Selebriti Indie Dalam Xpresi Kembara
Oleh MURSHID EUNOS
Rap
PROGRAM terbitan Unit Majalah dan Dokumentari RTM yang berkonsep kembara pelancongan dengan gabungan elemen muzik, Xpresi Kembara, akan kembali menemui penonton dengan suntikan kelainan sepanjang Januari ini.
Lima selebriti indie popular dijemput untuk turut bercuti dalam usaha menyokong kempen cuti-cuti Malaysia. Antaranya kumpulan 6ixth Sense yang meneroka keseronokan kota keriangan Genting Highland pada 2 Januari. Ini diikuti penyanyi Yuna yang menjelajah seluruh pelusuk bandar raya Ipoh seminggu kemudian.
Episod pada 16 Januari pula menampilkan kumpulan Bunkface yang melihat keunikan di A Farmosa Resort, Melaka selain Awanband di Pulau Pinang dan kumpulan Couple di Cameron Highlands.
Selain melawat dan meninjau keindahan setiap lokasi percutian, kumpulan muzik itu serta Yuna akan turut sama menyertai pelbagai aktiviti di setiap lokasi bagi memberi gambaran lebih jelas untuk tatapan penonton.
Bayangkanlah apabila selebriti generasi muda, Adi yang juga vokalis 6ixth Sense menaiki pelbagai permainan mencabar di Genting Highlands dan Yuna merasai pengalaman di pasar pagi Memory Lane, Ipoh.
Vokalis Bunkface, Sam juga tidak melepaskan peluang melihat secara dekat binatang buas seperti harimau dan buaya di Safari World A Farmosa Resort.
Program berbentuk santai seperti ini bukan sekadar rujukan percutian buat penonton, tapi turut mendekatkan peminat dengan artis kesayangan mereka.
Ini kerana selebriti terbabit turut bertemu peminat dan menjual cenderahati, termasuk album mereka, secara eksklusif di lokasi yang mereka kunjungi. Mereka turut membuat persembahan secara live di depan peminat.
Pastikan temu janji untuk menyaksikan setiap episod program remaja, Xpresi Kembara dengan gelagat menarik artis indie sepanjang Januari, setiap Sabtu, jam 12.31 tengah hari, di TV1.
Harian Metro