Featuring the latest Malaysia scandals, gossip, and entertainment news.

Kala Malam, Papadom Wakil Negara?

September 30, 2009 Berita Harian | Comments (0) admin @ 8:17 pm



Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my


WAYANG mungkin mewakili negara ke FFAPS3 di Taiwan.

Filem Talentime dan Wayang turut disebut-sebut akan dibawa ke FFAP53

FILEM Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21), Kala Malam Bulan Mengambang arahan Mamat Khalid antara filem yang disebut-sebut mewakili Kuala Lumpur ke Festival Filem Asia Pasifik edisi ke-53 (FFAP53) di bandaraya Kaohsiung, Taiwan pada 17 hingga 20 Disember ini.

Turut mendapat perhatian ialah Papadom arahan Afdlin Shauki yang dipilih sebagai Filem Terbaik di FFM22 yang berlangsung di Kota Kinabalu baru-baru ini. Filem lain yang kemungkinan menjadi wakil negara ke FFAP53 ialah Wayang daripada Profesor Dr Hatta Azad Khad dan Talentime karya Allahyarham Yasmin Ahmad.

Bagaimanapun, ketika dihubungi Hip, Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah enggan mengesahkannya kerana sehingga kini PFM belum memutuskan sebarang judul filem yang akan membawa cabaran negara ke Taiwan.

“Namun kita pernah mengadakan perbincangan berhubung pemilihan filem kita ke Taiwan, Disember ini. Selain filem yang disenarai pendek pada Festival Filem Malaysia pada tahun lalu dan tahun ini, kita juga melihat kepada filem dengan genre yang berbeza.

“Kita mencari filem yang mampu mencerminkan budaya negara kita,” katanya.

Pada penganjuran sebelum ini, sebanyak lima cereka dipilih untuk mewakili negara pada FFAP. Namun, suasananya agak berbeza pada kali ini apabila hanya tiga judul cereka akan dibawa ke Kaohsiung, dengan slot selebihnya diberikan kepada filem dokumentari dan animasi.

Dalam pada itu, FFAP berlangsung sekali lagi pada Disember ini selepas dua tahun gagal dilangsungkan, iaitu pada 2007 dan 2008. Pada 2007, FFAP sepatutnya berlangsung di Hong Kong. Bagaimanapun, ia dibatalkan atas sebab-sebab tertentu. Manakala pada tahun lalu, Bangkok pada mulanya diumumkan sebagai tuan rumah. Tetapi, kota itu menarik diri apabila berlaku kekecohan berkaitan pilihan raya umum di negara Gajah Putih terbabit.

Pengunduran Bangkok membolehkan Jakarta menawarkan diri sebagai tuan rumah pengganti. Malangnya, Jakarta turut menarik diri pada saat-saat akhir berikutan masalah kurangnya keyakinan mendapatkan penyertaan.

Hanya selepas dua tahun, festival yang julung kali diadakan di Tokyo, Jepun, pada 1954 itu kembali dan Taiwan dipilih sebagai tuan rumah untuk ke sekian kalinya selepas kali akhir menganjurkan festival itu pada November 2006. Tiga tahun lalu, ia dilangsungkan di Taipei.

“Pada tahun ini, Indonesia tidak berminat untuk menganjurkannya, justeru pihak sekretariat yang berpangkalan di Taiwan mengambil balik penganjuran festival filem terbabit. Cuma kali ini ia diadakan di Kaohsiung, bukan lagi Taipei sebagaimana kali akhir FFAP diadakan,” kata Ahmad Puad.

Berbeza dengan penganjuran terdahulu, penyertaan pada FFAP53 dibuat berdasarkan jemputan oleh penganjur. PFM yang juga sebahagian anggota gabungan Federation of Motion Picture in Asia Pacific (FPA) dijemput sama untuk menghadiri festival edisi 2009 ini.

Antara program yang akan diadakan sepanjang festival kali ini ialah malam pembukaan, mesyuarat lembaga pengarah FPA, lawatan ke tempat menarik, malam penutup dan penyampaian anugerah.

Selain Malaysia, FPA turut dianggotai 21 negara lain iaitu Thailand, Filipina, Bangladesh, Russia, Georgia, Myanmar, Vietnam, Pakistan, Hong Kong, Korea, India, Singapura, Iran, Australia, Indonesia, Taiwan, Uzbekistan, Kuwait, Jepun, Macau dan New Zealand.

“Berikutan festival itu sendiri sudah menjangkau usia enam dekad, maka amat rugi jika ia terhenti setakat itu saja. Atas alasan itu, ia cuba dianjurkan juga oleh sekretariat demi kepentingan pembangunan industri perfileman di rantau ini.

“Pada festival itu nanti, kami berharap dapat membincangkan hal berkaitan format festival serta giliran hak penganjuran pada mesyuarat lembaga pengarah FPA. Mungkin setiap anggota harus ditawarkan penganjurannya setiap lima tahun sekali, supaya persediaan rapi dapat dijalankan negara tuan rumah,” jelasnya.

“Ahmad Puad berkata, Kuala Lumpur (Malaysia) sendiri sudah menjadi tuan rumah sebanyak empat kali kepada festival ini dan berharap dapat membawakan FFAP kembali ke negara kita pada masa akan datang.

Kali pertama Malaysia dipilih sebagai tuan rumah pada 1959 di Kuala Lumpur, diikuti 1982 juga di Kuala Lumpur. Kuching, Sarawak menjadi tuan rumah untuk edisi 1990, manakala kali akhir festival itu berlangsung di negara ini pada 2005, sekali lagi di ibu kota.

Malaysia juga antara negara anggota yang aktif mengambil bahagian dalam setiap FFAP yang dianjurkan, selain Hong Kong, Taiwan, Korea, Indonesia, Australia dan Thailand.

“Pada kali ini, kami juga berharap India dan New Zealand akan menghantar penyertaan mereka,” katanya.

Berita Harian

Cuti Panjang Layan Suami

Harian Metro | Comments (0) admin @ 8:16 pm

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap

SELEPAS seminggu bercuti raya, Sharifah Shahora Syed Akil, 34, kembali sibuk di lokasi penggambaran drama Jongkang Jongkit dan Jangan Pandang Belakang yang kini memasuki musim kedua.

Penggambaran drama Jongkang Jongkit bermula 1 Oktober ini manakala Jangan Pandang Belakang seminggu selepas itu. Jelas Shahora, dia tiada masalah berlakon dalam dua drama serentak kerana kedua-duanya adalah cerita yang bersambung, justeru, dia sudah faham benar dengan jalan cerita dan watak yang akan dibawa.

Menurut Shahora, menerusi Jongkang Jongkit, dia memainkan peranan kakak sulung kepada Amylia Rosnaida dan Abby Abadi.

Manakala Rosnah Mat Aris dan Yalal Chin memegang watak sebagai ibu bapa mereka dalam drama bertema keluarga.

“Menyambut Ramadan lalu, saya bercuti lama iaitu seminggu sebelum tibanya bulan mulia itu sehinggalah seminggu selepas Syawal.

“Hari lain saya sibuk dengan penggambaran drama dan jarang dapat makan bersama suami (Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamarudin, 36).

“Kadang-kadang kami kami hanya berselisih di rumah sendiri. Dia baru balik kerja, saya pula bersiap hendak ke lokasi. Mujur kami berada dalam lapangan pekerjaan yang sama jadi kami tidak pernah bertelagah mengenai jadual kerja yang tidak menentu.

“Kami berkawan dan bercinta lama sebelum berkahwin jadi kami saling memahami corak kerja masing-masing. Bahkan dek kerana kesibukan juga kami tidak sempat berbulan madu.

“Jadi pada Ramadan lalu saya berkorban dengan tidak menerima sebarang tawaran berlakon kerana mahu menumpukan perhatian kepada rumah tangga.

“Lagipun inilah kali pertama kami menyambut Ramadan dan Syawal sebagai suami isteri selepas berkahwin pada Februari lalu.

 

 

“Saya tidaklah pandai sangat memasak, tetapi dek kerana suami tersayang, saya berusaha untuk mendalami dunia masakan dengan bertanyakan emak resipi baru setiap hari dan juga membeli buku resipi.

“Alhamdulillah, Mukhriz tidak cerewet. Biarpun adakala cubaan saya tidak begitu menjadi namun dia tetap kata sedap. “Mukhriz yang tahu saya jenis tak boleh duduk diam bertanya pula, apakah saya tiada penggambaran drama sepanjang Ramadan lalu.

“Teringin juga hendak menjalani kehidupan seperti pasangan suami isteri yang lain dan mengambil keberkatan pada bulan mulia itu. Kebetulan saya pun sudah lama tidak bercuti panjang,” katanya.

Sebenarnya, jelas Shahora, walaupun dia bercuti berlakon sepanjang Ramadan lalu, dia mengambil peluang berkenaan menguruskan perniagaan yang dilakukan secara kecil-kecilan bersama Mukhriz.

“Selain terbabit dalam dunia seni, kami berniaga dan mempunyai pejabat di Ampang. Setiap pagi saya ke pejabat menguruskan pesanan pelanggan dan sebagainya.

“Petang baru balik rumah, tetapi tidaklah sesibuk ketika penggambaran. Saya boleh bekerja mengikut masa sendiri. Sebelah petang bolehlah sediakan juadah berbuka. Seronok dapat berbuka bersama suami di rumah,” katanya.

Mengimbas cerita raya, jelas Shahora, sambutan Aidilfitri lalu sangat meriah dan puas berjalan raya ke rumah sanak saudara kedua-dua belah keluarga.

“Dari kampung nenek saya di Temerloh, saya dan Mukhriz ke Raub pula iaitu ke kampung nenek Mukhriz. “Kemudian meneruskan perjalanan ke Kuantan. Setiap hari kami berjalan ke rumah saudara mara kerana ketika majlis kenduri kahwin dulu tidak sempat berkenal mesra dengan mereka.

“Jadi pada lebaran lalu kami sepakat menziarahi keluarga dan sanak saudara kedua-dua belah pihak kerana selepas raya entah bila dapat berjumpa kerana sibuk bekerja semula,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, raya lalu anak angkatnya, Puteri Fiedra, setahun lima bulan, asyik meragam kerana tidak biasa dikelilingi ramai orang.

“Balik ke Kuala Lumpur pun, saya terus sibuk melayan sanak saudara yang datang beraya di rumah. Meriah sungguh raya kali ini dan yang seronoknya saya memasak sendiri juadah untuk tetamu.

“Insya-Allah, saya akan mengadakan rumah terbuka khusus untuk sanak saudara yang belum sempat beraya di rumah saya,” katanya.

Harian Metro

Lan Pernah Jual Mercun

Berita Harian | Comments (0) admin @ 8:07 pm



DARI kiri; Faizal, Lan, Aizat dan Noh ketika digandingkan untuk menjayakan rakaman program Akustika Raya, pada Ogos lalu.

RAMADAN sudah berlalu. Bagi kebanyakan umat Islam, berlalunya Ramadan meninggal kenangan manis. Begitu juga dengan kehadiran Syawal. Empat penyanyi lelaki ini Faizal Tahir, Aizat, Lan dan Noh masing-masing mempunyai pengalaman tersendiri untuk diceritakan kepada peminatnya terhadap kenangan pada Ramadan dan Syawal.

Lan bekas vokalis kumpulan Meet Uncle Hussein juga melakukan perkara yang sama. Kalau pada hari biasa dia di tinggal di rumah sewa, tetapi pada Ramadan pula, Lan berpindah ke rumah keluarganya di Batu 14, Hulu Langat untuk berpuasa bersama mereka.

Jika Noh menemani ibunya menghantar kuih kepada pelanggan, Lan pula ada cerita menarik untuk dikongsikan bersama peminat mengenai pengalaman puasanya.

Kata Lan yang kini bersama Azlan& The Typewriter, dia pernah berniaga mercun selama tiga tahun dan hampir di tahan polis kerana menjual barang yang berbahaya.

Bagaimanapun, penyanyi yang bervokal lantang itu tidak lagi menjalankan aktiviti itu kerana serik apabila polis datang ke rumahnya menyebabkan dirinya berada tidak bebas dan dalam ketakutan pula. Mujurlah sempat menyorokkan barang perniagaannya.

“Sebab itulah, pada bulan puasa ini saya tidak lagi berniaga mercun, lagi pun tahun ini saya akan sibuk di studio untuk menyiapkan lagu bagi album untuk Azlan& The Typewriter,” katanya.


Lan

Hadkan aktiviti ketika Ramadan

Vokalis kumpulan Hujan, Noh mengambil peluang bulan Ramadan ini pulang ke kampung halamannya di Kuching, Sarawak. Katanya, sejak berhijrah ke Kuala Lumpur tiga tahun lalu, penyanyi itu mengisytiharkan Ramadan adalah waktu untuk dia bercuti meluangkan masa bersama keluarga setelah berbulan-bulan tidak dapat bersua kerana kesibukan kerjaya nyanyiannya.

“Saya tahu biasanya bulan puasa tak ada undangan persembahan, kalau ada sekalipun saya akan menolaknya kerana bulan ini adalah bulan untuk bersama keluarga setelah berbulan-bulan saya tidak dapat bersama mereka.

“Tak banyak aktiviti yang saya lakukan apabila pulang ke kampung selain daripada melepak. Tak dinafikan bosan juga bila tak ada sebarang aktiviti untuk dilakukan tapi jika ada undangan persembahan di sekitar Sarawak, saya terima.

“Pada bulan puasa lalu apabila tiada apa kerja nak dibuat, saya jadi seperti pemandu untuk keluarga kerana ibu berniaga kuih, jadi saya kena menemaninya menghantar kuih kepada pelanggan.

“Selain itu juga kesempatan ini juga saya gunakan untuk bertemu dengan sanak saudara dan rakan-rakan yang sudah lama tidak temui. Saya juga tak lepaskan peluang bersolat terawih di kampung,” kata Noh yang menggemari juadah ikan terubuk bakar.

Sementara itu, bagi Aizat pula berkata, Ramadan tidak menghalangnya untuk bersenam. Sejak tahun lalu lagi, selesai bersahur, anak muda ini tidak tidur sebaliknya meluangkan masa dengan berjoging bagi mengekalkan tubuh badan yang ideal.

Waktu berbuka pula, lazimnya Aizat hanya meneguk air kosong dan menjamah kurma saja. Kurma, katanya, adalah makanan kegemarannya. “Bulan puasa memang adalah bulan bercuti untuk Aizat. Selalunya bulan ini tak banyak undangan. Lagipun tahun ini Aizat akan masuk studio untuk rakamkan lagu jadi Aizat terpaksa mengehadkan aktiviti. Aizat juga ambil kesempatan bulan ini untuk berbuka dengan keluarga, bagi Aizat bulan ini tak banyak bezanya dengan bulan lain cuma keistimewaannya ada sembahyang terawih. Selepas selesai tunaikan solat terawih Aizat akan masuk studio memulakan rakaman,” katanya.

Lain pula ceritanya dengan Faizal Tahir. Disebabkan sudah berkeluarga, sudah tentu tumpuan diberikan terhadap anggota . Disebabkan jadual kerjanya pada bulan Ramadan kurang padat, dia dapat meluangkan sedikit masa untuk bersama-sama dengan isteri, anak-anak serta ibu bapanya.

“Saya memang sentiasa menantikan Ramadan kerana waktu inilah saya dapat meluangkan masa yang lebih bersama keluarga. Selain anak-anak dan isteri, bulan ini jugalah dapat saya meluangkan masa bersama ibu dan bapa.

“Selain itu, dapat juga saya melakukan solat Tarawih. Saya jenis yang tidak suka bertukar-tukar tempat untuk menunaikan solat Tarawih, biasanya saya hanya ke masjid yang sama saja,” katanya.

Berita Harian

INTERAKSI: Jangan Gaduh Fasal Kutipan!

Harian Metro | Comments (0) admin @ 8:06 pm

Rap

LAZIMNYA pada musim cuti sekolah mahupun perayaan seperti Aidilfitri, pawagam menjadi tumpuan ramai.

Di kalangan produser, mereka ‘berperang’ untuk mendapat slot tayangan pada waktu ini yang dijangka mampu menghadiahkan keuntungan lebih.

Berbanding tahun sebelumnya, genre komedi sering mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton. Sempena Aidilfitri pada tahun ini, dua filem iaitu Jin Notti dan Momok The Movie ambil giliran bersaing untuk menarik perhatian penonton ke pawagam.

Biarpun dua filem ini masih ditayangkan, tetapi ia mencetuskan isu di antara produser KRU Studios, Norman Abdul Halim yang bertanggungjawab menerbitkan Jin Notti dengan pengedar Momok The Movie iaitu produser, MIG Productions Sdn Bhd, David Teo.

Masing-masing bertikam lidah filem mereka mendahului antara satu sama lain.

David menyatakan filem genre seram komedi arahan M Jamil Zulkifli itu berjaya mengatasi Jin Notti walaupun tanpa nama besar dan promosi secara besaran.

Filem ini yang menampilkan juara Akademi Fantasia 4, Mohd Faizal Ramly sebagai pelakon utama bersama Datuk Aziz Sattar, Abon dan Ahmad Nabil Ahmad dijangka mengaut keuntungan hingga RM5 juta menerusi tayangan di 61 pawagam termasuk dua di Brunei dan satu di Singapura.

Bagaimanapun, Norman mempertikai kenyataan yang dikeluarkan David dan mahu produser itu menunjukkan bukti filemnya mendapat kutipan yang lebih banyak seperti yang diperkatakan.

Filem Jin Notti meraih anggaran kutipan sebanyak RM600,000 untuk tiga hari tayangan dan kini hampir RM2 juta.

Norman yakin jumlah kutipan meningkat hingga RM3.5 juta berdasarkan sambutan positif penonton sejak mula ditayangkan pada 20 September lalu.

 

 

Di sebalik kenyataan kedua produser ini, hakikatnya jumlah kutipan sebenar yang selama ini diuruskan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) masih belum dikeluarkan secara rasmi.

Apa yang menjadi persoalan, apakah kenyataan ini memberi impak pada sambutan penonton untuk tayangan seterusnya atau ia memberikan imej negatif di kalangan produser dan filem tempatan yang bersaing sesama sendiri?

Ikuti temubual wartawan Rap, ELRAFAEI SAPI (ahmadelrafaei@hmetro.com.my) bersama Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim mengenai isu ini di samping mendapatkan pandangan beliau sama ada Skim Wajib Tayang yang dilaksanakan Finas selama ini masih relevan untuk diteruskan.

SOALAN (S): Kenyataan yang dikeluarkan David dan Norman seolah-olah mencetus isu tidak puas hati di kalangan produser hingga membuatkan penonton keliru. Apa komen anda?

JAWAPAN (J): Kadang kala produser membuat kenyataan filem mereka mengaut keuntungan yang lebih berbanding filem pesaing mereka kerana mahu tarik perhatian penonton hadir ke pawagam.

Mereka sanggup mengatakan filem mereka dapat sambutan besar walaupun filem itu masih ditayangkan dan jumlah sebenar daripada Finas belum dikeluarkan.

Apa yang berlaku, segelintir produser mengira kutipan termasuk pawagam kecil di luar bandar, Brunei dan Singapura.

Jumlah ini tidak tertakluk mengikut Skim Wajib Tayang. Ini bermakna, jumlah kutipan di pawagam berkenaan tidak diambil kira jika jumlah kutipan sebenar dikeluarkan Finas.

Bagi Finas, jumlah kutipan filem yang ditayangkan sentiasa dikemas kini.

Jumlah kutipan ini penting untuk produser mendapatkan kembali bayaran duti hiburan tiket. Mengikut cara Finas, jumlah kutipan ini diambil pada setiap hari cuma Aidilfitri, ia lewat sedikit kerana ramai yang bercuti.

S: Apakah cara yang digunakan Finas ini masih boleh diterima pakai dan mungkin produser sendiri mempertikai jumlah yang dikeluarkan Finas tidak tepat?

J: Produser tidak boleh kata macam itu kerana selalunya apabila filem itu selesai tayangan, jumlah kutipan sebenar yang diperoleh adalah kurang berbanding kutipan kasar dikira produser.

Bagi produser yang mengatakan cara Finas mengira jumlah kutipan adalah salah, itu adalah sikap kurang bijak. Produser sepatutnya hadir ke Finas untuk membuktikan jika jumlah kutipan mereka berbeza dengan apa yang Finas keluarkan.

Mengikut Skim Wajib Tayang, setiap tiket yang dijual, produser boleh menuntut kembali duti bayaran sebanyak 20 peratus. Jika setiap tiket berharga RM10, produser boleh mendapat duti bayaran sebanyak RM2.

Buat masa ini, Finas tidak mahu menyatakan filem mana antara Jin Notti atau Momok The Movie yang mendapat kutipan tinggi kerana Finas masih dalam proses mendapatkan jumlah kutipan sebenar daripada pemamer (pemilik pawagam). Jumlah ini hanya dapat diketahui esok.

S: Sebagai langkah memperkasa Finas dan perfileman tempatan, mungkin ada cadangan untuk menambahbaikkan sistem mengira jumlah kutipan tiket dengan lebih efisien?

J: Buat masa ini, Finas masih melaksanakan sistem automatik menerusi Internet memudahkan jumlah kutipan tiket dikemas kini pada setiap hari.

Sebagai contoh, untuk filem yang ditayangkan pada hari ini, pemamer boleh menghantar jumlah kutipan tiket terkini pada keesokan paginya.

Sistem ini sudah diguna pakai pawagam Golden Screen Cinema (GSC) sejak enam bulan lalu dan setakat ini ia tidak mendatangkan masalah pada Finas.

Menerusi sistem ini, ia lebih mudah untuk digunakan apatah lagi menjimatkan masa.

Finas berharap sistem ini dapat diperluaskan di pawagam lain selepas ini agar semua maklumat mengenai jumlah kutipan tiket dapat diketahui dengan segera.

Saya yakin tiada penipuan daripada pemamer dalam memberi maklumat berkenaan kerana jika mereka didapati bersalah, lesen boleh ditarik balik.

Secara logik, pemamer tidak mungkin menipu hanya semata-mata keuntungan filem sebanyak RM200,000 berbanding kos membina pawagam mencecah RM5 hingga RM6 juta.

Sebelum ini, Finas sudah mencapai persefahaman antara pemamer dengan produser mengenai cara sedia ada untuk mengumpul jumlah kutipan tiket sebaik filem itu ditayangkan di pawagam.

Menjadi harapan Finas juga, sistem automatik ini disambut baik semua pemamer dan produser untuk kebaikan bersama.

S: Mungkin Finas pernah terima aduan daripada produser yang tidak berpuas hati dengan jumlah kutipan yang dikeluarkan Finas?

J: Memang ada aduan begitu Finas terima. Ada segelintir produser menyatakan filem mereka mencatat kutipan tinggi berdasarkan jumlah penonton yang ramai, tetapi hakikatnya, jumlah kutipan itu hanya sedikit.

Di Finas, kami mempunyai bahagian penguat kuasa yang menjalankan tugas pergi ke pawagam untuk menyiasat sendiri sebarang aduan yang diterima.

Walaupun ada aduan produser filem mengatakan mereka meraih kutipan tinggi, tetapi perlu ingat, ada tiket yang diberikan secara percuma untuk tujuan promosi.

Ada situasi, pemamer di kawasan luar bandar membeli filem yang ingin ditayangkan daripada produser dengan sejumlah bayaran. Atas sebab itu, pamamer bertanggungjawab dari aspek untung dan rugi filem itu tanpa dikaitkan dengan produser.

Finas percaya pemamer yang mempunyai pawagam besar tidak mungkin main taktik kotor untuk menipu dan jika berlaku, Finas boleh mengambil tindakan mahkamah serta-merta.

S: Mengenai Skim Wajib Tayang, apakah ia masih relevan dan ada cadangan untuk kebaikan produser?

J: Skim ini masih relevan kerana ia membantu filem tempatan mendapat peluang untuk ditayangkan di sini. Berbanding filem luar negara, bukan semua filem yang mendapat tayangan dilanjutkan. Ia bergantung pada filem yang mendapat sambutan penonton.

Begitu juga dengan filem tempatan, jika masih mendapat sambutan, ia juga boleh dilanjutkan tayangan. Mengikut skim ini, tayangan selama dua minggu mencukupi. Tidak timbul soal filem tempatan kurang dapat peluang ditayangkan kerana kehadiran filem luar negara. Secara purata, filem tempatan ditayangkan antara tiga hingga enam minggu.

Filem seperti Cicakman dan Jangan Pandang Belakang pernah ditayangkan selama enam minggu. Dari masa ke semasa, Finas mengkaji untuk menambah baik skim ini. Dalam pada itu, wujud situasi produser tidak yakin tayangan filem mereka di pawagam besar yang mampu memuatkan 300 hingga 350 penonton.

Mengikut syarat skim ini, pemamer boleh meminta Finas untuk menarik balik tayangan filem itu jika kurang sambutan.

S: Sebarang nasihat untuk produser filem?

J: Produser seharusnya memberi tumpuan bagaimana mahu mempertingkat aspek promosi pada filem mereka. Menerusi promosi itu, mungkin mereka boleh adakan sesi pelakon bertemu peminat atau paparkan kehebatan lakonan mahupun teknik imejan komputer (CGI) yang digunakan.

Menjelang November dan Disember depan, ada enam filem baru akan ditayangkan. Finas berharap produser filem berkenaan berusaha merancang strategi promosi yang bijak untuk menarik perhatian penonton ke pawagam. Untuk kebaikan perfileman tempatan, tidak perlu membuat perbandingan filem mana yang lebih bagus, tetapi filem tempatan berusaha untuk bersaing dengan filem luar negara.

Harian Metro

Cerita Tiga Wanita

Berita Harian | Comments (0) admin @ 7:57 pm

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my

Mereka bercakap soal keluarga, kerjaya dan tanggungjawab sebagai isteri

KETIGA-tiganya bukan saja popular, malah mereka juga sama cantik. Status sebagai isteri langsung tidak menjejaskan kerjaya Vanidah Imran (Vee), Dynas Mokhtar (Dynas) dan Ning Baizura (Ning). Sebaliknya mereka terus utuh membina kerjaya masing-masing.

Biarpun bergelar selebriti, ketiga-tiganya juga meraikan lebaran sama seperti orang lain. Ditemui ketika majlis memperkenalkan koleksi terbaru Rantaian Kasih Habib, baru-baru ini, mereka rancak bercerita dunia wanita yang berjaya dalam keluarga dan kerjaya.

Ajar anak bersederhana

WALAUPUN dia dan suaminya, Rashidi Ishak atau Shidee bergelar pelakon, namun pasangan ini tidak pernah menabur kemewahan kepada dua cahaya mata mereka Mikail, 8, dan Maryam, 5 tahun.

Ketika keluarga lain sibuk membeli-belah menjelang Syawal baru-baru ini, Vee pula tiada konsep membeli-belah khusus untuk hari raya. Apa saja keperluan yang nampak cantik dan boleh tahan lama, mereka akan membelinya dan ia tidak semestinya menjelang Aidilfitri. Perkara itu sudah diajar kepada anak sejak mereka kecil lagi, mungkin kerana itu, Mikail dan Maryam jarang meminta-minta.

Kata Vee lagi, dia suka ‘mengitar’ semula baju yang dipakai ketika majlis perkahwinan adiknya yang berlangsung baru-baru ini kerana ia dipakai sekali saja, jadi rasanya tidak salah jika digunakan semula.

“Saya memang tidak mengajar anak bermewah-mewah. Selalunya kalau kami ke pusat beli-belah dan mereka mahukan sesuatu, biasanya saya dan Shidee tidak akan terus membelinya. Bagaimanapun, kami bukanlah kejam sangat, sesekali kami cuba juga penuhi permintaan mereka, tetapi tidaklah dibeli terus ketika mereka minta.

“Kami tak mahu Mikail dan Maryam rasa senang sangat, sekali minta terus dapat. Jika saya belikan baju untuk mereka contohnya, saya akan berkata kepada mereka bahawa baju ini bukan untuk hari tertentu saja, malah boleh dipakai pada hari lain juga, selain raya.

“Mereka sudah faham dengan perangai saya, jadi mereka takut nak meminta-minta bila kami keluar ke pusat beli-belah. Mereka tahu yang ibu mereka ini garang jadi mereka tidaklah buat perangai,” kata Vee yang meraikan Aidilfitri di Taman Maluri dan Ipoh di sebelah keluarga suaminya.

Vee sekeluarga pulang ke kampung halaman Shidee pada hari raya kedua dan ketiga lalu. Disebabkan kedua-dua anaknya dibesarkan di bandar, memang mereka pernah menunjukkan sedikit kejanggalan ketika pulang ke kampung berhari raya buat kali pertama. Namun kini Mikail dan Maryam sudah dapat menerima cara hidup di kampung.

“Ketika kali pertama menjejakkan kaki di kampung, Maryam ada menunjukkan rasa janggalnya. Tapi saya beritahu dia, jika tak selesa jangan sesekali tunjukkan. Kalau ada apa-apa ,dia kena beritahu saya kerana saya tidak mahu tindakannya itu mengecilkan hati saudara mara,” kata Vee yang terbabit dengan latihan Cuci The Musical.

Anggap pemergian satu hikmah

AGAK berat untuk bertanyakan perasaannya menjelang, maklumlah sepatutnya Aidilfitri ini, dia gembira menyambutnya bersama suami tercinta dan cahaya mata sulung. Namun ternyata Tuhan lebih menyayangi apabila, bayi yang diberi nama Emma Malissa meninggal dunia di dalam perut pada April lalu ketika kandungan Dynas berusia tujuh bulan.

Pelakon yang nama sebenarnya Wan Intan Edrinaz Wan Mokthar, bagaimanapun ternyata bersikap terbuka untuk menceritakan perasaannya. Dynas percaya, ada hikmah di balik dugaan yang menimpanya itu, dan memikirkan itu membuatkan dia menjadi kuat.

“Siapa yang tak sedih kehilangan anak, tapi bagi saya kenapa perlu bersedih lama-lama. Saya tahu tentu ada hikmah kenapa Tuhan mengambil anak saya, lagi pun saya masih muda dan percaya masih ada lagi peluang untuk menimang cahaya mata.

“Memang tak dinafikan apabila raya tentulah sunyi, tetapi mujur ada anak saudara. Kehadiran mereka sedikit sebanyak dapat mengubat kesedihan. Saya pun tak mahu terlalu memikirkan sangat hal itu. Lebih baik saya tumpukan perhatian kepada kerja,” katanya yang beraya di rumah mentua di Pantai Hill Park, Kuala Lumpur sebelum ke Bentong, Pahang dan Tapah, Perak untuk menziarah sanak saudara di sana.

Bercakap mengenai Aidilfitri, Dynas berkata, sejak mendirikan rumah tangga dengan Mohd Hafizy Mohd Hafiz kira-kira dua tahun lalu, barulah dia mula membuat persiapan sendiri, terutama untuk pakaiannya sendiri.

“Jika tidak, sebelum ini saya hanya berkongsi baju dengan emak. Malah emak juga sengaja menempah baju yang sesuai dengan tubuh badan anak-anaknya supaya mereka juga boleh memakainya.

“Apabila sudah berkahwin, barulah saya menempah sendiri baju-baju raya agar dapat dipakai sedondon dengan suami. Walaupun begitu, saya tetap bersederhana dan sentiasa memastikan tidak berbelanja berlebihan,” katanya.

Tiada dilema balik raya

KALAU pasangan lain pening memikirkan giliran balik raya, sudah tentu penyanyi bervokal lantang Ning Baizura tidak menghadapi masalah itu kerana bersuamikan jejaka mat salih. Biarpun bersuamikan jejaka asing, Aidilfitri bagi Ning Baizura tetap meriah sekalipun ia hanya diraikan di Kuala Lumpur.

Malah suaminya itu adalah orang yang paling tidak sabar menantikan kehadiran Aidilfitri selepas sebulan berpuasa. Kata Ning, setiap kali apabila menjelangnya raya, Omar mula tidak sabar menikmati juadah raya. Mujur suaminya itu bukanlah orang yang cerewet dan makanan yang menjadi kegemarannya ialah sate, lontong, rendang tok, kari ayam dan lemang.

“Suami Ning tiada masalah dari segi makanan, benda yang dia tahu dia akan makan, tetapi jika dia tidak biasa, Omar tidak akan mengusiknya. Biasanya pada hari raya, Ning pulang ke rumah bapa di Shah Alam, dekat situlah kami boleh makan pelbagai juadah raya yang disediakan oleh ibu tiri.

“Oleh kerana Ning tidak ada kampung, jadi Omar belum pernah merasai suasana beraya di kampung. Ning memang teringin sangat bawa Omar ke kampung, insya-Allah satu hari nanti Ning akan cuba juga membawanya supaya dia dapat merasai cara hidup di desa.

“Dari segi masalah giliran pulang raya Ning tidak ada kerisauan langsung. Hari raya tumpuan Ning adalah kepada keluarga Ning, sementara apabila Krismas pula tumpuan kepada keluarga Omar pula,” kata Ning.

Bagaimanapun, tahun ini, ketika ini, Ning dan Omar mungkin masih bercuti di Bali kerana sejak hari raya ketiga lagi mereka sudah ke sana. Percutian ke Bali kata Ning menjadi aktiviti wajib dia dan Omar setiap tahun untuk mengembalikan memori perkenalan mereka.

Berita Harian

Kembali Merindu

Harian Metro | Comments (0) admin @ 7:56 pm

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

STATUS sebagai ibu kepada cahaya mata perempuan, Neesa Helena ,18 bulan, bukan penghalang buat pelakon jelita, Datin Natasha Hudson untuk kembali menyemarakkan persada seni tanah air.

Malah, kata pelakon berdarah kacukan Melayu-Australia ini, dia sudah pun bersedia dari aspek mental dan fizikal untuk memberikan komitmen terbaik pada bidang seni yang dicintainya sejak dulu.

‘Sebenarnya, sejak zaman anak dara lagi, saya sudah biasa hidup berdikari dan bekerja keras untuk menyara keluarga. ‘Pada masa sama, saya juga mempunyai tanggungjawab besar menjaga adik perempuan saya, Tania yang kurang sihat ketika itu.

‘Justeru, selepas berehat panjang kerana melahirkan anak dan memberi fokus pada rumah tangga, kini sampai masanya saya kembali berlakon dan melakukan perkara yang saya minati sejak sekian lama.

‘Terus terang, saya rindu untuk kembali berlakon filem dan buat iklan komersial seperti dulu. Maklumlah, anak saya, Neesa juga sudah besar sikit dan boleh ditinggalkan bersama pembantu rumah,’ katanya.

Natasha, 26, yang kini bahagia dengan perkahwinan keduanya dengan usahawan dan ahli politik, Datuk Shahrin Zahari berkata, dia beruntung kerana suami cukup memahami minatnya yang mendalam pada bidang seni.

‘Suami juga mengizinkan saya kembali berlakon asalkan ia tidak menjejaskan tanggungjawab saya sebagai isteri dan ibu kepada anak kesayangan kami.

‘Maklumlah, suami memang faham saya memang tidak suka duduk goyang kaki di rumah tanpa berbuat apa-apa kerana saya memang cepat bosan,’ katanya.

Sebagai seorang ibu, Natasha mengakui rutin hidupnya sentiasa padat dengan urusan rumah tangga.

‘Sekarang baru saya tahu bagaimana penatnya membesarkan anak. Sekalipun ada pembantu rumah, Neesa sangat rapat dan sukar berenggang dengan saya. Bila usia Neesa sudah lebih setahun, barulah saya boleh ‘bernafas’ sikit dan kembali berlakon.

 

 

‘Saya juga tidak berasa bimbang meninggalkan Neesa dengan pembantu rumah warga Indonesia kerana ada ibu saya ataupun ibu mentua yang akan mengawasinya di rumah apabila saya keluar bekerja.

‘Pada masa sama, saya juga sudah membiasakan Neesa dengan susu formula sekarang dan ia memudahkan saya untuk meninggalkannya di rumah.

‘Apapun, saya bersyukur kerana dapat melihat anak kesayangan kami sekeluarga ini membesar depan mata. Sepanjang pemerhatian saya ketika mengajarnya di rumah, Neesa memang anak yang pintar,’ katanya.

Sejak penghujung Julai lalu, Natasha juga sibuk menjayakan latihan pementasan teater muzikal Gamat yang bakal dijayakan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 4 hingga 12 Oktober nanti.

Ini teater kedua lakonan Natasha tahun ini selepas menjayakan watak Miss Ruth pada pementasan teater Ibu Zain arahan Rosminah Mohd Tahir yang dipentaskan kali kedua di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) pada Mac lalu.

‘Sebenarnya, saya banyak menerima tawaran berlakon drama dan filem, tetapi terpaksa menolaknya kerana ingin memberi fokus pada muzikal Gamat arahan Zaifri Husin ini.

‘Saya juga terima tawaran buat teater muzikal Gamat kerana tertarik dengan watak ikan buntal yang ditawarkan pada saya. ‘Malah, saya juga tidak berfikir panjang apabila ditawarkan penerbit teater ini, Siti Rohayah Attan sebelum ini,’ katanya.

Natasha berkata, dia mengakui berasa seronok dan teruja sepanjang sesi latihan teater berkenaan.

‘Teater ini untuk menghiburkan golongan kanak-kanak dan dibintangi ramai pelakon cilik.

‘Sesi latihan teater ini bermula seminggu sebelum raya lalu. Sesi latihan pada setiap pagi dan petang dan berakhir jam 12 tengah malam setiap hari.

‘Watak saya sebagai ikan buntal juga sangat comel. Ada juga yang bertanya bagaimana saya akan jayakan watak ikan buntal kerana saiz badan saya yang kecil, tetapi saya percaya ia bukan masalah besar kerana ada kostum sesuai untuk ikan buntal itu nanti.

‘Selain saya, pelakon Amy Mastura juga berlakon dalam muzikal ini. Setakat ini, sesi latihan teater ini berjalan lancar dan sudah membabitkan sebanyak 85 peratus,’ katanya.

Bagaimanapun, bintang filem Cermin ini juga mengimpikan watak yang mencabar kredibilitinya sebagai pelakon di layar perak pada masa depan.

‘Saya berharap dapat buat watak mencabar dalam filem seperti watak orang gila. Saya juga berharap untuk bekerja dengan pengarah terkenal seperti Khabir Batia, tetapi nampaknya masih belum ada rezeki lagi,’ katanya.

Ditanya mengenai percaturannya pada masa depan, Natasha berkata dia merancang untuk menceburi bidang perniagaan sebagai jaminan masa depannya sekeluarga.

‘Saya juga bakal menjadi duta untuk produk penjagaan kecantikan tidak lama lagi. Saya juga akan terbabit dalam beberapa projek iklan komersial nanti,’ katanya.

Profil

Nama sebenar: Natasha Liana Hudson

Tarikh lahir: 9 September 1982

Tempat lahir: Ipoh, Perak

Status: Berkahwin

Suami: Usahawan dan ahli politik, Datuk Shahrin Zahari

Anak: Nessa Helena, 18 bulan

Pendidikan: Sarjana rekaan grafik di The One Academy, Sunway dan

Performing Arts School, Chicago

Profesion: Model, pengacara, pelakon dan penulis buku

Iklan: Nesquick, McDonald’s, Pantene, Ambi Pur dan L’Oreal

Program TV: Fesyen TV, Girls Club, Kediaman Idaman

Drama: Pei Pan & Rahsia Cemara

Filem: Dayang, Chermin, Sumolah dan Tipu Kanan Tipu Kiri

Pencapaian: Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia ke-20.

Harian Metro

Pemakanan Sama Penting Menjelang Peperiksaan

Cyberita | Comments (0) admin @ 7:55 pm

Oleh
Zawiyah Salleh

IBU bapa yang mempunyai anak-anak, baik yang sedang bersekolah rendah, menengah mahupun maktab rendah, tentu sedang sibuk membantu mereka menjalani peperiksaan atau ujian akhir tahun.

Dengan PSLE bakal menjelang tidak lama lagi dan peperiksaan GCE peringkat ‘O’ dan ‘A’ pula pada awal November ini, ibu bapa tentu berasa bimbang akan tahap kebolehan anak-anak mereka menduduki peperiksaan- peperiksaan genting itu.

Biasanya, ibu bapa sering kali didengar meleteri anak-anak mereka dengan ngomelan: ‘Sudah belajar atau buat ulang kaji?’

Ada sesetengah pula mengambil guru tuisyen untuk membantu anak-anak mereka menumpukan perhatian pada pelajaran masing-masing.

Bagaimanapun, tidak ramai di kalangan ibu bapa memberi perhatian pada pemakanan yang perlu untuk membolehkan otak mereka berfungsi dengan cergas apabila menghadapi kertas peperiksaan kelak.

Inilah aspek yang cuba ditekankan oleh Cik Suria Mohd, Pengarah Urusan Anggun International Pte Ltd.

Menurut beliau, kebanyakan ibu bapa memberi pilihan kepada anak-anak sama ada mereka hendak bersarapan atau sebaliknya dengan beranggapan bahawa masih terlalu awal bagi mereka makan pada waktu pagi.

‘Sarapan adalah makanan penting untuk seseorang, tidak kira sama ada pelajar atau orang dewasa.

‘Oleh itu, ibu bapa perlu mendidik dan menggalakkan anak- anak mereka supaya bersarapan terlebih dulu sebelum ke sekolah.

‘Untuk menambah selera makan, ibu bapa perlu menyediakan makanan yang menjadi kegemaran anak-anak.

‘Di samping itu, mereka juga perlu mengambil kira khasiat makanan itu kerana pada masa inilah fungsi otak sangat penting untuk membolehkan anak-anak mereka lebih fokus dan dapat menjawab soalan dengan baik,’ jelas Cik Suria.

Walaupun kebanyakan anak memang sukakan bijirin, beliau menasihatkan ibu bapa supaya tidak memberi anak sajian serupa itu yang telah disira dengan gula atau coklat.

Ini kerana, menurut beliau, kandungan manisan dalam sajian serupa itu sangat tinggi dan boleh mengakibatkan kandungan gula dalam darah naik dengan mendadak.

‘Memang benar anak-anak akan kelihatan lebih cergas apabila makan bijirin dengan susu atau susu soya, namun mereka juga cepat letih dan mengantuk apabila gula dalam darah turun dengan laju.

‘Oleh itu, anda perlu berhati-hati apabila memilih bijirin. Adalah lebih baik jika anda memberi mereka bijirin penuh atau yang mengandungi muesli iaitu bijirin yang dicampur dengan buah-buahan kering dan disediakan bersama susu rendah lemak.

‘Hidangan ini dapat membantu anak anda memberi perhatian kepada soalan yang hendak dijawab,’ terang Cik Suria.

Jika anak anda memilih makan roti pula, beliau menasihatkan ibu bapa supaya memilih roti wholemeal kerana kandungan bijirin yang tinggi.

Namun, beliau mengingatkan ibu bapa supaya jangan sekali-kali sapukan roti jenis itu dengan kaya, jem atau peanut butter yang menjadi kegemaran anak- anak.

Sebaliknya, menurut Cik Suria, ibu-ibu hendaklah menggantikannya dengan almond (badam) butter yang kaya dengan vitamin.

Satu lagi pilihan, kata beliau, ialah dengan merebus telur dan kemudian meleceknya dengan sedikit mentega untuk dibuat sandwic.

Atau ibu-ibu boleh menggoreng sebentar ikan tuna untuk menghilangkan bau hamis dan dibuat sandwic.

Cik Suria menambah, kalau anak anda merengek tidak mahu bersarapan dengan pelbagai alasan, anda boleh buatkan milk shake iaitu pisang atau kurma dengan susu rendah lemak yang dimasukkan dalam alat pengisar untuk dihancurkan.

Anda juga boleh memberi yoghurt (tairu) yang berperisa buah-buahan pilihan.

Ibu bapa juga perlu menambah makanan harian seperti jus buah-buahan yang mengandungi vitamin C seperti buah kiwi, mangga dan oren bagi menambah sistem kelalian mereka agar tidak mudah jatuh sakit.

Bagi anak-anak yang mengulang kaji pelajaran sehingga larut malam, adalah baik jika mereka disediakan dengan buah-buahan kering seperti aprikot atau kismis sebagai cemil-cemilan sebagai ganti kepada makanan ringan yang sering kali tidak menyihatkan tubuh.

Selain sarapan, anda juga perlu menukar hidangan harian yang lain seperti makan tengah hari dan makan malam iaitu ikan seperti ikan masak masam manis, ikan masak asam pedas atau kari dan pelbagai gaya yang boleh anda lakukan yang disesuaikan dengan selera anak-anak.

Kalau dapat, Cik Suria menambah bahawa ibu-ibu boleh memasak daging ayam dan lembu seperti masak merah, kari atau kicap dua kali seminggu untuk mengelakkan anak-anak membeli burger kerana kebanyakan daging burger mengandungi lebih banyak lemak.

Cyberita

Umie Aida Selamat Bertunang

Mangga Online | Comments (0) admin @ 7:53 pm

Ditulis oleh Nonie
  
  

Tiada apa yang lebih menggembirakan hati si ibu apabila anak perempuan yang dikandung bergelar tunangan orang setelah 36 tahun hidup tanpa insan bergelar lelaki. Begitulah harapan ibu kepada aktres Umie Aida apabila anak gadisnya itu telahpun berjumpa jejaka pilihan hatinya setelah sekian lama hidup solo.

 

 

Bagi pemilik nama Umi Kalsom Rahmad atau lebih dikenali dengan nama Umie Aida, perkenalan dengan sang jejaka lima bulan lepas telah membuka hatinya yang selama ini terkatup rapat untuk mana-mana lelaki. Tentunya pilihan hati Umie bukanlah calang-calang kerana setelah berjaya menambat hati pelakon popular ini, pasangan merpati dua sejoli ini bakal melangsungkan perkahwinan selewat-lewatnya awal tahun depan. Satu masa yang cukup singkat dan berani diambil, namun menurut Umie hatinya telah terpaut pada sikap pemalu dan komited yang ditunjukkan Datuk Khairudin Abu Hassan yang lebih mesra digelar ‘abang’ olehnya.

“Abang merupakan teman bisnes Erma tapi kami memang tak pernah bercakap sebelum ini. Saya hanya mengenalinya apabila beliau banyak membantu semasa arwah ayah sakit. Saya tak berani nak puji lebih-lebih tapi setakat ini saya nampak kesungguhannya memikul tanggungjawab.

“Karakter abang memang sangat berbeza dengan saya. Dia seorang yang pemalu dan saya pula sebaliknya. Mungkin ini salah satu tarikan yang ada pada dia.

“Saya akui agak seriau juga nak lepaskan kebebasan yang dikecapi selama ini namun dia bijak membuatkan saya faham erti komitmen yang harus dipikul. Memang saya tak ada impikan perkahwinan yang bagaimana kerana sejak dulu lagi saya telah tetapkan untuk tidak berkahwin namun jodoh di tangan tuhan,” ujar Umie anggun mengenakan persalinan berwarna biru.

Majlis diadakan di kondominium mewah hadiah sempena perkahwinannya nanti. Perhubungan ini juga diterima baik kedua-dua anak Umie, Mohd. Daniel Firdaus, 15 dan Mohd. Dzulhelmy, 14 yang menyifatkan bakal ayah mereka seorang yang sangat mengambil berat dan baik.

Mangga Online

Fizo Omar Rai Saudara, Kawan

September 28, 2009 Mangga Online | Comments (0) admin @ 8:04 pm

Ditulis oleh Rosli Manah
  
  

Fizo Omar semakin popular dan dikenali apabila banyak drama bersiri lakonannya ditayangkan. Sekarang Fizo sedang hangat dengan watak Johan dalam drama bersiri Bio-Nik.

Malah ada kanak-kanak yang memanggilnya dengan nama Johan kerana mereka terpengaruh dengan drama tersebut. Hasil rezeki itu Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini disambut dengan lebih meriah bersama keluarga di Pasir Putih, Kelantan.

Majlis jamuan hari raya anjurannya meriah dan dipenuhi saudara-mara, rakan-rakan dan orang kampung. Walaupun tidak mengadakan majlis rumah terbuka secara rasmi, majlis jamuan tersebut tetap meriah dengan kehadiran tetamu jemputan.

“Keluarga saya sendiri memang besar… ini belum lagi datang keluarga sebelah ibu saya di Thailand,” kata Fizo kepada Mangga Online.

Istimewanya Fizo menyediakan kambung panggang resipinya sendiri. Fizo sendiri yang memerap dan menyediakan pencecah kambing panggang tersebut.

“Saya belajar dengan seorang chef untuk menyediakan kambing panggang ini. Saya memang suka memasak dan ingin hidangkan hasil resipi saya sendiri kepada tetamu.

“Kalau ikutkan, memang saya mahu memasak juadah lain, tapi tak sempat sebab itulah ayam BBQ disediakan oleh ibu saya,” kata Fizo.

Fizo memang mempunyai kebolehan memasak. Dia mengikut jejak bapanya yang pakar membuat bahulu klasik. Bahulu Kampung Jawa yang diusahakan oleh bapanya sejak 16 tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan.

Makin popular

“Alhamdulillah tahun ini hari raya makin meriah sebab kerjaya saya sebagai pelakon semakin menjadi. Tahun ini saya baru nampak hasilnya dan Alhamdulillah ramai pula yang datang hari ini,” katanya semasa saya hadir ke majlis jamuan tersebut.

Beberapa rakan artis yang berasal dari Kelantan turut memeriahkan majlis yang diadakan di rumah keluarganya di Kampung Jawa, Selising, Pasir Putih, Kelantan itu. Antara yang hadir Danny X-Factor, Aznah Hamid, Suhaimi Lua, Mustapha Kamal dan beberapa orang lagi.

 

Mangga Online

‘Jangan Pisahkan Cinta Kami’

September 27, 2009 Bintang Pop | Comments (0) admin @ 6:24 pm

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

Irma akui ada pihak tertentu cuba memutuskan hubungannya dengan Nabil

TIBA waktunya mereka akan disatukan juga. Biar apapun dugaan yang mendatang, hati Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008, Ahmad Nabil Ahmad, 26, terhadap kekasihnya, Irma Hasmie Ibrahim, 27, tidak akan tergugat.

Bukan tiada yang cuba ‘cucuk jarum’ untuk memusnahkan ikatan yang terjalin, malah lebih itu, ada yang iri hati melihat kebahagiaan yang dikecapi pasangan merpati dua sejoli itu, tetapi cinta mereka tetap utuh. Tiada yang mampu memisahkan hati mereka, melainkan maut menjemput.

Malah jika ditakdirkan jodoh mereka tiba awal, Nabil dan Irma sudah bersedia melayari bahtera hidup sebagai suami isteri. Mereka kini sedang berusaha mempercepatkan hari bersejarah jika diizinkan Tuhan.

Secara jujur, Irma akui: “Saya sedar tak semua orang merestui hubungan saya dengan Nabil, malah ada yang cuba menyebarkan cerita bukan-bukan untuk memisahkan kami. Ada kalanya saya tak tertahan dengan tohmahan yang ditabur, saya dikatakan menjalinkan hubungan intim dengan pengarah itu, penerbit ini. Bagaimanapun, mujurlah Nabil tidak cepat melatah, dia juga tidak mudah mempercayai cakap-cakap orang tanpa melihat dengan mata kepala sendiri.

“Saya hairan apabila saya berbaik dengan mana-mana pengarah atau penerbit mula timbul cerita saya menjalinkan hubungan sulit dengan mereka, sedangkan saya berbaik dengan mereka disebabkan urusan kerja, bukan ada skandal. Dan seharusnya seorang pelakon berbaik dengan pengarah atau penerbit untuk masa depan kerjayanya.

“Bagaimanapun, saya dan Nabil berfikiran terbuka dalam banyak perkara dan apa pun tindakan yang diambil perlulah rasional, bukan mengikut kata hati. Alhamdullilah, sehingga hari ini, apapun ujian yang cuba menggoncangkan hubungan, kami belum lagi tergugat. Nabil kenal hati budi saya, begitu juga saya mengenali Nabil secara mendalam.”

Pelakon drama Lima dan Awan Dania itu mengakui ada juga yang cuba menggoda, tetapi jangan kata nak layan, dipandang pun tidak kerana hatinya hanya ada pada Nabil seorang.

Sambil menjeling kekasihnya itu, Irma akui: “Prinsip saya mudah, jika tidak dilayan, kecurangan tidak akan berlaku. Bak kata orang, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi, jadi saya tak berminat nak melayan lelaki-lelaki yang cuba menggugat hubungan saya dengan Nabil. Pokok pangkal diri sendiri.

“Saya sedar hubungan yang belum ada ikatan sah tidak lepas daripada dugaan, lebih lagi saya bercinta dengan seorang terkenal seperti Nabil tetapi saya yakin jika pandai mengemudi sebuah kapal, sudah tentu akan tiba ke dasarnya walaupun ada kalanya kapal dipukul ribut dan gelombang.”

Irma berkata, dia menyambut Aidilfitri bersama ibunya, Ropitah Abdul Hassan, 53, di Sungai Buloh, sebelum pulang ke kampung halaman bapanya, Ibrahim Othman, 56, di Kota Bharu, Kelantan.

Irma beraya di Kota Bharu

Dengan nada perlahan, Irma akui: “Itulah rutin kebiasaan saya dan adik, Mohd Farooq Hossni, 22, setiap tahun. Memandangkan ibu bapa berpisah dan berkahwin lain, jadi saya dan adik selalu bergilir-gilir pulang berhari raya. Bapa saya tinggal di Puncak Alam, tetapi setiap tahun saya akan pulang berhari raya di rumah nenek di Kota Bahru, begitu juga kali ini.

“Saya berada di rumah nenek selama tiga hari saja sebelum pulang ke Kuala Lumpur. Selepas pulang saya menjenguk Nabil dan keluarganya di Mambau, Negeri Sembilan, dapatlah kami beraya bersama. Saya juga merancang mahu mengadakan rumah terbuka untuk sanak saudara dan peminat, bagaimanapun semuanya masih dalam perancangan memandangkan sukar mencari katering pada musim perayaan.”

Bagi Nabil, biarpun ada gadis yang cuba menghimpit ketika popularitinya berada di puncak tetapi hatinya tidak tergoda, malah rasa cinta terhadap Irma semakin mendalam apabila melihat kesabarannya.

Sambil mengakui: “Masa saya jadi mat despatch dulu, tiada siapa pun nak pandang muka saya, tetapi selepas meraih kejayaan, ramai pula yang cuba menghimpit. Bagaimanapun, saya bukanlah seorang yang mudah tergoda apatah lagi melihat wanita cantik dan seksi, saya tak pandang semua itu.

Kumpul duit untuk berkahwin

“Bagi saya, buat apalah saya mencari masalah apabila mempunyai kekasih keliling pinggang sedangkan nak dapat yang betul-betul ikhlas dan sanggup hidup susah senang dengan saya seperti Irma bukanlah mudah. Saya hanya inginkan gadis yang boleh dibuat isteri, bukan mahu bersama saya dek kerana saya popular dan seorang selebriti. Esok lusa kalau saya susah sudah tentu saya ditinggalkan terkontang-kanting.”

Juara Raja Lawak musim kedua itu mengakui dia tidak menolak jika ditakdirkan jodohnya sampai awal, memandangkan mereka merancang mahu disatukan dalam ikatan suami isteri dalam tempoh dua tahun lagi.

Dengan nada perlahan, Nabil akui: “Kita hanya merancang tetapi Tuhan yang menentukan. Saya dan Irma sedang mengumpul duit memandangkan majlis nikah kahwin memerlukan belanja yang besar. Saya tidak merancang mengadakan majlis secara besar-besaran, cukuplah secara sederhana. Impian saya mahu mengadakan tiga majlis berbeza iaitu di kampung halaman dengan cara tradisi orang Melayu, joget lambak sudah pasti ada.

“Kalau ada rezeki lebih, saya dan Irma juga mahu meraikan tetamu di sebuah hotel dengan konsep taman ataupun bersanding di tasik. Saya juga mahu meraikan kenamaan yang banyak menyokong pembabitan saya dalam industri hiburan menerusi majlis berasingan di sebuah hotel, tetapi itu hanyalah impian saya, insya-Allah.”

Nabil berkata, dia juga gembira dapat membahagiakan hati ibu bapa dan adik beradiknya. Dia bukan hanya menghadiahkan dua kereta yang diperoleh hasil kemenangan sebagai juara Raja Lawak dan Bintang Paling Popular kepada ibu bapa, malah dapat membina sebuah rumah baru untuk keluarga.

Hadiahkan keluarga rumah baru

“Saya bersyukur akhirnya impian saya mahu membina sebuah rumah yang sempurna untuk keluarga termakbul. Pada hari raya lalu, kami sekeluarga beraya di rumah baru itulah. Saya mengeluarkan belanja kira-kira RM80,000 untuk membina rumah baru di tapak asal. Saya juga sedang mengumpul duit untuk membantu keluarga mempersiapkan kelengkapan perkahwinan adik saya, Siti Sarah pada Disember ini.

“Apapun yang dilakukan, saya tetap mendahulukan keluarga. Saya bangga dapat berbakti pada orang tua, saya puas melihat mereka tersenyum dan gembira. Saya percaya rezeki yang melimpah ruah ini juga disebabkan doa ibu bapa saya yang tidak putus-putus selama ini,” katanya yang menyambut raya dengan keluarga pada hari raya pertama saja sebelum bergegas kembali ke lokasi penggambaran.

Nabil yang sibuk dengan penggambaran drama bersiri, Sonata Labu Labi arahan Adlin Aman Ramlie sepanjang Ramadan lalu juga berkata, dia hanya dapat pulang berhari raya dengan keluarga pada petang raya pertama.

“Pada malam raya lalu, saya terbabit dengan Sampaikan Salam Aidilfitri TV3 dan keesokannya, saya terpaksa bergegas ke dua lokasi iaitu rumah Perdana Menteri di Putrajaya untuk menjayakan rancangan Apa Ke Halnya? dan undangan Kuzie Katering di Shah Alam, Selangor.

“Saya akan singgah beraya ke rumah Irma di Sungai Buloh dulu sebelum pulang ke kampung halaman. Saya tidak dapat memastikan sama ada dapat membuat rumah terbuka tahun ini, ia bergantung pada rezeki memandangkan saya perlu berjimat cermat untuk persiapan perkahwinan adik saya,” kata Nabil yang bercuti selama seminggu.

Info Nabil
Nama: Ahmad Nabil Ahmad.
Tarikh Lahir: 26 September 1983.
Asal: Mambau, Negeri Sembilan.
Usia: 26 Tahun.
Adik-beradik: Anak ketiga daripada tujuh beradik.
Pencapaian: Juara Raja Lawak 2, Artis Baru Lelaki Popular, Artis Komedi Lelaki Popular & Bintang Paling Popular (ABPBH 2008).
Filem: Sifu & Tonga, Lu Pikirlah Sendiri De Movie, Kecoh Betul, Jin Notti, Eee… Hantu, Momok The Movie, Pisau Cukur, Magika, Uncle Hussein, Bangladesh & Cicak-Man 3
Program: Lu Fikirlah Sendiri Nabil, Apa Cerita Nabil, Hua … Hua …Hua …, Pondok-Pondok, Studio Nabil, Ewah Ewah & Hartamania
Telefilem: Sonata Labu Labi

Info Irma
Nama: Irma Hasmie Ibrahim
Tarikh Lahir: 8 Januari 1982
Usia: 27 Tahun
Asal: Kuala Lumpur
Pencapaian: Gadis Jelita 2004
Iklan Komersil: Tourism Malaysia (Cuti-Cuti Malaysia), Fair & Lovely, Yamaha & Pringle’s.
Filem: Cinta Fotokopi, Main-Main Cinta, Diva & Dua Hati Satu Jiwa
Drama: Lima, Awan Dania, Bella, Rahsia Gambar, Hantu Raya, Segalanya Ku Terima & Cinta 5 Bintang.

Solekan & Dandanan: Rieza Amour (013-434 3615)
Busana: Crystal Fashion House Lot 2.81, Tingkat 2, Kompleks Pertama, Jalan Tunku Abdul Rahman (017-601 5016)
Aksesori: Nirmala (012-304 6997) – nirmalakrishnan@hotmail.com
Lokasi: Hotel Quality City Centre, Kuala Lumpur (603-2693 9233)
Terima Kasih: Eksekutif Pemasaran & Komunikasi Hotel Quality, Niza Othman.

Bintang Pop