Prism Desak Hak Pelaku Dipinda
Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

ONG (tiga dari kiri) ketika mempengerusikan Persidangan WIPO, Badan Induk Kutipan Hak Cipta dan Hak Sampingan Perkembangan Teknologi Digital di Beijing, China.
Akta sedia ada tidak memihak kepada artis dan pemuzik rakaman
PINDAAN Akta Hak Cipta 1987 pada tahun 2000 di bawah artikel 16B, memberikan hak baru yang dikenali sebagai Hak Pelaku untuk membenarkan pemuzik dan artis rakaman mengutip ‘equitable remuneration’ atau saraan saksama.
Jika rakaman persembahan mereka digunakan bagi maksud komersial yang dipersembahkan di tempat awam atau penyiaran, pengguna harus membayar royalti kepada pemuzik atau artis oleh pengguna rakaman itu.
Dalam masa sama, Malaysia juga perlu menyertai Konvensyen Rome (1961) dan Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) bagi Perjanjian Persembahan dan Phonogram (WPPT) pada 1996, kerana ia akan memberikan perlindungan khas kepada pemuzik dan artis rakaman.
Perkara ini sedang diperjuangkan oleh penggiat industri muzik menerusi penggubalan Akta Hak Cipta 1987.
Mengikut akta itu, dalam artikel 16A (1) menyebut Kuasa Hak Pelaku bermaksud hak eksklusif yang boleh dituntut untuk mengawal segala aktiviti persembahan di negara ini. Ia berbentuk persembahan atau penyampaian kepada orang awam secara langsung .
Ia juga dituntut untuk penetapan bagi persembahan yang belum ditetapkan atau dirakam (fixation of unfixed performances) dan pengeluaran semula rakaman persembahan langsung (the reproduction of the fixed performances) bagi maksud yang berbeza daripada apa yang dipersetujui.
Apabila rakaman pertama persembahan langsung di tempat awam dibenarkan atau menjadikan tersedia disalin bertujuan diniagakan, pelaku iaitu artis dan pemuzik rakaman sudah tidak ada hak mendapatkan royalti. Pelaku hanya mendapat bayaran ketika membuat persembahan saja, tidak terkecuali penyewaan kepada orang awam.
Artikel 16A (2) pula menyatakan, pelaku kehilangan segala hak eksklusifnya di bawah subseksyen (1) apabila pelaku memberi persetujuan bagi penetapan atau rakaman. Jadi, pelaku tidak ada hak lagi untuk menuntut hak mereka menerusi rakaman mereka atas hak di 16A (1).
Dalam erti kata lain, artis dan pemuzik rakaman tidak mendapat apa-apa hak eksklusif iaitu royalti terhadap hasil kerja mereka yang dipersembahkan di tempat awam sebaliknya hak itu hanya diberikan kepada syarikat rakaman.
Oleh itu, apabila Artikel 16B Akta Hak Cipta 2000 dipinda, ‘ganjaran yang berpatutan’ atau ‘saraan saksama’ digubal kembali untuk membenarkan pemuzik rakaman berhak untuk kegunaan hasil rakaman mereka.
Istilah ganjaran yang berpatutan juga tidak jelas ditakrifkan dalam Undang-Undang Hak Cipta dan menjadi masalah bagi mahkamah untuk menilai apakah nilai seharusnya royalti yang berpatutan dan dengan tanpa kos tinggi untuk membuat kajian secara komprehensif.
Sehingga hari ini, industri muzik tanah air tiada rujukan untuk menentukan nilai royalti pelaku seperti kadar skim pelesenan yang digunakan oleh Public Performance Malaysia (PPM) dan Badan Hak Cipta Karya Muzik Malaysia (MACP). Perkara itulah yang sedang dituntut oleh Performers & Artistes Rights (M) Sdn Bhd (Prism) daripada Tribunal Hak Cipta.
Pengurus Besar Prism, Ong Peng Chu, berkata, pihaknya sudah beberapa kali mencadangkan dan mendesak kepada Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya Malaysia menjadi ahli kepada Konvensyen Rome (1961) dan WPPT (1996).
“Konvensyen Rome adalah perjanjian antarabangsa yang khas untuk perlindungan hak pelaku. Manakala WPPT menawarkan hak lanjutan perlindungan eksklusif untuk pelaku termasuk konteks teknologi digital seperti internet dan telekomunikasi dan yang paling penting, hak pelaku akan terpelihara ketika rakaman mereka disebarkan melalui teknologi baru,” katanya.
Menurut Ong, WPPT juga memberi hak ekonomi baru bagi pelaku dalam rakaman suara seperti hak yang diberi kepada penerbit rakaman suara dan pencipta muzik.
“WPPT juga memperkenalkan hak moral pelaku berkaitan dengan persembahan langsung dan rakaman penampilan mereka. Hak moral yang dicadangkan untuk paparan akan menjadi hak timbang tara; hak terhadap timbang tara palsu dan hak untuk menolak siaran dan rakaman persembahan mereka yang akan merugikan serta hak perlindungan ekonomi selama 50 tahun.
“WPPT bukan saja memberikan skim lebih lebar untuk hak pelaku, dari segi sokongan antarabangsa, tetapi juga menyediakan rangka kerja yang lebih sesuai untuk pelaksanaan dasar Kerajaan untuk undang-undang hak pelaku,” katanya.
Langkah sekat lanun digital
“DENGAN bantuan Badan Persatuan Induk Antarabangsa yang Mengendalikan Hak Pelaku (SCAPR), Prism juga berbincang dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), supaya perkara yang menjadi kekeliruan dalam akta pelaku dapat diperbaiki.
“Kami mencadangkan perkataan ‘live’ dikeluarkan bagi kesemua hak eksklusif yang diberi kepada pelaku di Malaysia dalam artikel 16A (1).
“Artikel 16A(2) pula menyatakan pelaku kehilangan hak apabila memberi persetujuan bagi penetapan (rakaman). Kita cadangkan artikel ini dimansuhkan kerana ia tidak memberi erti kepada hak kutipan royalti pelaku jika penetapan (rakaman) itu diguna, dijual, disewa atau dikeluarkan semula,” katanya.
Sementara itu, Ong juga menjelaskan Prism dan Majlis Muzik Malaysia (MMM) turut mengemukakan cadangan kepada kerajaan agar menguatkuasa sistem ‘levi ke atas pita kosong’ atau ‘blank tape levy’ bagi menangani isu cetak rompak.
“Oleh kerana kini pasaran muat turun (download) haram berada dalam peringkat bahaya dan boleh melumpuhkan industri muzik, sesuatu tindakan harus dilakukan dengan cepat.
“Lanun digital ini memang di luar kawalan dan tidak ada cara yang dapat mengatasinya pada masa kini. Kami cadangkan supaya kerajaan mengenakan sistem blank tape levy sebagai alat yang boleh merakam kandungan audio visual seperti DVD, CDR, MP3, MP4, Hard Disk dan banyak lagi daripada pengeluar (kilang).
“Ia adalah satu bentuk levi atau cukai yang dikutip untuk membantu pemilik hak atas kerugian mereka disebabkan muat turun digital menerusi internet dan sebagainya. Sistem ini terbukti berkesan di Eropah. Hasil kutipan kemudian akan diagihkan kepada wakil badan yang mewakili pencipta, penerbit dan pelaku dalam rakaman audio dan visual.
“Ini sekurang kurangnya dapat menampung sebahagian daripada kerugian yang hilang disebabkan isu cetak rompak. Untuk tahun ini, Prism akan menyelenggarakan tugas dengan lebih sempurna dan pengawasan yang berterusan untuk pembangunan hak dalam dan luar negara dengan kerjasama erat bersama Majlis Muzik Malaysia (MMM) dan Persatuan Hak Artis dan Pemuzik Antarabangsa” katanya.
ESOK: Apa kata Pengerusi Kerjasama dan Kumpulan Pembangunan Kerja Badan Persatuan Induk Antarabangsa Mengendalikan Hak Pelaku (SCAPR), Xavier Blanc mengenai usaha Prism?
Berita Harian