Linda Serik Kongsi Hal Peribadi
PENYAMPAI radio dan pengacara popular, Linda Onn, masih menjalani rutin hariannya seperti biasa.
Walaupun dihambat kontroversi dengan bekas kekasihnya – pelakon, pengacara dan model, Fahrin Ahmad – semangatnya tetap tegar untuk mempertahankan diri sendiri.
Seperti yang dikhabarkan sebelum ini, Linda menegaskan dirinya bukan sengaja mereka-reka cerita mengenai dakwaan terhadap lelaki itu.
Malah beliau juga tidak pernah berasa tertekan dengan ‘masalah’ yang menimpa ketika mengendalikan kerja di tempat barunya, stesen radio Suria FM.
‘Alhamdulillah, saya dapat sokongan yang kuat daripada rakan sekerja di Suria FM dan majikan. Dari situ, saya tidak pernah patah semangat walaupun ada beribu-ribu yang menghentam.
‘Saya sudah jelaskan kepada mereka bahawa kes itu berlaku kerana saya menjawab soalan daripada wartawan dan bercakap apa yang benar. Sebab itu mereka menyokong saya,’ jelas Linda kepada mStar Online.
Selebihnya, pelakon filem Gila Bola itu menyerahkan kepada peguamnya untuk menjawab segala permintaan Fahrin.
Disebabkan hal itu juga, Linda bagaikan serik untuk ‘membuka pekung’ mengenai kisah peribadinya lagi termasuk soal teman lelaki pada masa akan datang.
Katanya dengan nada bersahaja dan tersenyum: ‘Cukup-cukuplah, biar saya simpan kisah peribadi sendiri. Saya tak nak kongsi dan cerita lagi.’
Namun begitu, anak asal Johor Bahru itu tidak lokek berkongsi mengenai ciri-ciri bakal suami yang diingini.
‘Saya tak kisah teman lelaki saya kerja apa dan sumber kewangannya. Asalkan dia baik, sedap mata memandang dan hormati ibu, ayah serta keluarga saya,’ beritahunya.
Cyberita