Usah Buat Janji Kosong
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my
Rap
SEJAK studio muziknya di No 10, Jalan Pasar, Paya Jaras Lama di Sungai Buloh dipecah masuk pada 11 September lalu, sekali gus terpaksa menanggung kerugian RM5,000 ekoran kehilangan kelengkapan muzik, banyak kegiatan seninya terencat.
Tambah menyedihkan penghibur veteran Samsudin Lamin, 70, peralatan seperti set karaoke, pembesar suara dan mikrofon yang dicuri, selama ini menjadi sumber rezeki bagi menampung pendapatan keluarga.
Justeru itu, penyanyi popular dengan lagu Buah Hati Kekasih Orang itu berharap dengan bantuan bakal diberikan Karyawan serta Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lirik Tanah Air (Papita), dapatlah dia merencanakan semula aktiviti seninya.
‘Tidak lama selepas tersiarnya berita studio saya disamun, saya ada membaca di akhbar pihak Karyawan dan Papita berusaha membantu meringankan beban saya.
‘Saya tidak minta bantuan, tetapi amat berterima kasih pada mana-mana pihak yang ingin membantu saya.
‘Freddie Fernandez selaku presiden Karyawan sewaktu bertemu di sebuah acara baru-baru ini sempat memaklumkan kepada saya Karyawan akan memberi bantuan dengan membeli semula kelengkapan muzik yang lebih baik mutunya sebagai ganti barangan yang hilang.
‘Cuma di sini saya rasa terkilan dengan Papita yang seolah menggunakan media untuk menyatakan keprihatinan mereka terhadap nasib artis namun, akhirnya sepi tanpa sebarang berita.
‘Sampai sekarang tiada seorang pun dari wakil persatuan itu datang bertemu saya termasuk menghubungi,’ katanya.
Pemilik suara merdu yang sering melagukan irama tradisional ini menambah, jika pihak persatuan benar-benar ikhlas untuk membantu mereka harus menunjukkan kesungguhan bukannya sekadar cakap kosong.
Malah, dia berharap akan memperoleh segala kelengkapan secepat mungkin kerana tanpanya dia pasti tidak dapat
memenuhi permintaan atau jemputan majlis di sekitar kampung seperti majlis kenduri.
‘Selain memenuhi undangan menyanyi, menyewa kelengkapan muzik seperti set karaoke inilah yang menjadi punca rezeki saya untuk menampung keluarga. Apabila semuanya lesap memang terasa sangat.
‘Faham-faham sajalah, artis veteran seperti saya ini jarang diundang membuat persembahan. Mujurlah, masih ada pihak yang prihatin.
‘Misalnya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang diterajui Datuk Seri Dr Rais Yatim sentiasa memberikan peluang kepada kami artis veteran,’ katanya.
Tidak hanya digunakan sebagai tempat latihan dan stor menyimpan peralatan muzik, studio itu turut digunakan sebagai lokasi mengajar lapan penuntut muzik tradisional dengan dibayar RM25
sejam yang diberikan kerajaan Selangor melalui projek Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Pada temu bual itu, Samsudin sempat meluahkan rasa kesal kerana kebanyakan program raya terbitan stesen televisyen swasta dan kerajaan seakan meminggirkan artis veteran.
Sehinggakan hal itu sendiri dibangkitkan Datuk Ahmad Jais menerusi program Fenomena Seni Bersama Rosyam Nor yang bersiaran pada Ahad lalu jam 9 malam di RTM1.
‘Saya setuju dengan pendapat beliau yang saya kira sekadar luahan perasaan mengapa artis veteran dipinggirkan. Tahun ini misalnya tiada satu pun program Aidilfitri saya jayakan kerana tidak mendapat undangan.
‘Semua stesen tertumpu pada artis muda termasuklah saluran kerajaan walhal kebanyakan program yang dipersembahkan, saya tidak nampak ada usaha seni budaya yang mahu ditonjolkan.
‘Sedih sebenarnya melihat keadaan ini kerana tanpa semangat dan perjuangan kami yang bersusah payah menghidupkan seni budaya pastinya keadaan industri seni tidak seperti hari ini.
‘Mungkin mereka anggap kami sudah tua dan tidak berdaya. Terus terang, meskipun usia saya sudah 70 tahun namun semangat untuk menghibur itu tetap menebal dan akan terus berjuang hingga ke akhir nyawa,’ katanya.
Harian Metro