Skip to content

Archive for January 2010

21
Jan

6ixth Sense Rakam Album Di Bandung?




Ditulis oleh Nonie
  
  

 

Betulkah album terbaru mereka akan mengambil proses sepenuhnya di Bandung? Tertanya-tanya juga Mangga Online mengapa tidak dibuat di Malaysia sahaja? Sixth Sense optimis dan menjelaskan segalanya masih dalam perancangan.

“Kami cuma mahukan kelainan untuk album terbaru nanti. Sambil recording, boleh juga bercuti sebab di sana barangan dijual murah.

“Lagipun kami bukan rakam full album di sana, hanya beberapa buah lagu sahaja. Kemungkinan kami akan membuat dua buah lagu di sana nanti,” ujar Ayoy (bass) mewakili anggota Sixth Sense yang lain.

Mungkin juga Sixth Sense sedang mencari peluang yang lebih besar di negara seberang, dan kita sendiri tahu vokalisnya berasal dari sana.

 

Menurut Adi, keinginannya untuk meneroka pasaran luar begitu besar selepas lagu Tak Bisa Memilihmu menjadi hits di Indonesia. Adakah kejayaan itu bakal berulang? Sama-sama kita nantikan single terbaru mereka.

Lima tahun mengabdikan diri dalam industri, namun masih tidak mahu meletakkan target untuk memenangi sebarang anugerah.

“Bukan kami tak mahu, cuma tak terlalu mengharap. Kalau menang pun orang akan letakkan harapan yang terlampau tinggi kepada kami. Kami lebih selesa dengan keadaan sekarang.

“Tercalon dalam Anugerah Bintang Popular 2009 satu kejayaan dan kalau menang memang satu bonus kepada kami. Tapi saingan memang hebat terutama bila dicalonkan bersama Hujan dan Bunkface,” ujar Sixth Sense yang bakal mengadakan showcase bersama artis universal termasuk Nidji pada 27 Januari ini.

Mangga Online

15
Jan

Siapa Sabhi Saddi?

Ditulis oleh Rosli Manah
  
  

Siapa Sabhi Saddi? Pasti tak ramai yang kenal sebab nama itu baru ingin mencuba meneroka bidang seni. Namun pemilik nama itu bukanlah baru kerana sebelum ini dia dikenali sebagai Boy dari kumpulan Esdeco yang pernah bersama-sama Adam AF. Ingat lagi?

Boy atau Sabhi, 25, mahu menggunakan nama yang tertera di dalam kad pengenalan kerana apa yang dibawakannya sekarang tidak sama dengan dulu. Sabhi memperjuangkan muzik R&B sebagai pertaruhan bergerak solo.

 

Sabhi SaddiMereka juga pernah muncul secara berkumpulan apabila diberi peluang merakam single berjudul Sayang Giler. Malangnya kumpulan itu tidak mendapat tempat dan sudah lama menyepi.

“Secara rasminya Esdeco masih wujud, cuma kami tidak dapat memberikan komitmen kerana masing-masing sibuk. Sekarang saya hanya mahu tumpukan kepada kerjaya solo saya sekarang. Saya sedar saya akan bermula dari bawah semula sebab menggunakan nama baru.

“Saya percaya muzik R&B ramai peminatnya. Jiwa saya sebenarnya meminati muzik ini tapi sebab kumpulan dulu memperjuangkan muzik hip hop dan dance music, saya pendamkan dulu minat ini. Semasa bersama Esdeco dulu pun saya sebenarnya sudah ada hasrat untuk merakam album secara solo.

Sabhi Saddi“Saya lakukan ini dengan pilihan saya sendiri bukannya kerana pilihan orang lain,” kata Sabhi yang kelihatan makin segak dalam imej R&B sekarang.

Dia menukar imej kerana tidak mahu dibayangi Esdeco, apatah lagi aliran muzik Esdeco dan muzik solonya sekarang jauh bezanya.

“Sebab itu juga saya menggunakan nama Sabhi Saddi. Saya tidak mahu peminat menyamakan saya semasa bersama Esdeco dulu. Muzik saya sekarang jauh berbeza dengan apa yang telah saya lakukan dulu. Ibarat saya mempunyai dua watak yang berbeza. Imej saya juga berubah mengikut watak saya sekarang, jelasnya.

Sekarang ini banyak pula kemunculan kumpulan dan artis solo yang membawa muzik indie. Sabhi harap kemunculannya dengan muzik yang berlainan akan mendapat tempat.

“Sekarang banyak sangat kumpulan muzik indie yang muncul. Kalau kita dengar radio, lagu-lagu mereka yang banyak diputarkan. Saya percaya lagu-lagu R&B perlahan ada penggemarnya. Peminat lagu-lagu slow sebenarnya masih ada, katanya lagi.

Sabhi SadhiKekok guna nama sendiri

Walaupun Sabhi Saddi ialah nama sebenarnya, namun Sabhi akui dia sendiri kedang-kadang masih tersasul sebab selalu menggunakan nama Boy sebagai ganti diri. Malah semasa berbual dia masih membahasakan diri sebagai Boy.

“Saya sendiri sebenarnya kadang-kadang tersasul membahasakan diri saya sebagai Boy kerana sudah terbiasa menggunakan nama itu. Mungkin sebab baru menukar nama… kalau lama-lama nanti saya boleh biasakan diri,” jelas Sabhi lagi.

Lagu Nadiku dijadikan single pertama yang bakal mengenengahkan namanya. EP tersebut memuatkan lagu-lagu Gemerlapan dan Jalan Pulang.

Mangga Online

9
Jan

Solekan Mata

Mekap tampak ‘natural’ trend tahun ini

Oleh
Zawiyah Salleh

TAHUN baru, fesyen pakaian, tas tangan dan kasut serba baru. Bagaimana pula dengan trend solekan, adakah tiada berubah atau ada perubahan kecil?

Setiap tahun, kaum wanita yang mengikuti perkembangan fesyen dan solekan, mengambil berat tentang warna yang diperkenalkan, terutama warna pembayang mata dan gincu yang sering berubah mengikut cita rasa para pengusaha serta pengeluar alat-alat solek.

Mengikut trend tahun ini, kaum wanita digalakkan menyolek wajah dengan cara yang lebih natural iaitu mekap yang dipakai tidak terlalu tebal, oleh itu bedak asasnya perlu sesuai dengan warna kulit kita.

Demikian nasihat pemilik syarikat alat solek jenama Doll Me Up Cosmetics (DMU), Cik Nazlin Hilal, 31 tahun, agar menggunakan sedikit sahaja bedak asas (foundation) untuk menutup tanda jerawat atau tanda-tanda yang terdapat pada wajah anda dan mekap yang digunakan pula tidak perlu terlalu tebal.

Jika kulit muka licin dan bersih, anda tidak perlu menggunakan bedak asas, sebaliknya anda hendaklah menggunakan pelembap muka dan kemudian mekap. Wajah anda akan kelihatan lebih berseri.

Menyentuh tentang bedak asas pula, kalau boleh, pilihlah yang mengandungi bahan galian (mineral powder) agar kulit anda kelihatan cerah dan segar.

Bagaimana caranya untuk memilih bedak asas yang sesuai dengan kulit anda?

Beliau menyatakan biasanya kebanyakan wanita mencalit sedikit sahaja bedak asas di bahagian tangan sebelum memilih warna yang sesuai, sedangkan cara ini tidak tepat.

‘Anda perlu mencalitkan sedikit bedak asas di bahagian dagu kerana warnanya sesuai untuk wajah anda pada keseluruhannya. Setelah memilih mekap, anda perlu menggunakan pembayang mata yang sesuai sekiranya anda menghadiri sesuatu majlis.

‘Di kalangan orang kita, warna coklat untuk pembayang mata adalah satu kemestian. Anda perlu meninjau warna lain yang disesuaikan dengan kulit kita iaitu biru, hijau, ungu atau merah agar kelihatan lebih menyerlah. Jangan memilih pembayang mata berdasarkan warna pakaian yang akan dipakai pada hari itu.’

Jika anda telah menyolekkan bahagian mata dengan lebih menyerlah, maka gincu yang digunakan pula biarlah warna yang lembut ataupun pengilat bibir (lip gloss) sahaja sudah memadai.

Untuk membolehkan kaum wanita terutama juru mekap menyolekkan wanita dengan gaya yang lebih menarik, DMU telah mengadakan pertandingan Mekap Keindahan Pulau (Island Beauty Make-Up) di atas sebuah kapal persiaran di terminal feri Marina South Pier baru-baru ini.

Pertandingan yang disertai oleh 12 orang juru mekap itu dimenangi oleh Cik Roslinda Roslan, 24 tahun, yang bertugas sebagai setiuasaha projek di sebuah syarikat.

Beliau belajar cara mekap sejak enam bulan lalu, dan sebelumnya sering memerhatikan ibunya, Cik Radziah Ahmad, 44 tahun, yang pernah berkhidmat sebagai mak andam sambilan untuk kira-kira 20 tahun.

Anak sulung daripada lima orang adik beradik itu berkata: ‘Saya suka melihat ibu menyolekkan pengantin dengan memberi keutamaan kepada bahagian mata. Untuk menambah pengetahuan, saya belajar di luar dan kemudian meminta pandangan ibu saya, yang telah pun berhenti bekerja sebagai mak andam sejak 10 tahun lalu.

‘Untuk pertandingan ini, saya gambarkan warna yang sesuai untuk pembayang mata seperti merah untuk bunga, kuning gambaran matahari, hijau warna pohon dan biru pula air laut. Saya gabungkan warna ini sebagai pembayang mata yang menyerlah dan dihiasi dengan hiasan bulu ayam yang telah saya carikkan.

‘Bagi saya, mata memainkan peranan penting untuk solekan wajah seseorang kerana dalam apa sahaja pertemuan, mata kita bertentangan terlebih dahulu dan kemudian barulah beralih ke bahagian bibir serta pipi,’ ujarnya.

Tempat kedua dimenangi oleh Cik Syerina Dzulkifli, 34 tahun, yang bertugas sebagai pegawai eksekutif di sebuah jabatan pemerintah, telah mengikuti kursus mekap di Carrie Academy lebih setahun yang lalu kerana minat menjadi juru mekap sebagai hobi pada masa lapang.

‘Di akademi ini, kami turut diberi peluang untuk menyolekkan peragawati atau orang perseorangan yang akan memperagakan fesyen, dan saya juga pernah menyolekkan beberapa orang penyanyi setempat untuk majlis jamuan malam.

‘Untuk pertandingan mekap DMU, saya gabungkan pembayang mata yang berwarna biru, hijau dan kuning agar kelihatan lebih menyerlah apabila bertentangan mata, manakala untuk gincu pula, saya memilih warna yang lebih lembut seperti merah jambu,’ tambahnya.

Cyberita

6
Jan

Saya Bukan Gaylah – Akim AF

Ditulis oleh Nonie
  
  

Semacam ada sumpahan dalam industri hiburan tika ini. Kebanyakan yang menjadi sasaran tohmahan adalah artis lelaki baru. Artis berpakej lengkap dan wajah pretty boy sering dituduh artis gay.

Akim AF7 juga tidak terkecuali dilabelkan gay oleh tanggapan stereotaip tersebut. Meskipun pernah digosip bercinta dengan rakan seperjuangan, Aishah, Akim terus menerus dianggap seorang gay.

Lelaki kacak selalunya ingin dilihat macho tanpa ada sebarang sifat lembut dalam diri mereka. Mungkin itu sifat lelaki tulen yang ingin dilihat orang di luar sana. Kecantikan dan sifat lemah lembut dalam diri Akim menjadi punca Akim turut dilabel dalam golongan tersebut. Apa kata Akim?

“Saya tahu ramai yang cakap saya gay tapi familiy saya tahu siapa Akim yang sebenarnya.

“Saya tak kisah berkawan dengan sesiapa dan saya mengaku ada kawan daripada golongan gay dan lesbian. Tapi itu tak bermaksud saya gay,” ujar Akim tegas.

Janganlah mudah membuat kesimpulan dengan hanya memandang  luaran sahaja. Diharap Akim tabah dengan tuduhan tidak berasas seperti itu.

Lebih Menyerlah

Walaupun sekadar menyandang gelaran tempat ketiga Akademi Fantasia musim ketujuh, namun tidak dapat dinafikan bintang Akim lebih menyerlah.

“Maybe populariti saya naik sebab penyokong. Mereka banyak bagi kritikan untuk tingkatkan lagi prestasi saya.

“Kalau saya buat lagu selalunya saya akan bagi diaorang dengar dulu dan kami akan berbincang bersama kalau ada kekurangan dalam lirik atau melodinya,” katanya yang mempunyai kelab peminat yang dinamakan Gerakan Penyokong Afiq Hakim (GAFIM).

Persiapan Anugerah Juara Lagu

Mempertaruhkan lagu Bengang dan berentap buat pertama kali di Anugerah Juara Lagu (AJL) bukanlah seperti pertandingan akhir Akademi Fantasia. Saingan sengit daripada penyanyi otai lain sedikit sebanyak merealisasikan impian Akim untuk beraksi di pentas berskala besar.

“Memang tak sangka dapat masuk sampai peringkat akhir. Setakat ni saya bersedia 70 peratus dan pastinya akan ada kelainan dalam persembahan nanti.

“Faizal Tahir, Tomok dan Bunkface antara yang akan memberikan saingan sengit dalam AJL nanti,”ujar Akim yang bakal tampil dengan single terbaru Inilah Cinta.

Jangan Ganggu Keluarga Saya

Keputusan melibatkan diri dengan dunia hiburan sedikit sebanyak mendatangkan tekanan kepada anak kelahiran Johor ini.

“Memang ada peminat fanatik dan saya suka sebab rasa macam mereka hargai saya sebagai penyanyi.

“Tapi kenapa mesti ganggu family saya? Saya tak kisah diaorang nak kacau saya tapi tolonglah jangan ganggu parents saya,” ujarnya mengakui turut diganggu golongan gay.

Mangga Online

5
Jan

Penangan Idola Kecil

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


TIGA pemenang Idola Kecil 2, dari kiri, Ain, Dayana dan Azzam.

Kebanyakan peserta berpotensi dan berbakat besar untuk diketengahkan sebagai penyanyi

ANDAI dinilai dari segi vokal, tentu tidak ramai yang menyangka mereka sebenarnya masih di bangku sekolah. Bukan saja suara mereka menyamai orang dewasa, malahan persembahan yang mereka tonjolkan boleh dikatakan setaraf dengan penyanyi profesional. Cuma yang membezakan mereka adalah bentuk fizikal. Manakala yang lain, mereka sempurna sebagai seorang penyanyi.

Bukan bercakap kosong namun itulah komentar yang diberikan juri pertandingan akhir program realiti Idola Kecil 2 yang bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) , malam Sabtu lalu. Menerusi pertandingan yang diterbitkan produksi TV9 itu, adik Siti Amirah Dayana Mohd Amerullah (Dayana) dinobatkan sebagai juara menewaskan enam pencabar lain yang memberikan saingan sengit malam itu. Menduduki tempat naib juara adalah adik Muhammad Azzammuddin Lop Hisham atau Azzam manakala tempat ketiga pula dimenangi adik Zur’ain Abd Rahim atau Ain.

Lihat saja bagaimana reaksi penonton sewaktu ketiga-tiga bintang kecil ini beraksi, seluruh dewan gegak gempita dengan jeritan dan sorakan penonton. Malah poster dan juga sepanduk kelihatan di sana sini tanda sokongan yang tidak berbelah bagi.

Mengulas persembahan yang ditonjolkan setiap peserta Atilia berkata kebanyakan peserta dilihat mempunyai potensi dan berbakat besar untuk diketengahkan sebagai penyanyi.

“Sejak peringkat uji bakat lagi saya sudah melihat bakat yang ada pada Dayana yang ketika itu menyanyikan lagu Awan Yang Terpilu. Cara penyampaian yang menarik iaitu sentiasa tersenyum sewaktu menyanyi serta bersahaja membuatkan saya rasa dia mempunyai bakat semula jadi dalam bidang ini. Dia juga mempunyai pakej lengkap sebagai seorang penyanyi. Walaupun agak nakal namun dia fokus dalam apa yang dilakukannya.


AKSI Daya ketika menyampaikan lagu Suatu Impian.

“Azzam pula mempunyai vokal unik dan mempunyai ramai peminat. Tasha dan Arill mempunyai vokal yang wow!. Saya bangga dengan prestasi yang ditonjolkan mereka. Saya sebenarnya adalah seorang yang tak suka kanak-kanak menyanyi. Pada saya biarlah mereka selesaikan persekolahan mereka terlebih dulu sebelum menyanyi seperti yang dilakukan ibu saya.

“Namun selepas melihat bakat mereka yang tonjolkan, kita rasa sayang jika bakat yang mereka miliki dibiar begitu saja kerana mereka adalah pelapis untuk penyanyi sedia ada. Jadi kita tak seharusnya mempersiakan bakat mereka,” ujar Atilia pada sidang media kemudiannya. Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Primeworks Studios Sdn Bhd, Farisha Pawanteh, Ketua Pengurusan Penjenamaan Kumpulan TV9, Rozaina Zainul Abidin dan Pengurus Pemasaran Dutch Lady, Sharon Tan.

Pendapat itu turut disokong komposer terkenal, Adnan Abu Hassan sambil menyifatkan mereka adalah yang terbaik kerana diuji dengan cabaran yang cukup hebat.

“Saya datang ke pertandingan ini tanpa menaruh sebarang harapan yang tinggi. Namun tak sangka pula yang mereka sebenarnya mempunyai bakat semula jadi yang mengagumkan. Bukan mudah untuk menyanyikan lagu baru, apatah lagi lagu baru yang mereka nyanyikan itu mempunyai komposisi yang cukup mencabar dan susah untuk dinyanyikan,” ulas komposer yang banyak melahirkan penyanyi terkenal ini.


SITI Amirah Daya bersama ayah dan ibu.

Mengulas kekalahan salah seorang peserta Tasha walaupun mendapat pujian juri kerana mempunyai vokal hebat dan keyakinan diri yang cukup tinggi, Atilia berkata dalam peringkat itu, bakat bukan saja tidak mencukupi.

“Saya akui dia berbakat tetapi dalam pertandingan ini kami mencari mereka yang mempunyai Faktor X dan pemenang hari ini mempunyai ciri-ciri itu,” jelas anak kepada penyanyi Salamiah Hassan ini.

Selain Atilia dan Adnan, juri undangan malam itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif 8TV/Ketua Rangkaian Radio Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.

Sementara itu mengulas status peserta program ini yang dikhabarkan bakal bergelar artis rakaman apabila pihak Sony Music Entertainment (M) Sdn Bhd berminat untuk melamar mereka, Rozaina berkata perkara itu masih dalam perbincangan.

“Besar kemungkinan keenam-enam mereka bakal; muncul dalam album kompilasi. Pun begitu, mereka juga bakal terbabit dengan program terbitan kami pada masa akan datang,” ujar Rozaina sambil memberitahu, program ini akan diteruskan tahun depan dan akan diadakan dalam bentuk skala yang lebih besar.

Kongsi hadiah bersama keluarga

CANTIK, berbakat dan popular. Itulah tiga ciri yang terdapat pada pelajar Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Senawang, Seremban yang membuatkan dia paling layak untuk dinobatkan sebagai Juara Idola Kecil 2. Namun dia sama sekali tidak menyangka yang bakal terpilih untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta pingat memandangkan saingannya pada malam itu hebat-hebat belaka.

”Saya memang tak sangka akan menang dan rasa sangat terharu dengan keputusan ini. Malam itu, saingan saya paling dekat adalah Azzam dan Ain kerana vokal mereka yang kuat.Apapun saya bersyukur dengan kemenangan ini,” kata Dayana yang juga meminati seni lakon dan gemar menari ini.

Bukan saja bergelar juara tetapi juga dipilih sebagai Idola Popular, sebuah anugerah khas yang disediakan penaja utama, Dutch Lady. Dengan kemenangan itu juga, Dayana membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM15,000. Ditanya apakah yang akan dilakukan dengan wang kemenangannya itu, pelajar berusia 10 tahun ini berkata, dia mahu berkongsi hadiah kemenangannya itu dengan ahli keluarganya.

“Saya mahu belikan telefon bimbit buat emak dan ayah saya serta hadiah untuk atuk dan nenek saya. Manakala selebihnya saya simpan untuk belajar. Mereka banyak menyokong saya sebelum ini dan saya mahu mereka merasai apa yang saya nikmati ini,” ujar Dayana yang menyampaikan lagu baru Suatu Impian dan Jika Kau Ubah Fikiran, nyanyian Mila.

Berita Harian