‘Sedap Corner’
SETELAH meneroka serata pulau sejak Mei 2007, Putri Berendam mempunyai senarai saranan dan reviu makanan halal yang agak luas.
Berikut antara lima pilihan beliau.
Ekstra juga tidak mahu ketinggalan. Kami turut mempunyai ‘pakar makan’ sendiri, yang menyarankan supaya anda meneroka kawasan Woodlands East Industrial Estate untuk makanan sedap dengan harga ‘borong’.
SARANAN PUTRI BERENDAM
(untuk senarai penuh lungsuri putriberendam.com)
Nasi Ayam:
Siapa yang tidak suka nasi ayam? Apatah lagi terdapat banyak pilihan di luar sana.
Yang mana satu ingin dicuba? Putri Berendam menyarankan agar penggemar nasi ayam berkunjung ke sebuah kedai kopi Cina di sebelah Blok 77 di Lorong Limau, di kawasan Whampoa.
‘Saya terjumpa gerai nasi ayam ini berhampiran Masjid Rahimahbi. Tapi saya diberitahu gerai ini tutup cepat. Apabila saya sampai kira-kira jam 4 petang, ayam mereka pun dah habis.
‘Gerai ini dikendalikan oleh dua orang lelaki. Kata orang, kaum lelaki adalah tukang masak terbaik. Berdasarkan nasi ayam mereka, betullah tu,’ kata Putri Berendam.
Kari Itik:
Kata Putri Berendam, beliau ‘terjumpa’ Restoran Khan di Dunlop Street ini sewaktu ‘mengidamkan’ daging itik.
‘Licin kari saya jilat dalam beberapa minit saja. Paling enak kalau dimakan hangat,’ kata beliau penuh ghairah.
Makanan Laut:
Untuk menikmati makanan laut yang sedap dalam suasana tenang lagi santai, Putri Berendam menyarankan anda mencuba Rasa Istimewa di Chua Chu Kang Park (gambar kanan).
‘Semasa pertama kali ke sana, sebenarnya saya sudah lama rancang makan di situ, cuma tidak ada masa. Apabila akhirnya ke sana, tak hampa.
‘Makanan lautnya segar dan lembut. Rasanya just nice. Tapi kalau memandu, baik letak kereta di pusat beli-belah berhampiran kerana tempat meletak kereta di sana agak terhad.
‘Lepas makan, bolehlah jalan-jalan di taman. Romantis sekali,’ kata beliau.
Mi Ayam Sos Tiram:
Putri Berendam melawat gerai Chicken/Duck Rice Stall No. 2 di kantin Politeknik Temasek untuk mencuba nasi itik.
Namun, beliau ‘terjumpa’ pula mi ayam sos tiram ini yang menurutnya begitu lazat.
‘Bila saya lihat kuahnya yang begitu lemak dan kaya, saya terfikir jackpot! Mesti sedap dan saya tidak kecewa. Murah pulak tu. Hanya $3 sepinggan,’ kata beliau.
Mi Daging Lembu:
Tang Tea House di kawasan Simpang Bedok adalah sebuah kedai kopi yang menghidangkan makanan Hongkong, India dan Melayu.
Tapi, Putri Berendam menyarankan mi daging lembu atau beef brisket noodle yang menurutnya enak sekali.
‘Rasa kuah mi ini ‘terangkat’ dan ketulan daging lembu dalam hidangan ini begitu lembut… syok dan sedap.
‘Dumpling dalam hidangan ini juga segar dan dibuat sendiri setiap hari,’ katanya.
SARANAN EKSTRA
Untuk senarai penuh, baca ruangan Selera, Berita Minggu, setiap minggu.
Otak-Otak:
Di Defu BBQ, pelbagai jenis otak-otak – daripada ketam bercili, hingga udang sambal dan kerang sambal – boleh dibeli.
Harganya juga begitu berpatutan, dijual secara borong.
Selain langsung ke kedainya di Blok 15, Woodlands Loop #03-53, pelanggan juga boleh menempah menerusi laman www.bbq.sg.
‘Ramai juga pelanggan kami yang datang secara langsung ke kedai. Tapi kira-kira 40 peratus perniagaan kami ialah menerusi tempahan Internet,’ ujar pemilik bersama syarikat itu, Encik Rodney Ang, 40 tahun.
Kek & Pencuci Mulut:
Kalau untuk majlis kenduri atau pesta hari jadi, J&C (Fong’s) Food Industrial pasti memenuhi segala keperluan kek dan pencuci mulut anda.
Antara menunya termasuk kek pisang, kek marble, kek keju dan kek durian. J&C juga popular dengan kuih tart, brownie dan swiss roll.
J&C terletak di Blok 15 Woodlands Loop, #03-03.
‘Tiap kali ada majlis keramaian, saya pasti ke sini untuk membeli kek.
‘Selain itu, saya pun datang ke J&C untuk membeli kek sebagai hadiah untuk kawan atau untuk majlis perkahwinan,’ kata suri rumah, Cik Dijaswatie Shariff, 42 tahun, seorang pelanggan tetap J&C.
Lain-Lain Saranan Ekstra:
Zac Meat & Poultry, 16 Woodlands Terrace
– Daging sejuk (cold cuts), sosej, makanan BBQ, shawarma, daging panggang, produk tenusu, keju dan topping piza.
Melvados, 26 Woodlands Terrace
– Pencuci mulut seperti brownie, kek keju dan aiskrim.
Fassler Gourmet, 46 Woodlands Terrace
– Ikan salmon dan pelbagai produk makanan laut.
Cyberita