Dengarnya…: Ajai, Liza Sudah Ada Tarikh Nikah
APA benar cerita yang Cik Normah dengar mengenai tarikh hari bahagia komposer Ajai dan pengurus di syarikat rakamannya, Wake The Baby iaitu Liza Ilias? Cik Normah dapat tahu pasangan sama padan ini akan melangsungkan pernikahan mereka pada 15 Ogos ini.
Kalau betul bagai dikata, nampaknya tahun ini, Ajai dan Liza akan berpuasa dan menyambut hari raya sebagai suami isteri. Jadi, ketika ini pastinya mereka sedang rancak membuat persiapan perkahwinan. Baguslah kalau benda yang baik buat apa nak disembunyikan.
Setidak-tidaknya, Ajai dan Liza boleh mengambil keberkatan Ramadan yang bakal menjengah tiba tak lama lagi. Cik Normah dapat tahu, masih ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan sebelum mereka bergelar pengantin baru. Ini termasuk soal dokumentasi perceraian membabitkan Ajai dan bekas isterinya, Nurul Huda.
Cik Normah dekat pejabat ini setia menanti kunjungan Ajai dan Liza untuk menyerahkan kad undangan perkahwinan. Cik Normah dapat tahu majlis perkahwinan ini akan diadakan di Pulau Pinang, negeri kelahiran Liza. Semoga apa yang dirancang, Insya-Allah akan mendapat keberkatan Tuhan dan orang yang menyayangi anda semua hendaknya.
Agaknya kalau jadi, Ajai akan gementar lagi tak naik pelamin buat kali kedua? Atau mungkin pengalaman lalu akan membuatkannya lebih bersedia. Cepat kahwin, cepatlah juga dapat anak ya! Boleh juga Ayu Nazirah, anak hasil perkahwinan pertama Ajai dan Nurul dapat adik baru selepas ini.
Hakikatnya, Cik Normah juga belum ada rezeki mendapat anak biarpun sudah bertahun-tahun berkahwin. Cik Normah dan suami pun tak pernah merungut kerana ini semua berbalik kepada rezeki. Setidak-tidaknya, kami tak pernah berhenti berusaha mendapatkan anak. Lihat saja Eja, kahwin sejak lebih 10 tahun pun, baru tahun ini ada rezeki nak menimang anak.
Berita Harian