Featuring the latest Malaysia scandals, gossip, and entertainment news.

‘Sedap Corner’

January 29, 2010 Cyberita | Comments (0) admin @ 6:46 pm



SETELAH meneroka serata pulau sejak Mei 2007, Putri Berendam mempunyai senarai saranan dan reviu makanan halal yang agak luas.

Berikut antara lima pilihan beliau.

Ekstra juga tidak mahu ketinggalan. Kami turut mempunyai ‘pakar makan’ sendiri, yang menyarankan supaya anda meneroka kawasan Woodlands East Industrial Estate untuk makanan sedap dengan harga ‘borong’.

SARANAN PUTRI BERENDAM
(untuk senarai penuh lungsuri putriberendam.com)

Nasi Ayam:

Siapa yang tidak suka nasi ayam? Apatah lagi terdapat banyak pilihan di luar sana.

Yang mana satu ingin dicuba? Putri Berendam menyarankan agar penggemar nasi ayam berkunjung ke sebuah kedai kopi Cina di sebelah Blok 77 di Lorong Limau, di kawasan Whampoa.

‘Saya terjumpa gerai nasi ayam ini berhampiran Masjid Rahimahbi. Tapi saya diberitahu gerai ini tutup cepat. Apabila saya sampai kira-kira jam 4 petang, ayam mereka pun dah habis.

‘Gerai ini dikendalikan oleh dua orang lelaki. Kata orang, kaum lelaki adalah tukang masak terbaik. Berdasarkan nasi ayam mereka, betullah tu,’ kata Putri Berendam.

Kari Itik:

Kata Putri Berendam, beliau ‘terjumpa’ Restoran Khan di Dunlop Street ini sewaktu ‘mengidamkan’ daging itik.

‘Licin kari saya jilat dalam beberapa minit saja. Paling enak kalau dimakan hangat,’ kata beliau penuh ghairah.

Makanan Laut:

Untuk menikmati makanan laut yang sedap dalam suasana tenang lagi santai, Putri Berendam menyarankan anda mencuba Rasa Istimewa di Chua Chu Kang Park (gambar kanan).

‘Semasa pertama kali ke sana, sebenarnya saya sudah lama rancang makan di situ, cuma tidak ada masa. Apabila akhirnya ke sana, tak hampa.

‘Makanan lautnya segar dan lembut. Rasanya just nice. Tapi kalau memandu, baik letak kereta di pusat beli-belah berhampiran kerana tempat meletak kereta di sana agak terhad.

‘Lepas makan, bolehlah jalan-jalan di taman. Romantis sekali,’ kata beliau.

Mi Ayam Sos Tiram:

Putri Berendam melawat gerai Chicken/Duck Rice Stall No. 2 di kantin Politeknik Temasek untuk mencuba nasi itik.

Namun, beliau ‘terjumpa’ pula mi ayam sos tiram ini yang menurutnya begitu lazat.

‘Bila saya lihat kuahnya yang begitu lemak dan kaya, saya terfikir jackpot! Mesti sedap dan saya tidak kecewa. Murah pulak tu. Hanya $3 sepinggan,’ kata beliau.

Mi Daging Lembu:

Tang Tea House di kawasan Simpang Bedok adalah sebuah kedai kopi yang menghidangkan makanan Hongkong, India dan Melayu.

Tapi, Putri Berendam menyarankan mi daging lembu atau beef brisket noodle yang menurutnya enak sekali.

‘Rasa kuah mi ini ‘terangkat’ dan ketulan daging lembu dalam hidangan ini begitu lembut… syok dan sedap.

‘Dumpling dalam hidangan ini juga segar dan dibuat sendiri setiap hari,’ katanya.

SARANAN EKSTRA
Untuk senarai penuh, baca ruangan Selera, Berita Minggu, setiap minggu.

Otak-Otak:

Di Defu BBQ, pelbagai jenis otak-otak – daripada ketam bercili, hingga udang sambal dan kerang sambal – boleh dibeli.

Harganya juga begitu berpatutan, dijual secara borong.

Selain langsung ke kedainya di Blok 15, Woodlands Loop #03-53, pelanggan juga boleh menempah menerusi laman www.bbq.sg.

‘Ramai juga pelanggan kami yang datang secara langsung ke kedai. Tapi kira-kira 40 peratus perniagaan kami ialah menerusi tempahan Internet,’ ujar pemilik bersama syarikat itu, Encik Rodney Ang, 40 tahun.

Kek & Pencuci Mulut:

Kalau untuk majlis kenduri atau pesta hari jadi, J&C (Fong’s) Food Industrial pasti memenuhi segala keperluan kek dan pencuci mulut anda.

Antara menunya termasuk kek pisang, kek marble, kek keju dan kek durian. J&C juga popular dengan kuih tart, brownie dan swiss roll.

J&C terletak di Blok 15 Woodlands Loop, #03-03.

‘Tiap kali ada majlis keramaian, saya pasti ke sini untuk membeli kek.

‘Selain itu, saya pun datang ke J&C untuk membeli kek sebagai hadiah untuk kawan atau untuk majlis perkahwinan,’ kata suri rumah, Cik Dijaswatie Shariff, 42 tahun, seorang pelanggan tetap J&C.

Lain-Lain Saranan Ekstra:

Zac Meat & Poultry, 16 Woodlands Terrace
– Daging sejuk (cold cuts), sosej, makanan BBQ, shawarma, daging panggang, produk tenusu, keju dan topping piza.

Melvados, 26 Woodlands Terrace
– Pencuci mulut seperti brownie, kek keju dan aiskrim.

Fassler Gourmet, 46 Woodlands Terrace
– Ikan salmon dan pelbagai produk makanan laut.

Cyberita

Dengarnya…: Giliran Baby Face Singgah KL

Berita Harian | Comments (0) admin @ 6:40 pm

Oleh Normah Becok


BabyFace

SELEPAS konsert Rihanna yang dijadualkan tahun lalu tak menjadi, nampaknya pihak penganjur konsert terbabit Pineapple Concerts Sdn Bhd tidak serik untuk mengundang artis luar membuat konsert di negara kita. Tanggal 5 Mac depan, syarikat ini akan membawa BabyFace pula untuk membuat persembahan di Kuala Lumpur.

Bintang R&B yang pernah memenangi 10 kali Anugerah Grammy itu akan meneruskan siri jelajahnya South East Asian Tour dipanggil Babyface Live In Kuala Lumpur bertempat di Dewan Plenary, Pusat Konvesyen Kuala Lumpur bermula jam 8.30 malam.

Bagi peminat penyanyi yang pernah menyanyikan lagu Fire menampilkan Des’ree ini rebutlah peluang untuk menonton persembahan ini. Cuma Cik Normah harap pihak penganjur tidak akan mengulangi perkara yang sama terjadi kepada Rihanna sebelum ini yang menghampakan peminatnya di Malaysia.

Harapnya, pihak penganjur akan cakap serupa bikin. Iyalah, kalau tak jadi kita juga yang susah nak tebus balik pembelian tiket. Kawan Cik Normah sendiri antara contoh terdekat terpaksa menunggu pembayaran balik duit pembelian tiket Rihanna. Bukan sebulan tapi sudah nak dekat tiga bulan rasa penantiannya.

Kepada yang berminat untuk menonton konsert ini, tiket mula dijual mulai semalam menerusi Axcess Hotline, di talian 03-77115000. Atau layari laman sesawang, www.axcess.com.my. Tiket dijual pada harga RM453, RM353, RM253 & RM153.

Berita Harian

Bukan Pengacau Industri

Berita Harian | Comments (0) admin @ 6:30 pm

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


Dayang Nurfaizah

Alibi Music percaya bakat muda, dapat kembali rancakkan dunia muzik tempatan

KETIKA syarikat rakaman lain mengehadkan pengambilan artis baru dan lebih banyak menerbitkan album kompilasi namun ada yang percaya dan tegar mengatakan industri muzik di Malaysia masih mampu bernafas dan berdiri teguh seperti mana yang pernah berlaku sebelum ini.

Justeru, berbekalkan keyakinan tinggi serta kata-kata takkan mengalah selagi belum mencuba, maka tertubuhlah sebuah syarikat rakaman iaitu Alibi Music Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik Metadome Sdn Bhd. Dilancarkan baru-baru ini dalam sebuah majlis penuh gilang gemilang lengkap dengan acara permaidani merah dan mini konsert, misi Alibi Music Sdn Bhd adalah untuk memperkenalkan lebih ramai bakat baru dalam bidang nyanyian serta memperkenalkan revolusi muzik baru yang lebih segar.

Berbicara mengenai soal ini bersama Pengurus Kanan Alibi Music, KC Ismail, dia mengatakan memang menjadi hasrat syarikat rakaman itu untuk mengukuhkan kedudukan mereka supaya dapat sama bersaing dengan syarikat rakaman lain dengan mengambil lebih ramai artis baru termasuk produk luar bernaung di bawah syarikat rakaman mereka.

“Memandangkan pasaran album yang agak lembab, jadi kita lebih pentingkan penghasilan single. Misi kami adalah untuk menerbitkan lima single dalam masa sebulan. Ini penting bagi merancakkan kembali industri muzik kita yang semakin malap. Dan untuk itu, kami kena melahirkan lebih ramai bakat baru dalam bidang nyanyian. Bukan saja di Malaysia tetapi juga di dua buah negara lain iaitu Indonesia dan Singapura. Cuma buat masa ini, untuk Indonesia, kami hanya mengedarkan album saja.

“Untuk mencari bakat baru ini, kami bekerjasama dengan Cat Farish dari kumpulan The Fabulous Cats memandangkan dia juga adalah A&R syarikat kami. Jadi dia juga ada memberi idea. Sebagai contoh, dialah juga yang menemukan kumpulan Dynda dari Singapura. Asalnya mereka adalah penari latar sewaktu teater muzikal Impak Maksima berlangsung di Esplanade tahun lalu. Selepas menjalani uji bakat dan kami mendapati mereka sesuai untuk dijadikan kumpulan nyanyian, maka mereka pun diambil menjadi artis rakaman kam,” jelas KC ketika ditemui selepas mini konsert itu berakhir.


Selain kumpulan Dynda, antara bakat baru yang diperkenalkan malam itu termasuklah pengacara terkenal, Awal Ashaari, model dan juga pelakon Natasha Hudson, Marsha, bekas naib juara Bintang RTM 2007, Rehana Yunus. Masing-masing menyampaikan single yang dihasilkan khusus untuk mereka.

Pun begitu, selepas menyaksikan persembahan mereka, ada di antara penyanyi terbabit tidak mempunyai bakat yang diharapkan. Pendek kata, semuanya bersandarkan kepada populariti serta wajah komersial semata-mata.

Ketika diajukan perkara ini kepada KC, dengan pantas dia menafikan dakwaan itu sambil menegaskan mereka tidak pernah berkompromi soal bakat.

“Pada kami, vokal masih lagi menjadi keutamaan. Mereka yang terpilih untuk menjadi artis rakaman kami perlu menjalani sesi uji bakat terlebih dulu. Selepas dinilai kemampuan mereka, barulah kami ikat kontrak dengan mereka.

“Sebagai contoh, Natasha Hudson, sebelum dia bergiat aktif dalam bidang lakonan dan modelling, dia sebenarnya sudah ditawarkan untuk menjadi artis syarikat rakaman iaitu Positive Tone. Tapi disebabkan ada masalah yang tak dapat dielakkan, akhirnya projek itu terbiar begitu saja. Dia boleh menyanyi sebenarnya.

“Lagipun memang ramai artis yang berminat untuk menjadi artis kami dan kebanyakannya adalah pelakon. Memandangkan kita sudah ada Liyana Jasmay, jadi buat apa kita nak cari pelakon lagi untuk menjadi penyanyi,” terang KC.

Ditanya tidakkah tindakan mereka itu dilihat sebagai pengacau kepada industri apabila melambakkan industri ini dengan golongan penyanyi seperti ini, KC mempunyai pandangan tersendiri berhubung dakwaan itu.

“Mereka bukan pengacau industri tetapi merekalah yang akan menghidupkan lagi industri. Disebabkan itulah juga kami memilih penyanyi yang datang dari pelbagai bidang iaitu pengacara dan model dan tidak terhad kepada pelakon semata-mata,” tegasnya.

Konsert gandingan artis baru dan ternama

PERANCANGAN awal mereka sekadar mahu mengadakan majlis pelancaran biasa. Namun alang-alang membuat majlis dan mahu menjadikan acara itu sebagai malam bermakna buat warga Alibi Music dan mereka yang banyak menyokong kerjaya mereka maka terhasillah sebuah acara yang penuh meriah dilengkapi dengan acara hamparan permaidani merah serta mini konsert sebagai hiburan.

Sejak awal lagi, tingkat empat Wisma Bentley dibanjiri dengan pelbagai tetamu yang masing-masing ingin menyaksikan sendiri siapakah antara artis baru yang bakal diperkenalkan mereka pada malam itu. Dan rata-rata mereka yang hadir menepati tema acara malam itu iaitu Glitter. Persembahan malam itu dimulakan dengan nyanyian Selamat Ulang Tahun Sayang, yang dilantunkan penyanyi dari Singapura, Imran Ajmain dan diikuti nyanyian vokalis kumpulan 6ixth Sense menerusi lagu Tanpa.

Penyanyi lain yang turut menggegarkan dewan itu adalah Dayang Nurfaizah yang menyampaikan lagu Sayang, duet Wangi dan Zizi dari kumpulan The Fabulous Cats, Sleeq, Marsha, Liyana Jasmay, Ezlynn dan Roze.

Biarpun mungkin akan ada yang bersikap skeptikal terhadap usaha syarikat rakaman ini, namun harus diingat, mereka berani mengambil risiko yang tidak mungkin akan dilakukan syarikat rakaman lain. Demi membantu merancakkan industri, mereka sanggup menongkah arus dan tak dinafikan usaha mereka itu sedikit sebanyak berjaya menampakkan hasilnya.

“Kalau kita lihat, kebanyakan lagu yang dihasilkan syarikat kami, memang banyak menguasai carta radio dan itulah yang menjadi pembakar semangat kami untuk menggapai misi kami menghasilkan lebih banyak single yang bermutu,” ujar KC.

Persembahan penutup malam itu disempurnakan The Fabulous Cats yang menyampaikan lagu terbaru mereka berjudul Cinta Kosmik serta pelancaran klip video terbaru mereka yang menggunakan judul lagu yang serupa. Majlis santai dan penuh glamor itu dikendalikan penyampai radio XFM, Nana.

Berita Harian

Serlah Sisi Romantik

Berita Harian | Comments (0) admin @ 6:20 pm

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


SHARIFAH AINI bergambar di banting persembahannya pada 17 April ini.

Datuk Sharifah Aini muncul lagi dalam suasana lebih intim dan mesra bersama peminat pada 17 April di Hotel Concorde

KALAU mahu dibuat perbandingan, persembahan Up Close And Personal With Datuk Sharifah Aini pada 17 April depan boleh dianggap berbeza dengan persembahan terdahulu yang pernah dilakukan biduanita itu. Malah persembahan yang akan diadakan di Grand Ballroom, Hotel Concorde, KL itu nanti lebih bersifat intim.

Mahu merenung dan menatap wajah penyanyi lagu Bunga Tanjung itu dengan jarak lebih dekat atau teringin mendengar dendangan suara merdunya itu bak buluh perindu dengan lebih jelas, ini masanya untuk peminat setia profil penyanyi yang mesra dengan panggilan Kak Pah itu meluangkan masa untuk berhibur sambil beramal.

Selama tiga jam, persembahan makan malam romantik bertemakan Inggeris itu juga membuka peluang kepada tetamu yang hadir untuk meminta apa saja lagu kepada Kak Pah dan Insya-Allah akan dinyanyikannya. Bagaimanapun, lebih molek jika senarai lagu permintaan itu dihantar lebih awal ke kotak e-mel, limeevent@gmail.com.

“Lagu permintaan itu mungkin Kak Pah boleh pertimbangkan kepada pembeli meja yang awal membuat bayaran untuk menonton persembahan malam itu nanti. Ikutkan hati Kak Pah nak puaskan hati semua yang akan hadir pada malam itu tapi masa pastinya mencemburui. Tengok keadaan pada malam itu sama ada mengizinkan atau tidak.

“Kepada yang ingin meminta lagu pilihan untuk dinyanyikan, boleh emel ke emel berikut selewat-lewatnya sebelum pertengahan Mac supaya Kak Pah boleh sesuaikan dengan susunan lagu yang bakal dipersembahkan nanti. Setidak-tidaknya cadangan itu boleh Kak Pah jadikan sandaran untuk terus mempelbagaikan seleksi lagu yang berkenan di hati,” kata Kak Pah yang ditemui Hip pada sidang media persembahan terbabit minggu lalu di Hotel Concorde.



RABBANI, Hamidah, Nur Bahyah, Aishah, Sharifah Aini, Yasin dan Jamal Abdillah ketika sidang media berlangsung.

Demi menjaga masa supaya tidak dibazirkan begitu saja, Kak Pah juga sepakat untuk hanya melaram satu busana miliknya sendiri saja. Katanya yang sudah lebih 40 tahun berada dalam liga seni, pada malam itu bersesuaian dengan tema Inggeris, beliau akan bergaya seringkas mungkin tanpa sarat perincian.

Sambil berseloroh, Kak Pah memberitahu mungkin beliau akan mengenakan busana yang dipadankan dengan seluar saja dan tidak seperti lazimnya dengan memakai gaun.

Usiknya lagi, ketika ini juga, sudah mula terlintas untuk beliau tampil dengan rambut ikal mayangnya tanpa menggunakan rambut palsu.

“Semuanya masih dalam proses merancang. Apa yang lebih penting, Kak Pah akan mengenakan pakaian yang lebih praktikal supaya senang bergerak dari satu meja ke satu meja. Nak bergerak ke meja pun mengambil masa. Kak Pah tidak akan memakai gaun meleret kerana bimbang pula kalau Kak Pah jatuh terjelepok, siapa yang nak angkat,” katanya sambil tersenyum.

Tambah Kak Pah lagi, apa yang dilakukan kini adalah sebahagian untuk memastikan mereka yang berhak turut berkongsi kegembiraan. Hanya dengan menjual suara, Kak Pah berharap ia mampu membuat mereka yang akan hadir terhibur dan pada masa yang sama yang kurang bernasib baik menerima bahagian masing-masing.

Jika keuntungan 100 peratus persembahan Datuk Sharifah Aini and Friends membabitkan Anuar Zain dan Adibah Noor Disember tahun lalu diserahkan kepada sekolah tahfiz Darul Huffaz, Puchong, Selangor. Untuk persembahan April nanti pula, keuntungan akan diagihkan kepada Rumah Ijabah Anak Yatim & Al Hafiz di Subang Jaya.

“Apa yang dilakukan Kak Pah ini satu kepuasan abadi yang tersendiri dan tidak boleh diukur dengan wang ringgit sekalipun. Sekurang-kurangnya perkongsian rezeki itu lebih luas dan ada manfaat kepada orang lain. Rezeki itu dipanjangkan ke jalan yang diredai. Insya-Allah,” katanya yang anggun berbaju kurung ungu.

Sayang Ahmad Jais

DITANYA mengenai perkembangan lain, Kak Pah turut menjelaskan mengenai perancangannya untuk berkongsi pentas dengan penyanyi Ahmad Jais pada penghujung tahun ini. Menurut Kak Pah, beliau akan mengadakan pertemuan dengan penyanyi itu secepat mungkin untuk merealisasikan persembahan yang diberi nama Nostalgia 60-an itu.

“Biarpun kami berlainan era, tapi itu bukan penghalang untuk Kak Pah menjadikan persembahan itu menjadi kenyataan. Menurut teman korporat Kak Pah, memang mereka masih merindui persembahan Ahmad Jais. Sebenarnya idea untuk mengadakan persembahan ini sudah lama.

“Cuma Kak Pah tidak berasa sesuai jika menggunakan Datuk Sharifah Aini and Friends dan sebaliknya digantikan dengan nama Nostalgia 60-an. Kak Pah sendiri sebenarnya meminati lagu nyanyiannya antaranya seperti Kucupan Azimat dan Di Ambang Sore.

“Kalau nak tahu, Kak Pah memang sayangkan Ahmad Jais seperti abang sendiri. Sewaktu awal kemunculan Kak Pah, beliaulah yang selalu menolong Kak Pah daripada terus dibuli kawan-kawan lain. Beliau memang mengambil berat terhadap diri Kak Pah kerana Kak Pah juga sudah seperti adiknya juga,” katanya.

Tunai hasrat arwah Ustaz Asri

KONSERT Malam Sinar Maulidur Rasul anjuran kumpulan nasyid popular yang tersenarai lagi buat kesekian kalinya dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 menerusi kategori Penyanyi Nasyid Popular ini akan menggandingkan beberapa nama besar seperti Datuk Sharifah Aini, Aishah, Jamal Abdillah, Joe Flizzow dan Yasin.

Selain bertukar barisan penyanyi, turut diumumkan ialah perubahan lokasi dan ia dipersembahkan secara percuma. Tidak seperti tahun lalu, yang diadakan secara berbayar dengan pembelian pakej produk, konsert percuma ini juga tidak lagi diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam.

Sebaliknya, Rabbani dan penaja utamanya Telekom Malaysia (TM) memilih Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man di Kuala Terengganu. Selain konsert yang bermula jam 8 malam itu, karnival sepanjang siang hari turut akan diadakan pada dua hari berturut-turut dari 19 hingga 20 Februari.

“Kami bersyukur kerana masih mendapat kerjasama dan tajaan TM sejak 2009 lagi. Atas dasar berubah angin dan selepas perbincangan yang diadakan bersama TM dan melihat kepada maklum balas peminat yang mahukan Rabbani mengadakan siri konsert di setiap negeri maka akhirnya kata sepakat dicapai dan Terengganu yang dipilih.

“Tetapi jika peminat mahukan Rabbani mengadakan siri konsert setiap bulan di serata negeri mungkin ia sesuatu yang mustahil kerana memerlukan peruntukan yang besar. Tak sempat sebenarnya tapi mungkin pemilihan Terengganu ini juga sebagai permulaan untuk kami memberi peluang kepada penggemar irama nasyid dan kerohanian di situ.

“Selain itu, Terengganu juga dipilih sebagai tarikan pelancongan kerana Pulau Wan Man itu sangat menarik dan menjadi tumpuan orang ramai. Karnival yang dimaksudkan merangkumi pertandingan marhaban dan nasyid, aktiviti kesenian dan banyak lagi,” kata Azadan sewaktu sidang media konsert terbabit dan pelancaran album terbaru Rabbani berjudul Mahabbah di Restoran Seri Melayu, baru-baru ini.

Menurut Azadan selaku jurucakap Rabbani, Taman Tamadun Islam terbabit boleh memuatkan sekitar 50 ribu orang manakala Dewan Konvensyen untuk konsert itu mampu menampung lebih kurang 3,000 hingga 5,000 orang dalam satu masa. Noor Arfa Batek juga akan menaja pakaian persembahan pada malam itu.

“Konsert itu juga akan menawarkan hadiah istimewa berupa lima pakej umrah untuk dua orang setiap satu kepada pelanggan bertuah TM. Terhasilnya juga konsert ini kami memanjat kesyukuran kerana dapat menjadikan permintaan Allahyarham Ustaz Asri dengan mengadakan konsert percuma sebagai kenyataan,” katanya lagi.

Ditanya lanjut mengenai konsert itu, Azadan menjelaskan setiap artis akan mendendangkan dua buah lagu termasuk lagu sendiri dan lagu Rabbani. Persembahan konsert kali ini bertemakan perjuangan Rasulullah dari mula hingga beroleh kemenangan memartabatkan Islam.

“Ia akan dihoskan Jeff Hazami dan Datuk Ustazah Nur Bahyah Mahmood juga akan muncul sebagai penampilan khas. Rabbani tidak akan berduet dengan artis yang diundang, sebaliknya akan ada segmen khas di mana semua artis yang terbabit akan bergabung membuat persembahan menerusi lagu Berpaut Pada Sabdamu,” katanya.

Mengenai pemilihan Datuk Sharifah Aini yang mesra disapa Kak Pah, sebenarnya sudah lama usaha itu mahu direalisasikan Rabbani. Malah peminat juga beriya-iya mahu melihat Rabbani dan Kak Pah bersatu di pentas yang sama cuma akui Azadan, situasi dan masa saja tidak mengizinkan.

“Akhirnya peluang itu datang untuk konsert kali ini. Kami menghubungi Kak Pah secara langsung dan dua hari selepas itu, beliau mengundang kami ke rumahnya dan menyatakan persetujuan. Tidak sukar berurusan dengannya, malah saya difahamkan beliau pada mulanya sudah mempunyai tempahan membuat persembahan pada tarikh konsert.

“Begitu juga dengan Jamal Abdillah, kami terpanggil untuk mengajaknya bersama-sama menjayakan persembahan kerana acap kali terserempak dengannya di majlis persembahan yang sama. Kepada yang berminat dan mahu mengetahui lanjut boleh melayari laman sesawang, www.rabbani.com.my atau hubungi 03-62721225,” katanya.

Selain artis yang terbabit pada konsert terbabit, turut hadir dalam sidang media itu ialah Naib Presiden, Jualan Pengguna, Segmen Pengguna TM, Hamidah Mahmud. TV3 akan menjadi penyiar rasmi untuk tahun ketiga berturut-turut.

INFO
Up Close And Personal With Datuk Sharifah Aini

Akan diadakan pada 17 April di Grand Ballroom, Hotel Concorde. Ia dibuat bagi memenuhi permintaan peminat yang tak puas mendengar suara Kak Pah ketika persembahan bersama Anuar dan Adibah diadakan sebelum ini.

Kak Pah dijangka akan menyanyikan sekitar 25 buah lagu dalam tempoh tiga jam bermula dari jam 8 malam. Persembahan ini lebih bersifat intim dan mesra. Tempat juga terhad kerana penonton yang dijangka hadir dalam 350 orang. Menu makanan yang akan disajikan terarah kepada gaya Inggeris.

Tiket atau jualan satu meja dijual pada harga RM6,500 dan RM3,500.

Untuk yang berminat boleh menghubungi pihak Lime Event di talian, 019-3488054 atau 012-9332373. Ataupun emelkan pertanyaan ke limeevent@gmail.com

Berita Harian

Ingin Tawan Dunia

Cyberita | Comments (0) admin @ 5:26 pm

Oleh
Siti Nur Ida Mohd Ali

BUKAN mudah bagi band Eropah menembusi pasaran antarabangsa, namun empat jejaka dari Jerman ini membuktikan bahawa mereka boleh bersaing di pelantar yang sama.

Bill dan saudara kembarnya, Tom Kaulitz, 21 tahun, bersama anggota yang lain iaitu Georg Listing, 23 tahun, dan Gustav Schäfer, 22 tahun, bertemu dan menghasilkan muzik bersama-sama di Magdeburg pada 2001 dan bergabung band bergelar Devlish.

Kini mereka telah mengubah nama kepada Tokio Hotel dan sedang merancang untuk menakluk dunia.

Baru-baru ini, Bill berehat sebentar daripada kesibukan band membuat persiapan Tour Eropah yang berlangsung bulan depan hingga April, untuk berkongsi isi hati mereka bersama Ekstra.

Ekstra: Apakah keunikan Tokio Hotel?

Bill: Kami boleh menyanyi dalam bahasa Jerman dan Inggeris. Kami terjemahkan lagu kami daripada bahasa Jerman kepada bahasa Inggeris kerana kami ingin menembusi pasaran antarabangsa.

Album terbaru kami, Humanoid, telah kami terbitkan dalam kedua-dua bahasa dan kami lancarkan secara serentak.

Untuk berbuat demikian, kami giat memastikan agar ‘feel’ album Inggeris dan liriknya sepadan dengan penampilan album Jerman.

Ekstra: Pengaruh muzik yang berbeza-beza ketara dalam album ini. Adakah ia mencerminkan minat setiap anggota Tokio Hotel?

Bill: Kami sebenarnya mempunyai minat muzik yang berbeza. Saya meminati lagu-lagu Aerosmith. Tom pula sukakan hip hop seperti Jay Z, dan Gustav menggemari Metallica. Tetapi itu tidak menjadi masalah kerana kami sepakat bersetuju bahawa lagu yang kami mainkan adalah rok dan ia dipengaruhi oleh pop.

Ekstra: Apakah pengalaman manis yang sukar dilupakan dalam anda menjelajah ke negara orang setakat ini?

Tom: Kenangan manis yang tidak boleh saya lupakan ialah apabila kami berada di Perancis dan membuat persembahan di depan 500,000 peminat yang menghafal lagu kami dan menyanyi bersama kami.

Ini merupakan satu pencapaian yang amat saya senangi kerana kami bermula daripada gig kecil semata-mata.

Ekstra: Adakah anda mempunyai sebarang upacara peribadi yang anda lakukan sebelum memulakan persembahan?

Tom: (Berkata sambil tertawa) Georg harus ke tandas untuk membuang air besar dan selepas itu, kami akan berkumpul dan berasa gementar bersama-sama.

Ekstra: Selain daripada membuat persembahan bersama-sama, apakah yang sering anda semua lakukan bersama pada masa lapang?

Bill: Kami akan meluangkan masa bersama keluarga dan sahabat-handai. Kami akan makan, menonton DVD dan sebagainya bersama.

Cyberita

Nidji Memukau

January 28, 2010 Mangga Online | Comments (0) admin @ 8:46 pm

Ditulis oleh Nonie
  
  

Tiada lain dapat diungkapkan selesai menonton showcase Nidji di Dragonlfy, Kuala Lumpur. Memukau dan sangat menghiburkan.

Menyampaikan lagu popular antaranya Laskar Pelangi, Hapus Aku, Shadow dan Sang Mantan, hadirin  nyata puas dengan  persembahan band popular Indonesia ini. Persembahan yang dihadiri sekitar 500 orang ini membuktikan buah tangan terbaru Nidji mampu mengulangi kejayaan dua album sebelumnya.

Persembahan ini lebih hidup dengan kemahiran Giring berkomunikasi dengan peminat dan sememangnya mereka yang datang terdiri daripada peminat fanatik Nidji, semua lagu dinyanyikan bersama.

“Kepada mereka yang pernah disakiti mantan kekasih, tidak perlu payah membalas kepada mereka. Kamu hanya download lagu Sang Mantan dan berikan dia mendengarnya apabila menelefon kamu,” antara kata-kata Giring yang mendapat tepukan gemuruh peminat yang nyata bersetuju dengan kenyataannya.

Penampilan 6ixth Sense dan Aizat menyemarakkan lagi showcase yang turut memperkenalkan artis baru dibawah naungan Universal Music antaranya Anna Raffali, Shah dan Klangit.

“Sambutan untuk album ini sangat menggalakkan dan disokong baik oleh stesen radio di Malaysia.

“Kami mahu memberikan sesuatu yang mudah didengar, more enjoy and easy to listen. Inilah album paling lama pernah kami hasilkan,” ujar Giring sewaktu ditemui di Majlis Pelancaran Album Nidji Let’s Play di Dragonfly, Kuala Lumpur.

Giring juga meluahkan perasaan hatinya melalui Dosakah Aku, mengisahkan hubungannya bersama teman wanita yang menimbulkan banyak kontroversi dan gosip.

“Saya harus banyak bersabar apabila media di sana menimbulkan banyak cerita mengenai hubungan kami. Apakah berdosa saya menyintainya,” ujar Giring menganggap lagu tersebut cukup istimewa untuk diletakkan bersama di dalam album terbaru Nidji.

Nidji dianggotai oleh Giring Ganesha (vokal), Muhammad Andro Regantoro (bass), Muhammad Ramadista Akbar (gitar), Andi Ariel Harsya (gitar), Muhammad Adri Prakarsa (drum) dan Randy Danistha (keyboard). Single Sang Mantan merupakan taruhan Nidji daripada album Let’s Play yang dilancarkan akhir tahun lalu.

FOTO oleh Noor Asrekuzairey Salim

Mangga Online

Zarul (Umbrella) Aktif Bisnes Online

Mangga Online | Comments (0) admin @ 8:36 pm

Ditulis oleh Rosli Manah
  
  

Masih kenal dengan wajah ini? Mungkin ada yang ingat-ingat lupa. Tapi kalau sebut lagu Ramalanku Benar Belaka pasti ingat kan? Ya! Inilah penyanyi utama kumpulan Umbrella, Zarul.

Zarul memang lama menyepi sebab memiliki kerja tetap sebagai peramugara dengan Penerbangan Malaysia sejak 10 tahun lalu. Tapi dalam jiwanya masih ada jiwa seni dan sentiasa dekat dengan seni. Sebab itulah perkerjaan lain yang dia lakukan pun ada menjurus kepada seni, khususnya muzik. Mahu tahu lebih lanjut?

Zarul Umbrella“Saya sebenarnya menjalankan perniagaan berteraskan internet. Apa yang saya buat sekarang ada juga kena mengena dengan bidang muzik. Ia tidak langsung mengganggu pekerjaan saya,” kata Zarul kepada Mangga Online.

Zarul menjalankan perniagaan melalui laman blognya, www.zarulumbrella.com yang menjurus kepada keusahawanan internet. Blog tersebut memuatkan maklumat Zarul yang memberitahu perkembangan terkini pasal bisnes yang dilakukannya.

Pada laman blog tersebut ada pautan untuk ke laman perniagaan yang diusahakannya iaitu, asas affiliate di www.zarulumbrella.com/asasaffiliate, www.rahsiavokal.com, www.kelasvokal.com.

Dalam laman asas affialiate Zarul mengajar pengunjung untuk menjalankan bisnes internet secara sambilan. Pengetahuan itu diperolehi secara percuma di laman tersebut.

Dalam laman rahsia vokal.com, Zarul menurunkan sedikit ilmu kepada sesiapa yang berminat dalam nyanyian dan memberi panduan bagi yang ingin memasuki pertandingan nyanyian.

Antara topik yang dibincangkan ialah stamina, konsisten semasa menyanyi, kecederaan suara dan lain-lain. Melalui laman ini juga Zarul menjual ebook berjudul kepada pengunjung yang berminat.

Setakat ini Zarul menyediakan dua buah ebook iaitu Rahsia Vokal: Ketahui Teknik Mudah Yang Bakal Mengubah Skil Nyanyian Anda dan Panduan Ringkas Membaca Nota Muzik yang dijual pada harga RM35. Dia akan menghasilkan ebook lain dari semasa ke samasa.

“Saya mula aktif di dalam bidang ini sejak April 2009. Saya mengenali keusahawan internet ini setelah dihadiahkan sebuah komputer riba oleh isteri saya sekitar bulan November 2008, namun sebelum itu saya hanya menjadi subscriber kepada usahawan internet lain selama beberapa bulan.

Zarul Umbrella“Setelah membeli buku Rahsia Jutawan Internet Terbongkar, minat terhadap bidang ini semakin bercambah. Saya menambah ilmu dengan membaca ebook berkaitan.

“Setelah beberapa bulan, saya memutuskan untuk fokus dalam pemasaran affiliate dan juga penerbitan ebook. Saya mula menghasilkan sebuah ebook percuma Asas Affiliate sekitar Ogos 2009.

“Saya kemudian menulis sebuah ebook berkaitan nyanyian iaitu 50 Tips & Fakta Nyanyian Oktober 2009,” kata Zarul.

Setelah beberapa bulan dilancarkan, ebook tulisannya mula mendapat sambutan menggalakkan. Zarul bangga apabila dapat berkongsi maklumat pasal muzik dengan orang yang meminati bidang itu.

Zarul Umbrella“Saya semak juga dan setahu saya tidak ada buku yang secara langsung mengajar teknik vokal kepada pembaca di Malaysia. Selama ini kalau mahu belajar teknik vokal, kita kena ke kelas vokal. Sekarang segala-galanya boleh didapati dengan mudah,” jelas Zarul lagi.

Rakam lagu?

Zarul akui dia masih berminat untuk kembali merakam lagu. Apatah lagi sekarang ini banyak penyanyi menghasilkan single dan pendapatan diperolehi melaluai jualan lagu secara digital.

“Melihat perkembangan sekarang saya terdetik juga untuk merakam single baru… tengoklah kalau ada lagu yang benar-benar sesuai dengan suara saya dan kehendak peminat sekarang, saya akan kembali rakam lagu.

“Saya juga dengar lagu-lagu popular nyanyian kumpulan Indonesia seperti Wali Band mirip kepada konsep lagu-lagu semasa kumpulan Umbrella aktif dulu,” kata Zarul.

Apatah lagi apabila dia masih dihujani permintaan untuk mengadakan persembahan bersama Umbrella, namun tidak dapat melunaskannya lantaran terikat dengan kerja.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Mangga Online

Anita Suka Asmara

Mangga Online | Comments (0) admin @ 8:26 pm

Ditulis oleh Rosli Manah
  
  

Anita Sarawak pernah merakam lagu berjudul Asmara pada akhir tahun 1980-an. Lagu tersebut menjadi antara lagu popular Anita. Tahun ini Anita ada sebuah lagi versi Asmara apabila merakam semula lagu Asmara. Judulnya Asmara 2010.

Bukanlah lagu yang sama sebaliknya Anita merakam semula lagu Asmara yang popular pada era 1960-an oleh penyanyi Indonesia, Aneke Gronloh. Ap istimewanya Asmara 2010 bagi Anita?

Anita Sarawak“Saya sangat menggemari lagu ini tapi tidak pernah menyanyikannya. Saya mula tergerak apabila Helen Yap menghasilkan minus one lagu tersebut khusus untuk saya. Susunan muziknya yang menepati cita rasa saya membuatkan saya tertarik merakamnya.

“Saya perlukan lagu yang membolehkan saya membuat persembahan lincah di atas pentas dan lagu ini disusun muzik ke arah itu.

“Lagu ini memang lagu yang saya suka dan peluang merakam lagu ini ibarat mimpi menjadi kenyataan,” kata Anita.

Lagu tersebut dihasilkan dalam mood lagu-lagu klasik apabila menampilkan big band jazz dan menggunakan muzik live keseluruhannya.

“Muzik begini semakin digemari dan ia sesuai dengan lagu Asmara ini,” kata Anita.

Fesyen rambut ulangan?

Fesyen rambut terbaru Anita dilihat bukanlah fesyen baru. Sekali pandang teringat kepada adiknya Noorkumaasari yang pernah tampil dengan rambut sedemikian pada akhir tahun 1980-an.

“Fesyenkan macam roda… ada fesyen lama yang kembali menjadi in. Sebenarnya saya juga pernah tampil dengan rambut begini dulu. Sekarang  ia  boleh diterima juga, jadi apa salahnya,” kata Anita.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Mangga Online

Pujian Pengkritik Tidak Bantu Kumpulan Wili

Berita Harian | Comments (0) admin @ 7:20 pm

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my


Kumpulan Wili

BIARPUN mendapat pujian pengkritik tetap, Bob Lokman, Din Beramboi dan Afdlin Shauki ternyata rezeki tidak berpihak kepada kumpulan Wili apabila mereka tersingkir pada minggu keempat Raja Lawak, pada Ahad lalu.

Wili yang dianggotai Wira atau nama Ismawira Bahdun, 22 dan Ali Black (Mohammad Ali Maula Ahmad, 24) dianggap terkeluar bermaruah kerana berjaya menggamatkan suasana dengan gelak tawa penonton di studio 1 Astro Bukit Jalil.

Menurut Wira, secara keseluruhan persembahan dengan tema Dulu dan Sekarang antara persembahan yang terbaik mereka.

“Kami terkeluar bermaruah kerana berjaya menggelikan penonton termasuk pengkritik yang memuji persembahan kami. Namun itu semua sudah tertulis yang perjuangan kami berakhir di sini,” katanya yang ditemui selepas program yang disiarkan secara langsung itu berakhir.

Bagi Ali Black, program itu adalah landasan terbaik buat mereka untuk terus berada di dalam industri seni.

“Kami sudah merancang untuk terus dengan karier ini sebagai kerjaya yang tidak akan disia-siakan,” katanya.

Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, ternyata kritikan juri tetap setiap minggu tidak mempengaruhi pemarkahan peserta.

“Penonton kini sudah pandai menilai peserta. Apa yang baik atau tidak dilakukan pada minggu lalu akan mempengaruhi pemarkahan mereka pada minggu seterusnya.

“Mengikut format asal, buat masa ini kami tidak memperkenalkan undian masuk. Jadi, nasihat kami agar penonton undilah peserta yang betul-betul berbakat agar Raja Lawak musim keempat ini menepati ciri yang kami mahukan,” katanya.

Wili adalah peserta ketiga tersingkir selepas JD dan Aman meninggalkan tujuh peserta yang masih bertahan iaitu Alex, Caca, Faiz, Idlan, An2, Kecik dan Mamu.

Sementara itu, sensitiviti membabitkan perkauman, agama, bangsa dan berbaur seks seharusnya dielakkan sama sekali dalam sesebuah program yang disiarkan secara langsung.

Seperti yang berlaku dalam pembukaan program realiti Raja Lawak musim keempat (RL4) lalu, ada peserta seolah-olah mengambil jalan mudah untuk menarik perhatian penonton dengan menyelitkan unsur lucah yang tidak sesuai dalam persembahan mereka.

Inilah yang disuarakan oleh pelakon dan pengarah filem yang juga pengkritik tetap program ini, Afdlin Shauki dengan menegaskan program komedi mempunyai cabang yang luas, ada yang dikhaskan untuk kanak-kanak, remaja mahupun dewasa.

“Tidak seperti di luar negara, banyak genre komedi yang disiarkan di televisyen mereka. Biasanya komedi keluarga disiarkan lebih awal dan komedi untuk orang dewasa akan disiarkan lewat malam.

“Memang saya akui lawak dengan unsur lucah mudah diterima tetapi saya percaya bukan semua orang selesa dengan lawak seperti itu. Saya dapat agak mereka yang melakukan lawak berunsur lucah itu adalah orang yang terdesak kerana hilang idea,” katanya yang ditemui selepas berakhirnya program itu.

Menurut Afdlin, penonton masih boleh ketawa dan terhibur dengan membawakan topik biasa tetapi dipersembahkan dengan cara yang kreatif dan menarik.

“Sekiranya mereka merasa idea itu mampu membantu, saya sarankan agar idea itu tidak diucapkan secara terang dan biarlah ia secara ‘double meaning’ agar kanak-kanak tidak memahaminya,” katanya.

Berita Harian

Irama Malaysia Diminati Bukan Melayu

Berita Harian | Comments (0) admin @ 7:10 pm

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


LAKSHMAN sebagai juara Bintang irama 1Malaysia 2010 bersama Felicia (kiri) dan nurul Fadzilah.

MUNGKIN sudah menjadi rezeki mereka, pertandingan Bintang Irama 1Malaysia 2010 yang berlangsung malam Sabtu lalu di Auditorium Perdana, Angkasapuri menyaksikan tiga kaum utama Malaysia menduduki senarai tiga tempat teratas.

Penuntut tahun akhir peringkat ijazah di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam bidang seni tari, Lakshman Balakrishnan diangkat sebagai juara, tempat kedua dan ketiga disandang oleh Felicia Phua See Cheng dan Nurul Fadzilah Noordin.

Biar berbeza warna kulit, pegangan dan budaya namun semua perbezaan itu sanggup diketepikan demi menyahut seruan kerajaan yang tak henti-henti mempromosikan kempen 1Malaysia.

Itulah objektif pertandingan yang dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara ini (JKKN) dengan kerjasama RTM ini. Ia menjadi medan untuk mencungkil pelapis yang mampu menyanyikan lagu tradisional dengan baik.

Ini diakui Lakshman ketika ditemui media sejurus selepas pertandingan itu berakhir. Katanya, latar belakang dan pengalaman peribadinya yang banyak bergaul dengan masyarakat Melayu sebelum ini membuatkan dia tidak kekok untuk menyanyikan lagu Melayu.

“Saya masuk pertandingan ini kerana ingin belajar menyanyi dalam lenggok tradisional. Ketika di Aswara, saya banyak terbabit dengan persembahan tarian dan menyanyi lagu bahasa Melayu. Pertandingan ini adalah untuk menimba pengalaman dan mempelajari lenggok menyanyikan lagu Melayu dengan lebih baik,” kata pemuda berusia 27 tahun dari Kuala Lumpur ini.

Sebagai juara, Lakshman yang menyampaikan lagu Dondang Mustika yang pernah di popularkan oleh kumpulan Kopratasa menerima wang tunai RM10,000, trofi dan sijil penyertaan. Dia juga menerima kemenangan berganda apabila juri sebulat suara memilihnya sebagai penerima kategori Persembahan Terbaik.

Naib juara pertandingan ini, Felicia juga mengakui selesa menyanyikan lagu-lagu berentak irama Malaysia.

“Saya pernah menyertai pertandingan Suara Jati dan Bintang RTM. Kawan-kawan saya terkejut dan bertanyakan kembali mengapa saya tidak sertai pertandingan pencarian bakat di kalangan orang Cina.

“Mereka sebenarnya tidak tahu, walaupun agak sukar tetapi melodinya unik. Lagipun saya sudah terdedah dengan lagu Melayu sejak saya kecil lagi,” kata Felicia yang turut bersaing dengan adiknya, Eunice Phuah See Yen dalam pertandingan itu.

Biarpun tewas kepada dua peserta bukan Melayu dalam pertandingan itu, namun bagi Nurul Fadzilah, ia bukanlah persoalan utama apabila dia menyertai pertandingan itu.

“Kalau bukan kita, iaitu golongan muda yang menyanyikan lagu ini, siapa lagi yang boleh kita harapkan. Bagi saya, usaha JKKN ini wajar diteruskan kerana secara tidak langsung, gagasan 1Malaysia yang dilaungkan kerajaan dapat dilihat menerusi pertandingan ini.

“Saya juga harap, dengan adanya pertandingan ini, ia dapat membuka mata anak muda lain supaya lebih sayang dan cintai khazanah budaya mereka sendiri,” katanya yang pernah menjadi Johan Suara Bintang Adnan Abu Hassan Zon Sabah sekitar tahun 2007.

Semua hadiah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Kamaruddin Siaraf. Hadir sama menyaksikan pertandingan ini ialah Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli.

Peserta lain dalam pertandingan ini ialah Marcellus Gatisi dari Sabah yang membawakan lagu Syair Cinta Laila Majnun; Siti Sarah Othman (Sarawak/Di Taman Teman), Farah Noorasikin Abd Rahim (Kelantan/ Bahaduri) Nurul Aina Abdul Ghani (Negeri Sembilan/Semalakama), Mohd Zain Jaafar (Sarawak/Andalusia), Lee Cheng Wen (Sabah/Mencari), Syaifaana Mohamed Subri (Kedah/Rindu) dan Dzairy Ahad (Sawarak/Ghazal Untuk Rabiah).

Persembahan mereka diadili oleh juri profesional iaitu Mustafa Fuzer Nawi (Konduktor Orkestra Simfoni Kebangsaan Istana Budaya), Helen Yap (komposer), Zainal Abidin (penyanyi), Mohd Yazid Zakaria (Konduktor Orkestra Tradisional Malaysia) serta Ooi Eow Jin selaku ketua juri.

Berita Harian