Featuring the latest Malaysia scandals, gossip, and entertainment news.

100 Peratus Melayu

September 30, 2009 Harian Metro | Comments (0) admin @ 8:36 pm



Oleh Saidah Sabtu
shedasweet@yahoo.com

Rap
SIAPA tidak kenal penyanyi bersuara lantang apatah lagi dengan gaya mikrofon jauh dari mulut yang menjadi satu imej tersendiri lalu sentiasa mengingatkan kita kepada aksinya itu.

Jaclyn Victor bukanlah nama yang asing bagi peminat seni tempatan.

Juara Malaysian Idol pertama ini bukan saja berbakat dalam bidang nyanyian, malah mempunyai potensi besar dalam lakonan.

Ini terbukti dengan pencapaiannya di Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) apabila dia meraih anugerah Pelakon Harapan Wanita Terbaik menerusi cereka Talentime.

‘Saya bersyukur dengan anugerah yang diberikan, tetapi bagi saya nyanyian masih lagi yang utama.

‘Bagaimanapun, jika ada tawaran yang menarik pada masa yang tepat, mungkin saya akan berlakon lagi,’ kata Jac yang masih lagi kelihatan sedih atas pemergian Allahyarham Yasmin Ahmad.

Terbaru pemenang Vocal Power Award di Shout! Award 8TV ini kembali dengan album baru yang berjudul Jaclyn Victor III pada Ogos lalu selepas penerbitan album Gemilang pada 2004 dan Inilah Jac pada 2006.

Menariknya, album ini memuatkan 100 peratus lagu Melayu yang menggunakan khidmat komposer terkenal seperti Aubrey Suwito, Sharon Paul, Nai Kong, Anjang Jinbara, Gjie 6ixth Sense, Syed Nitrus Nur Fatimah, Panji dan Boy Razak.

‘Bezanya album kali ini turut memuatkan lagu genre rancak dan catchy seperti Jatuh Cinta dan Tentangmu. Kali ini saya tidak lagi fokus kepada lagu balada saja,’ katanya.

Lagu lain yang dimuatkan dalam album ketiga Jac ini ialah Koleksi Gemilang, Bertamu Di Kalbu, Senandung Beradu, Ku Tak Bisa, Ku Ingin Kamu dan Biarlah.

 

 

‘Sebenarnya lagu kegemaran saya adalah dari trek pertama yang berjudul Koleksi Gemilang. Lagu ini adalah medley 24 lagu balada sepanjang zaman.

‘Lagu ini adalah hadiah kepada peminat saya. Saya harap peminat juga akan menyukai pilihan saya ini,’ kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Album yang julung kali boleh didapati menerusi talian di www.sonymusic.com.my mula dimuat turun bermula pada 11 Ogos 2009.

Jika peminat membeli menerusi laman sesawang harganya lebih murah daripada harga jualan di kedai muzik.

‘Caranya mudah saja. Peminat boleh melawat laman sesawang seperti di atas, buat bayaran seperti arahan dan sahkan pesanan. Album itu akan dihantar ke alamat peminat,’ katanya.

Di sebaliknya biarpun Ramadan sudah berlalu, masyarakat Islam di negara kita pula kini sibuk menghadiri rumah terbuka sempena Syawal, Jac hakikatnya mempunyai pengalaman manis berpuasa.

‘Walaupun saya bukan beragama Islam, tetapi saya sudah biasa tidak makan kerana saya selalu sibuk dengan kerja. ‘Bukannya saya mengabaikan pemakanan sihat untuk diet, tetapi saya seperti lupa kepada masa setelah seharian menghadap kerja,’ katanya.

Harian Metro

No Comments »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a comment