Nana Tak Merajuk
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
Keputusan pengurusan mahukan dia berkeudara di stesen XFM diterima dengan hati terbuka
NADA suaranya kedengaran lemah pada permulaan bicara. Barangkali cuba mengumpul kekuatan kerana akur suara cerianya yang sentiasa menemani pendengar radio Era kini tidak lagi berkumandang di stesen popular itu.
Bagaimanapun, apabila topik perpindahannya ke stesen baru terus dibicarakan, nada selesa mula kedengaran. Khalayak pencinta suara Nana kini perlu beralih ke stesen XFM untuk terus bersama penyampai yang membina nama bermula di pentas realiti, Akademi Fantasia.
Pemilik nama penuh Nurul Hana Che Mahazan itu mula bersiaran di XFM sejak Isnin minggu lalu, sekembalinya daripada percutian bersama suami tercinta, Mohamed Raqeem Brian Abdullah di Melbourne, Australia.
Mendasari lubuk hatinya, akui anak kelahiran Muar, Johor itu, perasaan sedih masih membekas apatah lagi sejak lima tahun lalu Era mematangkan perjalanannya sebagai seorang penyampai radio.
Bermula dari bawah, berdepan pelbagai kritikan menghiris perasaan, Nana perlahan-lahan membina kredibiliti dan diakui, dia antara tunjang yang memberi kekuatan kepada stesen radio berformat pertama di Malaysia itu.
“Siapa yang tidak sedih, lebih lagi Nana sudah sebati dengan Era dan selesa di situ. Namun pengurusan mempunyai perancangan mereka sendiri.
“Pada permulaan diberitahu mengenai pertukaran, Nana tertanya sendiri di mana salah dan silap Nana. Apakah Nana tidak menjalankan tugas dengan baik? Semua itu membuat Nana keliru.
“Sempat Nana bertanya kepada pengurusan di mana kelemahan Nana? Tetapi apabila dimaklumkan mereka senang dengan komitmen dan disiplin Nana, lega Nana mendengarnya. Cuma Nana dimaklumkan XFM memerlukan penyampai berpengalaman. Nana antara yang paling lama bertugas di Era membuatkan pengurusan berfikir sudah tiba masanya untuk Nana beralih angin,” katanya.
Jujur kata Nana, dia terlalu menyayangi Era dan tidak pernah berasa bosan mencurahkan keringat untuk terus mempertahankan kedudukan stesen yang mempunyai jumlah pendengar 3.75 juta itu.
Semangat itu tidak pernah luntur, bahkan penyampai berusia 26 tahun itu sentiasa memberikan sepenuh hati ketika bersiaran.
Perpindahan itu, kata Nana, membuatnya merenung kembali ke dalam diri dan tidak sesekali melihat apa yang berlaku itu sebagai hukuman untuknya.
“Jika Nana tidak rela dan terus mengalah pada cabaran pendengar akan dapat mengesan keadaan itu dan itu tidak membawa Nana ke mana-mana.
“Nana menerima penghijrahan ini sebagai cabaran, menguji kemampuan Nana untuk bersama menyumbang khidmat dan mempertingkatkan kualiti pendengar XFM. Nana harus bersikap profesional dan menerimanya sebagai permulaan untuk terus memberikan yang terbaik kepada pencinta muzik tempatan,” katanya.
Penyampai yang pernah mengukir nama sebagai pelakon menerusi filem Gangster dan Maut itu turut menolak persepsi, perpindahannya mempunyai sangkut paut dengan suaminya yang kini bertugas sebagai Pengurus Program Hitz FM.
Nana juga berkata, tidak mungkin perpindahan itu dilakukan kerana dendam atau sakit hati kerana dia percaya, pengurusan AMP Radio Networks mempunyai perancangan mereka tersendiri.
“Ini keputusan pengurusan dan Nana harus menghormatinya. Karut jika penghijrahan Nana dikaitkan dengan Brian kerana sudah lebih dua tahun dia meninggalkan Era,” katanya.
Sempat berkongsi pengalaman pada hari pertama menerima berita mengejutkan itu, Nana berkata, dia segera menghubungi bapanya untuk meluahkan kegusarannya.
Mendengar nasihat bapa kata Nana, melunturkan segala kerisauan malah dia seakan mendapat semangat baru untuk memulakan tugasannya di XFM.
“Abah cakap, sudah tiba masanya Nana menerima cabaran baru. Mungkin di situ sinar Nana akan lebih menyerlah. Memang di Era, Nana sentiasa cuba melakukan pembaharuan, barangkali ia tidak ketara kerana peminat sudah terbiasa dengan cara Nana. Nana dan Era sudah terlalu sebati dan mungkin kerana itu, pembaharuan yang dibawa tidak jelas mata pendengar,” katanya yang terkesan dengan nasihat bapa yang sentiasa mendoakan kesejahteraannya.
Diajukan persoalan mengenai tanggungjawab besar yang kini tergalas di bahunya, Nana berkata, ada ketika dia dihimpit ketakutan kerana bimbang tidak mampu memenuhi kehendak pengurusan.
Bagaimanapun, dari satu sudut lain, Nana berbangga kerana kredibilitinya dipandang pengurusan membuatkan dia tidak sabar untuk memberikan baktinya.
“Nana percaya setiap kejayaan yang dilakar bukan pencapaian individu, sebaliknya usaha bersama semua pihak. Tanpa mereka Nana tidak mungkin dapat menjalankan semua peranan ini dengan baik dan itu yang Nana harapkan apabila berhijrah ke XFM,” katanya.
Bercerita mengenai percutiannya di Melbourne, Nana berkata, pemergian dia dan suami ke benua kecil itu bukan kerana membawa diri sebaliknya perancangan itu sudah lama dibuat. Pemergian mereka ke sana dirancang Brian yang terlalu meminati kumpulan rock, Pearl Jam yang kebetulan turut menjayakan konsert di Australia.
“Di samping bercuti, dapat juga kami menonton konsert bersama. Ia menjadi hari yang menyeronokkan buat kami berdua selepas sekian lama bergelut dengan kesibukan kerja,” kata Nana.
Masih belum diberikan tanda untuk menimang cahaya mata, Nana berkata, kehidupannya semakin terurus sejak bergelar isteri.
Akui Nana, dia selesa berkongsi hidup dengan lelaki yang ternyata memahami cita-cita dan kerjayanya. Brian juga menjadi kekuatan Nana untuk terus mendalami dunia penyampaian radio.
“Tuhan menghadirkan lelaki terbaik untuk bertakhta dalam hati Nana. Andai dulu ketika bercinta kami banyak membawa haluan sendiri, namun perkahwinan mendekatkan lagi hati kami berdua.
“Sibuk bagaimanapun, kami pasti akan mencuri masa untuk bersama dan berkongsi cerita. Semua itu memberikan Nana kebahagiaan,” katanya.
Info Nana
Nama Penuh: Nurul Hana Che Mahazan
Panggilan: Nana.
Tarikh Lahir: 1 Julai 1983.
Umur: 26 tahun.
Asal: Muar, Johor
Zodiak: Cancer.
Keluarga: Anak kedua daripada empat beradik.
Pendidikan: Diploma Pengurusan Teknologi Maklumat, Cosmopoint.
Profesion: Penyampai radio Era dan pengacara Brek! di Astro Ria, Galaksi (TV9) dan pelakon.
Filem: Maut dan Gangster.
Bintang Pop