Featuring the latest Malaysia scandals, gossip, and entertainment news.

Liyana & Jac Bakat Semakin Hebat

December 13, 2009 Lost | Comments (0) admin @ 7:34 pm



Oleh Zubir Mohd Yunus

Selepas diiktiraf dalam Anugerah Skrin 2009, dua artis artis bertanding pula dalam festival filem di Taiwan

SURATAN atau kebetulan. Itulah yang boleh diperkatakan mengenai dua bintang yang lahir daripada ‘genre’ berbeza ini. Liyana Jasmay, 21, pelakon remaja berbakat besar, yang kini berjinak-jinak bergelar penyanyi, manakala Jaclyn Victor, 31, penyanyi bersuara lantang, semakin diiktiraf bakatnya sebagai pelakon. Kini, kedua-duanya berjaya mendapat pengiktirafan pada Anugerah Skrin 2009 (ASK2009) berdasarkan bakat cemerlang mereka.

Liyana atau lebih mesra disapa Nana, seorang pelakon sepenuh masa, serius dengan kerjayanya, tapi tak pernah jemu memenuhi hasratnya bergelar penyanyi sekalipun menerima kritikan pedas, manakala Jaclyn atau Jac pula, meskipun layak dilabel memiliki suara ‘gergasi’, namun percubaan pertamanya di layar perak tidak pernah menghampakan, malah berjaya membuka mata peminatnya, dia sebenarnya memiliki aura tersendiri.

Lebih menarik, apabila Nana dan Jac digandingkan sebagai penghias muka depan B’Pop minggu ini, kedua-duanya mengakui ini adalah pertama kali mereka bergaya serentak di depan lensa yang sama!

Tahun 2009 benar-benar membawa tuah kepada Nana apabila dua anugerah berprestij industri perfileman negara, berada di genggamannya. Berlakon ketika usianya mencecah sembilan tahun dan baru lima tahun bergiat secara serius di kaca TV mahupun layar perak, sudah mampu menobatkan Nana sebagai aktres terbaik, sekalipun dia bukan dilahirkan daripada keluarga seni, jauh sekali mendapat pendidikan formal dalam bidang lakonan.

“Alhamdulillah, apa yang saya peroleh hari ini semuanya kerana minat dan cinta yang mendalam kepada seni lakonan. Sekiranya kita dilahirkan daripada keluarga seni, mahupun memperoleh ijazah perfileman dari luar negara, tapi kalau tak minat dengan apa yang kita buat, tak guna juga. Saya ambil contoh Uncle Rosyam Nor, kejayaannya hari ini adalah kerana kerja keras dan minat yang menebal kepada kerjaya lakonannya,” kata Nana.

Nana akan mewakili negara ke Festival Filem Asia Pasifik edisi ke-53 (FFAP53) di Bandaraya Kaohsiung, Taiwan mulai 17 hingga 20 Disember ini menerusi filem Papadom. Filem lain yang menjadi pertaruhan negara ialah Talentime dan Wayang. Justeru, adakah Nana sudah bersedia menerima kenyataan sekiranya dia dinobatkan sebagai Aktres Terbaik FFAP53 itu nanti?

“Apabila terpilih mewakili negara ke FFAP53, bagi saya itu sebenarnya satu kemenangan, tapi sekiranya diumumkan sebagai Aktres Terbaik FFAP53, itu memang kerja gila! Bayangkan, industri perfileman Malaysia perlu berdepan dengan negara ‘gergasi’ filem lain seperti Thailand, Korea dan Iran. Justeru, memang saya tak pernah terlintas menggenggam trofi berkenaan, perjalanan saya masih jauh,” kata Nana lagi.

Selepas dikenali sebagai pelakon, Nana kini sedang mengatur strategi untuk melebarkan sayapnya sebagai penyanyi pula. Namun, belum sempat dia ‘berlari’ mengejar cita-cita itu, Nana terus dilemparkan dengan pelbagai tanggapan negatif, kononnya dia menyanyi kerana menjejaki populariti ‘teman tapi mesranya’, Aizat, vokalnya tidak mantap, lagu-lagunya tiada identiti, meniru dan bermacam-macam lagi.

Namun, bagi Nana dia tidak mudah melatah dengan kata-kata itu. Tambahnya lagi, semakin ramai orang bercakap mengenai kerjaya nyanyiannya, ia sesuatu yang positif, sekali gus memberi petanda, orang sekeliling mengambil berat terhadap dirinya.

Nana akui masih intim dengan Aizat

Ketika populariti Nana sedang meniti di puncak, pelbagai andaian negatif terus dilemparkan kepadanya, terbaru menerusi ruangan pojok, Dengarnya… oleh Normah Becok, terbitan Berita Harian 2 Disember lalu, dia dikatakan bercakap tidak berlapik dan mengikut perasaan ketika temubual bersama program Gala TV, Astro Awani, baru-baru ini.

Menerusi temuramah itu, Nana didakwa memberikan jawapan dengan menampakkan dirinya sedikit bongkak dan menyakitkan hati apabila mendengar kata-katanya itu. Dia juga dikatakan sudah berlagak ‘kekwat’ (sombong) dengan segelintir pihak gara-gara populariti yang diraihnya hari ini.

“Ketika temubual itu, saya mengaku memberikan jawapan dengan penuh semangat, sekali gus kedengaran suara saya agak kuat. Namun, saya tidak pernah berniat bersikap kurang ajar atau bangga diri dengan sesiapa. Saya hanya bercakap soal industri, ikhlas daripada diri sendiri. Namun, sekiranya tindak tanduk saya itu tidak disenangi ramai, saya dibenci, orang sakit hati, saya akan turn down dan minta maaf.

“Kekwat? Terpulanglah apa orang nak cakap. Bagi saya, tak semua orang suka dengan kita. Justeru, terpulanglah kepada persepsi masing-masing untuk menilai. Tapi, percayalah, setinggi mana pun saya berada di puncak, saya tetap seperti dulu, saya hormat dengan semua orang.

“Namun, sekiranya ada yang membenci diri saya, jauhkan diri anda daripada saya, jangan jadi hipokrit,” katanya yang mengakui masih berkawan baik dengan Aizat, namun belum ada sebarang perancangan untuk berkahwin.

Tuah tarikh 4 Disember

Sementara itu, Jac menganggap Anugerah Khas – Yasmin Ahmad yang dinobatkan kepadanya adalah hadiah paling bermakna dalam hidup selain majlis pertunangannya kerana ASK2009 yang diadakan pada 4 Disember lalu dan bertunang pula pada 4 Disember 2006.

“Sebenarnya 4 Disember itu adalah hari ulang tahun kelahiran saya. Siapa menduga, saya tak pernah menyangka, pembabitan sulung saya di layar perak, rupa-rupanya berbaloi! Menerusi Talentime, saya dapat dua anugerah industri perfileman negara. Tapi, sekarang Yasmin Ahmad sudah meninggalkan kita semua, jadi adakah anugerah ini masih berbaloi buat saya?

“Ketika hayatnya, Allahyarham Yasmin pernah menawarkan saya filem baru selepas Talentime, saya begitu bersemangat untuk mencuba lagi. Tapi, sekarang dia sudah tiada, justeru semangat saya juga pergi bersamanya. Saya dah tak mahu berlakon lagi. Tapi, itu perasaan saya ketika itu. Namun, selepas menerima trofi berkenaan daripada adik Yasmin, Datin Orked Ahmad, dia sempat berbisik sesuatu kepada saya di pentas.

“Saya tersentak, saya harus meneruskan legasi dunia lakonan Yasmin Ahmad! Kini, hati saya terbuka kembali untuk berlakon. Namun, antara nyanyian dan lakonan, nyanyian tetap menjadi keutamaan saya. Nyanyian ‘cinta’ pertama saya. Jika ada tawaran lakonan dan jadual penggambarannya tidak bertembung aktiviti nyanyian, kemungkinan besar saya akan menerima pelawaan itu,” kata Jac.

Jac akui tunang setia

Semakin ramai kemunculan bakat baru yang dicungkil daripada program realiti, adakah Jac berasakan kedudukannya tergugat?

“Semakin ramai penyanyi, ia sebenarnya persaingan yang sihat. Bagi saya, muzik adalah sesuatu yang subjektif, luas dan sewajarnya kita jangan ada perasaan negatif. Jangan berpura-pura jadi kawan saya, akhirnya tikam saya dari belakang! Saya lebih rela, kalau ada yang tak suka dengan saya, sila jauhkan diri daripada saya,” kata Jac berterus-terang.

Bertunang sudah tiga tahun, bila lagi hendak mendirikan mahligai perkahwinan?

“Saya memang sentiasa merancang ke arah itu (kahwin), tapi ekonomi sekarang tak stabil, Chris terpaksa pulang ke UK (United Kingdom) dan sambung kerja di sana. Memang saya tak suka ‘percintaan jarak jauh’, tapi nak buat macam mana, saya dah lali,” katanya lagi.

Apabila berjauhan, tak risau ke Chris ada skandal dengan wanita lain di UK?

“Tunang saya bukan jenis macam tu, saya tahu sangat perangainya. Gerak hati saya mengatakan dia seorang yang setia, mana tahu skandal-skandal ni!,” kata Jac tergelak.

INFO: Liyana NAMA PENUH: Liyana Jasmay TARIKH LAHIR: 28 Mac 1988 ASAL: Kuantan, Pahang KELUARGA: Bongsu daripada empat beradik PENDIDIKAN: Diploma Seni Persembahan & Media di Sunway University College, Bandar Sunway, Selangor (sambung belajar Mac 2010) FILEM: Castello, Syaitan, Maut, Histeria, Kami The Movie, Papadom, Pisau Cukur, Duhai Si Pari Pari (tayang 31 Disember 2009), Niang Rapik The Movie (Februari 2010) dan Papadom 2 (penggambaran bermula 2010) DRAMA: Laila Sari, Zeti & Mawas, Ponti Anak Remaja, Niang Rapik The Series, Najwa dan Sari Maya ALBUM (EP): Liyana Jasmay (berada di pasaran 18 November lalu) LAGU: Aku Tak Percaya Cinta, Aku Jatuh Cinta, Penyelamat Cinta (duet bersama Aizat), Pelik dan Kejam DUTA: Maybelline PENCAPAIAN: Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) di Kota Kinabalu, Sabah menerusi Papadom dan Pelakon Wanita Terbaik Filem pada Anugerah Skrin 2009 (ASK2009) menerusi Kami The Movie

INFO: Jaclyn NAMA PENUH: Jaclyn Victor atau Jac TARIKH LAHIR: 4 Disember 1978 ASAL: Kuala Lumpur KELUARGA: Sulung daripada empat beradik PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Taman Ehsan, Kepong, Kuala Lumpur ALBUM TERBARU: Jaclyn Victor III berada di pasaran pada 1 September 2009 FILEM: Talentime PENCAPAIAN (NYANYIAN): Juara Malaysian Idol (MI) pada 2004; anugerah emas pada Shanghai Music Festival (2005); mengungguli Anugerah Juara Lagu ke-20 (AJL20); Penyanyi Wanita Terbaik pada Anugerah Planet Muzik 2006; Anugerah Industri Muzik ke-13 (AIM13) memenangi kategori Artis Baru Terbaik, Album Pop Terbaik, Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu kesemuanya menerusi album Gemilang dan Persembahan Vokal

Wanita Terbaik (AIM14) PENCAPAIAN: (LAKONAN): Pelakon Wanita Harapan pada Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) dan Anugerah Yasmin Ahmad pada Anugerah Skrin 2009 (ASK2009) TARIKH BERTUNANG: 4 Disember 2006 NAMA TUNANG: Chris Bellamy

Bintang Pop

No Comments »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a comment