FILEM: Suami Isteri Diburu
Rap
NARATIF filem ini ringkas. Sepasang suami isteri yang tidak lagi hidup di bawah satu bumbung menjadi saksi satu pembunuhan dan diarah bersembunyi buat sementara waktu bagi mengelak diburu pembunuh itu.
Di bawah program perlindungan saksi, mereka diberi identiti baru dan perlu belajar menerima antara satu sama lain di Wyoming. Membesar di kota besar yang dikelilingi dengan teknologi terkini membuatkan mereka kekok hidup di kawasan pedalaman itu.
Secara peribadi, filem ini mengecewakan meskipun mengetengahkan dua bintang besar. Gandingan Sarah Jessica Parker sebagai Meryl Morgan dan Hugh Grant (Paul Morgan) kurang sesuai. Bahkan Grant nampak terlalu tua dan statik untuk Sarah yang jauh lebih energetik.
Jalan ceritanya meleret, belumpun separuh tayangan sudah terasa bosan. Jika watak pasangan Morgan dikembangkan, mungkin naratifnya lebih menarik.
Penonton disajikan dengan ketegangan hubungan ini yang berpunca daripada sikap curang Paul, namun jika didedahkan sedikit gambaran latar belakang mereka seperti bagaimana mereka bertemu, pasti penceritaan akan lebih lengkap dan sempurna ditonton. Begitu juga dengan sedikit gambaran mengapa pembunuhan itu berlaku.
Kepincangan itu bagaimanapun ditampung dengan lakonan mantap Michael Kelly sebagai pembunuh upahan, Sam Elliott dan Mary, pegawai polis Wyoming yang bertanggungjawab melindungi pasangan Morgan.
Filem ini sesuai ditonton peminat fanatik Sarah dan Grant. Jika mereka tidak ada dalam senarai pelakon kegemaran anda, mungkin ini alternatif terakhir jika tiada aktiviti di hujung minggu.
FILEM: Did You Hear About The Morgans?
ARAHAN: Marc Lawrence
PELAKON: Hugh Grant, Sarah Jessica Parker Michael Kelly, Sam Elliot dan Mary Steenburgen
GENRE: Komedi / Romantik
TAYANGAN: 31 Disember 2009
ULASAN: Shakilawati Abd Rahman
Harian Metro