Featuring the latest Malaysia scandals, gossip, and entertainment news.

Ruang Peribadi Kak Cham: Perihal Mawi, Isteri Dan…

February 8, 2010 Berita Harian | Comments (0) admin @ 6:30 pm



Oleh Hanizam Abdullah
hanizam@bharian.com.my


MAWI sempat bersalaman dengan peminatnya ketika di Singapura.

MERIAH benar bunyinya apabila sekumpulan pembaca Berita Harian dan tiga finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009) bersantai di Kota Singa hujung minggu lalu. Rasa cemburu pun ada apabila melihat gambar menarik yang dirakamkan jurugambar Surianie Haniff. Memang terkilan kerana mengikut perancangan, teman memang hendak sangat pergi. Tetapi tuntutan kerja terutama persiapan untuk majlis ABPBH pada 4 April buat teman macam tak cukup masa. Nak pergi Gold Coast, Australia bagi memenuhi jemputan 8TV pun teman tak dapat hendak penuhi.

Teman sebenarnya suka kalau dapat bersantai sama dengan pembaca dan peminat dunia hiburan serta rakan artis atau selebriti. Masa inilah teman dapat bertukar-tukar fikiran dengan mereka. Banyak perkara yang mereka gemar kongsi bersama, ada yang boleh tulis tetapi banyak jugalah yang tak boleh tulisnya. Tak menjadi kudis pun kerana teman hormati pandangan masing-masing.

Itu sebabnya teman tak pernah ketinggalan mengikuti rombongan road tour ABPBH. Kalau boleh setiap lokasi teman nak pergi. Selalunya apabila begini kita dah rasa macam satu keluarga – makan, naik bas, di tapak konsert, sesi lepak dan sebagainya. Jumpa pula dengan pembaca, memang macam-macamlah cerita mereka dan pandangan mereka mengenai seseorang artis atau isu hiburan tanah air.

Maklumlah orang kata, rambut sama hitam, hati memanglah lain-lain. Ada kalanya, penawar bagi seseorang mungkin jadi racun bagi orang lain pula. Biasalah tu… Jadi teman tak hairan pun apabila ada yang melahirkan rasa kurang senang apabila ada yang berasa panas hati melihat Bintang Paling Popular selama tiga tahun berturut- turut, Mawi macam tak boleh berenggang dengan isterinya, Ekin.

Kata Mawi, “Bawa salah, tak bawa pun salah.” Akhirnya, Mawi dan Ekin yang rasa serba salah. Ekoran pandangan dan gosip tayang isteri itu, teman diberitahu Mawi macam merajuk dan tak mahu membawa Ekin mengikuti rombongan ABPBH ke Singapura sedangkan bagi teman, percutian itulah yang sewajarnya mereka kelihatan bersama. Teman difahamkan Ekin menangis apabila dikatakan suka sangat mengekor suaminya ke mana saja. Tetapi seperti kata anak bujang teman, Nazrin, “Dah isteri dia Ma… biarlah! Kenapa orang lain nak sibuk-sibuk. Along hairan la… kalau artis dengan boyfriend atau girlfriend tak pula orang bising.”

Betullah tu… isteri dia, suka hati dialah. Sudah jadi isteri, sewajarnya mereka elok kelihatan bersama. Kalau jarang bersama barangkali boleh timbul fitnah. Apatah lagi orang muda, darah pun muda dan rasa curiga pun mudah melanda jiwa. Kalau sudah ada depan mata, ha… hati pun senang. Itu kata Ekin dan Mawilah kerana kata kalangan yang ‘sakit mata’, mereka perlu bijak bila hendak kelihatan bersama dan bila pula mewujudkan ruang peribadi masing-masing.

Bagi teman, tak ada cacat cela pun kalau Mawi nak bawa Ekin atau Ekin nak ikut Mawi. Lagi pun orang sedang hangat bercinta memang macam itulah. Kalau sibuk pun, pandai curi waktu untuk memastikan mereka dapat bersama. Kata kalangan yang ‘sakit mata’ ni, dulu Mawi sanggup mengabaikan tunangnya, Ina Naim yang berjanggut menunggu SMS dan panggilannya. Masa itu Ina dah jadi macam pungguk rindukan bulan. Ala cerita lama… yang penting Ina pun dah bahagia. Mawi pun bahagia juga. Banyak yang kedua-duanya pelajari dengan peristiwa yang berlaku. Orang kata pengalaman itu memang mematangkan seseorang.

Macam Mawi, sekarang ini sudah tak berat mulut lagi dengan teman. Sudah pandai berSMS teman dan ada kalanya berbual dengan teman. Tapi masing-masing tidak pernah melanggar ruang peribadi. Teman pun tak pernah sesuka hati nak telefon artis, tanya itu dan ini, melainkan kalau teman terpaksa campur tangan. Sebaliknya teman lebih suka kalau anak buah yang ‘deal’ sendiri.

Kalau dulu, jumpa teman pun Mawi tak pernah nak tegur. Teman ingat lagi masa dia baru nak kenal dunia glamor, teman lalu depan mata pun dia tak berapa nak nampak. Barangkali terlalu mendengar nasihat daripada ‘jurucakap tak bertauliah’ supaya jangan baik dengan wartawan. Macamlah wartawan ini tak ada kerja lain dan nak cari salah orang saja. Sama-sama cari makan, jadi bijaklah hormati tugas dan kerjaya masing-masing. Ala… cerita lama dan teman pun tak ambil hati.

Gara-gara dakwaan tayang bini itu juga, Ekin bagaikan fobia apabila melihat jurugambar. Kalau boleh dia tak mahu bergambar lagi dengan Mawi untuk sebarang sesi fotografi. Sehinggakan ketika Mawi di Singapura, teman difahamkan Ekin sebenarnya ada turut serta. Tetapi sorok-soroklah dan tidak mahu tunjuk muka walaupun wartawan yang mengikuti rombongan tahu mengenai kehadirannya. Malam saja Ekin datang menemani Mawi. Teman geleng kepala. Kasihan juga budak-budak ni….

Hakikatnya, dunia hiburan begitulah. Buat salah, tak buat salah, semuanya serba salah. Tetapi tidak kurang pentingnya adalah bagaimana untuk tidak nipis telinga. Tebal sangat pun tak boleh juga kerana nanti dia buat tak tahu pula segala teguran yang dilemparkan. Nanti terkeluar pula kenyataan macam Gayah Gebu selalu cakap, “Ada Gayah kisah?” Sekali-sekala tak kisah tak apa, orang kata tak makan saman. Tetapi kalau acap kali ditegur, tetapi masih buat-buat tak kisah memanglah parah kerana lebih sanggup hidup dalam sumpah seranah. Jumpa lagi!

Berita Harian

No Comments »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a comment