Skip to content

Archive for September 2009

25
Sep

Dengarnya…: Selamat Pengantin Baru Damian






DAMIAN sah bergelar umat Islam Ogos lalu.

SEKALUNG tahniah Cik Normah ucapkan kepada bekas anggota kumpulan VE, Damian Mikhail Seet, 31 yang akan melangsungkan hari bahagianya pada musim raya ini. Tak silap Cik Normah, Damian dan bakal isterinya, Nadia Dayana Mohd Yahya akan bernikah pada raya pertama ini. Bagaimanapun, majlis persandingan akan diadakan pada 26 September.

Mengikut kad undangan yang diterima di meja Hip, majlis persandingan akan diadakan di sebuah lokasi menarik di Cyberjaya. Mungkin konsep perkahwinan di tepi pantai yang akan dipilih pasangan memandangkan lokasi yang dipilih memang sesuai benar untuk merealisasikan konsep sebegitu.

Buat Damian dan bakal isterinya, Cik Normah doakan semoga ikatan perkahwinan yang bakal terjalin kelak akan terus mengukuhkan ukhuwah dan kebahagiaan sesama anda. Insya-Allah, kalau ada kesempatan, Cik Normah akan ke majlis perkahwinan itu. Tapi, Cik Normah cuti raya dua minggu.

Mungkin teman sepejabat Cik Normah yang sudah mula bertugas pada raya kedua dan seterusnya tengok-tengokkan siapa yang akan membuat liputan majlis ini. Tapi Cik Normah pun malas nak ganggu mood kawan sepejabat yang nak pulang beraya. Biar raya puas-puas dulu dan kemudian baru fikir mengenai kerja.

Cik Normah difahamkan Damian yang tampil dengan lagu single Jelita bertunang Ogos lalu pada bulan yang sama jejaka kacak ini memeluk Islam. Bertambah lagi saudara baru di negara kita dan Cik Normah harap agama Islam akan terus menjadi pegangan Damian buat selama-lamanya. Insya-Allah.

Sebelum terlupa, Insya-Allah kalau jadi, Ahad ini kita akan beraya dan kepada yang pulang ke kampung itu dengan kenderaan awam ataupun sendiri, diharap akan sentiasa berhati-hati di jalan raya. Jangan sampai ada khabar duka yang singgah hingga meleraikan kebahagiaan dan keindahan sambutan Syawal. Kalau makan ketupat dan rendang itu, jangan lupa Cik Normah di sini ya!

Berita Harian

22
Sep

Aku Sebuah Komputer Riba

AKU dilahirkan di sebuah kilang di kawasan perindustrian Bedok dalam tahun 2008. Dengan jenama terkenal dan rekabentuk terbaru yang dihasilkan dalam empat warna menarik, aku dan kawan-kawanku dihantar ke bilik pameran sebuah pusat jualan komputer terkemuka di Funan Centre.

Selang tiga hari kemudian sepasang suami isteri dan anak perempuannya yang berusia 12 tahun mengunjungi bilik pameran pusat tersebut dan memutuskan untuk membeli aku. Anak perempuannya memilihku kerana warna biruku yang menarik hatinya.

Aku difahamkan bahawa aku dibeli sebagai hadiah hari jadi budak perempuan itu, yang kemudian aku kenali sebagai Siti Aida. Aku dibeli dengan harga $1,300. Mungkin Siti Aida adalah anak emas mereka.

Siti Aida begitu gembira menerima aku. Dia meletakkan aku di atas meja tulis berhampiran katil di bilik tidurnya.

Sejak aku dibeli Siti Aida begitu menyayangi aku. Setiap kali selepas menggunakan aku, dia pasti membersihkan diriku dengan sehelai kain lembut. Dia tidak membenarkan walau sebutir habukpun melekat pada tubuhku.

Aku berasa begitu gembira kerana dia menjadikan aku sebagai sahabat karibnya. Setiap kali selepas pulang dari sekolah dan selesai menyiapkan kerja rumah serta mengulangkaji pelajarannya, dia akan bersama- sama denganku.

Aku berjanji akan berbakti sebaik mungkin kepada tuanku itu. Bak kata pepatah, kami umpama aur dengan tebing.

Selain menjadi temannya belajar, aku juga dijadikannya teman berhibur apabila dia melungsuri Internet untuk menari bahan-bahan pelajaran atau ketika dia mahu bermain ‘game’ atau berceloteh seketika dengan kawan-kawannya.

Dia menggelarkan ‘puteri’. Tetapi, bagi diriku dialah puteri yang sebenar kerana kebaikannya selama ini terhadapku.

Catatan tambahan: Pelajar juga boleh menggunakan pengenalan berbeza untuk karangan ini seperti ‘Zaman kecanggihan komputer menyebabkan hampir setiap pelajar sekolah rendah kini disediakan dengan sebuah komputer riba oleh ibu bapa yang sedar betapa pentingnya alat elektronik ini untuk kepentingan pelajaran anak-anak mereka.’

TIP 101

Contoh karangan lengkap berdasarkan soalan ‘Aku sebuah komputer riba’ adalah seperti berikut. Para pelajar perlu beri perhatian contoh pengenalan, simpulan/peribahasa dan penutup yang dilampirkan.

Cyberita

2
Sep

Resipi Istana Papar Juadah Istimewa Kerabat Diraja



Nurul Khusna Uma

RESIPI Istana, sebuah program televisyen terbitan Primeworks Studios, buat pertama kalinya mengetengahkan kerabat diraja serta mereka yang rapat dengan pihak istana untuk berkongsi resipi tradisional turun temurun berserta keunikan masakan istana dan gaya hidup golongan diraja.

Program 13 episod ini dihoskan bakat baru, Nurul Khusna Uma, finalis program realiti Gadis Melayu musim pertama menemui penonton TV3 setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula 22 Ogos lalu pada jam 12.30 tengah hari.

Istimewanya, dalam kesibukan kerabat diraja memenuhi pelbagai kegiatan harian, program Resipi Istana berjaya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada beberapa kerabat diraja seperti Sultanah Kedah, Sultanah Haminah Hamidun, Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, adinda Sultan Johor, Tunku Tun Maimunah Sultan Ismail dan anakanda Sultan Kelantan, Tengku Amalin Aishah Putri Sultan Ismail Petra.

Selain menyaksikan kepakaran kerabat diraja memasak, Resipi Istana turut memaparkan keindahan istana seperti Istana Anak Bukit, Alor Star, Kedah, Istana Raja Di Hilir dan Istana Riswin, Ipoh, Perak, Istana Kenangan Indah, Kangar, Perlis dan Istana Bukit Gedung, Johor.

Sepanjang penggambaran yang dilakukan sejak Jun tahun ini, kru produksi mengutip pelbagai kenangan manis dan pengalaman yang cukup berharga. Perasaan risau dan bangga saling bercampur-baur. Namun, segala-galanya terhakis. Anggapan masyarakat bahawa golongan istana sombong dan sukar didekati, tidak benar sama sekali.

Bak pepatah, tidak kenal, maka tidak cinta, biar pun terikat dengan protokol istana, namun sikap prihatin dan keterbukaan mereka membuatkan kru produksi cukup selesa. Antara pengalaman dan momen paling menarik, ketika kru produksi membuat rakaman bersama Raja Puan Mahkota Perak, Raja Nazhatul Shima yang lebih mesra dipanggil Tengku Dotti di Istana Riswin, Ipoh, Perak.

Keramahan dan sikapnya yang sporting melayani kru sepanjang dua hari rakaman, tidak dapat dilupakan. Sambil memasak masakan kegemaran keluarga seperti Daging Gulung, Gulai Tempoyak Udang dan Mi Kuah, loghat Perak pekatnya, membuatkan kru tidak kering gusi. Namun, apa yang pasti, Tengku Dotti bukan sekadar puteri raja kerana beliau juga pakar memasak.

Begitu juga ketika kru produksi membuat rakaman di Kota Bharu, Kelantan bersama Tengku Amalin. Berperwatakan manja dan lemah-lembut, kejelitaan Tengku Amalin diwarisi daripada bondanya, Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid.

Bergelar majistret termuda di negeri Kelantan, ketokohan Tengku Amalin bukan saja di mahkamah tetapi beliau juga tidak kekok di dapur. Kru produksi juga cukup terharu apabila diberikan layanan mesra malah kru diraikan pada majlis hidangan panggang di Istana Kandis, Bachok, bersama kekandanya, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan kerabat diraja Kelantan yang lain.

Namun, paling mengujakan ketika krew melakukan penggambaran di Istana Raja Di Hilir bersama YAM Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah. Kesudian baginda berkongsi resipi kegemaran kerabat diraja Perak selain menyelaraskan ruang santap yang cukup berseni, pasti membuat penonton terpukau. Malah, keindahan hiasan warisan Perak seperti tekat dan labu sayong dipersembahkan dengan cukup teliti.

Resipi Istana ini diterajui Penerbit Eksekutif, Ezzah Aziz Fawzy, penerbit Khairol Bariah Kamaruddin, wartawan Emmy Zalfarina Adenan dan Sulastri Mohd Juki serta pembantu penerbitan Amaani Ahmad.

–>

Berita Harian