SOSEH SOSEH: Rawat Wajah Di Seberang
Rap
APABILA mendengar cerita mengenai artis kita yang seorang ini, SS tumpang bangga juga. Sebabnya, SS difahamkan, ada artis kita ini sudah melangkah jauh setapak lagi apabila kerap berkunjung ke negara seberang.
Negara yang mana satu, sama ada seberang Tambak Johor (Singapura) atau seberang Laut China Selatan (Indonesia), biarlah SS rahsiakan kerana SS tidak mahu menyentuh sensitiviti sesiapa.
Apabila mereka ke negara itu, ada satu destinasi yang menjadi tumpuan. Namun mereka ke sana bukan kerana mendapat tawaran berlakon atau menyanyi tetapi untuk merawat wajah menjadi lebih jelita, anggun dan berseri. Tak berkeliplah mata yang memandangnya. Bukan itu saja, malah boleh juga mencerahkan kulit yang agak gerhana warnanya.
Kelaskan artis kita sekarang sampai ke luar negara mencari produk kecantikan. Ada juga yang cari ubat kurus di sana. Kononnya antara produk yang paling laris ketika ini serbuk putih mutiara yang dikata dapat menaikkan seri wajah dan mencantikkan kulit yang kusam.
Mulanya kawan SS ini tak percaya dengan cerita wanita bersanggul lintang dan asyik menenyehkan sogeknya itu yang kononnya sudah lama berurusan dengan ramai artis negara ini. Tetapi wanita itu cerdik juga, setiap kiriman SMS dari artis itu disimpan dalam telefon bimbitnya.
Untuk meyakinkan kawan SS itu, dia pun tunjukkanlah SMS itu. Barulah kawan SS percaya. Rupanya sebelum ke negara itu, mereka terlebih dulu membuat pesanan. Jadi bila datang, semua barang sudah tersedia. Memang cekap. Untuk melindungi identiti mereka daripada tersebar, artis itu tidak benarkan wanita bernenaan bergambar kenangan dengan mereka. Hmmm…bab ini artis kita ada sedikit bijak.
Apa, dalam negara sendiri sudah tidak ada krim yang sesuai ke dengan kulit muka. Setiap hari apabila membelek akhbar atau majalah, banyak produk baru dalam pasaran, takkan satu pun tak kena dengan kulit muka.
Hendak hilangkan kulit gerutu, melebatkan rambut sehinggalah membesarkan payu dara, semua ada. Oleh kerana sambutan yang begitu memberangsangkan, ramai pengeluar kecantikan negara ini sudah menjadi jutawan.
Bagaimanapun artis kita tetap mencari produk di luar negara. Serasi le agaknya. Mulanya SS dengar dua tiga aje, sekarang SS dapat tahu ramai artis pergi ke sana. Agaknya hasil promosi yang dilakukan artis yang sudah dapat menerima kesannya hasil pemakaian produk itu.
Bukan itu saja malah kawan SS itu bagi tahu, ada yang pergi mencari ilmu ‘mak esah’ di sana termasuklah seorang artis yang sedang meletup sekarang ini. Hai! takutnya SS, mula pergi beli krim muka lepas itu menuntut ilmu pulak. Patutlah sesetengah artis ini, tak jemu dipandang mata. Semakin dipandang semakin terpesona.
Janganlah terambil ilmu salah, karang mati susah. Kalau setakat hendak ilmu pendinding atau pelaris, amalkan aje ayat suci al-Quran, Tak payahlah bela segala jin atau hantu jembalang yang akhirnya memakan diri.
Harian Metro