Featuring the latest Malaysia scandals, gossip, and entertainment news.

Estet Gagal Ke FFM22

July 31, 2009 Berita Harian | Comments (0) admin @ 1:14 pm



Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

BIARPUN menaruh keyakinan filem terbaru arahannya, Estet mempunyai potensi untuk merangkul beberapa anugerah pada malam Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22), namun Mamat Khalid akur akan ketentuan takdir yang tertulis untuknya.

Disebabkan berdepan dengan masalah teknikal pada saat akhir, penyertaan Estet pada FFM22 yang akan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah dari 5 hingga 8 Ogos ini terpaksa ditangguhkan.

Akui Mamat, dia agak terkilan menerima kenyataan itu apatah lagi selepas berhempas pulas cuba menyiapkan salinan akhir Estet sebelum proses penjurian bermula.

“Saya mendapat tahu salinan akhir hanya akan siap pada 2 Ogos ini, sedangkan proses penjurian berakhir pada 29 Julai lalu. Sangka saya ia sempat siap sepenuhnya sebelum tarikh itu tetapi nampaknya tidak menjadi kenyataan.

“Mahu atau tidak saya membuat keputusan berat untuk menangguhkan dulu penyertaan pada FFM22 ini. Tidak adil sekiranya membiarkan juri menunggu sedangkan filem lain sudah tersedia untuk dinilai,” katanya.

Menyifatkan apa yang berlaku sebagai bukan rezekinya, Mamat berkata, dia agak teruja untuk mempertandingkan Estet pada FFM22 memikirkan saingan pada festival kali ini agak sengit.

Lebih membangkitkan semangatnya, filem Papadom arahan teman baiknya, Afdlin Shauki yang membariskan pelakon seperti Noorkhiriah, Liyana Jasmay, Farid Kamil, Scha dan Vanidah Imran turut bertanding.

“Sedih juga terpaksa menarik diri tetapi apa nak buat, memang kesilapan itu berpunca daripada saya sendiri. Terasa rugi kerana saya memang ingin melihat Estet bersaing dengan Papadom yang bagi saya, juga sebuah filem yang sangat baik,” katanya.

Mamat berkata, dia tidak mahu disebabkan terlalu terkejar-kejar, kualiti salinan filem yang bakal dinilai juri tidak memenuhi piawaian lantas menjejaskan keseluruhan mutu Estet.

“Daripada saya mempersembahkan sesuatu yang kurang bermutu, lebih baik saya bersabar dan menanti semua proses selesai secara berperingkat.

“Tidak mengapa filem ini masih layak bertanding pada tahun depan. Bagaimanapun, saya bersemangat untuk membawa Estet ke Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF), tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pengurusan Penyertaan & Penjurian FFM22, Nancie Foo berkata, mereka akur dengan keputusan Mamat untuk menangguhkan penyertaan Estet sekali pun cuba memberi peluang dengan melanjutkan tarikh akhir penyertaan.

Ketiadaan Estet serta sebuah lagi filem, Karaoke arahan sutradara baru, Chris Chong Chan Fui yang turut berdepan masalah sama menjadikan FFM22 disertai 26 filem, meningkat dua pencalonan berbanding 24 produksi pada tahun lalu.

“Memang kami mahu lebih banyak filem bertanding pada tahun ini, malah sentiasa berhubung dengan dua pengarah ini untuk memastikan salinan filem mereka siap sebelum proses penjurian.

“Tetapi apa daya, semua itu tidak menjadi kenyataan namun kami tetap menaruh keyakinan FFM22 bakal melakar sejarahnya tersendiri apabila berlangsung di Kota Kinabalu nanti,” katanya.

Seandainya dipertandingkan, Karaoke kata Nancie, dijangka meraih perhatian khalayak pencinta filem terutama selepas ditayangkan pada malam Director’s Fortnight pada Festival Filem Cannes ke-62 dari 14 hingga 24 Mei lalu.

Karaoke juga meraih pencalonan untuk Camera d’Or (Kamera Emas) iaitu anugerah yang menghargai filem cereka sulung terbaik yang ditayangkan dalam tayangan pilihan Cannes.

Ditulis oleh penyanyi Shanon Shah, Karaoke yang berdurasi 75 minit dibintangi Zahiril, Mislina Mustaffa, Mohammad Hariry, Amerul Affendi dan Nadiya Nissa

“Chris agak terkilan apatah lagi buat pertama kali FFM22 dibawa ke negeri kelahirannya iaitu Sabah. Dia memang teruja untuk menyertai festival ini tetap agak kurang bernasib baik apabila rezeki tidak menyebelahinya,” katanya.

FFM22 mempertandingkan 26 filem cereka, 67 filem pendek, 23 filem animasi, 94 filem dokumentari serta enam filem digital sekali gus menyaksikan penyertaan terbanyak dalam sejarah penganjuran festival.

“Jumlah penyertaan yang meningkat berganda membuktikan industri filem sedang berkembang, malah menampakkan potensi untuk membentuk sebuah industri yang maju dan berdaya saing.

“Biarpun terpaksa berdepan pelbagai kekangan terutama dari segi bajet, saya ingin berterima kasih kepada semua yang bertungkus lumus untuk memastikan kelancaran perjalanan FFM22.

“Ia membuktikan kesungguhan kami yang bersedia untuk turun padang bagi menarik lebih penyertaan terutama di kalangan penuntut pusat pengajian tinggi mencapai objektifnya,” katanya.

Berita Harian

Enggan Jaja Soal Cinta

Berita Harian | Comments (0) admin @ 1:04 pm

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Nurul Wahab lebih selesa menyimpan kisah peribadi, bagaimanapun mengakui sedang berkawan dengan seseorang

BIAR bertubi diasak soalan mengenai lelaki yang menghuni sudut hatinya ketika ini, penyanyi dan pelakon hitam manis, Nurul Wahab hanya memberikan senyuman sebagai jawapan.

Tidak seperti kebiasaan dirinya yang jarang berahsia terutama menyentuh soal peribadi, Nurul yang ditemui pada majlis pelancaran EP solo terbarunya, Tika Cinta mengambil pendekatan berbeza.

Anak kelahiran Pulau Pinang berusia 32 tahun ini enggan lagi berbicara telus mengenai soal lelaki. Cukup sekadar mengakui dia sedang berkawan dengan seseorang, selebihnya Nurul selesa menyimpan kisah itu menjadi hak peribadinya.

“Siapa yang tahu, tahulah kerana saya belum bersedia mendedahkan identiti lelaki itu,” jawabnya ringkas, sesekali diselubungi perasaan serba salah untuk menjelaskan kedudukan dirinya.

Menyifatkan hubungan itu masih di peringkat berkawan, Nurul bimbang pendedahan meluas media membentangkan duri kepada percintaannya.

Tegas Nurul lagi, dia banyak belajar daripada kesilapan lalu. Akur peranan media yang hanya menjalankan kerja mereka, namun Nurul berharap kisah percintaannya tidak terlalu digembar-gemburkan.

Malah, wanita yang popular dengan lagu Kerna Terluka itu memohon dirinya diberikan sedikit ruang untuk melalui fasal awal perhubungan mereka dengan aman.

Nurul bagaimanapun menerima hakikat lumrah hidup selebriti apatah lagi dengan status ibu tunggal yang digalasnya sejak tiga tahun lalu, setiap pergerakannya menjadi intaian media.

Tetapi kata Nurul, dia juga berhak menyimpan sedikit daripada bahagian hidupnya sebagai rahsia peribadi yang hanya akan dikongsi apabila tiba masanya nanti.

“Cukup apa yang saya alami dulu. Pendedahan meluas di media memberi kesan kepada perhubungan cinta saya. Terlalu banyak onak yang perlu diharungi apabila kisah percintaan saya menjadi perhatian khalayak.

“Ia memaksa saya menarik diri dan menerima hakikat antara kami memang tiada jodoh. Memang pahit namun saya akur menelan semua kepahitan itu biarpun jauh di sudut hati, saya sangat terluka,” kata Nurul.

Menyambung bicaranya, ibu kepada Ayu Nazirah itu berkata, dia tidak mempunyai ramai kenalan lelaki. Malah akui Nurul, tidak ramai lelaki yang berani mendekatinya.

“Dia antara yang berani melamar untuk mengisi kekosongan hati saya. Kami hanya mencuba kerana sebagai wanita, saya tidak pernah menutup pintu hati untuk menerima kehadiran lelaki dalam hidup ini,” katanya.

Semakin yakin menyusun langkah bersendirian, Nurul tertawa besar apabila penampilannya dengan pakaian tidak berlengan ditafsir sebagai menterjemah erti kebebasan yang dinikmatinya ketika ini.

Kata Nurul, dia mengamalkan toleransi dalam soal berpakaian. Dalam keterbukaan menerima aliran fesyen terkini dia masih menggariskan batas tertentu supaya penampilannya itu menjadi topik perdebatan.

Bagi Nurul, penampilan seksi seperti itu hanya dipraktikkan untuk sesi fotografi tetapi tidak ketika menjayakan persembahan pentas.

“Setakat pakaian tidak berlengan rasanya tiada masalah kerana saya masih menutup sebahagian bahu dengan rambut yang panjang. Rasanya apa yang saya gayakan ini tidak keterlaluan.

“Setiap apa juga tindakan saya akan berfikir baik buruknya. Saya tidak hidup bersendirian di dunia ini. Sebaliknya saya mempunyai anak yang semakin membesar dan mengerti apa yang diperkatakan umum mengenai ibunya.

“Asalkan penampilan saya tidak mengganggu emosi dan perasaan anak saya, rasanya tiada apa perlu dipertikaikan. Lagipun saya sentiasa berbincang dengan teman sepasukan.

“Sudah tiga tahun kami bersama dan komunikasi yang lancar memudahkan kami untuk menentukan imej bersesuaian untuk diri saya sebagai artis solo,” katanya.

Melerai kerinduan dengan Tika Cinta

PERNAH beberapa kali tertangguh, Nurul kini mampu menarik nafas lega album ketujuh yang mengangkat Tika Cinta sebagai judul akhirnya menemui peminat Julai ini.

Album yang memberi makna besar kepadanya, sekali gus memberikan nafas baru dalam menjenamakan semula dirinya sebagai penyanyi solo selepas memilih arah sendiri apabila perkahwinan sedekad dengan komposer dan penyanyi, Ajai berakhir, tiga tahun lalu.

Kental dengan irama pop sebagai landasan, album terbitan Metadome Sdn Bhd memuatkan enam lagu baru dan empat daripadanya ciptaan Sharon Paul.

Nurul berkata, dia berpuas hati dengan pembikinan album yang turut memuatkan lagu Tangis Syukur sebagai bonus kerana setiap sentuhan mencerminkan jiwa yang tersendiri.

Menariknya kata Nurul, buat pertama kali dia menyerahkan 100 peratus urusan pemilihan lagu kepada syarikat rakamannya kerana percaya mereka tahu apa terbaik untuk dirinya.

“Selama tiga tahun saya bekerja keras untuk menjadikan kelahiran Tika Cinta sebagai realiti dan sangat berharap peminat dapat menerima apa yang dibawakan ini,” katanya.

Nurul berkata, pembikinan mini album itu juga membawanya lari daripada kebiasaan lagu melankolik yang sinonim dengan lirik yang menceritakan lara hati.

Katanya, kekecewaan, kelukaan dan perpisahan adalah antara bahagian kehidupan yang memperkayakan khazanah hidup.

Justeru, Nurul enggan hidupnya terus dibelenggu kesedihan lantas Tika Cinta menterjemahkan keinginannya untuk mengecap sebuah kebahagiaan yang dicari.

“Saya mahu menikmati hidup ini dan menghargai setiap episod itu dengan tenang, tanpa sesal dan kesal,” kata penyanyi yang turut melayari bakat sebagai pelakon ini.

Berita Harian

Keputusan FFM22 Ke Sabah Tepat

July 30, 2009 Berita Harian | Comments (0) admin @ 1:54 pm

Oleh Zainuri Misfar
zainuri@bharian.com.my

Galakkan lebih ramai penduduk negeri seberang Laut China Selatan bergiat dalam industri filem

INDUSTRI perfileman tanah air perlu berusaha menarik lebih banyak penyertaan rakyat Sabah dan Sarawak bagi mengukuhkan lagi aktiviti ini sebagai sebuah industri kreatif yang bermakna kepada bangsa dan negara secara keseluruhannya.

Menerusi penyertaan mereka itu, industri filem Malaysia boleh menjadi lebih dinamik disebabkan kedua-dua negeri di seberang. Selain itu, ia juga mempunyai potensi ekonomi yang sangat besar.

Presiden Institut Kesenian Dan Kajiam Media (Inkem), Dr Mahadi J Murat berkata, dalam hubungan ini barangkali kerajaan negeri terbabit dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) boleh menimbang untuk menubuhkan pusat perfileman tempatan.

“Kita boleh mengambil contoh seperti Pusat Perfileman Usmar Ismail di Jakarta, Indonesia di mana pusat ini boleh menjadi pusat maklumat, kegiatan, kemudahan, bimbingan dan galakan kepada rakyat tempatan untuk menjadi karyawan, artis, penerbit dan pengkaji bidang perfileman.

“Perjalanan pusat perfileman ini juga boleh dibuat bersama Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang terdapat di kedua-dua negeri itu seperti Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Malaysia Sabah,” katanya dalam kenyataan kepada Hip.

Dr Mahadi yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, adalah penting penyertaan rakyat dari kedua-dua negeri itu ditingkatkan bagi mewujudkan rasa kekitaan yang lebih tinggi terhadap produk filem dari negara ini, lebih-lebih lagi dalam mengukuhkan filem sebagai wadah pembinaan bangsa.

Menurutnya, langkah Finas mengadakan Festival Filem Malaysia ke-22 di Kota Kinabalu, Sabah pada tahun ini adalah langkah yang sangat tepat dan baik serta boleh mendorong kepada penyertaan lebih banyak masyarakat tempatan dalam bidang perfileman.

“Ia juga dapat memberi makna lebih besar kepada pelbagai bentuk kemudahan, bantuan dan galakan yang diberikan menerusi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

“Kerajaan juga sudah menyediakan hampir semua perkara untuk membolehkan industri filem ini terus meningkat. Persatuan perfileman terutama Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM) boleh memainkan peranan membantu menjayakan objektif ini,” katanya.

Diminta mengulas sejauh mana pembabitan rakyat Sabah dan Sarawak dalam industri seni tanah air, terutama filem dan muzik, Dr Mahadi berkata, walaupun memang ada tetapi terlalu sedikit, lebih-lebih lagi dalam sektor perfileman.

“Dalam muzik mungkin lebih baik. Nama seperti Dayang Nurfaizah, Camellia begitu menonjol sekali. Ertinya mereka boleh diterima sebagai artis di peringkat nasional. Saya percaya ada ramai lagi artis yang baik dan terkenal dari kedua-dua negeri ini tetapi tidak diketahui orang di Semenanjung.

“Dalam bidang perfileman nama seperti (Deddy) M Borhan tidak asing lagi kepada kita, tetapi generasi Malaysia hari ini tidak begitu mengetahuinya. Dari segi bakat saya rasa ramai yang berbakat. Buktinya apabila ada ruang untuk menunjukkan diri seperti melalui Akademi Fantasia ramai yang ketengah. Dan mereka dengan mudah diterima. Penonjolan seperti ini harus digalakkan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, untuk menggalakkan pembabitan secara aktif, mereka harus diberi ruang untuk menonjolkan diri dengan menyertai industri ini sebagai pelakon, karyawan atau penerbit, pengusaha, pengedar atau pemamer. Ini boleh dilakukan dengan adanya pusat perfileman yang saya sarankan itu,” jelasnya.

Dr Mahadi juga menegaskan, daripada pengamatannya tiada sebab atau masalah yang menyebabkan kurangnya pembabitan rakyat dari kedua-dua negeri itu terbabit dalam industri perfileman.

“Saya rasa masalah dari segi halangan tidak ada. Masalahnya mereka ‘tidak dekat’ dan ‘tidak diketahui’. Lagi pula kegiatan dalam bidang perfileman termasuk dari segi kandungan cerita hanya berpusat di semenanjung terutama Kuala Lumpur.

Dorongan untuk karyawan Sabah, Sarawak

AKTIVITI perfileman seharusnya meliputi semua wilayah di dalam negara kerana itulah sumber filem bagi sebuah negara. Masalah yang berlaku juga tiada kaitan sebarang prejudis sebaliknya ia terjadi dengan sendiri.

“Orang tidak kenal mereka itu saja! Dan mereka tak ada saluran untuk menampakkan diri. Ini mungkin boleh diperbaiki dengan sumbangan dari pihak media. Media sebenarnya akan memperoleh keuntungan kalau mengetengahkan lebih ramai bakat dari Sabah dan Sarawak kerana ia juga akan turut menambah khalayak pembaca yang membeli dan membaca majalah dan akhbar mereka,” katanya.

Dr Mahadi juga turut menjelaskan bagaimana Deddy M Borhan, seorang warga dari negeri yang menghidupkan industri perfileman tanah air selepas tamatnya era studio. Beliau juga cemerlang kerana beberapa filem terbitannya dapat sambutan baik. Malangnya selepas itu, tidak ramai rakyat Sabah dan Sarawak terbabit menjadi produser.

“Saya rasa Deddy M Borhan adalah seorang tokoh filem Malaysia yang penting. Beliau telah menjadi tunggak era baru filem Melayu selepas Singapura, dan dia datang dari Sabah.

“Ada lagi orang Sabah misalnya bekas ketua Menteri Datuk Harris Salleh kalau saya tak silap yang membina makmal warna Gaya Colour yang masih memainkan peranan penting dalam industri filem hari ini walaupun makmal itu kini diambil alih oleh Datuk L Krishnan. Syarikat filem Perfima juga begitu, orang Sabah antara pelabur utamanya.

“Sebab mengapa tidak ramai orang Sabah kini menjadi penerbit atau pelabur dalam industri ini rasa saya ialah kerana generasi pengusaha dari Sabah kini memberi tumpuan kepada perusahaan lain, lebih-lebih lagi mereka mempunyai banyak pilihan untuk berjaya atau menjadi terkenal,” katanya

Bagaimanapun, tambah Dr Mahadi, yang menariknya ialah wujudnya ruang baru melalui kegiatan penerbitan digital sinema yang disertai oleh generasi muda yang mencintai bidang perfileman.

“Malangnya mereka ini termasuk yang di Semenanjung tidak dikenali. Mungkin kerana golongan pengamal filem aliran perdana iaitu pengamal filem yang membuat filem cereka di panggung tidak memberi ruang kepada mereka sedangkan generasi baru atau pembuat filem digital sinema inilah yang menjadi pencorak bentuk dan wajah sinema Malaysia nanti.

“Dengan adanya sebuah pusat perfileman, saya menjangkakan matlamat menyatukan sumber bagi industri filem Malaysia yang lebih kuat akan tercapai,” kata Dr Mahadi.

Berita Harian

Vokal Mazuan Pikat Juri Profesional

Berita Harian | Comments (0) admin @ 1:44 pm

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my


DARI kiri; Mazuan, Maznah, Wah Moliz dan Long Exsan pada Pertandingan Akhir Juara Asyik 2009.

MESKIPUN menyaksikan dominasi lima finalis wanita berbanding tiga lelaki bertanding, Pertandingan Akhir Juara Asyik 2009 (JA2009) yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri Ahad lalu membuktikan bakat serta kekuatan vokal adalah kayu pengukur utama dalam sesebuah pertandingan nyanyian.

Kejayaan peserta lelaki, Mazuan Bah Gajah dinobatkan juara JA2009 menggondol hadiah utama wang tunai RM10,000 dan tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) pastinya cukup menggembirakan hati anak muda berasal Tapah, Perak ini.

Nyata penampilan penuntut tingkatan enam Sekolah Menengah kebangsaan Tapah ini cukup menyerlah dengan persembahan lagu Hanya Dirimu Dalam Hatiku ciptaan Anizan Rosli dan Penghujung Rindu, lagu popular Jamal Abdillah hingga dipilih juri sebagai pemenang tempat pertama.

“Kemenangan ini adalah kemenangan yang paling bermakna dalam hidup saya. Bukan wang ringgit yang utama tetapi peluang dapat melanjutkan pelajaran di Aswara adalah sangat bermakna.

“Sebelum ini saya pernah memohon untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara dalam bidang muzik, tetapi tiada rezeki saya untuk melanjutkan pelajaran di sana.

“Akhirnya impian saya bakal terlaksana apabila RTM menawarkan saya melanjutkan pelajaran dalam bidang diploma muzik di Aswara. Saya berbangga apabila dapat mewakili golongan anak Orang Asli melanjutkan pelajaran dalam bidang diploma dan seterusnya jika ada rezeki ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya akan gunakan peluang ini dengan sebaik mungkin untuk berjaya dalam bidang yang saya minati ini. Sekurang-kurangnya saya dapat mengubah kehidupan keluarga saya hari ini,” katanya.

Mazuan yang juga menerima RM10,000 sebagai juara AF2009 akan menggunakan wang itu dengan sebaik mungkin.

“Duit yang diterima ini akan saya gunakan untuk kegunaan pelajaran selain membantu keluarga dan ibu yang sedang sakit,” katanya yang ingin menjadi anak seni berilmu.

Tempat kedua pula menyaksikan Maznah Majid, gadis berusia 24 tahun yang memilih lagu Aku Di Sini dan lagu pilihannya, Tak Mungkin Kerana Sayang dan membawa pulang wang tunai bernilai RM8,000.

Manakala tempat ketiga menjadi milik gadis kecil molek bernama Wah Moliz Bah Long yang memenangi wang tunai RM6,000 dengan menyampaikan lagu Bintang dan lagu pilihannya, Kalis Rindu.

Walaupun penyanyi lagu ciptaannya sekadar menempah tempat ke tiga, Kategori Pencipta Lagu Terbaik dimenangi Long Exsan dari Bota, Perak yang menghasilkan lagu Bintang dinyanyikan Wah Moliz dengan memadamkan hasrat tujuh komposer amatur lain yang membariskan nama seperti OTG, Kak Ham, Nizam, Jaafar Salleh, Mustaffa, Anisa Rosli dan Remy dengan membawa pulang wang tunai RM6,000.

Begitu pun lima finalis lain yang bertanding memberikan saingan adalah Noraini Abu, Azizi Jafri Awang, Noraliza Iskandar Zulkarnain, Ramlan Abak dan Nora Hafizah Nordin turut bertuah membawa pulang sagu hati bernilai RM1,000 setiap seorang.

Sepanjang dua jam disiarkan secara langsung, penonton dihiburkan dengan celoteh dua pengacara yang menggandingkan juruhebah Asyik FM yang popular, Rozima dan personaliti RTM, Ivan Toh.

Juri yang mengadili pertandingan akhir JA2009 ini adalah Helen Yap, A Ali, Khoo Fook Sin, Johari Teh dan Jimmy Ali (Ketua Juri).

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie diiringi Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya.

Berita Harian

Oh La La Emeer

Berita Harian | Comments (0) admin @ 1:34 pm

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


EMEER,Sha (kanan) dan Amira bersama hadiah yang dimenangi.

Dinobatkan sebagai juara pertama pertandingan nyanyian terbitan TV9

KEGAGALAN bukan bermakna tewas buat selama-lamanya. Tidak salah bermimpi kalau diiringi dengan usaha jitu. Dua tahun lalu, Emeer atau Mohd Emeer Mohd Bakri hanya satu langkah saja untuk mara ke pentas akhir My Starz LG musim pertama.

Bagaimanapun, rezeki tidak menyebelahinya. Tetapi, tahun ini impian Emer untuk menjadi seorang juara tercapai apabila namanya diangkat sebagai juara Pertandingan Nyanyian Oo La La yang berlangsung di Sri Pentas 2, Shah Alam, Selangor, Sabtu lalu.

Program yang julung kali diterbitkan TV9 berkonsepkan kekeluargaan itu menyaksikan saingan sengit dua lagi peserta akhir iaitu Sha dan Amira untuk merebut ganjaran wang tunai berjumlah RM30,000 dan pakej percutian.

Dihoskan Sazzy Falak, ternyata tuah menjadi milik Emeer yang berdepan laluan mudah kerana peratusan undiannya di awal rancangan sudah meninggalkan jauh saingan lain.

“Sejak seminggu saya demam selsema tetapi Alhamdulillah, ia tidak menjejaskan peluang untuk memberikan persembahan terbaik. Saya tidak menjangkakan kemenangan ini kerana Sha dan Amira juga mempunyai peluang yang sama untuk menang pertandingan ini.


AZMEER dan Atilia diundang sebagai juri profesional mengadili finalis yang berentap pada malam kemuncak Oo La La.

“Dengan wang RM30,000 ini saya mahu jadikan sebagai simpanan. Saya sedar jauh lagi perjalanan saya, namun usia bukan penghalang untuk saya mencapai impian bergelar penghibur,” katanya yang mahu berjaya dalam bidang pelajaran.

Pada pertandingan akhir yang dibawakan secara langsung oleh TV9 itu, Sha iaitu anak saudara kepada Aris Ariwatan, satu-satunya calon tunggal membabitkan keluarga di kalangan artis, berpuas hati sebagai naib juara dan memenangi wang tunai RM20,000.

Amira pula di tempat ketiga membawa pulang RM10,000. Mereka juga masing-masing menerima hadiah pakej percutian di hotel terpilih.

Kejayaan dan sambutan yang diperoleh berdasar musim ini memberi isyarat Oo La La akan diteruskan.


TRIO juara Mentor musim pertama hingga ketiga, Pija, Fiq dan Black menyanyikan lagu Sejati.

Ketua Penjenamaan Kumpulan, Komunikasi Korporat dan Pembangunan Perniagaan TV9, Noor Amy Ismail berkata, sekiranya diteruskan, TV9 akan tetap mengekalkan konsep yang sudah dibuat pada musim pertama iaitu menekankan hubungan kekeluargaan.

“Tidak kiralah sama ada peserta itu orang biasa atau mempunyai hubungan dengan artis, ia syarat utama pertandingan ini. Kemenangan Emeer membuktikan biarpun dia tidak mempunyai ikatan dengan keluarga artis, rezeki masih berpihak kepadanya,” katanya.

Tambahnya mengenai hala tuju tiga finalis itu, Amy berkata TV9 tidak menjanjikan sebarang kontrak berbentuk album. Bagaimanapun, katanya, peluang untuk mereka terus mengasah bakat terbentang luas.

“Kita ada program terbitan TV9 dan saluran TV lain dalam Media Prima Sdn Bhd. TV9 sendiri menerusi program Apa Khabar Orang Kampung dan Suarasa boleh dijadikan landasan untuk mereka mengembangkan bakat,” katanya.

Sementara itu, Azmeer yang diundang menjadi juri profesional bersama Atilia mengakui kecenderungan peserta pertandingan lebih gemar memilih lagu ‘kitar semula’ yang sering kali menjadi pilihan wajib.

“Saya bersetuju kebanyakan program realiti nyanyian dilambakkan dengan lagu yang sama. Kalau diberi pilihan lagu lain yang tidak klise, lagi bagus. Tetapi lazimnya, pertandingan yang berorientasikan undian SMS di samping juri profesional selalunya peserta memilih lagu yang popular dan orang suka. Ia sebagai kelebihan untuk menarik minat pengundi.

“Peserta pertandingan nyanyian juga sebenarnya perlu didedahkan dengan pemilihan lagu yang betul. Ada sesetengah lagu tidak sesuai di bawa bertanding. Contohnya lagu Gadis Melayu yang dinyanyikan Emeer hanya sesuai untuk membuat persembahan saja,” kata Azmeer.

Kata komposer itu lagi, beliau berharap format mengekalkan penyertaan hubungan kekeluargaan boleh diteruskan pada musim mendatang. Mengenai finalis Oo La La, Azmeer berkata, ketiga-tiga peserta mempunyai keistimewaan tersendiri, namun yang membezakan mereka hanya kepada kesilapan yang dilakukan.

“Ketiga-tiga mereka mempunyai nada suara yang sedap. Tapi yang menggugat mereka hanya pada kesilapan yang dilakukan. Ada banyak faktor yang mendorong kejayaan Emeer dan begitu juga dengan kekalahan Sha dan Amira.

“Tiada yang sempurna di dalam dunia ini. Masalah lupa lirik sering terjadi namun ia bukan tabiat yang bagus. Sha sendiri hilang fokus hingga lupa lirik di awal persembahannya, namun, membalas dendam memberikan persembahan mantap untuk segmen seterusnya.

“Emeer kerap memasuki pertandingan nyanyian di TV. Semangat dan usahanya serta disokong undian yang tinggi membuahkan hasil. Sha dan Amira juga boleh menyinar seperti Emeer,” kata Azmeer.

Kemuncak Oo La La yang diterbitkan Azman Ghaffar turut dimeriahkan dengan penyanyi undangan yang berduet bersama finalis seperti Ezlynn, Misha Omar dan Lan (bekas vokalis Meet Uncle Hussain). Malah, trio juara Mentor musim pertama hingga ketiga, Pija, Fiq dan Black tampil menghangatkan debaran sebelum diumumkan keputusan pemenang.

Format undian dibahagikan kepada skala 50 peratus untuk undian SMS dan selebihnya juri profesional yang dilantik.

Berita Harian

Epilog: Talentime, Papadom Bakal Filem Terbaik FFM22?

Berita Harian | Comments (0) admin @ 1:24 pm

Oleh Akmal Abdullah
akmel@bharian.com.my

CUMA lima hari saja lagi bermulanya Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22) di Kota Kinabalu, Sabah. Ketika ini persiapan akhir makin rancak dilakukan penganjurnya, Finas bersama Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM) dan Gabungan Persatuan Karyawan filem Malaysia (Gafim).

Bermula Rabu ini, hampir 300 warga filem dari Kuala Lumpur akan berkampung di Kota Kinabalu – untuk berpesta dan merayakan diri mereka, selain sama-sama meraikan penganjuran FFM22 yang bertujuan mengiktiraf penggiat filem cemerlang dalam pelbagai aspek sepanjang musim ini. Festival ini tetap dengan motifnya untuk mengangkat penghargaan kepada penggiat perfileman di Malaysia bagi memberi rangsangan kepada mereka supaya lebih gigih berusaha menghasilkan karya bermutu sesuai dengan tema kali ini Filem Malaysia ke persada dunia.

Sesuatu yang menarik mengenai FFM22 ialah selain kali pertama berlangsung di Malaysia Timur, ia menyaksikan jumlah penyertaan yang cukup banyak membabitkan 193 karya. Daripada jumlah itu, 27 judul membabitkan filem cereka, manakala 71 filem dokumentari, 64 filem pendek, 25 filem animasi dan enam filem digital.

Sudah tentu perhatian akan lebih menjurus kepada persaingan filem cereka kerana ada 27 filem yang bertanding. Namun, pada saat akhir filem Estet arahan Mamat Khalid menarik diri daripada bertanding kerana salinan filem itu dikatakan belum siap sepenuhnya.

Mengenai persaingan kategori ini, ketika menemui beberapa orang filem, antara ramalan yang diperkatakan mereka mengenai filem yang layak menang, kebanyakannya mengandaikan filem arahan Yasmin Ahmad, Talentime atau filem Papadom arahan Afdlin Shauki disebut-sebut sebagai bakal memenangi Filem Terbaik. Antara alasan diberikan kerana olahan cerita, skrip dan konsep persembahan filem itu cukup menarik. Sentimen ini lebih diperkatakan apabila Yasmin meninggal dunia Sabtu lalu dan barangkali ia akan mengundang suatu kejutan pada FFM22. Dua filem ini ketara dengan konsep pelbagai kaum dan memenuhi gagasan 1Malaysia selain ceritanya yang ringkas tetapi memberi kesan yang baik kepada penonton.

Satu lagi filem yang turut disebut-sebut menang Filem Tebraik ialah Geng: Pengembaraan Bermula. Meskipun filem keluaran Les Copaque Productions itu dalam bentuk animasi tetapi ia bertanding menerusi kategori cereka kerana persembahannya sebagai sebuah filem cereka yang dipersembahkan menerusi seluloid. Kekuatan filem ini jelas lebih menampakkan imej Malaysia dalam erti kata sebenar serta turut memenuhi makna berkesan terhadap gagasan 1Malaysia. Jauh lebih baik ialah kerana filem ini berjaya membawa satu paradigma baru terhadap filem cereka animasi yang dihasilkan dalam bentuk animasi tiga dimensi (3D) dan mengundang satu fenomena baru dalam industri filem Malaysia. Kehadiran Geng: Pengembaraan Bermula juga menepis tanggapan silap selama ini kononnya filem kartun Malaysia selalunya gagal menarik perhatian sesudah ia gagal menerusi Silat Legenda, Putih dan Budak Lapok.

Begitu juga kategori Aktor Terbaik, nama yang disebut-sebut mungkin menang ialah Afdlin Shauki menerusi Setem atau Que Haidar atas tiket filem Maut. Bagi Aktres Terbaik pula, mungkin trofi kali ini disandang oleh Liyana Jasmay menerusi Maut atau Vanidah Imran (Setem) dan Julia Ziegler (Jangan Tegur).

Selain itu, berdasarkan senario ketika ini, apabila isu sosial mula diperkatakan terutama kontroversi sejauh mana berlakunya pengharaman filem berkaitan samseng jalanan, bohsia dan gejala moral lain, apakah mungkin filem yang berkaitan isu terbabit bukan lagi pilihan juri kali ini? Kita harus akui filem berkaitan gejala sosial yang dihasilkan di negara ini selalunya gagal memberi kesan baik untuk memberi kesedaran terhadap penonton sebaliknya sekadar cerita klise yang kerap ditonton dalam kebanyakan filem atau drama dari luar negara. Ia mungkin nampak menarik dari segi komersial dan menghiburkan tetapi paparan penyakit sosial dalam filem sebegitu selalunya tidak ada elemen spiritual atau menjana minda. Mudah cakap, ia lebih bersifat ‘plastik’. Ini ketara menerusi filem Budak Kelantan dan Bohsia, manakala filem remaja yang tidak kuat dari segi nilai moral, jati diri dan kisah cinta klise juga ketara menerusi Kami The Movie, Tipu Kanan Tipu Kiri, Sayang You Can Dance dan Selamat Pagi Cinta.

Apapun ramalan dan andaian, kita tunggu saja malam kemuncak anugerah FFM22 pada 8 Ogos ini, jam 8.30 malam di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu. Barangkali ada kejutan menarik kali ini. Dan, mungkin juga Geng Pengembaraan Bermula akan buat kejutan yang tidak disangka, siapa tahu?

Kata orang, harimau dua sekandang, jalak dua sereban…

Berita Harian

Temu Bual Terakhir Yasmin Ahmad

Berita Harian | Comments (0) admin @ 1:14 pm

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my


YASMIN hasilkan Chocolate untuk projek 15Malaysia sebelum menghembuskan nafas terakhir 25 Julai lalu.

SEMINGGU sebelum berita pengebumian pengarah terkenal, Yasmin Ahmad, memenuhi dada akhbar, Allahyarham dihubungi penulis untuk bercerita mengenai projek 15Malaysia yang turut disertainya.

Ketika itu, Yasmin cukup ceria berkongsi khabar mengenai filem pendek arahannya, Chocolate, yang dilakonkan oleh Sharifah Amani, Tan Mei Ling dan Howard Hon Kahoe, pelakon muda yang sebelum ini ditonjolkan Yasmin dalam filem terbarunya, Talentime.

Projek 15Malaysia diketuai dan diilhamkan penyanyi serta pencipta lagu, Pete Teo, itu menggabungkan karya filem pendek 15 pengarah filem muda Malaysia yang kebanyakannya pernah mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa. Selain perhubungan kaum di negara ini, filem arahan mereka juga berkisar pada persoalan sosial semasa, termasuk politik.

“Pete Teo memang seorang yang pintar untuk hadir bersama projek sebegini,” puji Yasmin membuka bicara pada pagi 20 Julai lalu.

Ikhlas kedengaran Yasmin memberikan pujian kepada komposer dan pelakon berbakat itu, apatah lagi mereka pernah bekerjasama ketika menjayakan projek Malaysian Artistes For Unity (Mafu) yang cukup dikenali menerusi lagu Here In My Home. Apabila lagu itu disiarkan, ia diterima kira-kira 10 juta rakyat Malaysia dan muncul antara video paling kerap dikirimkan dalam seminggu di dunia.

“Pete mengenali beberapa rakan pembikin filem dan saya antara rakan yang diundang untuk menjayakan projek terbabit,” kata Yasmin sambil memberitahu, Chocolate, ialah sebuah filem yang menggunakan dua bahasa, Melayu dan Mandarin.

Selain Yasmin, turut terbabit dalam projek 15Malaysia ialah Ho Yuhang, James Lee, Tan Chui Mui, Amir Muhammad, Liew Seng Tat, Nam Ron, Benji Lim & Bahir Yeusuff, Khairil Bahar, Johan John, Woo Ming Jin, Suleiman Bersaudara, Linus Chung, Kamal Sabran dan Desmond Ng.

“Kali ini, saya bukan bercerita mengenai cinta, tetapi lebih kepada dilema golongan muda Cina di negara ini. Satu ketika dulu, apabila berasa kecewa dengan hidup mereka di Malaysia, generasi lama masyarakat Cina akan berhijrah ke Singapura untuk mencari kehidupan yang khabarnya lebih sempurna.

“Namun, watak pemuda Cina yang saya tonjolkan dalam filem pendek ini enggan berbuat demikian kerana apa saja yang berlaku di sini, inilah tanah airnya. Dia menyayangi Malaysia,” ujar Yasmin yang sememangnya sering kali menampilkan isu perhubungan antara kaum, kritik sosial, lawak keluarga serta elemen kasih sayang yang sangat kuat dalam karya tulisan dan arahannya.

Selepas menghasilkan telefilem Rabun pada 2003 untuk tayangan TV3, pengarah kelahiran Muar, Johor itu, mengarahkan filem cereka pertamanya, Sepet, pada 2004. Popular kerana kritikan akibat aliran baru yang cuba diperkenalkannya menerusi filem itu, kisah cinta gadis Melayu dan pemuda Cina dalam Sepet akhirnya diiktiraf antara yang terbaik, bukan hanya di Malaysia bahkan pada peringkat antarabangsa.

Sepet juga mendapat perhatian pengedar dan pempamer di Singapura apabila ia turut memasuki pawagam republik berkenaan, sebagaimana filem seterusnya daripada pengarah ini. Filem lain yang menyusul ialah Gubra, Mukhsin, Muallaf dan Talentime.

Memahat konsep filemnya sebagai karya yang melingkungi pelbagai bangsa, Yasmin mudah diterima di kedua-dua negara. Tidak menghairankan apabila Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut menganggap Yasmin sebagai penggiat filem yang mengangkat martabat baru dalam industri perfileman negara pada mata dunia.

Kata Zambry, cara Yasmin berfikir adalah berbeza, justeru melahirkan karya yang menembusi warna kulit, kepercayaan agama dan rintangan budaya.

Menyambung cerita mengenai projek 15Malaysia, Yasmin sempat ‘mendedahkan’ sebuah kisah yang dirasakannya cukup kelakar, arahan Ho Yuhang berjudul Potong Saga.

Kata Yasmin, filem itu bercerita mengenai bagaimana seorang pemuda Cina ditipu oleh beberapa rakannya apabila mereka menggesanya membuka akaun bersama sebuah bank Islam. Kononnya, pemuda itu perlu berkhatan terlebih dulu sebelum boleh berbuat demikian.

Pemuda yang pernah mencetuskan kontroversi, Namewee, ialah seorang daripada pelakon filem pendek ini.

Selain Amani, Mei Ling, Kahoe dan Namewee, projek istimewa itu turut membabitkan ramai pelakon lain termasuk Atilia, Ida Nerina, Harith Iskander, Amber Chia, Jay Menon, Namron, Ciplak, Jason Lo, Patrick Teo, Daphne Iking, Bront Palarae dan Adibah Noor.

Tidak ketinggalan diundang menjayakannya ialah beberapa nama popular dalam dunia politik termasuk Datuk Nik Aziz, Datuk Zaid Ibrahim, Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Tian Chua.

Sementara itu, Pete memberitahu, projek yang ditaja syarikat perkhidmatan internet tempatan, P1, itu pada dasarnya akan dapat ditonton masyarakat apabila ia mula ditayangkan di internet bermula 17 Ogos ini.

“Ketika ini, kami masih berbincang mengenai judul mana yang akan dipilih sebagai pembuka tirai kepada tayangan projek 15Malaysia. Kami mempunyai beberapa nama dalam pertimbangan,” katanya ketika dihubungi beberapa jam selepas perbualan bersama Yasmin.

Menurut Pete, dalam masa 30 hari, sebuah demi sebuah filem pendek yang berdurasi antara 3 hingga 6 minit itu akan dilancarkan, sehingga 16 September, satu tarikh yang dipilih bagi memperingati Hari Malaysia.

“Filem yang kami hasilkan ini bukan berbentuk filem seni, sebaliknya filem yang berteraskan isu berat sama ada mencakupi perkara berkaitan politik dan masyarakat. Daripada isu samseng jalanan, rasuah, perbankan secara Islam, keadaan mutu bola sepak negara sehinggalah persoalan perkauman dimuatkan dalam filem yang terpilih menjayakan projek ini,” katanya.

Dalam kenyataan yang dikirimkan kemudiannya pula, dicatatkan, 15Malaysia bukan pernyataan politik mana-mana parti politik di negara ini, bukan juga video promosi oleh mana-mana kementerian.

Berita Harian

Cinta Duda

Berita Harian | Comments (0) admin @ 1:04 pm

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Suhaiza Suhaimi atau Memey mengaku belum bersedia jadi isteri Norman Hakim kerana usia terlalu muda

BUKAN masanya untuk berkahwin dengan Norman Hakim. Begitulah pengakuan pelakon yang mencetuskan kontroversi dengan kisah cinta tiga segi, Suhaiza Suhaimi atau lebih dikenali dengan panggilan Memey mengenai hubungannya dengan aktor kacak yang kini berstatus duda itu.

Di samping usianya yang masih terlalu muda iaitu 21 tahun, usia pembabitannya sebagai anak seni yang belum pun setahun jagung membuatkan gadis kelahiran Johor ini memilih untuk menunggu dan melihat perkembangan hubungan mereka seterusnya.

Bagaimanapun, dia yang ditemui ketika majlis pelancaran drama bersiri Puteri Aurora Beradu mengisi slot Lagenda setiap Isnin hingga Khamis di TV3 baru-baru ini, tanpa berselindung berharap percintaannya dengan duda tiga cahaya mata itu berakhir dengan ikatan pernikahan.

Namun beritahu gadis manis ini, setakat ini dia dan Norman tidak pernah berbincang serius soal perkahwinan tetapi mengakui sudah beberapa kali mengunjungi keluarga kekasihnya di Kuantan, malah sudah memanggil ibu Norman dengan panggilan mak. Begitu juga dengan Norman yang kerap menziarah keluarganya di Johor. Tetapi kunjungan itu hanyalah kunjungan biasa tanpa membabitkan sebarang perbincangan serius.

“Saya tidak pernah meletakkan sasaran bila masa sesuai untuk menamatkan zaman bujang, semuanya diserahkan pada jodoh. Mungkin bukan dalam masa terdekat ini kerana buat masa ini saya hanya mahu fokus pada kerjaya terlebih dulu kerana usia saya masih muda. Tetapi saya tak berani nak mengulas lanjut kerana bimbang perancangan itu jadi sebaliknya.

“Bagaimanapun, saya tetap mengharapkan yang terbaik untuk persahabatan kami. Saya berharap supaya persahabatan ini berakhir dengan sebuah perkahwinan satu hari nanti tetapi setakat ini kami masih belum pernah berbincang apa-apa pun mengenai kahwin,” kata Memey yang berharap kes khalwat dengan Norman berakhir dengan baik.

Pasangan itu pernah menimbulkan kontroversi apabila dicekup pihak berkuasa 30 Oktober lalu di pejabat milik Norman atas tuduhan khalwat. Penangkapan mereka menjadi panas kerana ketika itu Norman masih bergelar suami kepada pelakon dan penyanyi Abby Abadi. Ketika kejadian itu Abby berada dalam pantang selepas melahirkan cahaya mata ketiga mereka Maria Danisah Hakim, pada 17 September tahun yang sama.

Lebih setengah tahun berlalu, Memey dan Norman masih lagi turun naik mahkamah menyelesaikan kes khalwat mereka yang belum lagi selesai. Kes itu akan dibincangkan kembali di mahkamah esok.

Enggan peduli kata nista khalayak

BIARPUN zahirnya kelihatan tenang, Memey yang memegang watak utama sebagai Puteri Aurora tidak menolak kes khalwat itu membebankannya kerana terpaksa menanti lama keputusannya. Bagaimanapun dia reda dan menerima apa pun keputusan yang bakal dibuat mahkamah, namun tetap mengharapkan pengakhiran yang baik.

“Selagi perkara ini tidak selesai, selagi itulah ia menjadi satu beban kepada saya. Kalau kes ini selesai, sekurang-kurangnya dapatlah saya menjalani kehidupan dengan tenang. Saya terima apa saja keputusannya nanti tetapi kalau boleh biarlah berakhir dengan baik.

“Sejak dikaitkan dengan kes khalwat, pelbagai cemuhan yang saya terima malah sehingga kini pun orang masih mengata saya. Di internet misalnya, banyak kata nista dilemparkan tetapi saya tidak

ambil pusing. Saya tidak mahu penghinaan mereka mempengaruhi saya, jadi saya anggap tiada apa pun yang berlaku tetapi sedikit sebanyak ia sebenarnya menjadikan saya kuat,” katanya lagi.

Mengimbas kembali episod hitam itu, pelbagai kemungkinan buruk bermain di fikirannya. Pertama, namanya mungkin tidak lagi menjadi pilihan produser dan yang kedua dia tidak lagi dapat menyara keluarga.

Bagaimanapun, Memey yang baru setahun lebih menceburi dunia lakonan mampu menarik nafas lega dan bersyukur produser tempatan tidak mendiskriminasi dirinya. Sebaliknya dia dihujani pelbagai tawaran selepas JS Pictures milik pelakon Sheila Rusly membuka pintu untuknya.

Walaupun tidak dipinggirkan, Memey tidak mahu mengambil kesempatan ke atas peluang diberikan. Dia mahu lebih berhati-hati supaya kesilapan tidak berulang kembali. Mungkin nasibnya baik kerana diberi peluang sekali lagi tetapi dia menyedari peluang sebegini tidak datang selalu.

“Saya bersyukur masih diterima. Pada mulanya memang saya amat bimbang kerana periuk nasi saya datang dari sumber lakonan. Tetapi tidak berapa lama selepas kes itu berlalu, sedikit sebanyak peluang saya semakin cerah. Apa yang berlaku memang banyak mengajar saya.

“Saya tidak akan mengambil kesempatan dengan peluang diberikan. Saya mahu lebih berhati-hati lagi selepas ini. Mungkin waktu ini saya bertuah, esok lusa belum tahu lagi. Sejak peristiwa itu, saya menjadi lebih matang. Saya tidak mahu lagi menoleh ke belakang tetapi mahu memandang terus ke depan.

“Alhamdulillah rezeki saya murah tetapi saya tak mahu tamak menerima semua tawaran. Saya tidak mahu salah gunakan kesempatan yang diberikan kepada saya. Bagi saya disiplin, kualiti kerja perlu diambil kira apabila menerima tawaran berlakon,” katanya.

Luah cinta melalui mimpi

PUTERI Aurora Beradu arahan Fairuz Loy menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang turut dibintangi Iqram Dinzly, Eizlan Yusof, Rozita Che Wan, Norish Karman, Aida Aris, Enot dan Rashidah Jaafar direalisasikan dari lagenda Inggeris, Sleeping Beauty.

Tidak lari dari kisah asal puteri cantik dan anak raja yang gagah, kisah ini bagaimanapun diterjemahkan mengikut cita rasa yang bersesuaian dengan masyarakat. Drama bersiri sebanyak 20 episod ini, mengisahkan Memey yang memegang watak Puteri Aurora hidup dalam persembunyian. Dia dijaga oleh tiga penjaganya Che Nora, Che Arn dan Imah.

Menurut Memey, sepanjang dalam drama bersiri ini, dia hanya terlantar dalam keadaan koma bagaimanapun kisahnya diterjemahkan melalui mimpi sepanjang dia berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Kisah cinta saya dan Hakimi (Iqram) diluahkan menerusi mimpi kerana kekuatan cinta itu ia menyedarkan saya dari koma. Di dalam siri ini saya terlantar koma dari episod satu hingga 20 tetapi dalam koma itu ada jalan ceritanya,” kata Memey.

Pengarah drama bersiri ini berkata, dia tidak menghadapi masalah besar mengarahkan sebuah kisah dongeng kecuali berdepan dengan masalah jadual pelakon kerana sebanyak 20 pelakon digunakan. Apabila berkerja dengan pelakon yang mempunyai nama, ia menyukarkan sedikit apabila membabitkan jadual.

“Setiap babak perlu ada pelakon yang ada, jadi kita berdepan masalah dengan jadual mereka. Selain itu, saya juga perlu menerangkan kepada pelakon dengan lebih terperinci jalan cerita drama ini kerana ia lebih kepada imbas kembali. Bagaimanapun, bekerja dengan pelakon yang mempunyai pengalaman sangat membantu dan tidak mendatangkan banyak masalah kepada kami,” katanya yang ditemui di majlis pelancaran drama bersiri itu baru-baru ini.

Berita Harian

Selera Dua Sahabat

July 29, 2009 Berita Harian | Comments (0) admin @ 1:44 pm

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my


ANTARA juadah istimewa yang disajikan kafe Hadeeja – Kek Lapis Segar.

Deja Moss, Anuar Zain bergabung tenaga dan wang buka kafeteria hidang menu tradisional Sarawak, kek lapis

AGAK menyepi selepas mendirikan rumah tangga dengan Azfendy Azzudin, hakikatnya penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak, Deja Moss sedang merangka pelbagai perancangan untuk membina masa depannya.

Akur perjalanan sebagai anak seni sentiasa melalui fasa naik turun, apatah lagi dalam suasana kegawatan ekonomi yang menyaksikan penurunan tawaran persembahan pentas Deja, 35, serius memikirkan sesuatu yang menjamin pendapatannya.

Selepas beberapa bulan menyusun perancangan teliti, Deja bersama teman baiknya, Anuar Zain mengusahakan kafe, Hadeeja – Kek Lapis Segar yang beroperasi sejak sebulan lalu di Lot No 1-G, Jalan UK1/2, Ukay Perdana.

Kafe yang menyajikan menu tradisional Sarawak seperti Mi Kolok, Laksa Sarawak dan Nasi Putih Daging Hitam itu juga menjual kek lapis yang diusahakan sendiri oleh Deja bersama lapan kakitangan terdiri daripada ahli keluarganya.

“Suami yang memberi idea supaya saya mencari tempat untuk mengusahakan perniagaan kek lapis. Sebelum ini, semuanya dilakukan sendiri di rumah.


Anuar Zain

“Apabila tempahan meningkat, saya jadi tidak menang tangan. Ruang dapur di kediaman juga tidak luas membuatkan saya terfikir untuk mencari lokasi lebih besar supaya saya selesa menyiapkan tempahan.

“Dulu apabila tempahan meningkat, sebahagiannya terpaksa ditempah daripada saudara di Sarawak dan secara tidak langsung meningkatkan kos pengeluaran. Memikirkan semua itu, saya tergerak hati untuk mengusahakan kafe dan memberitahu Anuar mengenai hasrat saya.

“Tanpa disangka dia berminat untuk melabur dan alhamdulillah, sejak sebulan lalu kafe ini beroperasi dengan permulaan kami menerima tempahan serta menjual kek lapis,” katanya.

Kesudian Anuar sebagai rakan kongsi, kata Deja, membakar semangatnya untuk membangunkan lagi Hadeeja – Kek Lapis Segar dengan menyediakan beberapa menu popular Sarawak sejak awal Julai lalu.


SOKONGAN suami memberi dorongan untuk Deja memulakan perniagaannya.

Semua menu itu kata Deja, adalah daripada air tangannya sendiri kerana dia mahu pelanggan yang datang menikmati sajian di kafe mereka berpuas hati dengan kualiti makanan yang disajikan.

Akui penyanyi yang masyhur dengan lagu Di Matamu Aku Di Jiwamu Dia itu, cukup beberapa menu disediakan sebagai permulaan.

“Jika tidak terlalu banyak menu, saya bimbang tiada siapa yang akan mengawal kualiti nanti. Apabila semuanya semakin stabil, baru kami akan melakukan tambahan menu seperti masakan Barat,” katanya.

Deja berkata, sejak Mac lalu sebahagian besar masanya dihabiskan untuk merencana operasi kafe itu dan sesekali apabila ada tawaran persembahan, dia masih menerimanya.

Tanpa silu kata Deja, dia sendiri turun ke pasar basah untuk mendapatkan bahan segar, begitu juga Anuar apabila tidak terikat dengan sebarang persembahan.

Bermandi peluh dan berbincang sendiri dengan pemborong kata Deja, memberikan kepuasan malah membolehkan mereka mengawal kos serta perbelanjaan tanpa meminggirkan aspek kualiti.

“Anuar sendiri cukup teruja memulakan perniagaan ini. Sebelum dijual kepada pelanggan, dia terlebih dulu menikmati segala menu yang ada di kafe untuk memastikan apa yang disediakan memenuhi kehendak semua.

“Dalam soal kualiti, saya dan Anuar langsung tidak berkompromi kerana kami mahukan semua yang datang menikmati kepuasan seperti sajian di rumah.

“Jujurnya perbelanjaan operasi kafe ini memakan belanja besar kerana kami menggunakan hanya bahan terbaik namun masih ada cara untuk meminimumkan kos tanpa mengabaikan aspek mutu,” katanya.

Kafe yang beroperasi dari jam 10 pagi hingga 10 malam itu menyediakan pilihan sehingga 20 jenis kek lapis pelbagai perisa namun paling popular adalah kek lapis keju kukus, hati pari dan kek lapis lemak.

Tambah Deja, sebelum berbincang dengan Anuar, dia pernah didekati beberapa pihak yang ingin bekerjasama dengannya untuk mengusahakan perniagaan itu namun ia tidak menjadi kenyataan.

“Apabila Anuar menawarkan diri sebagai rakan kongsi, hati saya tergerak dan mengatakan inilah masa yang tepat untuk memulakan segala-galanya.

“Perbincangan serius kami bermula Mac lalu seterusnya mencari lokasi bersesuaian kerana sebolehnya saya dan Anuar mahukan sebuah tempat yang tidak terlalu sibuk tetapi mudah diakses pelanggan.

“Lama juga kami mencari sebelum menemui lokasi ini. Kedudukannya di bahagian tepi dengan pemandangan hijau membangkitkan suasana aman dan tenang.

“Lebih membuatkan saya teruja kerana nombor kedai ialah yang pertama sekali gus menjadi doa kepada kami supaya perniagaan ini sentiasa maju dan ke hadapan,” katanya.

Mahukan keberkatan

PRINSIP Deja dalam perniagaan perlukan keikhlasan dan itu yang menjadi pegangannya dengan Anuar apabila mereka memulakan Hadeeja – Kek Lapis Segar.

Biarpun terpaksa berbelanja lebih untuk mendapatkan bahan masakan terbaik dan segar, Deja percaya, keikhlasan mereka akan dibalas Tuhan dengan ganjaran berlipat ganda seandainya apa yang disajikan memberi kepuasan kepada pelanggan.

“Saya mencari keberkatan dalam hidup dan untuk berniaga keikhlasan itu penting kerana tanpanya, kita tidak akan berpuas hati.

“Jujurnya kami berdua tidak pernah bertolak ansur soal kualiti sajian kerana kami mahu setiap yang datang ke sini akan kembali kerana berpuas hati dengan apa yang diberikan.

“Kepuasan pelanggan sentiasa menjadi doa kepada kami mempertingkatkan kualiti sajian. Tidak mudah untuk membina reputasi dalam bidang perniagaan, justeru kami tidak mahu kerana kesilapan kecil akan memusnahkan kredibiliti serta kepercayaan orang terhadap keupayaan kami.

“Minta kepada Tuhan dijauhkan semua itu,” kata Deja yang akan mengadakan acara perasmian kafe itu dalam masa terdekat sebelum melancarkannya secara rasmi selepas Aidilfitri nanti.

Kata Deja, dia juga akan muncul dengan buku masakan keduanya yang menjurus kepada sajian seperti acar dan sambal goreng tradisional Sarawak yang diterbitkan sendiri.

Berita Harian

Masuk Hospital Gara-Gara Babak Cemas Gerak Khas

Berita Harian | Comments (0) admin @ 1:34 pm

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


MAIDIN semakin stabil dan sedang berehat di rumah anaknya.

PELAWAK terkenal, Maidin masih mampu bergelak ketawa ketika ditemui Hip Selasa lalu di Pusat Rawatan Kritikal, Institut Jantung Negara (IJN) selepas tiga hari dimasukkan ke wad terbabit gara-gara serangan jantung peringkat biasa.

Datuk kepada 10 orang cucu berusia 70 tahun itu yang semakin stabil kelihatan ceria ketika menceritakan kembali detik cemas serangan jantung pada 25 Julai lalu sebaik saja tamat penggambaran hari kedua drama Gerak Khas untuk tayangan raya nanti.

Adegan kejar mengejar yang dimuatkan dalam drama arahan Majid Salleh itu akhirnya mengundangnya masuk hospital.

Penggambaran itu diadakan di Masjid Sri Gombak membabitkan babak di mana kasut yang dipakai Maidin dikebas pencuri. Lucunya, kerana tiada pilihan lain, Maidin pula terdesak mengambil kasut orang untuk dipakainya. Menurut Maidin, beliau sendiri tidak tahu ada babak yang memerlukannya berlari.

Namun, demi komitmen sebagai anak seni, bapa kepada lima orang anak ini menurut saja arahan biarpun akhirnya musibah terkena pada batang hidungnya sendiri. Sambil berseloroh, beliau berkata, selama hayatnya dia tidak pernah menjejaki hospital untuk sebarang rawatan. Semalam, Maidin dijadualkan melakukan pembedahan pintasan jantung di pusat perubatan itu.

“Malam 25 Julai itu, saya mula berasa sakit di bahagian dada dan dengan bantuan pembantu peribadi, kami ke Hospital Kuala Lumpur untuk membuat rawatan pernafasan. Kemudian sebelah pagi keesokannya, saya ditemani anak keempat, Sulaiman ke Hospital Tawakal sebelum dipindahkan ke IJN.

“Pernafasan saya memang teruk pada mulanya dan alhamdulillah kerana cepat bertindak ia tidak melarat kerana bimbang mampu mendorong serangan jantung yang kronik. Sebenarnya ini serangan kali kedua yang saya alami selepas 1999. Ketika itu, saya menghitung hari untuk menunaikan haji di Tanah Suci Makkah. Mujur ketika itu ia masih terkawal.

“Saya ini jenis yang selalu menjaga kesihatan dengan mengamalkan tidur awal dan berkebun. Biasalah orang tua macam saya ini, enjin pun sudah tak kuat dan cepat saja meragam. Bab lain saya boleh jaga tapi perihal makan saya tidak pantang. Cuma pantang saja ada di depan mata, saya akan jamah,” katanya yang akan berehat terlebih dulu di rumah anaknya di Setiawangsa sebelum pulang ke Pendang, Kedah.

Ketika Hip bertandang ke wad itu, kelihatan anaknya, Sulaiman dan isteri, Habira Ibrahim setia menemaninya dan sesekali mereka akan menunggu di ruang menunggu.

Kata Maidin, Datuk David Arumugam pun sempat menziarahinya kerana kebetulan melawat saudaranya yang berada di IJN beberapa hari yang lalu.

“Saya minta orang ramai di luar sana itu doakan kesihatan saya supaya beransur pulih. Terima kasih juga kepada staf di sini yang memberikan layanan baik kepada saya,” katanya yang perlu mengurangkan amalan menghisap rokok selepas ini demi menjaga kesihatannya.

Berita Harian