Bintang Idola Kecil TV9 Dalam Misteri Rumah Tua
SELEPAS selesai mengikuti program realiti hiburan kanak-kanak Idola Kecil 2, kini mereka memanjangkan lagi bakat nyanyian mereka kepada lakonan menerusi drama bersiri Idola Kecil Misteri Rumah Tua.
Drama bersiri ini akan dibintangi peserta Idola Kecil 2 seperti Dayana (Siti Amirah Dayana Mohd Amerullah), Azzam (Muhammad Azzammuddin Lop Hisham), Arill (Muhamad Fhazrill Fesol), Maulud (Mohd Farid Mohd Azmi), Ain (Zur’Ain Abd Rahim), Fienaz (Syafienaz Shari), Tasha (Nurul Natasha Jaffri), Nurul (Nurul Ain Sollehah), Jiha (Noranajihah Yunus) dan Sam (Khor Sam).
Misteri Rumah Tua sudah memulakan penggambarannya di sekitar Hulu Pangsun, Hulu Selangor sepanjang cuti sekolah sempena sambutan Hari Raya Cina lalu.
Drama bersiri yang merangkumi tiga episod ini akan disiarkan di TV9 pada cuti sekolah iaitu 15, 16 dan 17 Mac ini jam 7 malam.
Peserta Idola Kecil 2 ini juga akan bergandingan dengan pelakon berpengalaman seperti Illya (Senario) yang melakonkan watak sebagai bapa tiri Dayana dan Arill serta Fizz Fairuz sebagai bapa kepada Azzam. Kisah ini bermula apabila Azzam yang baru kematian ibu sentiasa mengalami mimpi ngeri yang penuh misteri di mana di dalam mimpi itu Azzam sering bertemu dengan seorang kanak-kanak perempuan berpakaian gaun putih.
Kanak-kanak itu yang dilakonkan oleh Dayana seolah-olah mengajak Azzam ke suatu tempat seperti ingin menunjukkan sesuatu. Azzam menceritakan mimpi ngerinya kepada bapanya tetapi atas nasihat doktor, bapanya membawa Azzam pulang berehat di kampung kerana menyangka Azzam berada di dalam keadaan trauma kerana kematian ibu kesayangan.
Azzam ingin membuktikan bahawa itu semua tidak benar. Ketika pulang ke kampung, dia melihat sebuah rumah usang yang sering muncul di dalam mimpinya. Azzam dengan bantuan sepupu dan rakan-rakan, nekad untuk menyiasat rumah misteri yang sentiasa muncul di dalam mimpinya. Apabila tiba di rumah itu mereka dapati rumah itu didiami oleh seorang lelaki yang tidak pernah bercampur dengan jiran tetangganya.
Sikap ingin tahu Azzam berlipat ganda apabila dia melihat kelibat seorang budak perempuan di hadapan rumah itu yang seakan-akan budak di dalam mimpinya. Misteri mimpinya bertambah apabila budak perempuan di dalam mimpinya itu menangis dan meminta Azzam menyelamatkannya. Dengan ditemani sepupunya, Azzam berjaya memasuki rumah itu dan bertemu dengan Arill, seorang budak lelaki yang kurus yang diikat dan dikurung.
Segala teka-teki terjawab apabila Arill memberitahu ayah tirinya (Illya Senario) yang mengalami sakit jiwa mendera dia dan kakaknya, Dayana, setelah kematian ibu mereka. Situasi menjadi semakin cemas apabila lelaki kurang siuman itu menangkap dan turut mengurung Azzam di dalam rumah itu. Apakah kesudahan drama menarik ini? Sampai bilakah roh Dayana akan terus menghantui Azzam.
Berita Harian
Drama Siri Komedi Bujang Sepah Di Astro Prima
ASTRO Prima Saluran 105 membawakan sebuah lagi drama komedi ringan bersiri terbaru berjudul Bujang Sepah Lalalitamplom yang bakal menemui penonton pada setiap Rabu, jam 10.30 malam bermula 10 Februari.
Drama komedi 13 episod arahan Fahizal Abdullah ini dijayakan oleh gabungan barisan pelakon baru dan lama tanah air seperti Juara Raja Lawak Musim 3; kumpulan Sepah selaku watak utama Bujang Sepah, pelakon dan penyanyi yang cukup terkenal dengan kebolehannya meniru lenggok badan, tutur percakapan, suara dan juga mempunyai rupa paras yang hampir serupa Allahyarham Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee; Musly Ramly sebagai Abdul Kibas, seniman serba boleh yang cukup aktif sebagai pelakon, pengarah filem, pelawak dan penulis skrip; Datuk Aziz Sattar sebagai Pak Long Mustar, pelakon berbakat yang cukup sinonim dengan watak polis; Raja Azrey sebagai Abdul Qhuyyob, pelakon baru yang semakin dikenali menerusi drama Kampung Jaguh di Astro Warna; Nur Akma sebagai Rona, bintang kelahiran program realiti Akademi Fantasia yang semakin meningkat menerusi drama Kau Dan Aku di Astro Ria; Ika Nabila sebagai Rini, pelakon baru berbakat besar yang dicungkil menerusi program realiti Anak Wayang; Dayana sebagai Runu dan Eiz sebagai Suzana.
Pengurus saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, Astro amat berhati-hati dalam pemilihan kandungan yang ditayangkan menerusi setiap salurannya bagi memastikan penonton menerima perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti.
Katanya, di bawah payung penjenamaan Astro Megadrama, destinasi utama bagi drama Melayu hebat yang cukup sinonim dalam membariskan variasi program dan drama mantap menerusi salurannya yang pelbagai.
Keputusan untuk menyambung kisah mereka ke dalam bentuk drama ini diambil berikutan maklum balas positif yang diterima selepas penyiaran telefilem menarik iaitu Bujang Sepah Si Lalalitamplom dan Lemang Si Bujang tahun lalu.
Kami berharap ia mampu mendapat tempat di hati penonton dan mengulangi kejayaan telefilem lain yang turut disambung ke dalam bentuk drama bersiri seperti Halimah Jongang dan juga telemovie Sonata Labu Labi dalam Kempen Tribute Khas Inspirasi P Ramlee, katanya.
Drama Bujang Sepah Lalalitamplom ini mengisahkan kemunculan seorang pengusaha dan pemilik Syarikat Pemegang Harta bernama Tuan Abdul Kibas lakonan Musly Ramlee yang sedang mengalami masalah kerugian aset syarikatnya.
Dia mempunyai tiga anak dara yang cukup ayu bernama Rona, Rini dan Runu. Dia juga mempunyai seorang penasihat terhormat, Abdul Qhuyyob yang cukup tersohor kerana sering memberi nasihat kepada ketua-ketua mafia Arab.
Kisah bermula apabila Tuan Abdul Kibas dan penasihatnya berpakat untuk menyeleweng harta yang bakal diwarisi oleh tiga jejaka Bujang Sepah. Ikuti Drama ini di Astro Prima setiap Rabu, 10.30malam.
Berita Harian
Orkestra Guna Alat Muzik Tradisional
Oleh Rozdan Mazalan
Langkah pelihara dan manifestasi kepelbagaian seni budaya rakyat Malaysia
BAGAIMANAKAH bunyinya apabila alat muzik tradisional seperti rebab, seruling, sape, sitar, zhong ruan, gouhu, gambus, kompang dan banyak lagi disatukan di dalam sebuah orkestra yang dapat melahirkan satu irama yang harmoni?
Adakah ia mampu melahirkan muzik seperti mana orkestra moden yang dapat membawa pelbagai genre muzik hari ini. Keunikan inilah yang bakal dilahirkan dengan penubuhan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) di bawah Istana Budaya, (IB) Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK).
Ini juga menunjukkan negara bakal melahirkan satu identiti muzik tersendiri yang berusaha menjangkaui ke peringkat antarabangsa.
OTM adalah kumpulan pemuzik hasil dari gabungan elemen muzik tradisional pelbagai kaum dan etnik di negara ini bersatu di bawah satu muzik dengan bunyian yang harmoni.
Tidak dinafikan, negara terlalu kaya dengan khazanah seni budaya pelbagai kaum dan etnik, namun jika tidak dikomersialkan masakan muzik kita mampu bersaing sebaris muzik antarabangsa.
Pengarah Muzik merangkap konduktor OTM, Mohd Yazid Zakaria berkata, bagi memelihara dan manifestasi kepelbagaian seni budaya rakyat agar terpelihara dan terus unggul, OTM memperkenalkan lebih 30 alatan muzik tradisional pelbagai kaum.
“Keunikan struktur OTM adalah hasil penggabungan alat muzik dan pemuzik pelbagai kaum dan etnik di negara ini. OTM mempunyai satu seksyen yang menggabungkan alat muzik bergong seperti cak lempong, gamelan, gong dan kulintangan.
“Seksyen ini adalah identiti utama OTM yang tidak terdapat di dalam mana-mana orkestra terkenal di dunia. Seksyen ini adalah sebuah unit yang diletakkan di bawah Bahagian Muzik IB sebagai suatu cabang baru yang akan diwujudkan.
“Kita mengkelaskan lima bahagian alat muzik mengikut kelasnya yang tersendiri iaitu alatan muzik yang digesek seperti rebab (12), gouhu (8), erhu1 (4), erhu2 (10), cello (4) dan D/Bass (2).
“Bagi alat tiupan pula seperti Seruling Melayu (2), Seruling Cina (2), Seruling India (2), Serunai/Bansi/Puput (3). Alat tali yang dipetik seperti Yang Qin (1), Sape (4), Sitar (4), Mandolin (4), Pipa (2), Zhong Ruan (2), Gambus (4).
“Alatan bergong seperti Bonang (1), Saron pekin/baron/demung (3), Gong /Gamelan/Kulintangan (1) dan Cak Lempong/Saluang/Bangsi (2).
“Tidak lupa juga kita turut menggunakan alat perkusi seperti Piano (Concert Master) dan Drum set tradisional (1), Pergendangan Melayu/India (5), Keyboard dan Timpani (1),” katanya yang membabitkan 86 ahli muzik tradisional pelbagai kaum dan etnik.
Menurut Yazid, orkestra tradisional di dunia mula berkembang lebih 10 tahun lalu di Korea manakala di China sudah menjangkau 50 tahun usianya. Di kedua-dua negara ini orkestra tradisional sudah mencapai taraf antarabangsa dan ia juga dijadikan rujukan bagi penubuhan OTM di negara ini.
“Memandangkan negara kita antara negara yang kaya dengan budaya etnik pelbagai kaum di dalamnya serta memiliki tenaga pengajar yang profesional masakan kita tidak mampu menubuhkan orkestra tradisional ini.
“Ini bererti negara bakal menjadi negara ketiga yang mempunyai orkestra tradisional sendiri di dunia. Cabarannya tetap ada, dengan perkembangan ini, alat muzik tradisional diadaptasi mengikut ‘tonal scales’ dari barat dan ‘chromatic spectrum’. Alat muzik tradisional ini diubahsuai mengikut spesifikasi antarabangsa.
“Perkembangan ini berjaya mengangkat muzik tradisional ke taraf antarabangsa setaraf dengan muzik moden. Perbezaan ketara struktur orkestra Barat dan tradisional adalah dari segi budaya dan cita rasa. Hasilnya kedua-dua orkestra tradisional dan Barat boleh digabungkan serta masing-masing boleh memainkan lagu dari skor lagu yang sama,” katanya.
OTM yang bakal dilancarkan Menteri KPKK, Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini bertempat di Panggung Sari IB turut menjadikan OTM sebagai pusat pemuliharaan dan pembangunan terhadap muzik tradisional yang menjadi dasar kepada penubuhannya di mana nilai estetika dan keasliannya sentiasa terpelihara.
“Konsep orkestra adalah berdasarkan pertimbangan terhadap asas seperti menyerapkan nilai budaya pelbagai kaum sebagai teras utamanya selain mempertimbangkan dengan teliti berkait isu evolusi muzik dan pengekalan identiti muzik asli dan warisan.
“Makna dan syarat berkaitan perlu jelas agar hasil evolusi identiti muzik asli dan tradisional tidak dipertikaikan. OTM mesti beridentitikan masyarakat majmuk negara ini dari segi kemanusiaan dan muzikal iaitu timbre, bentuk, warna, teknik permainan, identiti muzik yang terhasil melalui melodi, ritma tonaliti, skala, mode, mood dan sebagainya,” katanya yang turut menyusun pelan jangka pendek dan panjang penubuhannya.
Pelan jangka pendek, panjang
ANTARA pelan jangka pendek yang diambil dari tahun pertama hingga tahun ketiga ialah melancarkan program mencari bakat profesional yang berpengalaman secara berterusan untuk mengisi kerusi pemuzik utama (Principal Musician).
Dalam usaha mencari bakat baru, OTM akan sentiasa mengadakan sesi uji bakat ke seluruh negara secara berterusan untuk diisi di dalam pemuzik jemputan OTM.
Impian penubuhan OTM adalah ingin mewujudkan struktur orkestra yang lengkap setaraf Orkestra Simfoni Malaysia (OSM), selain mengenalpasti komposer dari IB dan dari luar untuk mencipta karya baru berdasarkan konsep OTM.
Bagi mempromosikan pelbagai aktiviti OTM, mereka akan menjalinkan kerjasama erat dengan semua universiti di seluruh negara terutama Aswara serta menggalakkan mereka menubuhkan sebuah ensemble tradisional sendiri.
Sementara pelan jangka panjang yang disusun bermula tahun ketiga hingga tahun ke-10 adalah untuk memberi perhatian berterusan terhadap Outreach Program Master Classes dan Coaching terutama untuk generasi baru.
Pelaksanaan ini juga membabitkan industri pembuatan alat muzik tradisional secara profesional dan komersial mengikut standard antarabangsa. Selain mengadakan bengkel dan latihan secara berterusan antara pemuzik, komposer, penggiat seni dan ahli akademik yang terbabit secara langsung dengan muzik tradisional dan etnik.
Kesimpulannya, pembangunan industri muzik adalah antara elemen dalam industri kreatif yang menjadi bidang baru dan berpotensi tinggi menyumbang dalam pembangunan ekonomi negara. Penubuhan OTM dapat melahirkan penggiat seni yang berwibawa dan mempunyai nilai komersial yang tinggi dalam industri muzik seterusnya mempromosikan seni budaya dan industri pelancongan negara.
Berita Harian
Dengarnya…: Astro Oasis Cari Imam Muda
KETIKA ini produksi Astro sedang rancak menjalankan uji bakat Akademi Fantasia musim kelapan. Tapi Cik Normah tak teruja pun nak menunggu keputusan siapa yang layak untuk menyertainya. Iyalah saban tahun, Cik Normah tengok graf Akademi Fantasia makin menurun biarpun akui pihak Astro rating tetap tinggi.
Cuba tengok American Idol musim kesembilan sekarang ini yang juga sedang rancak mencari pelapis juara terdahulu seperti Kelly Clarkson, Carrie Underwood dan Fantasia Barrino. Setiap kali tengok bakat baru yang ditapis, Cik Normah teruja kerana bakat mereka tak pernah kering.
Bukan Cik Normah tak nak sokong produk tempatan, tapi kalau setakat nak mencukupkan syarat saja nak adakan pertandingan itu, lebih baik tak payah buat. Tapi apakan daya, Akademi Fantasia akan tetap muncul pada tahun ini. Kita tunggu sajalah, siapa yang bakal bergelar pelajar nanti.
Sebenarnya Cik Normah bukan nak membebel mengenai Akademi Fantasia sangat. Yang Cik Normah nak kongsi ialah mengenai saluran Islamik di Astro iaitu Astro Oasis. Kalau di TV9, boleh berbangga dengan Akademi Al-Qurannya, mungkin selepas ini Astro Oasis pula bakal muncul dengan sebuah pertandingan.
Cik Normah dapat tahu pertandingan itu akan mencari bakat muda yang boleh diketengahkan sebagai imam. Sejuk Cik Normah dengar mengenai usaha saluran itu. Cik Normah tak tahu lanjut sangat mengenai hal ini. Hanya dapat tahu sikit saja. Khabarnya uji bakat akan diadakan tak lama lagi. Siapa berminat? Bolehlah turut serta.
Berita Harian