8TV Siarkan Drama Bersiri Popular Boys Over Flower Dari Korea
SIRI televisyen dari Korea yang diadaptasi daripada komik Manga Jepun iaitu Hana yori Dango atau Boys Over Flower yang popular kini disiarkan di 8TV sejak 16 Disember lalu.
Drama ini mendapat sambutan hangat selepas ia disiarkan di Korea pada awal tahun ini. Peminat drama Korea berunsur romantik yang dialih bahasa ke Mandarin ini dapat menonton drama bersiri ini setiap Isnin hingga Jumaat jam 8.30 malam. Drama bersiri 34 episod ini membariskan pelakon muda yang cukup popular antaranya Koo Hye Sun, Lee Min Ho, Kim Hyun Joong, Kim Joon dan Lee Shi Yeong.
Boys Over Flowers berkisarkan kehidupan pelajar di sebuah kolej. Koo Hye Sun yang melakonkan watak Jan Di, seorang gadis biasa yang datang dari keluarga sederhana mengendalikan sebuah kedai dobi berdekatan dengan kolej terkenal Shin Hwa yang majoritinya adalah pelajar kaya.
Jan Di diterima masuk ke kolej tersebut selepas dia menyelamatkan seorang pelajar yang yang hampir melompat dari bumbung kolej akibat dibuli dan seterusnya dia ditawarkan biasiswa untuk belajar di kolej tersebut.
Jan Di menerima tawaran tersebut dengan hati yang berat dan kemudiannya mengetahui bahawa ada sekumpulan pelajar lelaki yang menggelarkan diri mereka F4 cukup digeruni kerana tabiat mereka yang suka membuli pelajar lain. Jan Di sedaya upaya cuba mengelakkan diri dengan kumpulan ini kerana tidak mahu menimbulkan masalah.
Namun, apabila rakan Jan Di dengan tidak sengaja menjatuhkan ais krim ke atas kasut Goo Joon Pyo (Lee Min Ho) yang bertindak sebagai ketua kumpulan F4, Jan Di tanpa berfikir panjang terus mempertahankan rakannya itu sebelum dia menjadi mangsa.
Walaupun menerima pelbagai ugutan Jan Di tetap dengan pendiriannya yang tegas tidak mahu mengalah dengan kumpulan itu. Jan Di sering membangkitkan kemarahannya, Joon Pyo dalam diam sudah jatuh hati kepada Jan Di.
“Penonton Malaysia tentu akan menyukai drama bersiri ‘Boys Over Flowers’ ini dan pastinya akan menjadi hit di Malaysia sepertimana di Korea. Jalan cerita yang menarik dengan barisan pelakon-pelakon muda Korea yang semakin popular ini pastinya membuat anda semua melekat di kaca tv masing-masing,” kata Pengurus Besar 8TV, Lam Swee Kim.
Berita Harian
TV3 Selesai Masalah Anda
Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my
Rap
SELAIN memberi maklumat terkini dan hiburan sensasi kepada penonton setianya, TV3 juga tidak pernah melupakan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat.
Terkini, TV3 tampil dengan program majalah terbaru sebanyak 26 episod iaitu Aduan Rakyat dengan tagline TV3 Ambil Berat yang mula bersiaran pada 6 Januari depan. Program 30 minit ini disiarkan setiap Rabu, jam 9 malam di TV3.
Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial, Media Prima Berhad, Datuk Ahmad Abdul Talib berkata, Aduan Rakyat menyediakan platform untuk menerima aduan dari masyarakat tanpa mengira kaum dan agama di negara ini.
“Orang ramai boleh membuat aduan berkaitan isu komuniti, kerosakan harta benda awam, ketidakadilan dalam isu pengguna, kekurangan dalam infrastruktur kepada golongan kurang upaya, pengangkutan awam, penjelasan mengenai perkhidmatan sektor awam dan sebagainya lagi.
“Demi perubahan secara positif dan untuk kebaikan semua pihak, Aduan Rakyat menggunakan kaedah lebih sistematik dalam penyelesaian masalah diketengahkan.
“Aduan yang dipaparkan dalam setiap episod bukan saja membawa penyelesaian kepada individu terbabit, malah ia boleh dijadikan panduan kepada sesiapa saja yang berhadapan dengan situasi sama,” katanya.
Majlis pelancaran Aduan Rakyat disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan; Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaaffar dan Ahmad sendiri di pekarangan Sri Pentas, jam 8 malam serta disiarkan secara langsung dalam Buletin Utama, kelmarin.
Selepas pelancaran program itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail pula menyerahkan replika kunci rumah kepada pengadu pertama yang dapat penyelesaian, Kartini Lahi.
Ahmad berkata, program itu bukan untuk mengaib atau menuding jari kepada mana-mana kerana misi utama Aduan Rakyat ialah untuk membincangkan isu yang diketengahkan sambil mengenal pasti kekurangan dalam sistem dan berusaha untuk mendapatkan penyelesaian dengan kerjasama kerajaan tempatan, pemaju, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat.
Katanya, aduan yang diterima juga cuba diselesaikan untuk kebaikan semua pihak.
“Pihak kami perlu mengambil kira pelbagai kemungkinan yang dihadapi nanti. Sudah tentu ada isu yang memerlukan lebih perhatian kerana agak mustahil bagi kru penerbitan untuk memberi bantuan dan penyelesaian kepada semua kes kerana waktu yang singkat.
“Apa yang penting, melalui program ini sekurang-kurangnya kes rumit yang dihadapi orang ramai akan mendapat perhatian sewajarnya.
“Aduan Rakyat akan memastikan laporan dilakukan dengan penuh amanah dan adil terutama ketika membabitkan pelbagai pandangan yang berbeza dalam menyelesaikan sesuatu isu atau masalah diketengahkan,” katanya.
Program ini dikendalikan pasukan wartawan penyiaran TV3 yang berkaliber iaitu pemenang Laporan Berita Terbaik sempena Anugerah Skrin 2009, baru-baru ini, Karam Singh Walia, Jaffry Azman Dahalan, Puspavathy Ramaloo dan Loo Tung Seang.
Sementara itu, penerbit program, Abdul Hisham Abdullah berkata, penceritaan dan pendekatan Aduan Rakyat berbeza daripada program terbitan stesen TV lain.
“Kekuatan program ini juga adalah empat wartawan penyiaran berkaliber yang mempunyai personaliti menarik untuk diketengahkan.
“Contohnya, Karam dikenali sebagai wartawan agresif dalam laporannya, Jaffri pula lebih banyak menyelidik serta lebih ‘cool’, Puspavathy pula lebih dalam isu wanita dan hak wanita. Tidak ketinggalan, Loo yang juga penerbit Malaysia Hari Ini yang bertanggungjawab untuk mendekati masyarakat Cina dan isu berkaitan dengan mereka,” katanya.
Apapun, kata Abdul Hisham, tidak semestinya semua masalah yang diketengahkan itu berjaya diselesaikan dalam program itu.
“Ada masalah yang mengambil masa untuk diselesaikan, tetapi pihak kami tetap akan tampilkan pada episod akan datang.
“Aduan yang dipilih untuk diketengahkan juga bukan bersifat peribadi seperti anak hilang kecuali ia menjadi isu nasional dan mendapat perhatian semua pihak,” katanya.
Tambahnya lagi, setakat ini, pihaknya berjaya siapkan episod pertama iaitu membabitkan isu kilang yang didakwa sebarkan isu toksik yang dilaporkan Karam.
Selain itu, isu ibu tunggal, Kartini Lahi yang tinggal di tingkat 22 flet DBKL yang mempunyai anak kurang upaya juga dapat ditangani.
Penerbit Eksekutif program ini ialah Ratnawati Jamil. Apa yang menariknya, penonton boleh mengetahui mengenai penyelesaian sesuatu kes dalam paparan Buletin Utama terlebih dulu sebelum mengikuti perkembangan dan susulan selanjutnya dalam Aduan Rakyat.
Selain membuat panggilan atau menghantar e-mel ke aduanrakyat@tv3.com.my, penonton juga boleh mengisi borang aduan disediakan di peti Aduan Rakyat di setiap lokasi Karnival Jom Heboh pada tahun depan serta melayari halaman web www.tv3.com.my/aduanrakyat.
Harian Metro
Sleeq Teruja Sambutan Peminat Malaysia
Ditulis oleh Nonie
Kebanjiran pendatang baru dalam seni suara tanah air tidak dapat dinafikan lagi, namun dapat dikira bilangan yang benar-benar berbakat untuk menyumbang kepada pembangunan industri muzik Malaysia.
Album yang dilihamkan daripada pengalaman peribadi kedua-dua anggota Sleeq, Syarif, 20, dan Alyph, 19, mengembalikan semula nostalgia pop, R&B dan hip hop terutamanya yang pernah dipopularkan Too Phat suatu ketika dulu.
Mencipta lebih 60 buah lagu dan turut menyumbang hasil seni mereka kepada Dina, Imran Ajmain, Revalina dan sebagainya, Sleeq antara bakat muda yang bakal mencetus fenomena dalam industri muzik tanah air.
“Memang kami nervous dengan sambutan peminat di Malaysia, namun bila melihatkan ramai artis Singapura dapat penerimaan yang bagus di sini, kami juga harus mencuba.
“Kalau boleh kami ingin mengumpul seramai mungkin pendengar di sini yang boleh menerima muzik Sleeq. Jika di Singapura sendiri, kami mempunyai pengikut tersendiri yang sudah selesa dengan style muzik kami,” ujar mereka yang popular dengan lagu Cun Saja.
Pendatang baru dari Kota Singa ini mula mendapat perhatian untuk melebarkan sayap ke Malaysia setelah diperkenalkan kepada Metadome Sdn. Bhd. sewaktu menjayakan persembahan bersama Kris Dayanti di Singapura.
“Kami memang nak teringin sangat untuk memasarkan album ke luar, namun kami tak banyak kenalan dalam industri dan menyebabkan kami lebih senang bergerak sekitar Singapura.
“Peluang yang datang sewaktu berjumpa orang kuat Metadome umpama mimpi. Setelah berbincang dan didorong oleh Imran Ajmain ( juga di bawah label Metadome) kami ambil keputusan untuk melangkah setapak ke hadapan untuk bertemu peminat di Malaysia,” tegas Syarif sewaktu pelancaran album Sleeq berjudul Classiq di Kuala Lumpur.
Cun Saja Jadi Trend Di Singapura
“Kami banyak luangkan masa dengan orang Malaysia dan banyak perkataan baru yang kami belajar termasuklah perkataan cun. Memang banyak yang kami belajar sehingga datang idea untuk luahkannya dalam bentuk lagu.
“Cun Saja dibuat khas untuk dijadikan trend di Singapura. Kami nak mereka turut belajar perkataan tersebut. Dan bila lagu Cun Saja mula dimainkan di radio, memang perkataan itu mula diucapkan di kalangan mereka. Kami pula seolah-olah macam dapat A dalam exam bila dengar lagu Sleeq dimainkan di radio,” seloroh Alyph.
Kenapa Q?
Jika dilihat Sleeq banyak bermain dengan Q dalam setiap album dan lagu ciptaan mereka. Ini ulasan Alyph.
“Kami gunakan Sleeq kerana makna yang ada padanya, iaitu licik, relax dan smooth.
“Dan Q dalam kebanyakan lagu kami kerana Q menggambarkan keunikan (Unique). Kami nak jadikannya sebagai identiti Sleeq.
Album terbaru Sleeq Classiq kini telah pun berada di pasaran dengan memuatkan 13 buah lagu di mana hampir keseluruhannya hasil ciptaan mereka sendiri.
Mangga Online
Ramlah Ram Masih Diminati
Ditulis oleh Nonie
Meluahkan rasa kecewanya terhadap industri di negara ini, bagi empunya nama Ramlah Ram ini mengakui semangatnya kian pudar untuk merakamkan album dengan keadaan industri yang tidak menentu.
Walaupun 11 tahun menyepi tanpa sebarang album, namun Ramlah mengakui dirinya masih mempunyai pengikut setia yang menggelarkan diri mereka RRG (Ramlah Ram Group).
Menurut Ramlah lagi, diskriminasi yang wujud di kalangan stesen radio di Malaysia seakan-akan cuba untuk meminggirkan artis veteran. Katanya tidak semua stesen akan memainkan lagu-lagu artis lama. Hal ini menyebabkan segelintir artis seangkatannya seakan-akan merajuk dan terus menyepikan diri daripada industri.
“Album Ketentuan juga susah untuk masuk ke dalam beberapa stesen radio dan itu menunjukkan pilih kasih masih kuat di kalangan sesetengah pihak.
“Masa saya sepi tanpa album, ada juga offer yang datang tapi saya tangguhkan dulu sebab kecewa dengan sesetengah perkara. Masalah cetak rompak dan pelbagai lagi buat saya fikir dua kali untuk bikin album.
“Semangat datang kembali selepas lagu Maharaja dan akhirnya pada Jun 2009, album terbaru saya Ketentuan telah pun dipasarkan hasil daripada sokongan peminat yang tidak putus-putus menyokong karier selama ini,” ujar bekas pemenang Bintang RTM 1985 ini.
Berdiri kukuh 24 tahun sebagai anak seni dan masih lagi mendapat sambutan, bagi Ramlah sendiri, beliau tidak menyangka akan masih disambut baik sehingga ke hari ini.
“Ramlah tak letakkan harapan yang tinggi untuk Ketentuan. Cukuplah orang tahu Ramlah masih menyanyi,” ujarnya yang mempertaruhkan lagu Radang Rindu dan Aku Dengan Dunia.
Album Ramlah Ram – Ketentuan boleh didapati di pasaran dengan harga RM19.90.
Masih Bersama Suami
Jarang dilihat bersama suami sehingga menimbulkan fitnah bahawa hubungan mereka sudah retak. Ramlah pantas menafikan gosip tersebut, sebaliknya menjelaskan hidup mereka masih bahagia.
“Orang cakap begitu sebab kami masing-masing sibuk dan jarang dapat bersama menghadiri mana-mana majlis. Perihal rumahtangga kami tak perlu dihebohkan kepada sesiapa.
“Tidak dinafikan semua orang ada masalah, tapi kita cuba perbaiki. Ramlah cuba yang terbaik. Namun takdir semua di tangan tuhan. Tak berani juga nak cakap lebih-lebih pasal hal ini.
“Tapi kami tak pernah ada masalah apabila berkaitan anak. Janganlah bila kita tak ada anak orang jadikan sebagai punca perceraian. Sebab yang ada anak pun ada juga yang bercerai.
“Memang Ramlah sukakan kanak-kanak tapi buat masa ini belum bersedia lagi untuk mengambil anak angkat. Kalau boleh Ramlah nak anak sendiri,” ujarnya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Album terbaru Ketentuan di Redbox Sogo, Kuala Lumpur.
Menurutnya, walaupun jarang berjumpa suami kerana kesibukan kerja, namun hubungan yang dibina atas dasar cinta ini pasti akan kekal sekiranya disulami dengan kepercayaan terhadap pasangan masing-masing.
“Ramlah bukan jenis yang cemburu. Memang Ramlah sayangkan ikatan perkahwinan ini. Dan Ramlah percayakan dia. Tak guna kita nak fikir bukan-bukan sebab peningkan kepala sendiri.
“Bagi Ramlah, kalau suami nak buat yang tak elok di belakang, dia akan buat juga walau macam mana kita jaga dia,” ujarnya yang telah sembilan tahun melayari kehidupan sebagai isteri kepada Kamal Roslim.
Mangga Online
Elyana Kahwin Gaya Minang
Ditulis oleh Rosli Manah
Elyana sudah mula bercakap-cakap pasal perancangan berkahwin tahun ini. Tapi, tarikhnya belumlah lagi dibincangkan. Dia bertunang Julai lalu dan tempoh yang dipersetujui selama setahun.
Apa agaknya konsep majlis perkahwinan Elyana yang jenis sempoi ni. Jangan berkaki ayam atas pelamin sudahlah. Lainlah kalau pelamin di atas rumah dan bersimpuh, mestilah tak pakai kasut.
“Saya ni sempoi aje dan tak kisah sangat pasal tema… janji dapat kahwin. Nenek saya nak tengok saya ni kahwin ikut adat Minangkabau sebab memang nenek saya berasal dari Tanah Minang.
“Kalau dah buat gaya Minangkabau biarlah segala-galanya berkonsep Minang, pakaian, makanan dan segala-galanya bertema Minang. Tapi tak tahulah macam mana sebab kami belum lagi berbincang,” kata Elyana.
Majlis sebelahnya akan diadakan di hotel atau mana-mana dewan di Shah Alam. Kalau tak sempat menempah dewan mungkin majlis akan diadakan di rumah saja. Selamat berbahagialah Elyana.
Mangga Online