbani Productions (M) Sdn Bhd (Rabbani Productions) dilihat menjadi wadah jiwa dan rohani terbaik menyatukan muzik nasyid dan sisi kebajikan. Ini kerana hasil keuntungan konsert akan disalurkan ke dalam tabung pembangunan insan Gamis.

Selebihnya disumbang kepada mangsa tsunami di Acheh. Malah, jika konsert ini berjaya, ia akan dijadikan sebagai acara tahunan.

Che Amran yang mewakili anggota kumpulan Raihan yang lain berkata, mereka melihat konsert ini sebagai usaha memastikan legasi irama nasyid tidak berkubur begitu saja.

“Konsert ini isyarat penggera untuk genre muzik nasyid yang dilihat semakin merosot terutama dari segi sambutan kebelakangan ini. Kolaborasi kami sebagai bukti untuk menambahkan jentera kekuatan kami pejuang irama nasyid bersatu memastikan hayat terus berkembang.

“Untuk persembahan 1 Ogos ini kami akan menyanyikan empat buah lagu, Allahu, Iman Mutiara, Thank You Allah dan medley lagu Puji Pujian dan Syukur. Kami juga tidak sabar untuk menanti bagaimana perjalanan konsert itu akan berjalan. Harapnya semua akan berjalan seperti yang dirancang.

“Persembahan kami nanti akan diiringi muzik secara langsung oleh pemuzik Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Persembahan ini juga sebagai pengubat rindu kumpulan nasyid terutama Raihan sendiri yang sudah lama tidak mendengar persembahan kami di tempat yang berkapasiti besar,” kata Che Amran.

INFO: Konsert Antara Dunia Konsert ini bakal mencipta sejarah apabila menampilkan konsep penceritaan lima alam iaitu alam roh, kandungan, kelahiran, barzakh dan akhirat. Tiket serendah RM5 untuk kanak-kanak dan RM10 (dewasa). Tiket VIP berharga RM50 dan untuk pakej keluarga yang membabitkan dua tempat duduk VIP dan empat kanak kanak boleh didapati dengan harga RM100. Untuk keterangan lanjut bolehlah menghubungi talian 603-6272 1225 atau 013- 628 8614 atau layari laman web, www.rabbani.com.my. Selain itu, tiket juga boleh dibeli secara talian terus melalui laman web www.gamisconcert.blogspot.com.

Berita Harian

Yasmin Layan Macam Meryl Streep

Berita Harian | Comments (0) admin @ 1:24 pm

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Azean Irdawaty terkenang saat bekerjasama dengan pengarah terkemuka itu sehingga membuatkan mereka akrab

AZEAN Irdawaty mungkin hanya sempat berlakon dalam sebuah saja daripada enam karya arahan Yasmin Ahmad termasuk telefilem Rabun. Namun, perhubungan yang dijalin antara aktres veteran itu bersama pengarah dan penulis skrip terkemuka itu melangkaui hubungan pelakon-pengarah.

Semuanya bermula apabila kedua-duanya terserempak pada majlis Anugerah Seni Boh Cameronian, beberapa tahun lalu. Pada acara itu, Azean memaklumkan betapa dia meminati karya Yasmin, manakala pengarah itu pula sejak zaman persekolahan lagi amat menggemari lakonan aktres itu.

“Dalam hati, Kak Yan tertanya-tanya sendiri, agaknya bilakah Kak Yan dapat beraksi dalam filemnya pula? Pada awal tahun lalu, dia menghubungi Kak Yan, bertanyakan sama ada Kak Yan ingin berlakon dalam filem Talentime.

“Tanpa berfikir panjang, Kak Yan bersetuju dengan lamarannya. Selalunya, Kak Yan banyak bertanya pada produser atau pengarah, apabila menerima sesuatu tawaran. Begitupun, Kak Yan memberitahu Yasmin mengenai keadaan Kak Yan yang berkerusi roda. Selepas dua hari, dia menghubungi Kak Yan lagi untuk memastikan Kak Yan benar-benar bersedia berlakon di bawah arahannya.

“Kata Yasmin, dia ingin mengembangkan lagi watak Kak Yan sebagai ibu kepada Hafiz (lakonan Shafie Naswip). Watak itu pula akan hanya memerlukan Kak Yan berada di katil. Kak Yan sedar, adalah lebih susah untuk berlakon apabila kamera hanya merakam wajah kita, tanpa menunjukkan bahasa tubuh. Namun, Kak Yan amat berbangga kerana Yasmin mempunyai keyakinan pada bakat Kak Yan,” cerita Azean.

Menurut Azean, apabila draf pertama skrip filem itu diserahkan kepadanya, dia cukup tersentuh dan tidak dapat menahan air mata ketika membacanya.

Yasmin juga bertanya, apakah anak-anak perempuannya, Elza dan Inez, tidak mahu berlakon dengannya? Selepas bertemu dengan Elza, nampaknya Yasmin juga berkenan dengan bakat anak gadis Azean. Dan, daripada beberapa pertemuan yang berlangsung kemudiannya, perhubungan antara mereka semakin akrab.

“Satu perkara yang Kak Yan perasan, sewaktu latihan diadakan, Yasmin tidak pernah meninggalkan solat. Dia juga bijak membuatkan orang berhenti daripada mengata orang lain, dengan caranya yang lembut dan berkias,”