Featuring the latest Malaysia scandals, gossip, and entertainment news.

Cukuplah Sekali

February 10, 2010 Berita Harian | Comments (0) admin @ 6:20 pm



Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my


Amber Chia

Amber Chia tidak mahu lagi lepaskan peluang rai hari Tahun Baru bersama keluarga

TIDAK sukar mendekati wanita tinggi lampai yang pernah mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa ini. Dia masih lagi seperti dulu, seperti mana kami bertemu lima tahu lalu, masih ramah dan tidak henti-henti berbicara.

Walaupun pernah melakar kejayaan pada Pencarian Peragawati Antarabangsa Guess 2004, ia tidak pernah dijadikan alasan untuk wanita bernama Amber Chia, 29, meninggi diri.

Ditemui ketika majlis memperkenalkan barangan Habib sempena Tahun Baru Cina dan Hari Kekasih yang bertemakan Hong Love atau Red Love, Amber memberitahu dia tidak sabar mahu pulang ke Tawau, Sabah meraikan hari kebesaran itu bersama keluarga setelah terlepas peluang merayakannya tahun lalu kerana berada di New York selama enam bulan mengikuti pengajian dalam bidang filem.

“Saya amat merindui keluarga ketika itu. Berada di New York sendirian membuatkan saya berasa teramat sunyi, mendengar suara ahli keluarga yang gembira dapat berkumpul bersama membuatkan hati saya menjadi bertambah sayu.

“Ahli keluarga saya besar, saya mempunyai enam orang adik-beradik serta anak saudara. Apabila keluarga berkumpul, rumah kami menjadi riuh rendah, tetapi saya pula berada jauh daripada mereka. Hanya telefon dan internet yang dapat mendekatkan saya dengan mereka, namun perasaan itu tidak sama jika dapat pulang untuk bersama-sama dengan mereka.


PENGARAH Urusan Habib, Datuk Meer Habib dan Amber Chia pada majlis memperkenalkan koleksi barangan kemas Habib sempena Tahun Baru Cina.

“Oleh kerana tahun lalu saya tidak dapat bersama mereka, tahun ini saya akan pulang ke kampung. Keluarga sentiasa menjadi keutamaan saya, walau sesibuk mana sekalipun dengan tugas, saya akan tetap pulang ke kampung meraikan Tahun Baru Cina,” kata wanita yang dilantik menjadi Duta produk Habib sempena Tahun Baru Cina dua tahun berturut-turut.

Akan pulang ke kampung halaman tiga hari lebih awal, Amber tidak sabar membantu ibunya mengemas rumah dan membuat persiapan untuk hari yang cukup bermakna bagi kaum Cina itu. Dia tidak akan pulang dengan tangan kosong ke kampung, sebaliknya setiap kali tibanya perayaan itu, pasti pelbagai hadiah dibawa pulang untuk keluarga.

Ketika sidang media di Habib baru-baru ini, Amber berkira-kira untuk membelikan ibunya barang kemas. Setahun sekali, kata wanita yang pernah mencetuskan kontroversi gara-gara bergaya seksi dalam majalah Playboy Indonesia, nilai itu lebih kecil jika dibandingkan dengan jasa yang pernah dicurahkan ibunya.

Biarpun namanya pernah dijulang di peringkat antarabangsa, wanita yang memiliki sebentuk bibir seksi ini tidak pernah sekali melupakan asal usulnya. Malah, dia menyeru kepada generasi muda supaya menghargai Tahun Baru Cina.

“Tahun Baru Cina adalah hari sangat bermakna buat kaum Cina. Saya berharap supaya budaya ini tidak dilupakan. Saya juga sangat-sangat berharap agar generasi muda tidak melupakan perayaan ini. Walau sibuk macam mana sekali pun, jangan lupakan kampung halaman dan paling penting keluarga kita. Cuba luangkan masa bersama keluarga.

“Saya sendiri menolak sebarang undangan jika ia jatuh pada Tahun Baru Cina. Sejak dulu lagi, walau sibuk macam mana dengan kerja, saya akan tetap pulang ke kampung untuk bersama-sama dengan keluarga. Cukuplah sekali saya tidak dapat bersama mereka, saya tidak mahu melaluinya sekali lagi,

“Tahun ini saya akan pulang tiga hari lebih awal untuk membantu ibu. Biasanya saya akan berada di kampung sehingga hari ke 10 kerana bagi orang Hokkien seperti saya, hari yang ke sembilan adalah hari yang cukup bermakna bagi kami,” katanya.

Masih lagi solo, wanita ini berharap tahun Harimau bakal membawa sinar yang lebih cemerlang bukan saja kepada kerjaya dan perniagaan Amber Creation yang baru ditubuhkan sembilan bulan lalu. Tetapi wanita ini juga berharap bakal bertemu jejaka yang sesuai untuk dijadikan teman hidup.

Sehingga kini kata wanita itu, dia masih belum mempunyai teman istimewa. Kala ditanya siapa lelaki berada yang sering didampingi, wanita ini bertanya kembali siapa lelaki dimaksudkan. Dia menafikan menjalin hubungan dengan sesiapa. Katanya, dia sudah bersedia membuka pintu hatinya untuk dicintai tetapi belum ketemu cinta sebenar.

Cintanya pada ketika ini hanyalah terhadap kerjaya. Program realiti pencarian model Ford Models Supermodel Of the World Malaysia 2009 yang dianjurkan, sudah pun berakhir biarpun di awalnya penuh dengan kekalutan. Amber bagaimanapun berjaya juga membawa pesertanya ke Brazil mengikuti pertandingan akhir di sana, biarpun gagal menempa sebarang tempat, Amber tidak berputus asa.

Sebaliknya wanita bervisi tinggi ini merancang untuk mengadakan lagi program berkenaan di masa depan kerana dia percaya setiap kegagalan itu pasti akan berakhir dengan kemenangan satu hari nanti.

Berita Harian

No Comments »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a comment