Skip to content

Archive for October 2009

28
Oct

Shahz Jaszle Tak Minat Wanita Melayu




Ditulis oleh Nonie
  
  

shahz jazle“Bukan saya tak suka tapi susah bila bercinta dengan wanita Melayu. Pengalaman sebelum ini buatkan saya takut dekati mereka.

“Saya pernah ada teman wanita Melayu tapi saya kena control sampai susah untuk saya libatkan diri dengan industri kerana cemburu yang melampau. Saya baru 21 tahun tapi dia asyik paksa untuk berkahwin,” ujar pelakon baru, Shahz Jaszle yang dikenali melalui Tari Tirana.

Kini Shahz bahagia dengan teman wanita berbangsa Ukraine yang juga seorang model dari United Kingdom. Dikenali melalui kenalannya enam bulan lepas, namun Shahz mengakui tidak tahu ke mana arah tuju hubungan selepas gadis tersebut pulang ke negara asalnya.

“Dia tak berapa fasih berbahasa Inggeris so saya banyak ajar dia berkomunikasi. Sekarang dia sudah balik ke Ukraine tapi sebelum pulang dia suruh saya cari orang lain kerana dia akan menetap terus di sana,” ujarnya pasrah.

Cantas Ashraf Muslim?

Biarpun masih mentah dalam industri hiburan, namun Shahz diberi kepercayaan memegang watak utama dalam drama Dari Mata ke Hati walaupun terdapat nama besar seperti Ashraf Muslim yang turut terlibat. Ia menimbulkan persoalan sejauh manakah bakat yang ada dalam diri pelakon ini sehingga berjaya mencantas bakat pelakon yang lebih hebat?

“Pada saya semuanya rezeki. Saya kenal dengan pengarah drama ini dari Tari Tirana lagi. Mungkin dia melihat bakat saya dari situ dan terus menawarkan kepada saya. Dari drama ini juga saya terus mendapat tawaran menjadi duta produk InnerShine Pati Beri,” ujar anak kelima daripada tujuh beradik ini.

Dari Mata Ke Hati

Shahz akan muncul dalam drama Dari Mata ke Hati terbitan TV3 yang mengisahkan seorang pengarah muda, Farid, yang sedang mencari sebuah skrip hebat untuk projek seterusnya. Ketika itulah dia ternampak sepasang mata yang telah menawan hatinya. Berjayakah Farid menemui empunya mata tersebut?

Menariknya drama 15 minit ini adalah untuk mencari pemilik mata tersebut melalui Pencarian InnerShine Berry Beautiful Eyes. Drama ini turut membarisi pelakon muda lain seperti Intan Ladyana, Ashraf Muslim dan Sari Yanti.

Bagi mereka yang berminat boleh menghantar penyertaan  Pencarian InnerShine “Berry Beautiful Eyes” 2009 yang menawarkan hadiah set barangan kemas berlian tajaan Diamond & Platinum selain berpeluang berlakon bersama Shahz Jaszle, pelakon utama Dari Mata Ke Hati. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web di www.innershinebeauty.com.my atau di talian 1800-88-6226.

 

Mangga Online

21
Oct

Aaron Aziz Utamakan Keluarga

Ditulis oleh Nonie
  
  

“Walau sibuk mana pun kerja, saya akan luangkan masa bersama isteri dan anak-anak. Selalunya saya akan ambil cuti dan bawa isteri pergi bercuti untuk rapatkan lagi hubungan kami.

“Shopping juga penting untuk ambil hatinya,” ujar Aaron Aziz.

Kesibukan sebagai pelakon, suami dan ayah kepada dua orang anak tidak membataskan pergerakan Aaron untuk terus mengorak langkah dalam dunia seni. Walaupun telah mencuba nasib di Malaysia beberapa tahun lalu, namun Aaron mula menjadi sebutan setelah muncul dalam drama bersiri Emil Emilda.

Rezekinya semakin menyinar saban hari apabila wajah Aaron sering muncul di kaca tv membintangi drama popular seperti Janji Diana dan terbaru filem Pisau Cukur yang bakal ditayangkan di pawagam pada 5 November.

“Bila shooting di luar kawasan, saya akan bawa isteri dan anak-anak sekali. Untuk penggambaran filem Datin Ghairah, saya bawa mereka sekali ke Langkawi selama 18 hari shooting.

“Tak kisah jika saya berhabis duit untuk mereka asalkan hati isteri saya tenang dan tak curiga bila berjauhan,” begitulah telitinya Aaron menjaga hati isterinya, Diyana.

Cinta Lokasi Tak Wujud

Walaupun kerap digandingkan dengan pelakon wanita jelita, namun aktor berusia 33 tahun ini mengakui dirinya setia kepada yang satu.

“Saya tak tergugat dengan mana-mana wanita yang datang. Bergandingan dengan Erra Fazira dan Nasha Aziz membuatkan saya lebih memikirkan mutu lakonan saya daripada sibuk memikirkan hal lain.

“Setahu saya cinta lokasi tak wujud. Isteri faham dengan kerjaya saya asalkan tidak melampaui batasan. Selalunya dia yang excited bila saya akan digandingkan dengan aktress popular,” ujar bapa kepada Danish dan Dwi ini.

Elak Adegan Berpeluk

Status sebagai suami menyebabkan Aaron begitu teliti dengan setiap adegan yang akan dilakonkannya. Mengelakkan babak janggal yang memerlukannya berpelukan untuk keselesaan kedua belah pihak.

“Saya memang segan bila ada adegan peluk so kalau boleh saya akan elakkan. Ada babak saya perlu berpelukan dengan Erra dalam drama Cinta Lelong tapi setelah berbincang dengan pengarah, kami tukar kepada adegan yang lain yang lebih selesa,” ujar aktor kelahiran Singapura ini.

Aaron Aziz akan muncul dalam drama terbaru terbitan Astro Ria berjudul Cinta Lelong arahan Micheal Ang. Drama ini mengisahkan kehidupan komuniti masyarakat di sebuah pasar basah di Malaysia yang berbilang kaum. Aaron akan digandingkan bersama Erra Fazira, Vanessa Chong dan Kanchana Devi. Saksikan Cinta Lelong di Astro Ria (saluran 104) 30 Oktober ini pada jam 9.30 malam.

Mangga Online

21
Oct

Erra Fazira Puas Berlakon Watak Cantik

Ditulis oleh Nonie
  
  

Memulakan karier dengan gelaran Ratu Cantik Malaysia 1992, Erra mengambil langkah berani terjun ke dalam bidang lakonan dengan membintangi filem Sembilu yang telah melonjakkan namanya sebaris dengan aktres popular tanah air.

Pembabitan selama hampir 15 tahun dalam dunia seni, pelbagai cabang seni telah diterokai untuk kepuasan dirinya. Daripada watak gadis ayu hinggalah kepada watak wanita tua, semuanya pernah dilakonkan primadona filem Melayu ini.

Namun, sehinggalah satu ketika, Erra rasakan dirinya sudah cukup puas melakonkan watak wanita cantik dan ingin beralih kepada sesuatu yang lebih ringan dan mudah namun mencabar.

“Dulu orang selalu kata Erra hanya memilih watak yang lawa sahaja, tapi sebenarnya tak ada tawaran untuk Erra bawakan watak selamba.

“Bila Micheal Ang offer Erra untuk drama Cinta Lelong yang memerlukan Erra jadi kasar dan selekeh, Erra terima sebab inginkan kelainan dalam karier lakonan.

“Penat bila lakonkan watak yang cantik, nak mekap pun perlukan masa yang lama. Tak kisahlah jika watak Erra tak sesuai dengan gelaran primadona,” ujarnya

Badan Naik Ketika Cinta Lelong

Selepas berpantang, Erra meneruskan penggambaran untuk Gugu Gaga Erra dan kemudiannya drama Cinta Lelong. Mungkin peminat akan sedar akan perubahan bentuk wanita berusia 35 tahun ini.

“Berat Erra naik 10 kilogram selepas melahirkan Engku Aleesya, tapi nasib baiklah Erra duta Slim World, dapatlah bantu kurangkan berat badan.

“Memang rasa tak yakin dengan diri bila berat naik, lebih-lebih lagi bila berada di set Cinta Lelong. Tapi rakan-rakan yang lain banyak membantu. Watak Erra dalam drama itu memerlukan Erra jadi kasar dan baju semuanya longgar,” katanya tersenyum.

Masih belajar

Ratu Filem Melayu ini mengakui setiap hari terdapat pelbagai perkara baru yang dipelajarinya. Baginya hidup ini adalah mengenai proses pembelajaran.

“Dalam berumahtangga pun, setiap hari Erra belajar improve diri untuk menjadi lebih baik. Namun Erra bersyukur dengan apa yang Erra kecapi sehingga kini.

“Bagi Erra apa yang berlaku sebelum ini ada hikmah disebaliknya,” ujar Erra ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Drama Cinta Lelong di Borneo Barok Club yang akan disiarkan pada 30 Oktober ini pada jam 9.30 malam hanya di Astro Ria (saluran 104).

 

Mangga Online

19
Oct

Syarifah Sofia Diijabkabul

Ditulis oleh Nonie
  
  

Sharifah Sofia Syed Hussein, 24, menamatkan zaman dara bersama pasangannya, Syed Ismail Syed Al-Ali, 31, pada jam 12.30 tengahari bersamaan 29 Oktober 2009.

 

Pasangan tersebut dinikahkan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada jam 12.30 tengahari semalam dengan mas kahwin RM100 oleh bapa pengantin perempuan Syed Hussein Syed Alhadad.

 

Sofia menerima wang hantaran berjumlah RM20,000 beserta tujuh dulang hantaran di antaranya beg tangan dan dompet Coach, sejadah dan telekung, perhiasan mutiara, al-Quran, satu persalinan, coklat dan sirih junjung.

Pengantin lelaki pula menerima lima dulang hantaran antaranya telefon bimbit Blackberry dan GPS, kemeja-T, al-Quran, cincin, komputer riba, tali pinggang dan dompet, coklat, jam tangan Marc Ecko dan sirih junjung.

Mangga Online mengucapkan selamat pengantin baru kepada pasangan mempelai ini. Semoga kekal bahagia hingga ke anak cucu.

Mangga Online

19
Oct

Akim AF Kekok Berlakon

Ditulis oleh Nonie
  
  

“Pertama kali Akim berlakon dan rasanya lakonan Akim macam kayu, keras macam tak boleh menghayati dialog.

 

“Tapi pengarah dan rakan-rakan banyak bagi tunjuk ajar untuk hasilkan yang terbaik untuk drama Kau dan Aku,” ujar Akim.

Mempelajari sesuatu yang baru merupakan pengalaman menyeronokkan bagi pemuda berasal dari Johor ini, namun menganggap lakonan hanyalah sekadar pelengkap kepada kerjayanya dan nyanyian masih bertakhta dihatinya.

“Buat masa ini, Akim tak ada terima sebarang tawaran lain untuk berlakon dan jadual Akim lebih banyak untuk show nyanyian.

“Single terbaru Akim akan keluar tak lama lagi dan Akim tulis lirik sendiri. Untuk album pula, setakat ini Akim ada tiga buah lagu ciptaan Akim,” ujarnya optimis.

Seperti juga Mila, Akim merasai pengalaman gegaran ketika berada di Jakarta untuk penggambaran drama tersebut. Walaupun agak berhampiran dengan tempat kejadian, Akim bersyukur kerana tiada kemalangan bruk berlaku kepadanya dan kumpulan produksi.

“Kami rasa gegaran masa tengah shooting tapi syukurlah tiada apa-apa yang berlaku,” ujarnya ringkas.

 

Belum Masanya

Mengakui rapat dengan rakan-rakan AF yang lain, namun menurutnya, sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk bercinta. Karier harus diutamakan untuk memastikan kejayaan yang lebih memuncak masa akan datang.

Akim bakal digandingkan Mila, Aril, Zoey dan banyak lagi pelakon remaja popular lain untuk drama terbaru Astro, Kau dan Aku. Ia mengisahkan kehidupan dan cabaran anak remaja dalam mengejar impian dan cita-cita sekumpulan pelajar di Kolej Persembahan Seni Harmoni. Drama ini akan diselang selikan dengan persembahan muzikal menerusi lagu popular pelajar Akademi Fantasia seperti Bengang, Toksid, Menatap Matamu dan lain-lain lagi.

Drama ini bakal ke udara setiap Sabtu jam 10.00 malam di saluran Astro Ria (saluran 104).

Mangga Online

8
Oct

Geng Bas Sekolah Berwajah Baru

Oleh Farihad Shalla Mahmud


WAJAH baru yang akan memeriahkan Geng Bas Sekolah musim ketiga.

Jalan cerita lebih mantap dan semakin menghiburkan

APABILA drama bersiri kesukaan ramai kanak-kanak, Geng Bas Sekolah kembali bersiaran baru-baru ini, ramai yang tertanya-tanya mengapa senarai pelakonnya untuk musim terbaru ini terdiri daripada muka baru? Ke mana menghilangnya pelakon sebelum ini? Itulah persoalan yang timbul sewaktu menghadiri majlis pratonton drama Geng Bas Sekolah yang berlangsung di Cathay Cineleisure, baru-baru ini.

Berdasarkan maklumat yang dinyatakan pihak Astro sebelum ini, siri ini adalah antara drama terbitan Astro yang mendapat rating tertinggi. Justeru apabila musim ketiga ini diwarnai wajah-wajah baru, apakah drama Geng Bas Sekolah ini mampu mempertahankan popularitinya? Apakah penggemar siri ini dapat menerima pembaharuan yang diperkenalkan untuk musim kali ini?

Menjawab pertanyaan ini, Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah berkata mereka yakin populariti Geng Bas sekolah akan terus bertahan walaupun drama bersiri itu menggunakan wajah baru.

“Pelakon drama bersiri Geng Bas Sekolah ini sebenarnya tidak pernah tetap. Setiap kali musim terbaru, pelakonnya pasti bertukar. Pertukaran ini sebenarnya dibuat dengan persetujuan bersama Astro dan produksi drama ini. Bagaimanapun, untuk musim terbaru ini, kami membuat sedikit pembaharuan dari segi jalan cerita dan perwatakan.

“Semua watak dan juga nama mereka berbeza dengan yang sebelumnya. Malah jalan ceritanya juga lebih menarik kerana untuk musim ini, kami menyelitkan watak kaki buli. Watak kaki buli ini akan selalu mengacau geng Bas Sekolah. Sebelum ini kemunculan mereka sekali sekala saja,” kata Zainir ketika ditemui selepas majlis pratonton itu berakhir.

Musim baru drama 26 episod ini memperkenalkan Muhammad Izz Irfan yang mendokong watak Fendi, Nora, Emily, Vijay dan Hafiz yang mengikat tali persahabatan melalui pertemuan mereka sewaktu menaiki sebuah bas sekolah yang sama. selain Azrul Zaidi yang memegang watak sebagai pemandu bas bernama Abang Reza. Maka di situlah bermulanya pengembaraan mereka yang terpaksa melalui pelbagai pengalaman dan cabaran yang menjadi asam garam di alam persekolahan mereka.

Bagaimanapun, apabila melihat unsur buli membabitkan pelajar yang masih bersekolah rendah dipaparkan dalam drama ini, timbul keraguan apakah unsur negatif seperti ini wajar dipertontonkan kepada kanak-kanak kerana ia jelas menggambarkan budaya kurang sihat serta menjadi contoh tidak baik kepada mereka.

Mengulas persoalan itu, Zainir berkata walaupun ada dipaparkan unsur negatif tetapi mesej yang ditekankan tetap menjurus ke arah kebaikan.

“Setiap episod akan meninggalkan kesan positif dengan mengajar kanak-kanak berdikari dan berfikir dengan bijak dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sebagai contoh, untuk adegan buli, di penghujungnya nanti setiap kejahatan pasti mendapat balasan. Unsur pengajaran moral yang kami paparkan itu diselitkan dengan cara tersirat dan tidak membosankan penonton.

“Dalam rancangan ini juga, kanak-kanak dipaparkan sebagai penyelamat kepada sesuatu situasi dan tidak bergantung kepada orang dewasa untuk berjaya. Ia juga amat menekankan kepentingan semangat kerjasama antara satu sama lain apabila menghadapi masalah dan sentiasa mengingatkan kanak-kanak tentang nilai persahabatan yang penting dalam perkembangan diri sendiri,” kata Zainir lagi.

Sementara itu, mengulas pembabitan mereka dalam drama ini, lima sekawan ini bersetuju pengalaman berada di lokasi penggambaran adalah sesuatu yang cukup bermakna. Lebih-lebih lagi apabila ini adalah kali pertama mereka berdepan dengan kamera.

“Saya akui memang susah berlakon terutama apabila kena hafal skrip. Banyak kali juga saya kena ulang rakaman tetapi penat macam mana pun seronok,” kata Amir Johar yang memegang watak Hafiz.

Begitu juga dengan Alya Sabrina yang memegang watak Nora dalam drama ini. Katanya, selain teruja kerana berpeluang untuk berlakon dalam siri kegemarannya, dia juga seronok kerana dapat bertemu kawan-kawan baru di situ.

Rancangan Geng Bas Sekolah akan disiarkan setiap hari Jumaat jam 2.00 petang, bermula 25 September lalu menerusi Astro Ceria di saluran 611. Manakala siaran ulangan adalah pada setiap Ahad jam 11.30 pagi.

Berita Harian

7
Oct

Tidak Serik

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Elfira anggap masih terlalu awal untuk fikir masa depan dalam bidang seni

SEKALI pandang, wajah gadis darah campuran Cina dan Arab berusia 15 tahun ini seakan-akan wajah pelakon cilik drama dari Indonesia. Namun, sebenarnya dia yang bernama Elfira Loy ini hanya sekadar bakat baru di arena seni tempatan. Mewarisi kecantikan daripada ibunya, pesona wajahnya mungkin dapat diketengahkan sebagai pelakon pelapis di negara kita.

Bagaimanapun masih terlalu awal untuk meramalkan perjalanan kerjaya seninya yang bermula 2006. Ketika ini pun saat ditanya ke mana hala tujunya dalam bidang seni, dia masih belum mempunyai jawapan pasti. Semuanya masih seperti di awang-awangan.

Bukan bermaksud tidak tetap pendirian, yang pasti langkahnya masih terlalu jauh untuk dibicarakan. Hakikatnya, Elfira mempunyai dunianya yang tersendiri kerana dia masih belajar dan bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bulan ini.

Seperti remaja lain, dia juga mempunyai cita-cita untuk bergelar itu dan ini. Angan-angan kosong itu tak salah untuk dikongsi dan siapa tahu ia mungkin menjadi pendorong terbaik masa depan.

Katanya, dia masih mengingati pesanan Datin Seri Tiara Jacquelina supaya belajar bersungguh-sungguh sebagai jaminan masa depan.


ELFIRA dilihat mempunyai pakej lengkap untuk bergelar pelakon hebat suatu masa nanti.

“Soal glamor atau apa-apa yang kita impikan akan datang dengan sendirinya jika rezeki menyebelahi hidup kita. Tapi untuk mencapai apa yang diidamkan, ia juga perlu diiringi dengan usaha. Saya sebenarnya belum tahu apa yang bakal saya lalui pada masa mendatang.

“Begitu juga dengan sama ada saya mahu serius dalam dunia lakonan atau tidak. Saya boleh katakan semuanya bergantung kepada keputusan peperiksaan PMR. Saya tidak tahu sama ada saya akan menjadi pelakon untuk selama-lamanya,” katanya yang cukup meminati pelakon remaja Hollywood, Selena Gomez.

Dalam pembabitan seni keluarganya, adiknya, Ezzrin Loy, 12, terlebih dulu terjun ke bidang lakonan. Bahkan adik beradiknya yang lain, Ezzlisa Loy (13) dan termasuk abangnya, Ezzra Loy (18) turut mengikuti jejak yang sama.

Elfira sebenarnya lebih terdedah kepada dunia iklan komersial, namun selepas melihat adiknya sibuk di lokasi penggambaran, mula terbit perasaan cemburu di hatinya untuk mencuba bakat dalam bidang lakonan. Ternyata sikap cemburunya itu memberi makna dan tafsiran tersendiri.

Rezeki mula menyebelahinya apabila dapat berlakon teater muzikal Ali Baba yang dipentaskan di Istana Budaya pada 2006 di samping pengacara popular, Aznil Nawawi. Daripada situ, minatnya terhadap dunia lakonan semakin bercambah dan dia tidak betah duduk diam dengan mengisi masa untuk berlakon.

“Saya bertuah kerana dapat mengasah bakat lakonan menerusi bidang teater terlebih dulu di bawah bimbing pengarah, Zaifri Husin yang mengarahkan teater Ali Baba. Malahan teater itu mendapat pengiktirafan Persembahan Terbaik Muzikal kanak-kanak di India November 2007 dan saya turut ke sana meraikannya.

“Ketika mula berlakon teater dan asyik dimarahi pengarah, saya pernah bercakap dalam diri dengan mengatakan teater itu akan menjadi lakonan pertama dan terakhir saya. Tapi perasaan itu hanya singgah seketika saja kerana daripada sisi lain, saya banyak menimba pengalaman berharga dan berguna di pentas teater.

“Teater banyak menyuntik semangat saya. Daripada tidak boleh menari dan seperti ‘kayu’, saya sudah boleh menari. Jadi tidak rugi berlatih selalu dan dimarahi, saya berjaya membuatkan hati puas. Selain Ali Baba, saya juga pernah berlakon dalam teater muzikal Ibu Zain musim pertama dan kedua memegang watak Ibu Zain di zaman remaja,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn itu.

Berbakat sebagai pengacara TV

APABILA ditanya mengenai senario perkembangan dunia hiburan tempatan, Elfira mula mengerut dahi memberi isyarat betapa kosong pengetahuannya terhadap perihal itu. Mungkin ada bagusnya juga jika Elfira tidak terlalu mengambil tahu mengenai dunia hiburan kerana otaknya masih belum ‘tercemar’ dengan apa juga kaitan bidang itu.

“Saya juga tidak tahu sebarang gosip hiburan. Kehidupan saya hanya di lokasi penggambaran dan kemudian kembali menjadi pelajar seperti remaja lain. TV pun saya jarang tengok. Saya lebih suka menonton DVD cerita dari Korea.

“Lagipun saya banyak memberi tumpuan kepada belajar dan dan kelas tuisyen. PMR pun akan bermula tidak lama lagi,” katanya yang baru saja muncul dengan drama Qalisha bagi siaran Astro Prima bersempena Ramadan lalu.

Menurut Elfira, dia bersyukur biarpun memilih jalan untuk menjadi pelakon ketika ini, pelajaran tidak sesekali diabaikan. Malah, sepanjang membabitkan diri dalam dunia seni, akuinya, dia tidak pernah menimbulkan masalah di sekolah dan cikgu turut memberi sokongan padu.

Selain berlakon, Elfira turut mempunyai kebolehan mengacara. Antara program yang pernah menggunakan khidmatnya seperti Berani Jadi Bos (Astro Ceria), Cuti-cuti Famili (RTM 1), Selamat Pagi Putera Puteri musim 1 dan 2 (TV1), Shana dan Nina, Kids n Cash (TV3).

Profil: Elfira Loy
Nama penuh: Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri
Tarikh lahir: 8 Mac 1994
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Bilangan adik beradik: Anak kedua daripada empat beradik
Pengalaman seni: Sejak 2006
Emel atau Myspace: nurulelfiraloy@yahoo.com
Iklan: Motosikal Honda, Sunway Lagoon, Mee Sedap, Institut Jantung Negara, Bank RHB, Mamee Slurp.
Teater: Ali Baba, Ibu Zain 1 & 2
Drama dan telefilem: Tentang Bulan The Series, Persis. Kak Long, Permata Hati, Persinggahan, Sanggar Cinta Raudhah dan Cinta Itu Buta.

Daripada kaca mata Elfira Loy

Lakonan: Bidang ini perlu banyak mengkaji watak kerana kalau tidak lakonan itu tidak akan menjadi dan sebaik-baiknya ia perlu dijadikan seperti dalam dunia realiti.

Teater: Adalah langkah pertama saya untuk terus mengasah bakat dalam bidang lakonan.

Impian: Mahu berjaya dalam apa juga bidang yang diceburi.

Dunia seni: Ketika ini, dia tidak terlalu mempedulikan apa yang terjadi dalam dunia seni. Katanya, dia cuma hidup dalam dunianya yang tersendiri.

20 tahun lagi: Barangkali sudah berkahwin dan mempunyai kerjaya. Malah, apa juga yang diingininya dapat dibeli.

Penghargaan
Solekan: Fiza Zainuddin (012-2217031)
Busana dan lokasi : Butik Calvin Thoo, Tingkat 4, Lot 10 (019-3199578)

Berita Harian

6
Oct

Bila Penat Berat Naik – Yana

Ditulis oleh Nonie
  
  

Tidak dinafikan apabila diri menjadi figura awam, penampilan diri tentunya akan dititikberatkan. Jika terdapat sedikit perubahan, pasti akan ada yang menegur. Begitu jugalah empunya diri Norliana Samsudin atau lebih mesra disapa Yana. Gadis berusia 25 tahun ini begitu menjaga penampilan diri sesuai dengan status artis.

 

 

Namun yang merunsingkan dirinya apabila berat badan tetap bertambah walaupun tak kerap menjamah makanan.

“Masalah Yana bila penat sangat bekerja, berat akan bertambah. Sekarang pun berat Yana dah naik dua kilo. Simptom berat naik jadi awal tahun.

“Lepas itu masa sesi fotografi dengan majalah Rapi, Yana dapat tips supaya jangan bersenam terlalu kerap dan jangan terlampau memaksa diri ketika bersenam kerana otot kita akan terbentuk. Sebab itulah berat akan naik,” ujar gadis tinggi lampai ini.

Target Kahwin

Biarpun usia telah menjangkau 25 tahun pada 25 September lepas, namun bagi Yana, beliau telah berjanji pada keluarga dan dirinya untuk mendirikan rumahtangga dalam tempoh dua tahun.

“Tapi susah juga sebab Yana tak ada calon lagi sekarang ni. Tipulah kalau Yana cakap tak ada masa untuk bercinta tapi untuk memberikan komitmen memang sangat sukar. Tapi syukur sebab parents Yana tak pernah paksa,” kata bekas kekasih Piere Andre ini.

Karier Seni

Mungkin tidak ramai yang mengetahui Yana memulakan karier sebagai penyanyi dan pernah mengeluarkan album berjudul Ceria sebelum bergelar pelakon. Namun beliau menyepikan diri seketika untuk memberi laluan kepada pelajaran ketika menuntut di Universiti Teknologi MARA mengikuti Ijazah Sarjana Muda Seni Layar. Namanya mula menjadi sebutan ketika muncul sebagai pengarah wanita paling muda menerusi filem Selamat Pagi Cinta.

Yana kini telahpun membuktikan kemampuan dan bakat lakonannya menerusi filem dan drama seperti Histeria, 3 Janda, Bionik, Lu’Lu dan yang terbaru Jangan Tegur Lagi.

Yana bakal membawakan watak Tina sahabat baik kepada Natasya (Rabecca Nur Al-Islam). Jangan Tegur Lagi merupakan drama seram terbaru terbitan MIG Production Sdn Bhd berdasarkan kepada kejayaan filem Jangan Tegur. Drama 13 episod ini bakal ditayangkan di Slot Seram TV3 bermula November ini.

Selain itu, Yana turut terlibat dengan penggambaran drama Cinta Balkis yang akan menggantikan drama popular Nur Kasih dalam Slot Lestari di TV3. Antara filem yang bakal ditayangkan pula adalah Adenan Sempit dan Shh…Dia Datang.

 

 

Mangga Online

5
Oct

Suka, Duka Di Sebalik Pembikinan Sumpah Bunian

Oleh Rozdan Mazalan

DRAMA bersiri Sumpah Bunian yang sudah disiarkan di sebuah stesen TV setiap Isnin hingga Khamis, jam 4.30 petang sejak 30 September lalu mengambil masa 53 hari untuk disiapkan.

Apa yang menarik penggambaran drama 19 episod itu dilakukan pada bulan Ramadan yang lalu tetapi dapat disiapkan dengan sempurna mengikut jadual ditetapkan.

Pengarahnya, Adam Hamid berkata, setiap pekerjaan yang dihasilkan, pastinya tidak terlepas daripada cabaran yang harus dilalui, begitu juga dengan produksi ini apabila terpaksa menjalani penggambaran pada bulan Ramadan.

“Saya bersyukur kerana kebanyakan lokasi yang dipilih untuk menjalani penggambaran drama ini tidak terlalu berat dan terdedah dengan kawasan yang panas. Mereka juga diberikan rehat dan memberi peluang untuk melakukan solat apabila tiba waktunya.

“Kami memberhentikan penggambaran jam 6 petang dan beramai-ramai ke pasar Ramadan untuk membeli juadah dan berbuka puasa beramai-ramai. Suasana ini cukup seronok dan ia dapat mengeratkan hubungan kami antara petugas dan pelakon,” katanya.

Drama fantasi Sumpah Bunian yang ditulis oleh Sharifah Abu Salim adalah cerita yang ringan namun mempunyai mesej yang berat untuk direnungkan oleh penonton.

“Ramai pernah dengar cerita dunia bunian, tetapi tidak mengetahui secara terperinci bagaimanakah sebenarnya dunia bunian yang sebenar.

“Bunian adalah makhluk Allah seperti manusia lain juga, tetapi mereka hidup di dunia lain yang terpisah dengan dunia kita, di dalam al-Quran juga ada disebut mengenai dunia bunian ini,” kata Adam yang ditemui di lokasi penggambaran drama itu baru-baru ini.

Barisan pelakon Sumpah Bunian terdiri daripada Rizal Jaafar, Nora Danish, Elly Mazlien, Qazem Nor, Bienda, Mahmud Ali Bashah, Dian P Ramlee, Fetty Zul, Mubarak Majid dan Aznah Hamid.

Pendukung watak Adam, Rizal Jaafar mengakui watak yang diterima kali ini sedikit berbeza dengan watak yang pernah dilakukan selama ini.

“Pengalaman bekerja dengan pengarah, Nora (Danish), Elly (Mazlien) dan semua pelakon termasuk kru cukup menyeronokkan saya,” katanya.

Nora pula memegang watak Hawa iaitu makhluk bunian yang memiliki kecintaan yang sejati, taat, ikhlas dalam memilih seseorang masih berpeluang membawakan watak baik.

“Selama ini, saya menerima watak baik dan sopan. Kadang-kadang teringin juga untuk mempelbagaikan watak. Mungkin belum masanya lagi.

“Jika diberi pilihan teringin hendak bawa watak yang kasar, gila, psiko dan banyak lagi yang belum pernah saya cuba. Ada orang kata air muka saya susah sikit hendak diberi watak seperti ini tetapi jika belum cuba belum tahu,” katanya.

Beza pula bagi Elly yang memegang watak Azeera, seorang perempuan jahat, busuk hati dan tidak boleh melihat orang lain bahagia,” katanya.

Berita Harian

1
Oct

Ozlyn Sudah Berisi – Johan

Ditulis oleh Nonie
  
  

Tiada apa yang lebih menggembirakan Johan apabila isteri yang dinikahinya pada 25 Julai lalu kini disahkan mengandung dua bulan. Pasangan bahagia ini mengakui amat teruja menantikan kehadiran anak sulung mereka yang bakal lahir sekitar April tahun depan.

“Saya tak kisah dapat anak lelaki atau perempuan, tapi kalau boleh saya nak anak kembar,” ujar Johan sambil tersenyum makna.

Johan yang turut ditemani Ozlyn pada sesi santai Raja Lawak di The Curve turut mengatakan dirinya yang mengalami alahan dan turut mengidam makanan yang pelik.

“Pernah juga saya terbangun jam dua pagi sebab teringin sangat makan aiskrim. Sebelum ni saya bukanlah suka sangat makanan yang manis tapi sejak Ozlyn mengandung ni, makin menjadi-jadi saya mengidam.

“Tapi alhamdulillah Ozlyn tak ada mengidam yang pelik-pelik setakat ini,” jelas Johan.

Walaupun bakal menimang cahayamata namun mereka akui belum menyediakan sebarang keperluan untuk menyambut kehadiran orang baru dalam hidup.

“Kandungan saya pun baru masuk dua bulan dan kalau boleh saya taknak terlalu mengharap. Bila masa sudah sampai, barulah kami akan menyediakan apa yang patut.

“Johan pula kalau mengidam, dia nak makan yang mahal saja tapi nasiblah guna duit dia,” sampuk Ozlyn dengan nada gurau.

Masih Ada Yang Dengki

Pasangan yang dulunya sering dilanda kontroversi kini mengakui hidup mereka masih lagi diganggu oleh individu yang masih tidak berpuas hati dengan pernikahan mereka. Walau bagaimanapun menurut Johan, segala tohmahan dan ancaman yang diterima diambil sebagai nasihat.

“Masa saya kahwin pun berjuta syaitan menangis kerana saya telah sah mengikat perkahwinan. Mungkin juga ada manusia yang menangis dan saya tak tahu mengapa. Tapi yang hairannya sampai sekarang masih ada yang tidak berpuas hati.

“Namun saya tak pernah tertekan malah bahagia kerana saya berkahwin kerana Allah. Oleh itu biarlah apa yang orang nak kata kerana saya tak ada hak nak tutup mulut orang.

“Apa yang penting saya menjaga Ozlyn dan akan membawa dia ke mana saja saya pergi kerana sekarang ini Ozlyn yang menguruskan perjalanan seni saya,” ulas pengacara Raja Lawak ini.

Perancangan Masa Depan

“Saya telah berhabis hampir RM70,000 untuk majlis perkahwinan kami dan buat masa ini saya tak mampu memikirkan apa yang saya bakal lakukan pada masa hadapan. Segala-galanya dalam hidup ini perlukan duit. Kalau kita merancang tapi tak ada modal tak ada guna juga.

“Tapi sekarang ni saya ada buat MLM yang berkaitan dengan show saya. Saya akan teruskan dalam dunia hiburan ini sehinggalah khidmat tak diperlukan lagi. Pada ketika itulah baru saya akan fikirkan perancangan masa depan. Ada duit semua boleh jadi,” kata Johan mengakhiri perbualan.

Mangga Online