Dengarnya… Rita Tarik Diri Gara-Gara Remy
Oleh Normah Becok
CERITA seterusnya yang Cik Normah ingin kongsi ialah mengenai drama Suraya yang sedang bersiaran di TV3 menerusi slot Samarinda. Cerita itu menggandingkan pelakon lelaki pujaan ramai, Remy Ishak dan Zizie Ezette buat pertama kalinya di kaca TV.
Namun sebelum Zizie, sebenarnya Rita Rudaini yang lebih dulu menjadi pilihan pertama untuk digandingkan dengan Rita. Tup…tup watak itu menjadi milik Zizie. Paling penting jejaka yang dikaitkan dengan Zizie pun turut berlakon. Siapa lagi Fizo Omarlah.
Berbalik kepada cerita kenapa Rita tidak berlakon dalam drama itu, Donna Marcella memberitahu semuanya berpunca gara-gara menanti jadual masa Remy yang begitu sibuk memanjang. Akhirnya kerana terlalu lama menunggu waktu senggang Remy, Rita difahamkan terpaksa menarik diri daripada berlakon drama itu.
Tak dinafikan memang Remy antara pelakon yang sedang laris di pasaran dan menjadi rebutan ramai penerbit. Tapi Cik Normah tak rasa tindakan Rita salah untuk tidak terus memberikan komitmen kepada drama ini. Lagipun, manusia di dalam dunia ini mencari rezeki. Takkan nak tolak tawaran lain, semata-mata nak tunggu waktu senggang pelakon lain.
Cuma Cik Normah kecewa tak dapat tengok gandingan Rita dan Remy lagi pada tahun ini. Sebelum ini pun mereka pernah digandingkan dalam sebuah telefilem yang disiarkan di TV3 menerusi slot Cerekarama. Tapi siapa tahu, mungkin tahun depan, akan ada lagi rezeki menggandingkan mereka.
Berita Harian