Featuring the latest Malaysia scandals, gossip, and entertainment news.

@Sinepleks: Legion Ketepikan Adnan Sempit

January 30, 2010 Berita Harian | Comments (0) admin @ 4:32 pm



Oleh Nurulhisham Abdul Latiff


PAUL BETTANY diberikan tanggungjawab menghidupkan watak Michael.

Filem komedi arahan Ahmad Idham masih dalam carta Top 10

HUJUNG minggu lalu, filem bercorak thriller aksi dari Hollywood, Legion, berjaya menguis turun filem tempatan yang juga juara minggu sebelumnya, Adnan Sempit, untuk berada pada takhta teratas carta pecah panggung negara.

Filem arahan Scott Stewart itu memusnahkan impian Adnan Sempit untuk terus menunjukkan belang sebagai filem Melayu yang mampu bertahan sebagai juara buat beberapa minggu lamanya. Begitupun, filem arahan Ahmad Idham ini masih kekal dalam senarai pecah panggung dengan menghuni tempat kedua, satu pencapaian yang memberangsangkan pada ketika banyak judul besar dari Barat yang masuk pawagam.

Filem Legion yang turut mendapat sambutan baik di Amerika Syarikat dan Kanada, dijayakan ramai pelakon berstatus bintang termasuk Paul Bettany, Lucas Black, Tyrese Gibson dan Dennis Quaid. Ia diperkuatkan dengan kemunculan Adrianne Palicki, Charles S. Dutton, Jon Tenney, Kevin Durand, Willa Holland dan Kate Walsh.

Kisahnya berkisar kepada kehilangan kepercayaan Tuhan ke atas manusia dan malaikat Michael (lakonan Bettany) yang ingkar kini menjadi penyelamat umat manusia di muka bumi daripada penghapusan.

Kali ini, menggunakan malaikat sebagai ejen pemusnah, kemurkaan Tuhan diturunkan ke muka bumi untuk menghapuskan penghuni dunia. Dalam keadaan terdesak, Michael cuba mengubah nasib dengan mengerah sekumpulan manusia yang kebetulan terperangkap di restoran tengah-tengah padang pasir di New Mexico, milik Bob Hanson (Quiad) untuk berjuang.



ANTARA babak mendebarkan dalam Legion.

Michael dan kumpulan terbabit berusaha menyelamatkan perempuan muda, Charlie (Palicki) dan bayi dalam kandungannya. Namun, apabila menyedari Michael mengingkari perintah, Tuhan menurunkan malaikat Gabriel bagi menyempurnakan tugas asal. Namun, Michael sanggup mengorbankan dirinya demi mempertahankan si bayi. Michael percaya, manusia mampu berubah untuk mencari kehidupan lebih sempurna.

Melihat pengorbanan itu, Tuhan membangkitkan kembali Michael bagi mendapatkan peluang kedua.

Legion dilihat sebagai sebuah filem yang berani menggunakan karakter dari kitab Injil sebagai hiburan. Memang sejak akhir-akhir ini, banyak juga petikan kisah yang dipaparkan dalam kitab agama dijadikan inti pati filem mereka.

Menariknya, Legion harus dilihat dari segi mesejnya. Ia menegaskan, manusia dilahirkan dengan penuh kesucian. Manusia lahir ke muka bumi tanpa secalit dosa di badan. Namun, persekitaran, ajaran diterima serta sikap diri akan menentukan kemudian, ke mana hala tuju seseorang insan.

Bayi yang berada dalam kandungan Charlie ingin dipertahankan Michael kerana dia percaya, umat manusia mampu berubah dan hidup dengan lebih bererti. Walaupun ibunya seorang perempuan tidak bermoral, tetapi bayi itu bukannya anak yang bersalah. Dia berhak untuk hidup dan menempuh takdirnya di dunia.

Pada ketika mesejnya seronok diperbincangkan, serta barisan pelakon yang dikira ternama lagi berbakat menghiasi layar, tetapi filem Legion tetap dikecam sebahagian pengulas kerana rentaknya yang dianggap perlahan. Lebih parah, ia dilihat penuh dengan dialog yang berlebihan.

Mungkin sesetengah pengkritik mahu melihat Legion sebagai sebuah filem penuh aksi, padat dengan babak tembak menembak, pergaduhan dan pertarungan. Maklum saja, ia diklasifikasikan sebagai filem aksi. Tetapi, bagi saya, dialog yang dituturkan itu mengandungi makna yang harus diteliti maksudnya. Di situlah terletak segala pesanan yang mungkin elok direnungkan bersama.

Berita Harian

No Comments »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a comment