FILEM: Filem Imaginasi Buka Tirai
Oleh FIRDAUS SAHAT
Rap
MEMBUKA tirai tayangan untuk 2010, penonton layar perak mula disajikan dengan sebuah filem imaginasi hasil sentuhan sutradara terkemuka Hollywood, Terry Gilliam berjudul The Imaginarium Of Dr Parnassus bermula 1 Januari lalu.
MEMBUKA tirai tayangan untuk 2010, penonton layar perak mula disajikan dengan sebuah filem imaginasi hasil sentuhan sutradara terkemuka Hollywood, Terry Gilliam berjudul The Imaginarium Of Dr Parnassus bermula 1 Januari lalu.
Meskipun memasuki hari ketiga tayangannya, sambutan diperoleh produksi berkenaan sungguh menggalakkan. Bayangkan saja, selepas Avatar melabuhkan tirainya dengan sajian teknik janaan komputer yang menakjubkan, kini hadir pula sebuah filem bercorak sama tetapi berlainan konsep untuk memenuhi permintaan penonton.
Barangkali ramai melihat hasil karya Gilliam terdahulu seperti seperti Monty Python, Brazil, Time Bandits, 12 Monkeys dan The Brothers Grimm. Bagaimanapun, saran penulis jangan samakan filem berkenaan dengan karya terbarunya.
Melihatkan prebiu di negara Barat, rata-rata memuji filem bercorak pengembaraan dan fantasi ini. Dengan teknologi canggih, Gilliam membawa penonton menyusuri kehidupan lelaki bergelar Doktor Parnassus yang menjalin kerjasama dengan syaitan untuk kekal hidup selama-lamanya.
Tambah menarik, Gilliam berjaya menyiapkan filem berkenaan meskipun selepas kematian pelakon utamanya yang memegang watak Tony, Heath Ledger. Malah, menambah keseronokan menonton, Gilliam mengadaptasikan watak Tony kepada tiga teraju utama menggantikan Ledger iaitu Johnny Depp, Jude Law dan Colin Farrell.
Meskipun berlainan pelakon, jalan cerita dipersembahkan sutradara ini menarik. Walau jalan ceritanya berbelit, kesudahannya menjanjikan sesuatu di luar jangkaan.
Barangkali juga Depp, Law dan Farrell punya tarikan tersendiri dalam watak dibawa. Melihatkan kredibiliti mereka sebelum ini, penonton pasti dapat mengagak bagaimana gaya lakonan yang bakal dipersembahkan.
Untuk 2010, The Imaginarium Of Dr Parnassus menjadi filem CGI pertama membuka tirai untuk tayangan layar lebar. Jika belum berpuas hati dengan karya berkenaan, pelbagai filem menarik bakal dipaparkan tidak lama lagi, antaranya Alice In Wonderland, karya komedi animasi daripada Chris Sanders dan Dean DeBlois berjudul How To Train Your Dragon, Prince Of Persia: The Sands Of Time dan Legion.
Harian Metro