Cinta Sejati Umie – Khairuddin
Ditulis oleh Nonie
Memilih untuk menyulam perasaan cinta selepas berkahwin. Terpancak riak bahagia di wajah Datin Paduka Umie Aida sepanjang berlangsungnya majlis persandingan di Hotel One World semalam. Berbusana merah hati rekaan Jovian Mandagie di pelamin bersama suami, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, nyata membawakan nikmat yang luar biasa bagi Umie selepas melalui fasa perkahwinan.
“Saya tak dapat describe bagaimana nikmatnya bercinta selepas berkahwin. Saya menyintai suami dan ianya lahir dan bergerak daripada Allah.
“Saya jadi manusia yang berbeza selepas mengenali Abang. Sebelum ini saya takut untuk berkahwin kerana bimbang tidak dapat menyintai pasangan sepenuh hati tapi syukur perasaan itu lahir sendiri apabila mengenali Abang.
“Detik berdua bersama Abang sangat berharga dan kami sedang angau bercinta. Kalau boleh nak berdua sentiasa ke mana-mana. Cinta selepas bernikah sangat berbeza nikmatnya dan ianya takkan boleh dijual beli,” ujar Umie tersenyum bahagia di samping suami tercinta.

Dua minggu melayari bahtera perkahwinan, namun Umie hanya sempat menyediakan sarapan pagi untuk suami tercinta berupa roti sardin dan sup. Khairuddin hanya tersenyum dan mencelah masakan yang disediakan isterinya sangat enak.
“Abang tak suka saya memasak dan selalunya kami akan makan di luar. Mungkin dia kesian dengan isterinya,” gurau Umie yang akan menikmati bulan madu selepas urusan perniagaan Khairuddin di London selesai.
Majlis persandingan ini turut dihadiri oleh Tun Mahathir Mohamad dan isteri, Erra Fazira, Ziana Zain, Fahrin, Azwan Hj Ali, Nora Danish, Liyana Jasmay dan ramai lagi. Pasangan ini telah melangsungkan pernikahan di Tanah Suci Mekah pada 14 Mac lalu.
FOTO oleh SHEFRY MONIZ BIN MOHD NIZAR
Mangga Online
ABPBH: Santai Di Pantai Merdeka
Oleh Farihad Shalla Mahmud
Finalis ABPBH2009 melepak di pusat percutian yang diberi wajah baru
HEMBUSAN bayu laut yang dingin serta pemandangan menarik Gunung Jerai dan Tanjung Dawai menyambut kedatangan rombongan finalis, media dan krew Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 yang menginap di Pantai Merdeka Beach, Kota Kuala Muda, Kedah. Biarpun rombongan itu tiba kala angka jam sudah pun melewati angka 12 malam, namun rasa penat akibat perjalanan jauh hilang sebaik saja kaki memijak lokasi pelancongan yang baru setahun lalu beroperasi dengan wajah baru itu. Deru angin yang bagaikan mengusap dan membelai wajah menambahkan lagi kesegaran kepada mereka yang pada awalnya dihambat rasa mengantuk. Sejuknya, hingga sampai ke tulang hitam.
Selepas menerima kunci bilik, masing-masing bergegas menuju ke chalet melepaskan lelah. Terasa beruntung kerana chalet yang didiami rombongan ini berhadapan dengan laut. Kelihatan masih ada beberapa tetamu yang menginap di hotel ini menjalankan aktiviti memancing.
Bunyi ombak di pantai dan sesekali kedengaran kicauan burung membuatkan Pantai Merdeka Resort sesuai dijadikan tempat bercuti dan menenangkan fikiran. Memetik kata-kata finalis kategori Pelakon Komedi Wanita Popular, Kenchana Dewi, tempat ini memang sesuai untuk bercuti bersama suami. Hanya mereka berdua, tanpa diganggu sesiapa.
Suasananya yang santai dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan membuatkan lokasi percutian di sini juga semakin popular di kalangan pengunjung dalam dan luar negara.
Ini diakui Pengarah Pantai Merdeka Resort, Zulkhpli Nayan yang memberitahu penginapan yang mula beroperasi pada Februari tahun lalu, menjanjikan satu pengalaman indah kepada pengunjungnya.
“Sebelum syarikat Zubina Jubilee Sdn Bhd mengambil alih pengurusan kawasan ini, tak dinafikan tempat ini kurang mendapat sambutan. Namun, selepas Sultan Kedah meminta saya menguruskan kawasan pelancongan itu ditambah mendapat restu dan sokongan dari Majlis Perbandaran Sungai Petani, kami mula membaik pulih kawasan pelancongan ini.
“Untuk tujuan itu, ia membabitkan kos RM5.1 juta. Modal itu dikongsi dengan kerjasama Kementerian Pelancongan. Selepas berwajah baru, saya lihat ada kemajuan dari segi bilangan pengunjung yang datang menginap di sini,” kata Zulkhpli yang juga seorang kontraktor.
Berkonsepkan tropikal, Pantai Merdeka Resort juga menjanjikan keselesaan kepada pengunjung dengan menyediakan pelbagai kemudahan untuk kegunaan mereka.
“Kami ada menyediakan pakej untuk seminar, persidangan, hari keluarga, bulan madu, kerja berpasukan dan kem motivasi, selain pakej perkahwinan dan bulan madu dengan harga yang berpatutan.
“Selain itu, terdapat juga aktiviti lasak seperti meredah hutan, bola tampar pantai, futsal, aerobik dan menawarkan khidmat bot untuk ke Tanjung Dawai,” jelasnya sambil memberitahu kebersihan dan keselamatan adalah dua aspek yang amat diutamakan untuk keselesaan pengunjung.
Pantai Merdeka Resort mempunyai 50 unit bilik penginapan, dua dorm dan sebuah kafe iaitu Bayu Beach Cafe.
“Ada konsep selerak (buffet) dan juga hidangan ala-carte (pesanan). Kami menyediakan hidangan BBQ jika ada permintaan daripada pengunjung. Disebabkan bilik yang ada terhad, kami bercadang untuk menambahkan lagi tempat penginapan selain menambah kemudahan lain seperti pusat karaoke khusus untuk pengunjung yang gemar menyanyi,” katanya.
Jika tiada aral melintang, ujar Zulkhpli syarikatnya itu juga akan membuka sebuah hotel di Terminal Lapangan Terbang Bayan Lepas.
Menurut Zulkhpli lagi, lokasi pelancongan itu akan dirasmikan oleh Sultan Kedah, Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 26 April depan.
“Lokasi pelancongan ini memang dekat dengan hati baginda kerana ia menyimpan nostalgia sewaktu baginda muda-muda dulu. Istimewanya, baginda mempunyai chalet sendiri di sini iaitu chalet DiRaja yang terletak menghadap pantai.
“Baginda beberapa kali menginap di situ. Insya-Allah, pada 26 april depan, Baginda akan mencemar duli, merasmikan pusat pelancongan ini,” ujarnya.
Mengenai kesudian mereka bekerjasama dengan ABPBH 2009 apabila menaja penginapan rombongan finalis, media dan juga krew, Zulkhpli mengakui pengaruh besar pada anugerah tahunan itu mampu memberikan promosi terbaik untuk Pantai Merdeka Beach Resort.
“Sebagai sebuah acara yang glamor, ABPBH mempunyai ramai pengikut. Secara tidak langsung, apabila kami bekerjasama dengan acara sehebat ini, ia juga adalah satu cara promosi yang terbaik buat kami.
“Lagipun, sebagai lokasi pelancongan yang baru dibuka, kami mahu rakyat Malaysia tahu bahawa Pantai Merdeka Resort sudah berwajah baru. Membabitkan diri bersama ABPBH, saya rasa adalah langkah terbaik untuk merealisasikan hasrat itu,” katanya.
Bagi mereka yang ingin merasakan sendiri kedamaian serta keindahan Pantai Merdeka Resort, bolehlah melayari laman web www.merdekabeachresort.com ataupun menghubungi talian 04.4377555 atau 0174787589.
Berita Harian
One Nation Emcees Teruja Duet Dengan Inul Daratista
Ditulis oleh Nonie

Biarpun baru setahun jagung menapak dalam industri, dan masih belum mengecapi populariti di kalangan peminat muzik tanah air, namun juara Gang Starz musim dua, One Nation Emcees berjaya membuka mata penyanyi dangdut terkenal Indonesia, Inul Daratista. Yang lebih membanggakan, Inul sendiri melamar kumpulan ini dan menyatakan keinginannya untuk berduet bersama.
“Kami difahamkan Inul berminat setelah melihat sendiri nyanyian kami berjudul Raja Gelek di You Tube dan suarakan keinginannya untuk berduet. Kemungkinan besar kami akan berduet untuk lagu Kerna Uang bersama Inul. Lirik lagu ini kami cipta sendiri.
“Peluang ini datang terlalu cepat di kala kami masih baru dan menyebabkan kami agak takut dan tak yakin untuk berduet dengan bintang besar sepertinya. Namun ia merupakan penghargaan besar kerana kehadiran kami dalam industri ini tidak sia-sia,” ujar Mimi mewakili anggotanya yang lain.
Nafi Tiru Black Eyed Peas
Mengakui konsep yang cuba ditonjolkan One Nation Emcees sangat berbeza daripada apa yang ditawarkan artis di Malaysia. Kumpulan yang dianggotai Mimi, Jojoe, Kozae dan Zydee ini berbangga kerana berjaya menampilkan kelainan pada penampilan dan konsep mereka.
“Tak ada artis lain di Malaysia yang sama seperti kami dan susah untuk buat perbandingan kerana konsep kami sangat berbeza daripada The Fabolous Cats dan Ahli Fiqir. Ada juga yang menyamakan kami dengan Black Eyed Peas (BEP) dan kami anggap itu satu penghormatan.
“Mungkin ada persamaan dengan BEP berdasarkan kepada gaya yang kami tonjolkan. Namun muzik kami berbeza kerana mereka lebih kepada futuristik. Dan jika ada yang kata kami tiru BEP memang tak munasabah kerana mereka menyanyi dan rap dalam Bahasa Inggeris, kami pula gunakan Bahasa Melayu,” ujar Mimi ringkas.
One Nation Emcees pernah dikritik kerana dikatakan perasan bagus semasa berada di atas pentas. Apa komen mereka?
“Memang diakui kami poyo di atas stage tapi bila tak membuat persembahan, kami biasa-biasa saja. Kami masih tegur orang lain. Cuma kami tanamkan attitude perasan bagus sebab tak mahu ada orang lain alihkan perhatian semasa show. Kalau boleh biarlah spotlight itu hanya untuk One Nation Emcees,” tambah mereka yang akan ke Singapura dalam rangka promosi album terbaru.
One Nation Emcees kini muncul dengan album sulung mereka yang memuatkan enam buah lagu termasuk lagu tema untuk Piala Dunia 2010, Laungkan. Lagu Apa Ku Kisah akan menjadi taruhan empat anak muda ini untuk terus bertahan dalam industri tanah air.
Mangga Online
Farid Kamil Menyesal Berlakon Dan Mengarah?
Ditulis oleh Nonie

Macam tak percaya bila Farid Kamil mengeluarkan kenyataan tersebut selepas tamat tayangan perdana V3: Samseng Jalanan. Jika dinilai kepada hasilnya, filem tersebut secara keseluruhannya memuaskan malah lebih baik daripada karya yang pernah dihasilkan pengarah senior.
Setahun menunggu untuk dilepaskan, Farid memanjatkan kesyukuran apabila filem pertama arahannya bakal menemui penonton 11 Mac ini.
“Sebagai pengarah baru, saya bertungkus lumus menyiapkan filem arahan ini sebaik mungkin. Namun saya akui ada beberapa bahagian dan karektor yang dapat diperbaiki lagi. Meskipun filem ini dipotong 20%, namun saya cukup berpuas hati ianya bakal dipaparkan kepada umum.
“Daripada pengalaman bikin filem ini, saya sudah serik dan menyesal apabila mengarah dan berlakon pada masa yang sama. Masih banyak yang perlu dipelajari dan susah untuk tempatkan diri sebagai pengarah dan pelakon. Keadaan menjadi sukar bila berlakon tapi dalam masa yang sama saya perlu memikirkan apakah scene seterusnya dan mengarahkan kamera mengikut kesesuaian,” ujarnya yang melakukan penggambaran V3: Samseng Jalanan sekitar Alor Star, Shah Alam dan Kuala Lumpur.
Menurut Farid, filem ini bukanlah diangkat daripada kisah benar yang terjadi, namun hanya luahan isi hatinya ketika berusia 15 tahun ketika itu.
“Jika diamati dialog yang diucapkan dalam filem ini adalah luahan perasaan rempit yang tidak ada litar atau ruang untuk berlumba. Saya bukan mengangkat golongan ini sebagai hero tapi hanya menjadikan media sebagai medium untuk meluahkannya dan diharap pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu untuk mencari penyelesaiannya.
“Sebelum adanya filem seperti ini, lumba haram secara besar-besaran telahpun wujud di Lembah Klang sekitar 1969. Saya cuba memperkenalkan wujudnya budaya bahaya di luar sana dan fokus kepada aksi yang menonjolkan kelebihan yang ada pada golongan ini,” ujarnya menjadikan Anak Halal sebagai sumber inspirasi dan mood untuk beberapa scene dalam V3: Samseng Jalanan.
Melahirkan kelegaan filem ini sempat disiapkan sebelum garis panduan baru dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengharamkan isu rempit dipaparkan secara keterlaluan. Farid menjelaskan, kemungkinan filem V3 adalah filem terakhir yang mengisahkan golongan mat rempit kerana panduan terbaru tidak boleh memaparkan aksi motor berkumpulan dan budaya hidup mat rempit.
Farid kini dalam perancangan untuk projek filem terbaru bertemakan action love. Selain filem terbaru, Farid bakal mengajurkan gathering Mat Rempit yang bakal diadakan pada 27 dan 28 Mac 2010 ini bertempat di litar Universiti Utara Malaysia. Tujuannya adalah untuk membanteras gejala lumba haram. Kepada yang berminat bolehlah join dan datang pada tarikh tersebut.
Mangga Online