Salih Yaacob Sering Diundang Sebar Ilmu Poligami
SALIH Yaacob tidak jadi berkahwin isteri keempat. Itu cerita yang heboh tahun lalu apabila pelawak, penyanyi dan kini penyampai radio, Salih Yaacob, mahu berkahwin isteri nombor empat. Tapi sekalipun ketiga-tiga isterinya yang ada sekarang memberi restu, sedia dimadukan untuk mencukupkan kuota suami mereka berkahwin isteri keempat, perkahwinan itu tidak menjadi kenyataan.
Cerita Salih mahu berkahwin itu telah mendedahkan kepada umum bagaimana hebatnya artis bertubuh kurus ini menjaga ketiga-tiga isteri dan anak-anaknya. Mereka bukan saja tinggal berdekatan malah, saling bantu-membantu.
Hebat atau tidak, yang jelas Salih ialah jaguh dalam berpoligami. Lalu, mulai detik itu, beliau telah dipanggil oleh banyak pihak untuk bercakap mengenainya (poligami).
Dari hanya cakap sedikit-sedikit, kini beliau telah sering diundang untuk memberikan ceramah pula. Terbaru beliau telah mengisi undangan Persatuan Wanita Kelantan untuk bercakap mengenai tajuk, ‘Madu atau Hempedu’. Salih tidak mahu kalah, beliau telah diberikan satu pentas dengan asatizah terkenal, Ustaz Wan Sohorbani Leman, di Dataran Kota Bharu. Maka ramailah yang terkejut, melopong, mendengar dan melihat artis yang selama ini sering melawak, boleh bercakap tentang hal-hal yang serius. Cara penyampaian ceramahnya memang seperti sifat beliau, ada masa serius, ada masa melawak.
‘Alhamdulillah, sekarang ini sudah kerap juga dipanggil. Sebelum ini ada beberapa tempat lain saya diundang, termasuk oleh Jabatan Agama Islam Hulu Langat. Saya bukanlah jaguh bab kahwin ini, tetapi sekadar berkongsi pengalaman dan pengetahuan,’ kata Salih.
Bila ditanya apakah yang beliau sampaikan, sama ada menggalakkan orang berpoligami atau sebaliknya, jawab beliau begini: ‘Saya tidak menggalakkan, tidak juga menghalang. Saya hanya berikan pengetahuan kerana yang penting dalam hal ini adalah asas ilmu.’
Walaupun sekarang sudah jadi penceramah bebas, Salih masih meneruskan kerjaya lainnya seperti biasa. Hari-hari biasa, beliau masih ke udara sebagai juruhebah di Radio Sinar setiap 6 hingga 10 pagi, bersama Raja Azura. Ia merupakan slot paling popular di stesen radio tersebut dan kerana itu tidak hairanlah beliau dibayar tinggi untuk kehadirannya. Kemampuan Salih melawak secara spontan, menjadikan rancangan Sinar Pagi yang dikendalikannya itu popular.
Dan, adakah, bila sudah berceramah sebagai penceramah bebas, beliau tidak akan menyanyi di pentas?
Tapi, kata Salih, ‘Menyanyi tetap menyanyi, itu, untuk cari makan.Tapi berceramah adalah untuk amal jariah.’
Amal jariah atau tidak, beliau dibayar di antara RM3,000 ($1,200) dengan RM5,000 setiap kali diundang berceramah, manakala sebagai penyampai radio Sinar pula gaji beliau tidak kurang RM20,000 sebulan. Dahsyat bukan? Tentulah, sepatah kata Salih, ‘Saya kena kerja kuat, sekalipun kesemua isteri bekerja, tapi saya sebagai suami perlu memastikan pengurusan rumah tangga berjalan dengan baik kerana saya ketua keluarga.’
Cyberita