Lembing Awang Masuk Panggung
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
TIADA pengalaman serta ilmu dalam penerbitan mengakibatkan Dayang Digital Sdn Bhd terpaksa menanggung kos tambahan dan menunggu sehingga lima tahun untuk melihat filem sulung terbitannya Lembing Awang Pulang Ke Dayang ditayangkan.
Filem epik yang dibintangi Siti Elizad, Farid Kamil dan Zulhuzaimy itu akhirnya akan memasuki panggung pada 22 Oktober depan setelah beberapa tahun tertangguh berikutan timbul beberapa masalah membabitkan kos penerbitan, masalah dengan pelakon dan pengarah.
Pertambahan kos dari RM1.6 juta kepada RM1.8 juta menyebabkan penerbitnya terpaksa menangguhkan seketika penggambaran bagi mencari alternatif untuk mencukupkan kos penggambaran filem yang diilhamkan daripada novel tulisan sasterawan Shahrom Husain itu.
Biarpun sudah lama terperap, penerbitnya Noorazman Yusof nekad menyudahkan penggambaran filem berkenaan dengan mengupah pengarah lain iaitu Majed Salleh menggantikan pengarah asal Imri Nasution.
“Saya teringin sangat melihat filem ini ditayangkan juga kerana meminati novel Lembing Awang Pulang Ke Dayang. Oleh kerana itu saya sanggup mengeluarkan bajet sendiri bagi menampung kos penerbitan yang terlebih.
“Walaupun menghadapi saat sukar, namun pengalaman ini mengajar saya. Apabila sudah menyertai dunia ini baru saya sedar pengalaman dan ilmu itu penting. Tidak semua nasihat orang boleh dipakai. Akibat terlalu mendengar pendapat orang, kos penerbitan bertambah kerana digunakan ke saluran yang tidak sepatutnya.
“Akibat kos terlebih, penggambaran terpaksa ditangguh sehingga setahun kerana saya terpaksa mencari wang. Bagaimanapun, seperti saya katakan, ini dijadikan panduan jika mahu menghasilkan filem pada masa akan datang,” katanya yang yakin filem berunsur epik mempunyai pasaran penonton tersendiri.
Katanya, sentuhan Majed yang menyuntik elemen mistik, romantik, tragis dan komedi menjadikan filem berkenaan menarik. Mensasarkan kutipan yang realistik iaitu sebanyak RM2 juta, Noorazman mengakui berdebar menantikan maklum balas daripada penonton kelak.
“Sebagai orang baru, tentulah saya berdebar menantikan maklum balas daripada pemerhati filem Melayu. Mungkin saya rasa filem ini sudah cukup lengkap dan bagus, tapi tak tahu pula macam mana penerimaan penonton nanti,” katanya.
Sementara itu Majed Salleh yang ditemui ketika sidang media filem itu baru-baru ini berkata, dia merombak keseluruhan kerja pengarah dulu.
“Sebaik menerima tawaran daripada Dayang Digital, saya periksa semula hasil kerja yang terbengkalai. Memang mereka kata sebanyak 30 hingga 40 peratus sudah siap, tapi apabila saya tengok sendiri cuma 10 peratus saja yang boleh digunakan. Banyak babak yang terpaksa dibuat semula penggambarannya kerana empat babak yang boleh diambil itu tidak ada kesinambungan.
“Skripnya juga terpaksa dipotong kerana terlalu panjang. Bayangkan durasi filem ini asalnya tiga jam, siapa yang mahu menonton filem epik sehingga begitu lama. Jadi skrip filem ini dipotong sebanyak 30 peratus tanpa menjejaskan fakta sejarahnya. Saya juga selitkan elemen komedi supaya filem ini tidak membosankan.
“Bagaimanapun semua keputusan untuk mengolah kembali filem ini bukanlah di atas keputusan saya 100 peratus. Sebaliknya saya juga berbincang dengan penerbit dan penulis skrip pendapat mereka, saya tak kisah jika ada yang kata saya tunjuk pandai kerana saya lakukan perkara yang betul,” kata pengarah yang pernah menjadi penolong pengarah filem Tak Ori Tapi Ok.
Berita Harian