Yasmin Layan Macam Meryl Streep
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my
Azean Irdawaty terkenang saat bekerjasama dengan pengarah terkemuka itu sehingga membuatkan mereka akrab
AZEAN Irdawaty mungkin hanya sempat berlakon dalam sebuah saja daripada enam karya arahan Yasmin Ahmad termasuk telefilem Rabun. Namun, perhubungan yang dijalin antara aktres veteran itu bersama pengarah dan penulis skrip terkemuka itu melangkaui hubungan pelakon-pengarah.
Semuanya bermula apabila kedua-duanya terserempak pada majlis Anugerah Seni Boh Cameronian, beberapa tahun lalu. Pada acara itu, Azean memaklumkan betapa dia meminati karya Yasmin, manakala pengarah itu pula sejak zaman persekolahan lagi amat menggemari lakonan aktres itu.
“Dalam hati, Kak Yan tertanya-tanya sendiri, agaknya bilakah Kak Yan dapat beraksi dalam filemnya pula? Pada awal tahun lalu, dia menghubungi Kak Yan, bertanyakan sama ada Kak Yan ingin berlakon dalam filem Talentime.
“Tanpa berfikir panjang, Kak Yan bersetuju dengan lamarannya. Selalunya, Kak Yan banyak bertanya pada produser atau pengarah, apabila menerima sesuatu tawaran. Begitupun, Kak Yan memberitahu Yasmin mengenai keadaan Kak Yan yang berkerusi roda. Selepas dua hari, dia menghubungi Kak Yan lagi untuk memastikan Kak Yan benar-benar bersedia berlakon di bawah arahannya.
“Kata Yasmin, dia ingin mengembangkan lagi watak Kak Yan sebagai ibu kepada Hafiz (lakonan Shafie Naswip). Watak itu pula akan hanya memerlukan Kak Yan berada di katil. Kak Yan sedar, adalah lebih susah untuk berlakon apabila kamera hanya merakam wajah kita, tanpa menunjukkan bahasa tubuh. Namun, Kak Yan amat berbangga kerana Yasmin mempunyai keyakinan pada bakat Kak Yan,” cerita Azean.
Menurut Azean, apabila draf pertama skrip filem itu diserahkan kepadanya, dia cukup tersentuh dan tidak dapat menahan air mata ketika membacanya.
Yasmin juga bertanya, apakah anak-anak perempuannya, Elza dan Inez, tidak mahu berlakon dengannya? Selepas bertemu dengan Elza, nampaknya Yasmin juga berkenan dengan bakat anak gadis Azean. Dan, daripada beberapa pertemuan yang berlangsung kemudiannya, perhubungan antara mereka semakin akrab.
“Satu perkara yang Kak Yan perasan, sewaktu latihan diadakan, Yasmin tidak pernah meninggalkan solat. Dia juga bijak membuatkan orang berhenti daripada mengata orang lain, dengan caranya yang lembut dan berkias,”