Featuring the latest Malaysia scandals, gossip, and entertainment news.

Percaya Tarikan Nabil Sebagai Hero Komedi

February 8, 2010 Berita Harian | Comments (0) admin @ 7:20 pm



Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my


SEBAHAGIAN pelakon yang menjayakan Lu Pikirlah Sendiri de Movie yang hadir pada majlis tayangan filem itu, baru-baru ini.

Aminah Rhapor akui semakin berdebar tunggu reaksi peminat mengenai Lu Pikirlah Sendiri de Movie

KETIKA Nabil sendiri seperti mencemuh filemnya sendiri kerana tidak puas hati dengan sentuhan pengarahnya, Aminah Rhapor pula berpendapat juara Raja Lawak itu adalah pelakon paling tepat untuk diketengahkan dalam filem komedi kerana tiada pelakon lawak lain yang begitu dikenali peminat ketika ini.

Justeru, walaupun kini dia dan syarikat penerbitan SDAF Pictures agak risau apabila populariti pelawak itu agak menurun berbanding ahun lalu, namun mereka masih percaya Nabil masih pilihan yang terbaik kerana dia berupaya membuatkan penonton ketawa dan menangis, di sebalik karakter selambanya itu.

“Memanglah kami risau apabila popularitinya dikatakan agak menurun, tetapi siapa lagi hero komedi yang kita ada hari ini? Kami juga berharap, setidak-tidaknya filem ini mampu menaikkan kembali nama Nabil, terutama apabila dia dicalonkan sama pada peringkat akhir Anugerah Bintang Popular berita Harian kali ini,” kata Aminah ketika ditemui selepas majlis tayangan filem Lu Pikirlah Sendiri De Movie (PSdM) di Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Bagi mengelakkan cerita mengenai filem dan lakonannya tidak dipinggirkan sepanjang promosi filem terbabit dijalankan, Aminah turut mendedahkan pihaknya meminta Nabil tidak membawa Irma Hasmie ke majlis berkaitan filem itu.

Sambil memuji lakonan Nabil, pengarah itu berkata, sebagai sutradara filem yang baru, dia berpuas hati dengan produk sulung terbitan SDAF Pictures terbabit.

Begitupun, dia tidak menafikan adanya debaran yang cukup kuat di dada apabila mengenangkan tindak balas yang bakal diterima. Ketika yang sama Aminah berasakan, dia sudah pun mencurahkan segala keringat ketika menyiapkan filem berkenaan.

“Paling tidak, rasanya sasaran menjadikan filem ini sebuah produk yang sesuai untuk tontonan remaja dan keluarga sudah pun tercapai. Filem ini mempunyai isu yang berat, mengenai remaja yang berusaha keras untuk memperbaiki taraf kehidupan. Berikutan bintang utamanya ialah seorang pelawak, maka gaya penceritaan juga digarap sedemikian rupa untuk menghasilkan kesesuaian,” katanya yang turut memuji lakonan juara Akademi Fantasi musim kelima, Mila.

Ditanya mengenai kemunculan ramai pelakon undangan seperti Faizal Tahir, Amy Search, Aziz M Osman dan Fahrin Ahmad dalam filemnya, pengarah itu mengesahkan kehadiran mereka diharap menjadi faktor untuk menarik lebih ramai penonton ke pawagam. Baginya, penampilan pelakon undangan terbabit menjadi kekuatan tambahan kepada filem itu.

“Bagaimanapun, kumpulan Meet Uncle Hussain bukanlah pelakon undangan. Mereka mempunyai watak dalam filem ini. Mereka ialah pencerita kepada sesuatu situasi,” katanya mengenai kemunculan kumpulan itu pada kebanyakan babak membabitkan Nabil.

Selain berlakon, kumpulan terbabit turut menyediakan muzik dan lagu latar bagi LPSdM.

“Sejak awal lagi, filem ini memang dirancang sebagai sebuah komedi muzikal. Kita juga menayangkannya kepada sekumpulan pelajar dan mereka nyata mahukan muzik untuk filem ini. Bagi saya, muzik yang dimuatkan boleh menjadi senjata untuk menarik golongan muda menontonnya,” kata Aminah.

Salahkan kru kerja sambil lewa

BERHUBUNG masalah kesinambungan atau konti yang jelas kelihatan pada filem terbabit, wanita ini menjelaskan, dia hanya merakamkan babak yang dikehendakinya. Lalu, apabila masalah kesinambungan disedari kemudian, dia tidak mempunyai rakaman tambahan yang boleh membantu menyelesaikan masalah terbabit.

Katanya lagi, LPSdM hanya menggunakan 108 gulung filem ketika kerja rakaman filem ini dilangsungkan.

“Sewaktu penggambaran dijalankan, ada sebahagian kru yang mengambil sikap sambil lewa ketika menjalankan tugas. Inilah penyakit yang masih ada di kalangan kru perfileman kita. Sebahagiannya melihat saya sebagai pengarah baru, jadi mereka bekerja ala kadar saja. Masalahnya, mereka menuntut gaji yang mahal pula. Sebahagian lagi suka membuat dua kerja pada satu masa,” jelasnya.

Dia turut menjelaskan mengapa filem terbabit dilihat agak terputus-putus perjalanan ceritanya. Kata Aminah, LPSdM hanya memakan masa 90 minit, justeru mereka menggunakan pendekatan perjalanan cerita yang pantas untuk mengelakkan filem itu daripada meleret. Lalu, peminat harus memahami sendiri sesetengah adegan yang ada kala dilihat berlaku tanpa penjelasan.

Contohnya, babak Nabil yang sebelum itu sering bergaduh dengan Natasya (Sarah) tiba-tiba boleh terpacul di rumah gadis berkenaan. Jelas Aminah, sebelum itu dia sudah menunjukkan babak di mana Zizan menjadi rakan penghubung kepada kedua-dua watak yang asyik bertekak itu. Dengan sendiri penonton boleh mengerti dari mana Nabil mendapat alamatnya.

Apa saja pandangan orang lain terhadap LPSdM, bagi Aminah, ia tetap sebuah karya yang cukup istimewa. Apatah lagi apabila beberapa kejadian dalam filem itu seolah-olah benar-benar terjadi kemudiannya.

Umpamanya, pada satu adegan, Natasya baru saja meluahkan rasa tidak puas hati mengenai penyiaran berita gosip mengenainya di akhbar. Antara kata-katanya dalam filem itu, mengapa pula orang hendak kecoh-kecoh sedangkan dia bukan berbogel pun. Sebaik saja penggambaran adegan itu selesai, gambar Sarah bersama kekasih, Ammar Alfian Aziz, tersebar di Internet.

Begitu juga adegan menyaksikan Nabil mencium pipi Natasya selepas memenangi pertandingan realiti, yang diikuti kejadian sebenar Nabil terpeluk Irma Hasmie pada acara kemuncak ABPBH ‘08. Meet Uncle Hussain pula ada menyanyikan rangkap mengenai benci dan rindu, yang kemudian menyaksikan perpisahan penyanyi utamanya, Lan, daripada kumpulan itu.

Berita Harian

No Comments »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a comment