Featuring the latest Malaysia scandals, gossip, and entertainment news.

Mamu Mangsa Kejar Rating?

February 26, 2010 Berita Harian | Comments (0) admin @ 7:00 pm



Oleh Farihad Shalla Mahmud

Peserta dakwa pihak produksi minta mereka keluarkan kenyataan

BELUM lagi bergelar juara, tapi sudah berani mengeluarkan kenyataan berunsur berangan dan berlagak. Itulah yang berlaku ke atas peserta Raja Lawak musim ketiga yang menamakan diri mereka kumpulan Mamu. Kumpulan yang berasal dari Pulau Pinang itu dikatakan sudah mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan banyak pihak dengan mengatakan mereka menyertai pertandingan ini hanya untuk menang dan bukannya untuk mencari kawan. Kenyataan itu dikeluarkan menerusi program berbentuk diari iaitu Ceritera Raja Lawak yang disiarkan minggu lalu.

Gara-gara kenyataan berbentuk mementingkan diri sendiri itu, kumpulan Mamu turut ditegur di dalam akhbar sisipan B’pop Ahad lalu. Sebagai orang yang masih hijau dalam bidang seni, apa yang mereka katakan itu agak keterlaluan dan boleh menimbulkan salah faham masyarakat terhadap anak seni. Bukankah lebih bagus kalau mereka merendah diri dan mencari seberapa ramai kawan dalam bidang ini tanpa memikirkan soal kemenangan semata-mata.

Bertemu Mamu selepas program itu selesai, Hip cuba mendapatkan penjelasan sebenar mengenai kejadian itu. Dan jika benar tidakkah mereka tahu akan kesan yang terpaksa mereka hadapi ekoran dari kenyataan “tak sayang mulut” itu.

Pun begitu, sebelum pertanyaan itu diajukan, Mamu terlebih dulu membuka mulut untuk menjelaskan keadaan sebenar. Sebaik saja membaca laporan akhbar sebelum membuat persembahan tadi, mereka mengaku merasa tidak selesa dengan apa yang berlaku. Sambil mengakui terpaksa mengeluarkan kenyataan itu, Mamu berkata dia juga sudah menduga yang kenyataan itu akan mencetuskan pandangan tidak baik masyarakat terhadap mereka.

“Sebenarnya pihak penerbitan Ceritera yang meminta kami berkata begitu untuk menjadikan rating program ini meningkat. Apabila mereka meminta kami berkata begitu, kami pun terkejut juga kerana kami yakin perkara ini pasti akan mencetuskan kontroversi sehingga membuatkan banyak pihak akan merasa tidak senang dengan kami.

“Dalam kehidupan sebenar, kami tidaklah sebegitu. Kami saling berkawan dan bantu membantu antara satu sama lain terutama dalam menyiapkan tugasan mingguan. Semua itu hanyalah rekaan semata-mata. Kami harap semua pihak memahami keadaan ini,” ujar Ajo merendah diri.

Apapun, menurut Mamu, semua yang berlaku ini akan dijadikan panduan sebelum melangkah keluar ke dunia seni yang sebenar.

“Kehadiran kami bukanlah untuk memburu glamor tetapi sekadar ingin berkongsi bakat dan ilmu kepada penonton. Pada saya tiada jalan yang mudah untuk menyampaikan mesej kepada penonton selain menerusi seni.Dan berlawak adalah salah satu daripadanya,” kata Ajo bersemangat.

Mengulas penyertaan mereka dalam program ini, pemegang Ijazah Seni Persembahan Universiti Sains Malaysia pengkhususan dalam bidang lakonan dan arahan ini berkata memang sudah lama dia menyertai program itu.

“Sebelum ini memang saya ada menghadiri sesi uji bakat tetapi tidak berjaya. Mujurlah untuk kali kedua uji bakat ini, saya dan Abu berjaya. Sebenarnya ada cerita menarik yang ingin saya kongsikan sebelum kami menjalani uji bakat. Saya ada bermimpi mengenai teori manusia berasal dari beruk yang dinyatakan oleh Charles Darwin. Dari mimpi itu saya mengubah suai dan dijadikan bahan dalam lawak saya. Idea itulah yang saya gunakan sewaktu uji bakat dan alhamdulillah, kami berjaya,” ujar Ajo yang berdepan dengan Din Beramboi sewaktu uji bakat dijalankan.

Pada malam persembahan minggu kelapan itu, kumpulan ini berada di tangga tercorot dengan mendapat markah sebanyak 19.8 peratus. Kalau ikutkan peraturan pertandingan, Mamu sepatutnya perlu mengucapkan selamat tinggal kepada rakannya malam itu, namun disebabkan pihak Astro memberikan imuniti dengan menyatakan tiada penyingkiran, nasib terus berpihak pada mereka untuk meneruskan perjuangan dalam pertandingan itu.

Tiada penyingkiran prosedur biasa

KALI pertama tiada penyingkiran berlaku dalam program ini adalah sewaktu minggu pertama mereka bersiaran. Bagaimanapun, untuk minggu kelapan, sekali lagi peminat program itu menyaksikan tiada penyingkiran yang akan berlaku. Tertanya-tanya juga adakah keputusan ini dibuat semata-mata kerana ingin menyelamatkan kumpulan Mamu yang mempamerkan lawak yang melucukan pada malam itu.

Mengulas pertanyaan itu, Ketua Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata bukanlah menjadi polisi mereka untuk menyelamatkan mana-mana peserta tetapi keputusan itu dibuat kerana ia adalah prosedur biasa dalam program ini.

“Sebelum ini, setiap kali apabila peserta dikehendaki membuat dua tugasan, maka pada minggu itu tiada sebarang penyingkiran akan berlaku. Macam minggu ini, peserta dikehendaki membuat dua tugasan iaitu tiru gaya artis dan lawak bisu. Jadi disebabkan itu, kita tak mengeluarkan mana-mana peserta,” jelas Nizam sambil memberitahu format asal Raja Lawak tidak membenarkan elemen serap semula diadakan.

Tambahnya, setiap peserta mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing dan hanya nasib akan menentukan nasib mereka selepas ini.

Berita Harian

No Comments »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a comment