Featuring the latest Malaysia scandals, gossip, and entertainment news.

Misi Mencari Peserta Gemuk Bermula

July 31, 2009 Berita Harian | Comments (0) admin @ 2:04 pm



Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

Sarimah Ibrahim dipilih untuk menjadi pengacara program The Biggest Looser Asia

KEGEMUKAN yang melampau sering kali menjadi masalah kepada yang menghadapinya. Bukan saja sukar untuk bergaya bagi menghadiri majlis malah untuk bergerak bebas daripada kerusi pun tidak berdaya.

Berpuluh ribuan ringgit dihabiskan semata untuk membeli pelbagai produk kesihatan semata-mata untuk menurunkan berat badan tidak akan berhasil sekiranya semangat yang kental tidak ditanam di dalam diri mereka.

Semangat dan keazaman 30 peserta negara Asia yang akan terpilih untuk menyertai program The Biggest Looser Asia bakal menjadi inspirasi kepada semua penonton yang berhasrat untuk menurunkan berat badan.

Program yang diperkenalkan oleh FremantleMedia Australia Pty Limited dengan kerjasama Reveille LLC kini akan menjelajah ke negara Asia bagi mencari 30 peserta untuk menyertai program ini.

Penerbit Eksekutifnya, Riaz Mehta berkata, program itu sudah menjadi ikutan di seluruh dunia dan kini tiba masanya ia diperkenalkan untuk mencari peserta negara Asia.

“Buat masa ini kami sedang sibuk dengan proses uji bakat di beberapa negara di mana pada minggu lalu produksi kami ke Singapura untuk mengadakan sesi uji bakat.

“Penyertaannya sangat menggalakkan di mana lebih 140 peserta hadir untuk diuji bakat. Pada minggu ini kita akan mengadakan uji bakat di Kuala Lumpur dan mengharapkan penyertaan yang lebih tinggi di sini,” katanya.

Bagi merealisasikan program kesihatan ini, The Biggest Looser Asia akan kendalikan oleh NBC Universal Global Network dengan kerjasama Fitness First.

Pengarah Urusan Fitness First Asia, David Prosser berkata, pihaknya tidak hanya membantu peserta The Biggest Looser, malah akan memberi inspirasi kepada penonton yang melihat siri ini.

“Kami akan memfokuskan program penurunan berat badan mengikut tujuh prinsip Fitness First dalam memastikan peserta mencapai sasaran untuk kurus secara sihat dan optimum.

“Kami tidak hanya selaku penaja, malah kami akan menyediakan pelbagai strategi pelangsingan badan kepada peserta yang turut disaksikan oleh penonton di saluran Astro Hallmark 702 ,” katanya.

Apa yang membanggakan penonton Asia terutama penonton negara ini, program The Biggest Looser Asia akan dikendalikan pengacara, pelakon dan penyanyi popular negara, Sarimah Ibrahim.

Pengarah Program NBC Universal Global Network, Karen Johston berkata, debaran sangat dirasai apabila sesi pemilihan pengacara dari Asia dilakukan.

“Pada mulanya memang sukar untuk memilih calon yang layak mengendalikan program ini kerana ramai calon dari seluruh negara Asia hebat-hebat belaka.

“Sarimah dipilih kerana verstail dan amat berbakat serta ramai peminat setia di Malaysia. Pengalaman mengacara dan kebolehan berkomunikasi dengan jujur menjadikan Sarimah pilihan tepat.

“Lebih-lebih lagi dia berpengalaman luas selama 13 tahun sebagai hos TV, penyanyi dan pelakon dengan banyak filem hebat. Penonton kami sukakan keseronokan dan cabaran maka kami memilih kredibiliti Sarimah untuk meneraju The Biggest looser Asia,” katanya.

Tak sangka terpilih sebagai pengacara

SARIMAH pula berpendapat pemilihannya sebagai pengacara yang mengendalikan program bertaraf antarabangsa dianggap sebagai rezeki selepas reda dengan kisah perceraiannya dengan bersama bekas suaminya Amir Andrew Abdullah, 38, Disember tahun lalu.

“Saya bersyukur dengan tawaran ini. Memang saat ini sangat saya tunggu-tunggu selepas 13 tahun berada dalam industri ini.

“Namun saya seperti orang lain juga harus hadir pada sesi uji bakat untuk mengendalikan program ini yang bukan saja dihadiri pengacara dari Malaysia tetapi di seluruh negara Asia,” katanya yang jelas bangga dengan pencapaiannya.

Sarimah mengakui agak terperanjat apabila diberitahu bahawa dia berjaya dalam uji bakat itu kerana ia berlangsung sudah terlalu lama.

“Betul-betul saya tidak sangka kerana peserta dari negara Asia yang lain lebih hebat. Tetapi ia satu kejutan buat saya minggu lalu apabila dimaklumkan berjaya untuk mengendalikan sebuah program bertaraf antarabangsa yang akan disaksikan oleh berjuta peminat program ini dari seluruh dunia.

“Memang ini kali pertama saya mengendalikan program bertaraf antarabangsa yang membabitkan seluruh negara Asia. Sebelum ini juga saya sering mengikuti program ini versi Amerika dan ia masih disiarkan menerusi saluran Hallmark,” katanya.

INFO: Orang ramai yang berminat untuk menyertai sesi uji bakat yang akan diadakan esok boleh datang ke Fitness First The Curve Damansara bermula jam 10 pagi hingga 4 petang. Mereka juga boleh menghantar penyertaan melalui online dengan melayari ke www.biggestlooserasia.com.

Berita Harian

No Comments »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a comment