Rangkaian Radio Media Prima Terus Bantu Projek NGO

SEELAN bersama wakil NGO selepas menandatangani MoU, baru-baru ini.
RADIO adalah sebuah medium yang mampu mencapai sasaran pendengar hampir 92 peratus yang mana bukan saja bertindak sebagai media hiburan, malah turut menyalurkan maklumat yang berguna kepada pendengar. Ini menjadikan radio sebagai satu cara yang berkesan dalam meningkatkan kesedaran pendengar.
Sedar mengenai peranan itu, Rangkaian Radio Media Prima (MPRN) mengambil tanggungjawab melalui stesen radio di bawah naungannya seperti Hot FM, Fly Fm dan One FM menjadi perantara antara pendengar dan badan pertubuhan kebajikan untuk menyampaikan mesej kesedaran.
Ketua Pegawai Operasi MPRN, Seelan Paul berkata, bermula awal tahun lalu, MPRN mengambil bahagian dalam menyokong badan bukan kerajaan (NGO).
“Pada 28 Mac tahun lalu, MPRN mengambil bahagian dalam menyokong badan NGO seperti WWF, SLE, WAO dan Unicef untuk meningkatkan kesedaran sivik dari segi isu dunia mahupun sosial. Ketiga-tiga stesen radio kami turut mengambil bahagian dalam Earth Hour dengan menutup siaran langsung selama satu jam.
“Bermula tahun ini juga kami sudah membuat perjanjian untuk meneruskan kempen kesedaran sivik kepada pendengar dengan bekerjasama dengan empat badan NGO yang lain seperti National Diabetes Hospital (Nadi), Paws Animal Welfare Society (Paws) serta Badan Warisan dan All Women’s Action Society (Awam),” katanya yang ditemui pada majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) MPRN bersama empat badan NGO itu baru-baru ini.
Dalam perjanjian MoU itu, MPRN akan terus mendukung usaha murni mereka melalui Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) serta mengambil bahagian secara ‘on ground’ mengikut acara yang bersesuaian.
“Kita akan sentiasa menyokong pembabitan badan NGO ini di dalam aktiviti kempen yang mereka lakukan. Setiap badan NGO ini, kami akan menyiarkan kempen PSA secara percuma kepada mereka selama setahun.
“Bermakna setiap badan NGO akan mendapat PSA secara percuma sebanyak empat kali setahun selama 30 saat bagi satu PSA melalui tiga stesen radio kami. Kami juga akan cuba menyokong mereka dengan segala aktiviti yang akan mereka lakukan,” katanya yang mengharapkan usaha ini mendapat sokongan masyarakat yang boleh menghulurkan tangan untuk membantu mereka.
Berita Harian