Featuring the latest Malaysia scandals, gossip, and entertainment news.

Bukan Serik, Elak Spekulasi Nakal

February 8, 2010 Berita Harian | Comments (0) admin @ 6:50 pm



Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


Mas Idayu

Mas Idayu yang sekali lagi diamanahkan untuk menjadi mentor akui risau dengan harapan tinggi peminat hiburan

BUKAN mudah untuk meyakinkan Mas Idayu untuk kembali menjadi mentor dalam program pencarian bakat terbitan TV3 yang masuk musim keempat ini. Jenuh dipujuk pihak produksi yang diketuai Muhamad Sufian Isa, tetapi pelbagai alasan diberi.

Penerbit Eksekutif/Penerbit program itu sebelum ini menjawab pertanyaan media yang mempersoalkan sama ada kita ketandusan artis yang sesuai untuk menjadi mentor sehingga terpaksa memanggil semula penyanyi dangdut itu yang sudah beraksi musim lalu

“Bukan masalah ketandusan artis tetapi Mas Idayu dipanggil semula untuk menjadi mentor musim ini kerana hasil kerjanya yang memuaskan hati produksi. Sepanjang bekerja dengannya, walaupun tak dinafikan kontroversi mengenainya sedikit sebanyak menaikkan rating program, tapi apa yang penting adalah komitmen yang ditunjukkannya sepanjang berlangsungnya program ini.

“Begitupun, saya tak nafikan memang sukar untuk memujuk dia menyertai program ini kembali. Setiap kali diajak, setiap kali itulah juga dia menolak dengan memberikan pelbagai alasan. Tapi mungkin disebabkan rezeki saya, akhirnya dia mengalah dan bersetuju untuk terbabit dalam Mentor 4 ini,” ujar Sufian pada majlis sidang media memperkenalkan mentor musim keempat, di Penthouse, Sri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini. Hadir sama Pengurus Besar Kumpulan Jenama TV3, Sherina Mohd Nordin.

Sementara itu, mengulas pembabitannya dalam Mentor musim ini, Mas Idayu berkata memang pada awalnya dia sudah tidak mahu lagi terbabit dengan program ini. Bukan kerana serik tetapi dia tidak mahu kehadirannya nanti memberikan spekulasi kurang enak mengenai dirinya dan juga produksi program ini.



BARISAN artis yang terpilih menjadi Mentor musim keempat , dari kiri; Joe Flizzow, Ziana Zain, Dayang nurfaizah, Mas idayu, Mus dan Azmeer.

“Bagaimanapun, selepas berbincang dengan pihak produksi, saya pun bersetuju untuk berkolaborasi sekali lagi dengan mereka untuk musim ini. Memang risau juga kerana tentunya ramai yang menaruh harapan tinggi apakah saya mampu mengulangi kejayaan yang serupa. Tapi seperti yang sering saya tegaskan sebelum ini, saya hanya berusaha untuk membimbing, selebihnya terpulang pada peserta itu sendiri.

“Seperti musim terdahulu, saya tak kisah sama ada protege saya itu lelaki atau perempuan. Tapi yang penting, dia mestilah boleh menyampaikan pelbagai rentak lagu terutama genre dangdut dan juga asli,” katanya.

Untuk musim ini juga, buat pertama kalinya Azmeer, yang sebelum ini menjalankan tanggungjawab sebagai penasihat Mentor ditawarkan sebagai mentor. Dengan perlantikannya itu, tentu ramai yang tak sabar-sabar hendak melihat apakah Azmeer mampu membimbing peserta berkenaan ataupun bersikap cakap tak serupa bikin semata-mata.

“Pada mulanya saya memang tidak mahu terbabit langsung dalam program Mentor untuk musim ini kerana saya sibuk dengan kuliah. Tapi selepas mendapat tahu yang jadual mentor tidak bertembung dengan waktu kuliah dan berlangsung pada musim cuti semester, saya akhirnya bersetuju.

“Pada saya apabila menerima tawaran ini, ia bererti saya perlu menghadapi cabaran. Mungkin sebelum ini orang ingat saya hanya pandai beri komen saja. Saya tak kisah kalau ada yang nak komen saya selepas ini. Saya terima kritikan itu,” katanya.

Pertarungan genre muzik?

MELIHAT kepada senarai artis yang bakal menjadi mentor untuk musim keempat ini, bolehlah dibuat andaian bahawa pertandingan pencarian bakat baru dalam bidang nyanyian ini bakal menyaksikan pertarungan di antara genre muzik.

Seramai enam mentor yang dipilih, masing-masing mewakili genre muzik yang dibawa mereka. Artis yang terpilih untuk musim ini adalah Joe Flizzow (hip hop), Mus vokalis kumpulan May (rock), Mas Idayu (dangdut), Dayang Nurfaizah (R&B), Ziana Zain (pop) dan Azmeer (pop).

Jika benarlah itu yang menjadi matlamat mereka, pastinya nanti kita akan melihat lebih ramai pelapis dalam pelbagai genre muzik dapat dihasilkan dalam pertandingan itu. Berdasarkan kepada kredibiliti kesemua mentor itu, tidak dinafikan mereka mampu membentuk lebih ramai pelapis terutama yang berminat dengan genre muzik yang mereka nyanyikan itu terutama muzik dangdut yang kelihatan semakin pupus sebelum ini.

Bukan cuba menafikan keputusan sebelum ini atau mempertikaikan pilihan penonton, namun kalau dilihat pola pengundian penonton, kebanyakan mereka lebih banyak memilih mereka yang muncul dengan konsep dan imej rock. Dari pemenang musim pertama iaitu Pija, diikuti dengan Fiq dan terbaru, Black kesemua mereka lebih dikenali dengan imej seorang rocker.

Jadi mungkin dengan meletakkan lima konsep genre yang berbeza, pastinya bukan lagi genre muzik rock yang akan mengungguli pertandingan itu. Bagaimanapun ketika diminta mengulas perkara itu, Sufian berkata apabila mereka memperkenalkan mentor dari pelbagai genre muzik, itu bukanlah bermakna mereka mencari pelapis dari genre yang sama.

“Walaupun ada yang memperjuangkan muzik rock, pop, dangdut, hip hop dan R&B tetapi itu bukanlah bermakna mereka kena mencari protege yang sama dengan genre muzik mereka. Kita tidak menetapkan genre muzik mana dan penyanyi sendiri bebas membuat pilihan masing-masing. Tujuan kami supaya pemilihan akan menjadi lebih sistematik kerana peserta boleh menjalani uji bakat berdasarkan penyanyi kegemaran masing-masing,” katanya.

Tambah Sufian lagi, mereka juga memberikan kebebasan kepada mentor untuk memilih protege tanpa sebarang sekatan.

“Kalau kita lihat kriteria yang dimahukan setiap artis, masing-masing ada syarat yang tersendiri. Cuma Mus saja yang mengutamakan peserta yang minat dengan muzik rock serta Joe yang mahu mencari penyanyi yang boleh membawakan lagu R&B. Manakala yang lain mahu mencari peserta yang boleh membawakan pelbagai rentak lagu,” katanya.

Mengenai dakwaan peserta yang menampilkan imej rock lebih berpeluang untuk menang, Sufian menafikan perkara itu.

“Memanglah kalau kita lihat secara sekali imbas ketiga-tiga pemenang adalah mereka yang memperjuangkan lagu rock. Tetapi pemenang musim pertama, Pija sebenarnya sedari awal dia menyertai pertandingan ini, dia ada juga menyanyikan lagu pelbagai rentak. Dia bukan penyanyi rock,” tegas Sufian.

Jika sebelum ini kebanyakan mentor adalah mereka yang pertama kali menyertai program ini, namun untuk musim ini, bekas juara musim lalu Mas Idayu sekali lagi diundang untuk menaburkan khidmatnya. Dan dengan kemunculan penyanyi dangdut itu untuk kali kedua adakah ia bermakna mentor sudah ketandusan artis untuk membimbing pelapis baru?

INFO:

Program Mentor akan ditayangkan bermula 11 April depan, setiap Ahad jam 9 malam. Ia akan menampilkan Ally Iskandar sebagai pengacara. Konsert mingguan pula akan bermula seminggu selepas itu.

Sesi uji bakat:

21 Februari – Sabah (Promenade Hotel, Kota Kinabalu)

28 Februari – Sarawak (Merdeka Palace)

6 Mac – Mentor Ziana Zain (TV3 Sri Pentas)

7 Mac – Mentor Mas Idayu – (TV3 Sri Pentas)

13 Mac – Mentor Mus (May) – (TV3 Sri Pentas)

14 Mac – Mentor Azmeer – (TV3 Sri Pentas)

20 Mac – Joe Flizzow (TV3 Sri Pentas)

21 Mac – Dayang Nurfaizah (TV3 Sri Pentas)

Berita Harian

No Comments »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a comment