Melodi Cinta Rossa
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

FARID mewakili Media Prima Berhad, manakala Rossa menandatangani MoU bagi pihak limaduabelasmusik.
Penyanyi popular dari seberang buat persembahan di Stadium Putra Bukit Jalil pada 29 Mei
KETIKA cinta sedang berbunga di hati, lagunya menjadi peneman setia. Saat diri dikhianati cinta, nyanyiannya jugalah yang menjadi penawar kesedihan. Sudah sekian lama lagu dendangannya menjadi penghibur peminatnya di sini. Bagaikan seorang dewi cinta, kehadiran Rossa umpama penyembuh segala kedukaan hanya menerusi lantunan suaranya.
Bermula dengan lagu Tegar yang memperkenalkan namanya di negara ini, pemilik nama penuh Sri Rossa Roslaina Handiyani ini secara perlahan-lahan berjaya menakluk hati peminat menerusi melodi cintanya. Kemerduan suara serta aksi lincahnya di pentas membuatkan wanita bertubuh kecil molek ini terus diminati.
Pudar, Ayat-Ayat Cinta, Takdir Cinta, Terlanjur Cinta adalah antara lagunya yang berjaya meneruskan jangka hayatnya untuk terus bertahan di negara ini. Pun begitu, bukan saja nyanyiannya membuatkan peminat jatuh hati padanya, tetapi personalitinya yang sentiasa mudah didekati, ramah dan tidak berlagak diva membuatkan Rossa antara penyanyi dari Indonesia yang disenangi penggemar muzik di sini.
Andai sebelum ini kunjungan Rossa hanyalah sekadar memenuhi tuntutan mengadakan mini showcase, persembahan makan malam, majlis pelancaran album, kini kedatangannya membawa hajat besar yang sudah sekian lama diidamkan. Jika tiada aral melintang, penyanyi bervokal gemersik ini akan mengadakan konsert berskala mega pada 29 Mei depan di Stadium Putra Bukit Jalil.
“Memang sudah lama saya impikan mahu mengadakan konsert di Malaysia iaitu kira-kira dua tahun lalu. Masa itu saya baru saja selesai mengadakan siri konsert Persembahan Cinta di sekitar Jakarta, Surabaya. Ketika itulah hati saya terdetik, alangkah bagusnya kalau saya dapat bawa konsert ini di Malaysia.

Rossa
“Mungkin sudah menjadi rezeki apabila kami bertemu dengan penganjur bersama iaitu Marctensia. Selepas berbincang dan kata persetujuan di capai, lalu terhasillah Konsert Melodi Cinta ini,” kata Rossa ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman di antara syarikat rakaman dan pengurusannya iaitu limaduabelas musik dan Media Prima Berhad (MPB). MPB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan. Manakala limaduabelasmusik diwakili Rossa sendiri. Menerusi perjanjian itu, MPB akan menjadi rakan media untuk konsert berkenaan.
Memandangkan ini adalah konsert perdana untuk Rossa di negara ini, tidak dinafikan ia memberi sedikit tekanan kepadanya.
“Bukan mudah untuk saya merealisasikan impian ini. Banyak yang perlu saya lalui sebelum ia menjadi kenyataan. Dari segi kosnya saja sudah tinggi kerana saya perlu menghasilkan yang terbaik buat peminat saya di sini.
“Dari segi lokasi saja sudah memberi tekanan kepada saya kerana saya difahamkan, stadium itu amat besar sekali. Mampukah saya menarik sebegitu ramai penonton memenuhi stadium itu. Sewaktu saya membuat persembahan di Ruums, Life Centre tahun lalu, saya juga risau apabila melihat tempat itu besar sekali sehingga saya sendiri menelefon teman supaya datang menonton persembahan saya.

ROSSA pilih Aizat untuk membuat persembahan pada konsertnya kerana dia yakin dengan kredibiliti penyanyi muda itu.
“Apapun, saya yakin dengan bantuan semua pihak termasuk rakan media, MPB konsert ini akan sukses dan mencapai sasarannya iaitu menarik 10 ribu penonton,” ujarnya dalam nada teruja.
Bukan cuba untuk melaga-lagakan, tetapi figura ini nyata cukup bertuah kerana berjaya mengadakan konsert solonya sendiri berbanding penyanyi lain seperti Krisdayanti, walaupun dari segi populariti, Kris terlebih dulu mencipta nama di negara ini.
“Saya anggap ini semua ini rezeki. Mungkin gilirannya akan tiba suatu hari nanti. Sebagai penyanyi yang datang dari negara yang sama, antara kami sebenarnya saling menyokong kerjaya masing-masing. Malah saya juga menjemput dia (Krisdayanti), Yuni Shara dan teman lain supaya dapat hadir ke Malaysia untuk menyaksikan persembahan saya nanti,” ujar Rossa yang jelas tidak mahu perkara itu dijadikan isu.
Undang Aizat untuk jayakan konsert
DIUSIK pertanyaan apakah dia mampu melantunkan irama cinta sedangkan dalam hatinya perasaan cinta itu sudah lama layu, Rossa membalas pertanyaan itu dengan tawa yang panjang. Memahami makna pertanyaan itu, Rossa berkata sebagai penyanyi adalah menjadi tugasnya untuk menghiburkan walaupun dalam situasi apapun.
“Saya kan memang suka menyanyi. Jadi walaupun saya sedang sedih, gembira, sunyi saya harus menghiburkan peminat saya,” katanya yang mengaku masih belum bertemu pengganti lagi.
Bakal berlangsung selama dua jam, Rossa berkata dia mahukan konsertnya itu nanti bakal membawa makna yang cukup besar buat peminatnya di sini.
“Pastinya saya mahu persembahan itu nanti berbeza dengan apa yang saya sudah persembahkan di Indonesia. Kalau boleh saya mahukan sesuatu yang ekstravaganza yang boleh membuatkan saya dan penonton terkejut dan teruja melihat hasilnya. Semuanya itu akan saya serahkan kepada Pengarah Persembahan, Jay Soebiyakto untuk mengendalikannya.
“Dari segi pemilihan lagu pula, saya akan berbincang dengan Pengarah Muzik, Yovie Widianto. Namun jangan risau, saya tetap akan menyanyikan lagu popular saya di sini,” kata Rossa yang teringin untuk membuat persembahan di Istana Budaya.
Untuk konsert Melodi Cinta itu nanti, Rossa tidak berseorangan kerana dia akan ditemani ramai jejaka. Mereka yang bertuah itu adalah Aizat, Pasha dari kumpulan Ungu serta kumpulan ST12.
“Apabila saya memberitahu mereka iaitu Pasha dan kumpulan ST12 yang saya akan mengadakan konsert di Malaysia, mereka dengan pantas menawarkan diri untuk turut serta. Sokongan mereka cukup bagus sekali.
“Manakala Aizat saya lihat memang berpotensi. Saya sudah menyaksikan persembahannya banyak kali sebelum ini dan saya gembira kerana dapat berkolaborasi dengannya,” tutur Rossa.
Sementara itu, sebagai rakan media Farid berkata pihaknya yakin konsert ini bakal mendapat sambutan berdasarkan kredibiliti Rossa sendiri.
“Kami berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Rossa dan pasukannya. Dia mempunyai ramai peminat di negara ini. Sebagai sebuah syarikat media terbesar di Asia Tenggara, kami akan sedaya upaya membantunya,” katanya.
Ditanya apakah Media Prima Berhad akan mengadakan siaran langsung untuk konsert itu, Farid berkata tidak hasrat untuk berbuat demikian sebaliknya besar kemungkinan konsert itu akan dirakam dan akan ditayangkan pada hari tertentu.
“Buat masa ini kami sedang berbincang ke arah itu. Jika semuanya berjalan lancar, mungkin kami akan menayangkannya pada hari tertentu. Apapun, segala maklumat mengenai perkara ini akan dimaklumkan dalam sidang media akan datang,” katanya.
INFO:
Tiket Konsert Melodi Cinta akan mula dijual pada 14 Februari ini. Harga yang dikenakan adalah RM58, RM98, RM148, RM248, RM348. Bagi mereka yang ingin menempah bolehlah melayari laman web www.axcess.com.my atau hubungi talian 03-77115000.
Berita Harian
wah..bestnye…if beli tiket RM348, dapat jumpe rossa personal x? really like her performance..sangat2 best…
Comment by sha :: February 12, 2010 @ 8:37 amRu teringat..my best friend weeding 29Mei jugak..haishh..nk g mane satu nie..
Comment by sha :: February 12, 2010 @ 8:56 am