Tema Teater Muzikal Hangatkan Pentas Pilih Kasih
Oleh Murshid Eunos
bhnews@bharian.com.my
Ahdan akur keputusan pengundi dan Rosyam Nor tinggalkan akademi lakonan
FILEM yang pernah menjadi fenomena lakonan Fauziah Ahmad Daud dan Jamal Abdillah sekitar 80-an, Azura diangkat sebagai tema teater muzikal Pentas Pilih Kasih minggu kelapan malam Sabtu lalu.
Bagaimanapun, cereka asalnya telah digarap semula oleh Erma Fatima bagi menyesuaikan dengan konsep pementasan teater serta mengimbangi keseluruhan watak kepada 12 peserta Pilih Kasih yang masih bersaing di gelanggang seni lakon itu.
Bekas kumpulan Flava, Shahdan Salleh atau nama komersialnya, Ahdan, 25, diumumkan sebagai peserta yang tersingkir pada Pentas Pilih Kasih minggu ke-8 sekali gus terpaksa meninggalkan akademi lakonan cetusan idea aktor terkenal, Rosyam Nor.
Ahdan yang sudah kali keempat berada di kelompok tiga terbawah melalui peratusan undian akhirnya akur dengan keputusan Rosyam untuk menghantarnya pulang dan memberi laluan kepada 12 peserta lain untuk meneruskan cabaran seni kreatif demi bergelar seorang pelakon.
Menerima 2.4 peratus undian, Ahdan tenang bersama dua lagi peserta yang turut mendapat undian terendah iaitu Iqbal Mazlan, 2.6 peratus dan pelakon berbakat besar, Wanina Zaki yang meraih 3.6 peratus.
“Saya akur dan reda dengan keputusan ini malah saya bersyukur kerana sudah kali keempat saya berada di tangga terbawah namun sering diselamatkan oleh Abang Rosyam sebelum ini. Jadi apabila nama saya diumumkan sebagai peserta yang tersingkir, saya sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan.
“Bagaimanapun, saya amat gembira terpilih menyertai Pilih Kasih kerana matlamat asal saya ke sini telah tercapai iaitu untuk mendapatkan seberapa banyak ilmu dalam seni lakon daripada mereka yang cukup berpengalaman.
“Malah peluang untuk belajar di bawah Erma Fatima, Amy Maziah, Along Kamaluddin, Rohani Yusof, Rosmina Tahir dan Abang Rosyam sendiri adalah satu peluang yang cukup berharga dan pastinya saya akan rindukan setiap detik berada di Pilih Kasih,” katanya.
Ahdan yang membawakan watak ayah kepada Zack lakonan Diwan Nawi dilihat menjadi selain mendapat pujian pengkritik undangan, Nasir Bilal Khan.
Bagaimanapun, pada minggu-minggu sebelum ini, lakonan Ahdan dikatakan tiada perbezaan dan kelainan sebaliknya hanya bernafas pada gerak lakon yang sama. Mungkin kerana personaliti dan karakternya yang lucu serta gemar berjenaka menjadikan lakonannya juga menerima tempias.
“Saya tak nafikan dan saya juga tidak bersetuju dengan dakwaan seumpama itu kerana saya sering menampilkan sesuatu yang berbeza setiap minggu. Mungkin watak dan karakter yang diberi kepada saya lebih menjurus kepada aksi berjenaka dan unsur lawak menyebabkan orang luar melihat saya sebagai stereotaip.
“Namun, jika dilihat pada lakonan saya menerusi drama pendek arahan Amy Maziah, karakter saya jelas berubah dan sentuhan pengarah juga membuatkan saya tidak lagi membawa karakter kelakar itu.
“Tapi saya berharap agar orang luar tidak menganggap saya hanya mampu membawa watak sebegitu saja kerana bakat serta ilmu yang saya kutip di dalam Pilih Kasih mampu diguna pakai untuk ruang yang lebih luas,” katanya yang mengagumi bakat Afdlin Shauki.
Bagi Rosyam yang menyimpan sebab utama keputusannya dengan menyingkirkan Ahdan hanya tersenyum dan berharap agar setiap anak didiknya menerima sebarang keputusan dengan tenang dan reda.
Menurut Nasir Bilal Khan yang dijemput selaku pengkritik undangan disamping pengkritik tetap, Dr Abu Hassan, persembahan kesemua peserta Pilih Kasih mampu dibanggakan malah masih banyak peluang bagi mereka untuk kembangkan bakat yang sudah sedia ada.
Malah, bintang utama filem Amuk ini cukup teruja dengan pementasan teater Azura yang dipersembahkan peserta Pilih Kasih.
“Saya lebih suka menonton persembahan mereka menerusi segmen teater muzikal berbanding filem itu sendiri kerana kesan dan impaknya lebih terasa dan dekat kepada saya selaku penonton.
“Tanggungjawab mereka untuk melunaskan tugasan teater muzikal, monolog dan drama bersiri dalam masa lima hari sangat hebat dan perlu diberi pujian kerana komitmen dan minat mendalam amat diperlukan. Mereka berjaya tampilkan sebuah persembahan yang sederhana tetapi meninggalkan impak.
“Saya sendiri amat tertarik dengan lakonan berkesan Wanina Zaki kerana beliau cukup mendalami watak serta karakternya sehingga saya sebagai penonton dapat rasakan apa yang ingin disampaikan baik menerusi monolog dan teater muzikal.
“Kalau kita lihat Fauziah Ahmad Daud sendiri, orangnya kecil tetapi bakat lakonannya sangat besar dan luas. Malah, jika ingin melihat dari perspektif yang lain, watak Azura itu sangat besar dan berat untuk pelakon baru seperti Wanina untuk menggalas tanggungjawab itu namun beliau berjaya membawa watak itu dengan baik dan berkesan.
“Jadi saya benar-benar tidak faham dengan keputusan undian yang meletakkan Wanina sebagai peserta yang mendapat undian terendah sedangkan lakonannya cukup hebat dan bersahaja,” katanya.
Berita Harian