Makan Ulat Untuk Jiwai Watak – Putri Mardiana
Ditulis oleh Nonie
“Memang betul saya kena makan semua ulat dan telur hancur seperti yang anda lihat dalam filem Santau. Ulat tu rasa macam kacang dan saya boleh makan lagi.
“Tapi yang tak tahan bila bau telur hanyir bila dah digaul sekali dengan ulat. Tapi apa nak buat, semua dah masuk dalam perut saya pun,” ujar pelakon utama Santau, Putri Mardiana mengenai salah satu babak dalam filem tersebut.
Meskipun sepatutnya tiada babak yang memerlukannya berbuat demikian, namun untuk menonjolkan adegan seram dan menjijikkan, ibu kepada tiga orang anak ini mengakui sanggup melakukannya semata-mata inginkan pengalaman, lebih-lebih lagi ini adalah filem pertama lakonannya.
“Sepanjang shooting saya jadi bahan ketawa sebab asyik bermain dengan ulat. Ada scene di mana belakang badan saya diletakkan ulat dan saya terpaksa tahan geli bila ulat tu gigit badan saya.
“Dan saya tak kisah nampak hodoh dalam filem ini sekiranya ia berjaya membuatkan lakonan nampak lebih real. Dan scene saya kena pukul dalam van memang betul-betul, hampir setengah jam saya pengsan,” ujarnya mengenai cabaran yang harus dilalui sepanjang proses pembikinan Santau.
Gangguan
“Tak dinafikan memang ada gangguan sepanjang terlibat dengan filem ini. Pernah sekali tu lepas habis shooting di Beranang dalam jam 4.00 pagi, dalam perjalanan pulang tiba-tiba ada benda yang sangat besar melintas di hadapan kereta saya. Bila sampai ke rumah, anjing pula menyalak-nyalak seperti terlihat sesuatu. Tapi itu semua tak buat saya serik untuk berlakon filem seram lagi,” ujar pemenang tunggal lakonan program Worldstar Road to Hollywood.
Luangkan Masa Bersama Anak-anak
Biarpun jadualnya makin padat selepas menceburi bidang ini, namun Putri mengakui sentiasa berusaha untuk tidak berjauhan dengan anak-anaknya.
“Memang saya akan selalu berjumpa dan kadang kala akan keluar sekali dengan bekas suami. Saya tak kisah orang nak fikir apa kerana mulut manusia kita tak boleh tutup.
“Kalau ada yang berniat untuk menjatuhkan saya, alhamdulillah. Semoga tuhan ampuni dosa mereka. Itu saja yang boleh saya cakap. Saya hanya nak mencari rezeki sekarang,” ujarnya.
Hasil perkahwinan dengan bekas suami, Putri dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Alia Wirdani, 6, Amir Firman,4 dan Airell Zuhair,3.
Mangga Online
Kahwin Biar Sekali: Den Wahab
Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my
Rap
SEDANG lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Pepatah itu tepat untuk menggambarkan asam garam kehidupan berumah tangga.
Perkara itu diakui sendiri dramatis yang juga usahawan, Den Wahab atau nama sebenarnya, Zaharudin Abdul Wahab, 46 dan isterinya, Norassikin Bustamam, 36, yang berjaya mempertahankan mahligai yang dibina sejak 18 tahun lalu.
Menurut Den, yang juga Pengarah Urusan Global Network Entertainment (GNE) dan Penerbit Eksekutif Impak Maksima The Musical (IMTM) yang dipentaskan di Esplanade, Singapura pada 17 & 18 Oktober lalu, mana-mana rumah tangga pun pasti berhadapan dengan ujian daripada Allah, sekal igus menguji keimanan setiap hamba-Nya.
“Cuma bezanya ialah cara bagaimana kita sebagai suami untuk menangani apabila berhadapan dengan masalah.
“Maklumlah, perbezaan usia saya dan Nora adalah 10 tahun. Sebagai suami yang lebih matang darinya, sudah pasti saya perlu mendidik isteri untuk menyesuaikan diri menguruskan rumah tangga kerana dia tinggal di rumah ibu mentua (keluarga Den).
“Saya juga mengajarnya supaya tidak cemburu buta apabila saya keluar bekerja,” katanya.
Den berkata, dia juga meminta Nora berhenti kerja selepas berkahwin bagi memberi sepenuh tumpuan kepada rumah tangga.
“Saya juga mempunyai perniagaan sendiri sebab itu saya yakin mampu untuk menyara keluarga kami.
Saya melatih isteri untuk menjadi ahli perniagaan apabila anak-anak sudah besar sikit dan boleh ditinggalkan bersama pembantu rumah.
“Terus terang, isteri cukup istimewa di mata saya kerana kami juga sudah hidup susah dan senang bersama sejak 18 tahun lalu,” katanya.
Malah, kebahagiaan rumah tangga mereka dikukuhkan lagi dengan kehadiran lima cahaya mata – Nurzahira Natasha, 17, Batrisyia Balqis, 14, Farah Ismahani, 11, Danish Haikal, 7, dan Haziq Ikram, 6.
Berkongsi rahsia kebahagiaan rumah tangganya itu, kata Den, dia lebih suka bertolak ansur dengan isteri setiap kali mereka bertengkar.
“Kadang-kadang, pertengkaran berlaku tanpa disedari. Pasangan suami isteri juga perlu berlandaskan keikhlasan dan kejujuran untuk bertahan lama. Kita juga perlu telus kerana berkahwin ini biarlah sekali saja seumur hidup.
“Suami isteri juga tidak boleh bertengkar depan anak-anak. Jika ada masalah ia perlu diselesaikan secara baik dan seelok-eloknya dalam bilik tidur. Saya pula memang jenis yang suka dimanja, tapi apabila kami bergaduh, sayalah yang paling banyak mengalah dalam soal ini,” katanya.
Den berkata, dia juga berusaha untuk mengekalkan suasana romantik dalam bilik tidur seperti mula-mula berkahwin dulu.
“Isteri juga akan mencium pipi dan tangan saya setiap kali sebelum keluar rumah. Begitu juga dengan anak-anak yang mencium tangan saya dan isteri sebelum ke sekolah.
“Pada masa sama, kami tidak pernah lupa hari istimewa yang diraikan setiap tahun seperti hari jadi dan ulang tahun perkahwinan termasuk hari jadi anak-anak, sekali gus mengeratkan kasih sayang kami sekeluarga,” katanya.
Bagaimanapun, kata Den, rumah tangganya juga pernah di berhadapan ujian getir yang menguji ketabahannya suami isteri.
“Saya masih ingat lagi, ketika itu, isteri melahirkan anak sulung kami selepas 10 bulan berkahwin. UJian yang kami hadapi ialah anak sulung kami, Natasha dilahirkan dalam keadaan songsang. Dia juga tidak bersuara ketika dilahirkan dan kepalanya senget sebelah.
“Saya dan isteri masih muda dia baru 19 tahun dan saya pula 29 tahun. Bayangkanlah, siapa yang tidak berhadapan dengan tekanan ketika itu kerana apa yang kami bimbang jika ia tidak pulih, anak kami itu akan cacat pula apabila dewasa nanti.
“Bagi memulihkan keadaan kepala Natasha yang senget itu, kami buat rawatan fisioterapi dan berkat usaha dan kesabaran, akhirnya ia berjaya dipulihkan seperti kanak-kanak normal lain,” katanya.
Den berkata, ujian terbesar yang dihadapi dalam rumah tangganya ialah ketika anak bongsu mereka, Haziq terbabit dalam kemalangan 25 September lalu menyebabkan kepalanya mendapat 15 jahitan.
“Apapun, kami reda dengan ujian Allah itu kerana setiap kejadian yang berlaku itu ada hikmah di sebaliknya. Malah, kemalangan yang menimpa Haziq itu semakin mengeratkan hubungan kami anak beranak,” katanya.
Sekalipun kini mereka sudah mampu hidup selesa, kata Den, yang juga anak sulung dari sepuluh beradik, dia tidak pernah mengajar anaknya untuk hidup bermewah-mewah hingga melekakan mereka.
“Maklumlah, saya berasal dari keluarga susah, selepas tamat sekolah, saya juga ambil alih perniagaan yang diwarisi daripada bapa iaitu kedai baju Melayu di Wisma Yakin.
“Berkat usaha gigih, bisnes kami berkembang dan sudah mempunyai tiga kedai iaitu di Wisma Yakin, Cheras dan Shah Alam. Kami mengusahakan resort di Janda Baik, Pahang sejak lima tahun lalu dan GNE yang terbabit dalam penerbitan teater, drama dan filem sejak empat tahun lalu,” katanya.
Sebagai bapa, Den berkata, dia sangat menitikberatkan soal pendidikan pada anak-anak kerana ia harta yang paling berharga yang ditinggalkan buat mereka.
“Saya juga mengajar mereka belajar erti hidup berdikari, sejak kecil lagi. Sebagai bapa, tugas saya adalah untuk mencari duit dan mereka pula untuk mencari ilmu setinggi yang boleh dengan belajar bersungguh-sungguh. Pada masa sama, saya juga mendidik anak-anak untuk mendalami selok-belok dalam dunia perniagaan yang bakal diwarisi mereka kelak.
“Tapi, saya tidak pernah menghalang minat anak sulung saya, Natasha berlakon asalkan dia juga menamatkan pelajaran mereka terlebih dulu.
“Impian saya pada masa depan ialah untuk melihat anak-anak berjaya dalam hidup mereka. Pada masa sama, saya juga ingin kembangkan perniagaan dan membina ‘empayar’ Den Wahab pada masa depan,” katanya.
Nora dan Den ditemui ketika menjayakan program Sehati Sejiwa yang disiarkan secara langsung dari stesen RTM, Angkasapuri, baru-baru ini.
Sementara itu, Nora, yang juga anak sulung dari enam beradik, berkata, dia sanggup berkorban meninggalkan dunia lakonan bagi memberi tumpuan pada rumah tangga ketika berkahwin dulu.
“Saya berasal dari keluarga seni dan pernah hidup susah sebelum ini. Maklumlah, bapa saya pelakon veteran, Tamam Idris menyara keluarga dengan hanya titik peluh dalam bidang lakonan. Emak pula suri rumah. Demi membantu keluarga saya hanya bersekolah sampai tingkatan empat saja dan menceburi bidang lakonan,” katanya.
Nora berkata, dia juga berkahwin dengan Den pada usia yang muda iaitu 18 tahun.
“Cinta kami mula berputik selepas selesai penggambaran drama Keruh Di Muara arahan Mat London pada 1990. Kami berlakon sebagai pasangan kekasih dalam drama itu.
“Sebenarnya, cinta kami bermula sebagai ‘abang dan adik’ saja. Kami hanya kenal selama enam bulan dan selepas bertunang pada Februari 1991 dan enam bulan selepas itu kami terus bernikah.
“Sebagai wanita yang berkahwin pada usia muda, saya akui memang banyak air mata yang tumpah untuk mempertahankan rumah tangga yang dibina ini. Apa yang penting, kami hadapi kesusahan yang datang itu bersama-sama. “Sebagai isteri, saya lebih suka berdiam diri apabila bertengkar dengan suami. Saya juga suka memendam perasaan kalau tidak puas hati pun dan peranan suamilah untuk memujuk untuk menjernihkan semula keadaan,” katanya.
Harian Metro
KL Live Bukti Kehebatan Hujan
Ditulis oleh Nonie

Boleh kata setiap petang Kuala Lumpur didatangi hujan dan warga kota bergelut untuk mengelak daripada basah yang menimpa. Tapi 22 November lepas (semalam) remaja dari pelosok negeri datang ke Kuala Lumpur sengaja ingin menempuh Hujan. KL Live dipenuhi ratusan remaja sejak jam 2 petang lagi untuk menyaksikan band indie popular Malaysia.
Hujan memang tidak perlu diperkenalkan lagi. Bersama Raingers (pengikut setia Hujan) yang sentiasa menghangatkan persembahan Hujan, nyata Konsert Mencari Konklusi meninggalkan impak dalam kelasnya yang tersendiri. Aksi melompat dan tolak menolak, satu situasi biasa yang mewarnai setiap persembahan band indie popular ini.
Raingers nampaknya cukup terpesona dengan aura Hujan yang semakin menjadi-jadi. Mendendangkan hampir 20 buah lagu yang dipetik daripada album pertama dan terbaru Mencari Konklusi seperti Pagi Yang Gelap, Kau Peejak Hatiku Lagi, Bila Aku Sudah Tiada, Mencari Konklusi, Obsesi dan banyak lagi lagu popular Hujan yang turut didendangkan bersama Raingers.
Noh juga semakin bijak berinteraksi dengan penonton dengan lawak spontan dan menghiburkan serta gimik yang romantik apabila lagu Kris Dayanti, Mencintaimu turut didendangkan dalam konsert tersebut.
Nyata konsert terakhir berjaya meninggalkan kesan yang cukup mendalam buat anggota Hujan sendiri. Masakan tidak, perasaan emosi menguasai seketika tatkala persembahan tamat sekaligus menjadi penutup tirai Konsert Hujan Tour 2009 Mencari Konklusi. Sudah pastinya apa yang diimpikan lima anak muda ini iaitu Noh (vokalis), Dimas (keyboard), AG Coco (gitar utama), Am (drum) dan Izat (bass) tertunai akhirnya.
Couple dan D.I.A (Different In Action) menjadi pembuka tirai persembahan konsert Hujan yang berlangsung di KL Live, Life Centre, Kuala Lumpur. Konsert ini ditaja oleh Harosa Enterprise dan Al Najwa Productions manakala Metadome Sdn Bhd bertindak sebagai publisiti kepada siri jelajah ini. Selebriti ternama juga hadir memberi sokongan seperti Liyana Jasmay, Scha Al-Yahya, Ainul Aishah, Natasha Hudson, Nasha Aziz dan Nora.
Mangga Online
Sharnaaz Sahut Cabaran
Rap
MUNGKIN ramai yang tidak tahu pendatang baru di persada seni tanah air, Sharnaaz Ahmad menghadapi masalah mata yang lesu dan tidak bermaya kerana sering tidur lewat terutama jika terbabit dalam penggambaran drama.
Namun, selepas mengamalkan InnerShine Pati Beri setiap pagi, Sharnaaz, 24, dari Georgetown, Pulau Pinang berkata, dia tidak berhadapan dengan masalah itu lagi.
‘Sejak minum InnerShine Pati Beri, saya rasai perubahan pada mata saya kerana ia lebih segar dan bersinar sepanjang hari. Ramai rakan yang perasan dengan perubahan mata saya sekarang. Saya akui mata yang yang segar dan bersinar juga semakin menyerlahkan penampilan diri seseorang.
‘Tidak cukup dengan itu, saya juga semakin bersemangat untuk memulakan hari pada setiap pagi sekalipun tidur lewat pada sebelah malamnya,’ katanya.
Shaarnaz yang juga anak kepada pemuzik Basir Ahmad berkata, dia juga memperkenalkan produk InnerShine Pati Beri kepada keluarganya.
‘Sebenarnya saya diperkenalkan dengan produk ini oleh rakan saya yang selalu membelinya. Dia selalu mengalami keletihan mata dan mengesyorkan kepada saya untuk minum InnerShine Pati Beri ini memandangkan saya juga mengalami masalah yang sama apabila mata sering terdedah kepada cahaya lampu yang agak lama.
‘Saya juga selalu berlakon di tempat terbuka yang terdedah dengan pencemaran. Alhamdulillah, dengan mendisiplinkan diri saya dengan meminum InnerShine Pati Beri ini setiap pagi sebelum ke lokasi penggambaran, ianya bukan sahaja dapat memberikan kesegaran pada mata tetapi juga berupaya mengekalkan kesihatan mata.
‘Saya difahamkan, InnerShine Pati Beri mengandungi pati buah-buahan asli diperbuat daripada buah-buahan premium yang memberi khasiat pada mata. InnerShine Pati Beri juga mempunyai campuran hebat tujuh jenis beri dari Eropah yang membuatkan mata segar dan bersinar sepanjang hari,’ katanya.
Sharnaaz antara pelakon yang menjayakan drama Dari Mata Ke Hati terbitan Radius One Sdn Bhd (ROSB) dan Ambang Fokus Sdn Bhd. Dalam drama arahan Isma Yusoof ini, Sharnaaz memegang watak pembantu bernama Imran yang juga pembantu kepada Farid (lakonan Shahz Jaszle) yang juga pengarah filem di syarikat Shine Pictures.
Katanya, ini kali kedua diberi kepercayaan oleh penerbit ROSB, Shahrulezad Mohameddin selepas Tari Tirana dan terharu dengan kepercayaan diberikan.
‘Tidak sangka diberi kepercayaan sekali lagi oleh Shahrulezad untuk bergandingan dengan pelakon utama drama Dari Mata Ke Hati, Shahz Jaszle. Sebenarnya saya takut bekerja dengan Shahrulezad tapi lama kelamaan mula menyesuaikan diri.
‘Saya juga dapat pengalaman baru bekerja dengan anak didiknya, Isma yang menjadi pengarah bersama drama ini. Sentuhan Isma lebih kurang sama dengan Shahrulezad. Saya juga banyak belajar dengan Isma dan sebelum berlakon dia akan beri sesi percambahan minda dulu.
‘Bagi saya watak Imran memang mencabar pelakon baru seperti saya. Banyak ilmu lakonan yang saya pelajari dalam drama ini,’ katanya.
Pemegang Ijazah Logistik, Kolej Olympia ini juga mengakui bidang lakonan jatuh nombor dua kerana minatnya sangat mendalam pada bidang nyanyian dan muzik yang dicintainya, sejak dulu.
Selain drama Dari Mata Ke Hati, Sharnaaz yang dicungkil baktnya menerusi 50 Most Eligible Bachelor 2009 pernah muncul dalam klip video Khabarkan – Luscious.
Drama Dari Mata Ke Hati ini disiarkan di TV3 sejak 7 November lalu. Apa yang menarik, penonton juga berpeluang menyertai Pencarian InnerShine Berry Beautiful Eyes 2009 yang menawarkan set barangan kemas berlian yang bergemerlapan tajaan Diamond & Platinum bernilai RM10,000 serta peluang berlakon dengan Shahz Jaszle.
Pengguna yang ingin menyertai pencarian yang berlangsung sehingga Disember ini hanya perlu menghantar dua keping gambar iaitu jarak dekat mata dan juga gambar penuh diri anda sambil memegang botol InnerShine Pati Beri. Mereka juga perlu menghantar borang penyertaan yang lengkap dan lampirkan bersama panel kod bar InnerShine di belakang pek rangkaian produk InnerShine.
Harian Metro
Liyana Jasmay Semakin Improve
Ditulis oleh Nonie
Bukan sekali kita mendengar suara-suara nakal mengatakan Liyana Jasmay atau panggilan mesranya Nana tidak berbakat dalam nyanyian. Lagu Aku Tak Percaya Cinta persis lagu Avril turut dikritik namun itu tidak melemahkan semangatnya.
Walaupun dikritik, namun nyata pengaruh Nana cukup kuat, masakan tidak lagu tersebut menjadi siulan anak muda, ditambah dengan video klip yang cukup menarik dan kreatif. Nana semakin maju setapak apabila muncul dengan mini album yang memuatkan lima buah lagu.
“Memang Nana happy sangat sebab apa yang Nana impikan selama ni tercapai. Konsep dan arrangement lagu dan band semuanya menepati citarasa Nana.
“First album ni Nana sendiri banyak bagi input dan join sekali dalam proses pembikinannya. Memang cukup berpuas hati dengan outcome,” ujar Nana selepas Majlis Pelancaran Album yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.
Nana mengakui dirinya banyak berlatih untuk memperbaiki kekurangan yang ada dan ingin membuktikan segala kritikan ke atasnya sebelum ini adalah tidak tepat sama sekali.
“Cikgu Shafi dan band Nana banyak membantu untuk memperbaiki vokal dan alhamdulillah ada perubahan. Kalau kita minat satu bidang, kita akan usaha untuk lakukan yang terbaik,” katanya merasakan dirinya cukup bertuah kerana lagunya diterima dan sering dimainkan di corong radio.
Nana akan muncul dengan single kedua berjudul Aku Jatuh Cinta hasil ciptaan Ajai. Lagu-lagu lain yang terdapat dalam album ini seperti Pelik, Kejam dan Penyelamat Cinta.
Tulis Lagu Bersama Aizat
Menarik untuk diutarakan di sini apabila Nana turut menulis lagu Penyelamat Cinta yang digubah oleh Aizat. Malah mereka turut berduet dalam lagu tersebut. Bertambah kuatlah cinta nampaknya bila digandingkan dalam sebuah lagu.
“Lagu ni Nana tulis berdasarkan kepada pengalaman sendiri tapi bukan untuk Aizat (ketawa). Lagipun seronok bekerja dengan orang yang bijak seperti Aizat .
“Nana suka berkawan dengan orang yang bijak dan pastinya kami happy dengan hasil lagu tersebut. Nana ada chemistry dengan Aizat yang buat kami rapat.
“Tapi Nana cuba juga cari peluang untuk bekerjasama dengan penyanyi lain,” ujarnya yang mengakui rapat dengan Aizat.
Album Liyana Jasmay akan menemui peminat sekitar November 2009. Album ini adalah terbitan Regal-Way Marketing Sdn Bhd dengan kerjasama Metadome Sdn Bhd sebagai jentera promosi.
Mangga Online
Nazim Tercalar Dengan Pengarah Popular
Ditulis oleh Rosli Manah
Dia orang baru. Tapi janganlah diperlakukan seperti seorang yang tidak tahu apa-apa dalam urusan bidang seni. Gara-gara nama belum popular Nazim Othman dapat tawaran berlakon drama bersiri membawakan watak utama dengan bayaran yang sangat rendah.
Walaupun berminat dengan watak yang ditawarkan oleh seorang pengarah popular tu, namun Nazim nekad menolak dan memberikan alasan bayarannya terlalu rendah. Itulah sebabnya Nazim berusaha keras mahu mempopularkan diri.
Bukan hanya mahukan publisiti melulu sebaliknya Nazim, 25, mahu popilariri seiring dengan bakat lakonan. Setelah masuk tahun kedua menjadi pelakon sepenuh masa, Nazim masih berusaha meletakkan namanya sebaris pelakon popular lain.
“Nak tahu apa pengarah tu kata apabila saya menolak tawaran tersebut? Dia kata saya ni demanding tak padan dengan nama saya yang tak popular.
“Alasan nama saya tidak popular digunakan untuk meletakkan harga yang rendah.
“Sebab itru saya berusaha mahu mempopularkan diri. Saya akui saya masih belum mancapai tahap populariti yang melonjak sebab belum banyak drama lakonan saya disiarkan di kaca TV,” kata pelakon drama Awan Dania di Astro itu.
Sebenarnya sudah banyak buah drama lakonannya, namun kebanyakannya dijadual tayangan pada tahun hadapan. Nazim harap tahun hadapan namanya akan lebih dikenali.
Peminat tak tahu nama
“Sebenarnya apabila saya keluar ke mana-mana ada yang perasan wajah saya. Saya kerap ditegur kerana watak lakonan saya. Ada yang tak tahu pun nama saya sebab setakat ini tak banyak lagi publisiti pasal saya dalam akhbar dan majalah.
“Ada juga beberapa majalah yang pernah memuatkan cerita saya. Dalam akhbar setakat ini tak ada lagilah.
“Apabila hadir majlis pelancaran drama, wartawan tak car isaya sebaliknya mereka mestilah cari wajah-wajah pelakon yang lebih dikenali. Saya tak kisah.
“Saya faham keadaan itu dan tidak mengambil hati kerana saya masih belum popular, sebab itu saya sekarang berusaha mempopularkan diri.
“Saya kena berusaha sendirilah sebab tidak mempunyai pengurus,” kata Nazim kepada Mangga Online ketika mengunjungi pejabat Utusan Karya Sdn. Bhd. di Bandar baru Bangi, Khamis lalu.
Nazim kini berlakon sepenuh masa selepas meninggalkan kerjaya sebagai peramugara.
Mangga Online
Jalang Eksploitasi Wanita?
Ditulis oleh Nonie
Wanita, seks, kekayaan dan nafsu menjadi pokok kepada isu yang ingin dikupas dalam filem terbaru berjudul Jalang ini. Melihatkan kepada filem ini, tidak mustahil kontroversi akan terus menyelubunginya, tambahan pula ia menampilkan aksi berani pelakon baru Yasmin Khanif.
Walaupun pernah menawarkan watak Maria kepada Fasha Sandha, Fazura, Amber Chia dan Janet Khoo namun menurut penerbitnya, mereka ingin menampilkan satu heroin baru dalam industri perfileman negara.
“Saya rasa Yasmin paling sesuai dengan watak ini. Lagipun kalau Fasha yang berlakon tentu orang pun tak kisah jika terdedah sana sini sebab orang dah biasa lihat dalam filem lain,” ujar penerbit, Imran Ismail berhubung pemilihan pelakon.
Filem yang menurut penerbitnya diterbitkan untuk menimbulkan keinsafan terhadap kerjaya Jalang yang telah wujud sejak zaman Rasulullah saw lagi. Namun sejauh manakah matlamat tersebut dicapai?

Jika dilihat kepada filem ini, ia hanya sekadar sebuah filem untuk tontonan dewasa dengan menggunakan judul kontroversi untuk menarik penonton ke pawagam melihatnya.
“Jalang bukanlah eksploitasi wanita atau seks, kita hanya ingin mengupas maksud jalang itu sendiri dan mengubah perpepsi masyarakat mengenainya. Lagipun jarang sekali produser di Malaysia menghasilkan filem seperti ini.
“Jika filem ini kontroversi, mustahil kami dapat kelulusan bersih daripada FINAS tanpa sebarang pemotongan. Filem ini keseluruhannya dijalankan di Langkawi dalam usaha mempromosikan Langkawi menerusi filem.” ujar Imran lanjut.
Filem ini turut menampilkan Hairee Othman, Helmi Husaini, Maria Farida dan Redzuan Hashim. Jalang akan ditayangkan di pawagam bermula 26 November 2009.
Mangga Online
Redza Teringin Jadi Pisau Cukur?
Ditulis oleh Nonie
“Kalau diberi peluang, saya pun nak jadi pisau cukur. Boleh dapat apa saja dan tak perlu bersusah payah.
“Wanita begini memang ada cuma setakat ini saya belum pernah jumpa lagi. Saya pun bukannya kaya untuk dikikis,” ujar Redza ketawa.
ShahRedza Minhat atau lebih mesra dengan panggilan Redza kini semakin dikenali selepas membintangi filem Pisau Cukur. Watak Faqir cukup memikat penonton dengan aksi bersahaja lakonan pemuda berusia 29 tahun ini.
Mempunyai kerjaya di bidang perbankan dan minat mendalam terhadap seni teater dalam masa yang sama. Adakah kemungkinan Redza akan melibatkan diri sepenuh masa dengan industri hiburan?
“Rasanya tidak sebab saya sangat sukakan kerjaya saya. Saya still akan terima tawaran berlakon tapi haruslah disesuaikan dengan jadual kerja.
“Saya start kerja dengan menulis skrip teater dan barulah saya bermula kerja di bank. Tidak mungkin saya akan tinggalkan minat begitu saja,” katanya.
Pisau Cukur menggandingkan Redza dengan nama-nama besar dalam industri seperti Maya Karin, Fazura dan Aaron Aziz. Sama-sama kita saksikan filem Pisau Cukur yang sedang ditayangkan di pawagam. Mungkin filem ini bakal melonjakkan nama Redza setanding dengan hero filem Malaysia yang sedia ada. Kita tunggu nanti.
Mangga Online
Cinta Duyung
Oleh Zaidi Mohamad

Saling menghargai mengeratkan Dingdong dan Marian
BAGI peminat dunia hiburan tanah air, nama dua pelakon dari Filipina iaitu Marian Rivera dan Dingdong Dantes mungkin agak asing berbanding Jericho Rosales dan Kristine Hermose. Jericho, misalnya, bukan saja dikenali kerana drama lakonan dari negara kelahirannya tetapi juga menjadi antara pelakon filem Bilut arahan Bade Azmi pada tahun 2007.
Marian dan Dingdong boleh ‘ditemui’ peminat tempatan apabila drama lakonan mereka berjudul Dyesebel akan disiarkan menerusi saluran Astro Prima tidak lama lagi.
Drama Dyesebel ini mirip dengan filem separa komedi terbitan tempatan, Duyung yang dibintangi barisan pelakon seperti lakonan Abu Bakar Omar, Maya Karin, Saiful Apek, Awie, Yasin Yahya dan Yasmin Hani serta Raja Norbaizura.
Drama terbitan syarikat televisyen di Manila iaitu GMA Network berkisarkan dipadankan daripada novel grafik popular karya Mars Ravelo. Dyesebel ialah watak ikan duyung yang dilakonkan Marian. Malah ia pernah dihasilkan beberapa kali dalam format filem di sana.
Ceritanya hampir sama animasi Little Mermaid, mengenai cinta terhalang antara manusia dan ikan duyung. Drama itu mendapat sambutan di Filipina menyebabkan Astro Prima berminat untuk menyiarkannya bermula 9 November ini.
Kata Marian, paling mencabar buat dirinya sepanjang penggambaran drama itu ialah terpaksa dalam air sambil kakinya memakai kostum yang direka khas. Barangkali kesengsaraan yang pernah ditanggung Maya Karin ketika beraksi untuk filem Duyung turut dirasai Marian.
“Watak saya lebih memberi tekanan berbanding watak di darat yang dilakonkan Dingdong. Selama sebulan sebelum ke penggambaran drama, saya melakukan latihan dan menghadiri bengkel yang dianjurkan pengarah. Saya perlu belajar berenang dan bernafas di dalam air.
“Berenang mungkin boleh dianggap mudah, tapi bagaimana kalau berenang menggunakan ekor? Pengalaman ini menjadi kenangan berharga buat saya. Dingdong banyak memberi sokongan untuk memberikan aksi terbaik,” kata Marian yang turut aktif sebagai model dan penyanyi.
Kemesraan Marian dan Dingdong menjadi pasangan kekasih dalam drama Dyesebel dikatakan terbawa-bawa sehingga di luar lokasi.
Media di Filipina menyatakan keintiman Marian, 25 dan Dingdong, 29 bukan lagi rahsia. Cinta lokasi ternyata menyatukan mereka.
Ketika muncul dalam sidang media memperkenalkan mereka dan drama Dyesebel di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini, terpancar keceriaan yang jelas antara pasangan ini. Malahan mereka dilihat seolah-olah tidak boleh berenggang seperti belangkas kerana sering berpimpin tangan dan tidak lekang dengan senyuman apabila ditegur wakil media yang menemubualnya.
Marian dan Dingdong kali pertama digandingkan menerusi drama Miramar pada tahun 2007, tetapi hanya pada tahun lalu menerusi drama Dyesebel ada panahan cinta yang mula melekat di antara mereka.
Kata Dingdong ketika ditanya sejauh mana hubungan mereka, menjelaskan mereka menjadi rapat apabila dia dan Marian saling menghargai bakat lakonan masing-masing. Penjelasan Dingdong disambut dengan senyuman Marian.
“Dia memberi inspirasi untuk hidup saya dan begitu juga sebaliknya. Kami serasi untuk hidup bersama dan lebih mudah juga apabila kami sama-sama menceburi bidang yang sama. Saya rasa aliran bercinta sesama artis ini mempunyai kelebihan dan kekurangannya. Semuanya
terpulang kepada kita untuk mengaturnya,” kata Marian ringkas sambil cuba mengalih topik lain.
Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani menjelaskan sudah lama drama berbahasa Tagalog tidak disiarkan di saluran terbabit. Menerusi kajian yang dibuat oleh bahagian penyelidikan dalaman Astro, ternyata ada permintaan drama dari Filipina.
Drama Dyesebel mengandungi 64 episod disiarkan setiap Isnin hingga Rabu mulai jam 2 petang. Katanya, gabungan Dingdong dan Marian diharap akan mencetuskan fenomena di negara kita yang gemarkan drama dari sana.
“Daripada 25 tajuk yang diberikan GMA Network, kita berasakan Dyesebel ini sesuai untuk tontonan tempatan. Namun harus ditekankan di sini, biarpun kita membuka peluang untuk drama luar, keutamaan sebanyak 95 peratus masih kepada kandungan tempatan. Sinetron dari Indonesia dan drama berbahasa Tagalog tetap disiarkan namun sekurang-kurangnya untuk tempoh tidak lebih dua jam sehari,” katanya.
Berita Harian
Ekin Kempunan…
Ditulis oleh Nonie
“Ekin berdoa dikurniakan zuriat,” begitulah doa Ekin sempena sambutan ulangtahunnya yang ke-30 pada hari ini.
Walaupun pernah mengalami keguguran, namun Ekin dan suami, Mawi tidak pernah patah semangat sebaliknya menganggap segala yang terjadi adalah suratan takdir.
Pasangan penyanyi popular Asmawi Ani, 28, dan Nora’ Asikin Rahmat atau Ekin, 30, ditemui di banglo milik mereka di Bangi Golf Club. Kesibukan Mawi menyebabkan sambutan hari lahir Ekin terpaksa dilakukan awal sehari.
“Sambutan kali ni sangat bermakna sebab Ekin sambut birthday dengan suami di rumah baru kami,” ujarnya yang turut menjemput anak-anak yatim dari Masjid Jumuriah, Petaling Jaya bagi memberkati majlis.
Mendirikan rumahtangga pada 20 Disember tahun lalu, dan mula menduduki banglo tersebut selepas seminggu berkahwin. Namun tidak pernah ditunjukkan kepada media atau khalayak atas alasan privacy. Semalam (4 November) Mawi mula memberi keizinan untuk media merakam gambar banglonya.
“Sebelum ini Mawi terlalu menjaga privacy rumah sebab dia duduk seorang. Tapi bila dah berdua ni, barulah Mawi berani nak tunjukkan rumah.
“Lagi satu kami belum buat majlis tahlil masa mula-mula duduk rumah ni. Alang-alang buat birthday Ekin, kami buatlah tahlil sekali,” ujar Ekin sedondon berbaju merah jambu dengan Mawi.
Tertanya-tanya juga apa hadiah istimewa Mawi untuk isteri tercinta, namun Mawi merahsiakannya dan meminta kami tunggu sehingga malam untuk mengetahuinya.
Mawi kagumi filem Majika
Mengakui filem lakonannya, Majika yang bakal ditayangkan Mac 2010 setanding dengan filem terbaik yang pernah dihasilkan Malaysia.
“Mawi bagi lima bintang untuk filem ini sebab memang berunsur fantastik,” ujarnya yang bakal menyambut Hari Raya Haji di Korea bersama Ekin.
Mawi kini sedang merancang merakamkan album terbaru yang bakal melibatkan idola terkenal Malaysia sperti Ramli Sarip, Jeffry Din, Jay Jay dan Hattan. Single baru Mawi berjudul Barangkali juga bakal menemui peminat tidak lama lagi.
Mangga Online