Tuah Bawa Muzik ‘Rock Kapak’
Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

AVIDITY mahu memastikan hayat seni mereka bertahan lama dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam.
NAMA kumpulan Avidity masih terlalu asing kepada peminat muzik. Mereka bukan band indie tetapi kini mula melakar nama selepas menjadi juara pertandingan Twisties Bingit terbitan 8TV.
Kumpulan yang terdiri empat anak muda ini akan mengikut jejak Modread yang menjadi juara untuk pertandingan Twisties Bingit edisi pertama pada tahun lalu. Mereka ialah Yusof Ahmad sebagai vokalis utama, Fazreen Rezza Romli menjadi pemain gitar; Mohd Zul Azri Ismail (bass) dan Valentine Arthur Dangin (dram)
Dalam pertandingan akhir pada 12 Disember lalu, Avidity bersaing dengan tiga lagi kumpulan iaitu Rocket Planet, The Musicians dan Floor 88.
Pada peringkat itu, Avidity menyanyikan tiga lagu iaitu Mentari Merah Di Ufuk Timur yang dipopularkan oleh kumpulan Search, Hukum Karma (Wings) dan Kasihnya Laila (Jinbara).
Ketiga-tiga lagu memberi tuah apabila Avidity diumumkan sebagai juara untuk memenangi hadiah dengan nilai keseluruhannya RM80,000. Ia meliputi kontrak bersama syarikat rakaman Monkeybone bernilai RM60,000 dan wang tunai, RM20,000.
Kontrak rakaman itu bersamaan sebuah album dan kini mereka sudah merakamkan single ciptaan Edrie Hashim berjudul Girang Si Kongkang.
“Duit RM20,000 itu sudah diagihkan. Kami kini juga dalam proses menyiapkan album solo. Besar kemungkinan kami memuatkan lagu ciptaan sendiri berjudul Impian. Selain Edrie, album ini akan membabitkan Sham Kamikaze,” kata Yusof atau Uchop.
Avidity seperti kumpulan lain yang bertanding, cepat serasi selepas berminggu-minggu bersama meneruskan perjuangan. Hakikatnya, semua anggota kumpulan Avidity mempunyai band sendiri.
Apabila ditanya di mana keutamaan mereka, masing-masing pantas memberi jawapan semuanya dibahagi sama rata. Uchop mempunyai band bernama AVDT, Zul (Black Star), Fazreen (Istana Band) dan Valentine (Jaija).
“Ahmad Dhani pun ada dua band. kami tak mahu seperti kacang lupakan kulit. Jadi untuk menjadi lebih telus, kami sepakat membahagi komitmen di antara Avidity dan kumpulan masing-masing,” kata Uchop lagi.
Avidity antara bakat baru yang mahu menjadi penerus legasi ‘rock kapak’. Dibesarkan dengan pengaruh lagu kumpulan Wings, Search dan banyak lagi band rock zaman 80-an, mereka yakin pilihan jalur muzik tahun itu masih diminati ramai. Kata Uchop, irama rock tidak berkubur begitu saja.
“Kalau boleh kami tak mahu jadi klon kepada band rock yang ada dan mahu berdiri dengan sendirinya. Kami masih teringat nasihat abang Jay Jay meminta kami supaya sentiasa merendah diri dan berlatih untuk memantapkan kedudukan yang baru dicapai ini,” katanya.
Menurut Uchop, dia meminati dunia nyanyian sejak kecil lagi dan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berhijrah ke Kuala Lumpur, nekadnya hanya satu mahu menjadi penyanyi.
“Saya pernah bekerja menjadi kru dengan mengangkat wayar saja untuk penyelenggaraan persembahan dan studio. Ketika itu, saya bertuah dapat bekerja di bawah kumpulan Wings dan Kristal, pernah menjadi deejay dan menjaga sistem bunyi dengan Isma Halil. Saya bersyukur pengalaman berharga itu banyak mengajar saya menjadi lebih peka kepada muzik dan persekitaran,” kata Uchop.
Sementara itu, Produser Monkeybone Records, Edris Adrian menjelaskan kehadiran Avidity di persada seni mampu menjadi penyambung kepada kehebatan era muzik rock 80-an.
“Saya yakin muzik rock 80-an masih ada peminat dan pasarannya lagi di era ini. Monkeybone Records dan 8TV hanya menyediakan jalan untuk mereka berkongsi bakat,” katanya.
Berita Harian