Featuring the latest Malaysia scandals, gossip, and entertainment news.

Konsert Santapan Jiwa

July 31, 2009 Berita Harian | Comments (0) admin @ 1:34 pm



Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Kutipan persembahan gabungan tiga kumpulan nasyid disalur ke tabung mahasiswa Islam

MENGIKUT perancangan awal, penganjur konsert Antara Dunia (KAD) 2009 di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor esok turut mengundang kumpulan popular Indonesia, Ungu bagi memeriahkan lagi perjalanan konsert bermula jam 8 malam.

Bagaimanapun Hip difahamkan biarpun kumpulan itu hanya dijemput sebagai tetamu undangan, permintaan bayaran yang diletak mereka terlalu tinggi jumlahnya dan dianggap melampau. Akhirnya, kumpulan nasyid Indonesia, Shoutul Harokah menjadi alternatif menggantikan kumpulan itu.

Namun yang paling penting, fokus utama yang harus diberikan perhatian lebih ialah kolaborasi tiga kumpulan nasyid tempatan yang pernah mencipta fenomena tersendiri iaitu Rabbani, Raihan dan Hijjaz. Bagi peminat muzik ketuhanan, inilah peluang untuk berhibur sambil beramal.

Jelas juga gabungan tiga kumpulan nasyid ini mengimbas kembali kenangan sewaktu tertubuhnya kumpulan Nada Murni. Asalnya sebelum wujudnya Rabbani, Raihan dan Hijjaz, ada di antara anggota tiga kumpulan nasyid terbabit bernaung sebagai anggota Nada Murni. Selama 10 tahun bersama sejak 1986, akhirnya pada 1996 masing-masing berpecah.

KAD 2009 dianjurkan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dengan kerjasama Rabbani Productions (M) Sdn Bhd (Rabbani Productions) dilihat menjadi wadah jiwa dan rohani terbaik menyatukan muzik nasyid dan sisi kebajikan. Ini kerana hasil keuntungan konsert akan disalurkan ke dalam tabung pembangunan insan Gamis.

Selebihnya disumbang kepada mangsa tsunami di Acheh. Malah, jika konsert ini berjaya, ia akan dijadikan sebagai acara tahunan.

Che Amran yang mewakili anggota kumpulan Raihan yang lain berkata, mereka melihat konsert ini sebagai usaha memastikan legasi irama nasyid tidak berkubur begitu saja.

“Konsert ini isyarat penggera untuk genre muzik nasyid yang dilihat semakin merosot terutama dari segi sambutan kebelakangan ini. Kolaborasi kami sebagai bukti untuk menambahkan jentera kekuatan kami pejuang irama nasyid bersatu memastikan hayat terus berkembang.

“Untuk persembahan 1 Ogos ini kami akan menyanyikan empat buah lagu, Allahu, Iman Mutiara, Thank You Allah dan medley lagu Puji Pujian dan Syukur. Kami juga tidak sabar untuk menanti bagaimana perjalanan konsert itu akan berjalan. Harapnya semua akan berjalan seperti yang dirancang.

“Persembahan kami nanti akan diiringi muzik secara langsung oleh pemuzik Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Persembahan ini juga sebagai pengubat rindu kumpulan nasyid terutama Raihan sendiri yang sudah lama tidak mendengar persembahan kami di tempat yang berkapasiti besar,” kata Che Amran.

INFO: Konsert Antara Dunia Konsert ini bakal mencipta sejarah apabila menampilkan konsep penceritaan lima alam iaitu alam roh, kandungan, kelahiran, barzakh dan akhirat. Tiket serendah RM5 untuk kanak-kanak dan RM10 (dewasa). Tiket VIP berharga RM50 dan untuk pakej keluarga yang membabitkan dua tempat duduk VIP dan empat kanak kanak boleh didapati dengan harga RM100. Untuk keterangan lanjut bolehlah menghubungi talian 603-6272 1225 atau 013- 628 8614 atau layari laman web, www.rabbani.com.my. Selain itu, tiket juga boleh dibeli secara talian terus melalui laman web www.gamisconcert.blogspot.com.

Berita Harian

No Comments »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a comment